Sempena cuti panjang tidak lama dulu, saya mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung isteri dan mencuba nasib memancing di suatu muara. Berbekalkan ikan kembung dan sotong segar yang dibeli di jeti nelayan berhampiran, saya mula melabuhkan joran selepas solat Asar.

 

Saya mengambil port dengan duduk di bongkah batu besar betul-betul menghadap ke muara sungai. Petang itu rezeki saya memang murah. Tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya sudah dimakan ikan. Walaupun setakat sembilang dan gelama yang bersaiz M, ia sudah cukup menggembirakan hati saya.

 

Sedar tak sedar senja sudah melabuhkan tirainya. Sayup-sayup azan yang kedengaran membuatkan saya mula berkemas untuk pulang. Apatah lagi ketika itu keadaan sudah mula sunyi. Kalau tadi, adalah juga seorang dua kaki pancing duduk berhampiran saya, tetapi entah bila masanya mereka angkat kaki meninggalkan saya keseorangan di situ.

 

Tiupan angin senja agak dingin hingga terasa ke tulang hitam. Di dada langit mega yang tadinya berwarna kekuningan sudah bertukar kehitaman. Air di muara juga sudah berkocak menandakan angin laut sudah mula bertiup kencang. Kelam-kabut saya mengemas kerana pada jangkaan saya, hujan akan turun bila-bila masa sahaja.

 

Nyaris Diperdaya Jembalang Laut

 

Tiba-tiba terasa titisan air hujan turun renyai-renyai. Saya sudah mula melangkah laju menuju ke motosikal yang saya letakkan betul-betul di bawah pokok ketapang, kira-kira 50 meter sahaja daripada bongkah batu tempat saya duduk tadi.

 

Pada kiraan saya, mungkin ketika itu baru pukul 7.30 malam tetapi entah mengapa suasana ketika itu sungguh hening dan sunyi sepi. Apatah lagi, hujan sudah turun agak kasar dan ini sedikit menyukarkan pandangan saya yang sedang berjalan ke menuju ke tempat motosikal saya diletakkan.

 

Hanya berjarak sepuluh meter sahaja untuk sampai ke motosikal, telinga saya menangkap suara budak menangis. Pada mulanya agak sayup namun apabila saya picingkan telinga untuk mendengar, suara itu sebenarnya sangat hampir dengan saya.

 

Dalam kesamaran senja dan degup jantung yang kencang akibat berjalan laju, saya tercari-cari arah datangnya suara itu. Rupa-rupanya suara itu datangnya dari balik pokok ketapang berhampiran motosikal saya diletakkan.

 

IKLAN

Nyaris Diperdaya Jembalang Laut

 

Seorang kanak-kanak perempuan, berusia  dalam lingkungan enam tahun sedang menangis teresak-esak sambil menutup mukanya. Dia duduk mencangkung sambil badannya menghadap laut. Baju gaunnya yang dipakai berwarna merah kelihatan kotor dengan selut lumpur.

 

Anak siapakah ini, hati saya mula tertanya-tanya. Saya  memberanikan diri menghampiri budak itu. Rasa belas dan simpati bercampur baur di dalam hati. Budak perempuan ini sebaya dengan anak sulung saya.

 

Saya menanggalkan jaket yang saya pakai untuk melindungi budak itu daripada kuyup ditimpa hujan. Ketika itulah, budak perempuan itu berhenti menangis dan mendongak memandang saya. Allah, comotnya budak ni. Mukanya kotor kerana terkena lumpur. Rambutnya agak kusut masai dan matanya itu… ya mata bundar itu merenung saya dengan agak tajam.

 

Tiba-tiba saya terasa bulu tengkuk saya meremang dan badan saya seperti menggigil kesejukan.

 

“Pak cik, boleh tolong saya?” suara budak itu lirih pada pendengaran saya.

“Mana ayah dan ibu kamu?” Entah bagaimana, saya tidak menjawab pertanyaannya tetapi menyoalnya dengan soalan yang sedang bermain di fikiran saya.

IKLAN

 

Nyaris Diperdaya Jembalang Laut

 

Budak itu menangis. Jari telunjuknya dihalakan ke muara yang kelihatan berbalam-balam kegelapan. Sesekali kilat memancar di langit dan guruh kedengaran . Sungguh membingitkan telinga.

 

“Daddy jatuh dalam laut. Mummy pergi cari” jawabnya sambil menangis.

 

“Pak cik, tolong cari daddy dan mummy saya…” budak itu merayu.

 

Tangannya dihulurkan pada saya. Dia mengajak saya pergi mencari ibu dan ayahnya yang dikatakan terjatuh dalam laut.

 

Saya memegang tangan budak itu. Sejuk seperti baru keluar dari peti ais. Tangannya juga licin seperti ikan toman yang pernah saya tangkap di Tasik Royal Belum dahulu. Kami berdua berjalan menuju ke muara. Hujan semakin menggila. Tapi semuanya tidak saya endahkan.

IKLAN

 

Ketika mahu memanjat bongkah batu besar yang ada di situ, saya ternampak silauan lampu picit bersimpang siur dari bawah. Namun otak saya hanya terfokus mahu membantu budak itu mencari mummy dan daddynya.

 

Sampai sahaja di atas batu besar itu, budak itu memberi isyarat supaya saya terjun. Tidak jauh dari bongkah itu, saya ternampak sepasang tangan sedang menggapai-gapai ditolak arus laut.

 

Seorang perempuan muda dalam lingkungan 30-an sedang cuba berenang ke arah tangan yang sedang menggapai itu. Ketika mahu terjun membantu itulah, saya terasa badan saya dipeluk dengan kuat dari arah belakang.

 

Nyaris Diperdaya Jembalang Laut

 

Saya meronta-ronta minta dilepaskan namun suara riuh-rendah meminta saya agar bertenang dan mengucap dua kalimah syahadah. Hanya apabila muka saya disapu dengan air bacaan Yasin, barulah saya seperti orang yang baru tersedar daripada tidur.

 

Terkejut saya apabila mendapati saudara mara sebelah isteri bersama Tok Imam dan Tok Sidang kampung ada di Kata mereka, isteri saya yang kerisauan menunggu saya hampir jam sebelas malam.

 

Setelah diberitahu pada ayah mertua, mereka semua sepakat mencari saya di muara sungai ini.

 

Apabila saya bertanya akan budak perempuan itu, kata Tok Sidang, itulah penunggu muara yang suka mengganggu pemancing yang lewat pulang pada waktu senja. Penunggu ini akan menjelma dengan pelbagai bayangan untuk menarik pemancing itu agar terjun ke dalam laut.

 

Saya dikira sangat bernasib baik kerana sempat diselamatkan. Setakat ini sudah hampir tiga orang pemancing yang menemui ajal kerana dikatakan terjatuh dari bongkah batu besar itu dengan tiba-tiba.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI