Sebaiknya gunalah tangguk atau sauk yang sepadan dan sesuai untuk mendaratkannya. Dengan cara ini ikan tidak berhadapan risiko kecederaan malah dapat mengelakkan kemalangan pada joran dan pemancing sendiri.
Jika tiada penyauk, gunakanlah lip grip atau pencangkuk bibir ikan. Penggunaan lip grip amat bagus jika memancing ikan air tawar bergigi tajam seperti haruan dan toman. Selain mudah bagi proses menanggalkan mata kail, kemalangan juga dapat dikurangkan.
Jika pancingan di laut, seeloknya gunalah gancu atau pencangkuk . Apatah lagi jika yang ingin didaratkan itu bersaiz besar, bergigi tajam atau yang bersengat seperti ikan pari.
Ads
Sekiranya tiada peralatan tersebut dan perlu mendaratkannya dengan menggunakan tangan, pastikan ikan berkeadaan lemah. Sebaiknya guna bahagian ekor ikan untuk menariknya ke darat.
Boleh juga mendaratkan ikan dengan kaedah memegang mulutnya dengan tangan tapi harus diingat, bukan semua ikan boleh dipegang mulutnya seperti siakap atau sebarau. Sebaiknya kenali dulu jenis ikan sebelum tunjuk hero.
Ads
Apabila menanggalkan mata kail dari dalam mulut ikan, sebaiknya gunalah playar atau hook remover. Elakkan dari menanggalkannya dengan menggunakan tangan khususnya mengendalikan ikan bergigi tajam.
Bagi mengurangkan ikan daripada menggelepar, pegang ekor ikan dan bengkokkan badannya ke arah kepala, jangan terlalu kuat hingga boleh mematahkan tulangnya. Jika memegang ikan bersengat, peganglah bahagian kepalanya dengan cara yang betul.
Ads
Jangan sesekali menyeret ikan naik ke darat khususnya jika berhasrat untuk melepaskan kembali ikan tersebut. Sekiranya mata kail ditelan terlalu jauh ke dalam, sebaiknya putuskan saja perambut dan biarkan mata kail di dalam mulut ikan.
Jika ingin berpotret bersama ikan, sebaiknya ampu tubuh ikan di bahagian kepala dan ekornya. Jangan memegang ekor sahaja kerana ia boleh mencederakan ikan dan mudah terhempas.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Lluvia de Peces (Rain of Fish) merupakan satu fenomena misteri di mana hujan yang turun tak hanya membawa air tetapi membawa ikan yang berlaku setiap tahun di kawasan Yoro, Honduras. Fenomena ini juga dikenali sebagai aguacero de pescado dan telah menjadi festival tahunan bagi komuniti di sana.
Terdapat beberapa penjelasan berkaitan fenomena yang berlaku sekitar bulan Mei atau Jun. Antara yang paling popular ialah, dalam keadaan cuaca yang mengakibatkan angin kuat seperti ribut taufan, akan terhasil puting beliung atau tornado kecil.
Apabila tornado ini bergerak ke kawasan air, organisma kecil seperti ikan atau katak akan ditarik ke atas dan dibawa sehingga beberapa batu jauhnya.
Tornado ini mampu membawa organisma tersebut sehingga ke kawasan yang agak jauh sebelum ikan ini akan bertebaran jatuh selepas ribut.
Walaupun penjelasan tersebut dikatakan antara yang paling logik, namun terdapat beberapa persoalan yang masih menjadi misteri.
Walaupun pakar kaji cuaca menjelaskan fenomena ini merupakan kejadian meteorologi, persoalan timbul apabila kesemua ikan yang turun bersama hujan ini merupakan spesies air tawar sahaja.
Bahkan, ikan-ikan ini dalam keadaan sempurna di mana mempunyai mata. Selain itu, ikan yang turun juga merupakan bersaiz kecil sahaja.
Beberapa persoalan ini masih belum dapat dirungkai secara saintifik. Penduduk tempatan pula kebanyakannya percaya fenomena ini terjadi kerana doa seorang paderi Katholik iaitu Father Jose Manuel Subirana yang meminta rezeki untuk penduduk yang miskin.
Apa pun penjelasan terhadap fenomena ini, Rain of Fish tetap menjadi antara fenomena misteri. Tak memancing pun boleh tunggu ikan jatuh dari langit. Di Malaysia, kejadian seperti ini belum lagi pernah terjadi.
Terbayang juga kalau berlakunya hujan ikan kelah atau patin muncung, tentu harga ikan kelah dan patin muncung tak setinggi macam sekarang. Yang ada di negara kita sekarang hanya dihujani ikan pendatang.
Hutan simpan Ulu Pering diselimuti oleh kepekatan malam tanpa ditemani oleh cahaya bulan. Hanya bunyi unggas dan cengkerik yang menghidupkan malam di hutan simpan ini. Bersatu bersama nyanyian arus sungai yang mengalir laju dicelah-celah bongkah batu besar yang berceratuk di tebing dan tengah sungai.
Aku menggeliat seketika. Badan yang letih dan mata yang mengantuk, membuatkan aku terasa tubuh seperti mahu melayang-layang. Perjalanan ke sini tadi mengambil masa hampir empat jam lamanya. Tiga jam perjalanan berkereta dan sejam berjalan kaki meredah belukar lalang setinggi pinggang orang dewasa.
Kalau diikutkan badan memang penat tetapi apabila aku melihat Zahim dan Zahirudin masih segar melayan joran masing-masing yang agak galak dimakan ikan, aku kuatkan semangat untuk mencontohi kerajinan mereka berdua. Manalah tahu kalau-kalau malam ini aku mendapat ikan kelisa yang menjadi idamanku.
Aku mula memancing. Di tepi khemah berbentuk A itu, Zairi dan Mazin masih rancak berbual sambil menghirup kopi panas. Aku tidak tahu apa topik yang mereka bualkan kerana kebisingan arus sungai yang bagaikan tiada berpenghujung.
Malam semakin larut. Mataku terasa semakin berat. Aku benar-benar mengantuk kini. Akhirnya aku mengalah. Malam itu aku cuma mendapat dua ekor ikan baung seberat 500 gram. Umpan yang aku gunakan bagai tidak dapat memikat hati penghuni di dasar sungai untuk memakannya. Aku mengerling ke arah Zahim dan Zahirudin. Mereka masih lagi setia menjadi penunggu di tebing sungai.
Zairi dan Mazin juga masih lagi rancak berbual. Kali ini aku dapat menangkap topik perbualan mereka. Semuanya berkisar tentang bola dan jualan rumah yang semakin mencecah tinggi di Kuala Lumpur. Aku berjalan masuk ke khemah. Merebahkan badan di atas kanvas biru yang dijadikan alas perbaringan. Bantalku hanyalah beg galas yang berisi pakaian dan sehelai kain pelikat. Tidak sampai beberapa minit, aku sudah terlena.
Ketika tidur itulah, aku didatangi oleh dua orang wanita yang sungguh cantik. Mereka memanggil daripada sebelah kanan pokok balak tinggi yang menjulang berhampiran khemah yang aku dirikan. Aku katakan mereka cantik kerana seumur hidupku dua puluh tiga tahun ini, inilah kali pertama aku memandang wanita yang paras rupanya bagaikan bidadari.
Kulit mereka putih, alis mata melentik dan terbentuk indah, hidung mancung. Bibir pula kemerah-merahan. Mata mereka sangat indah bagaikan bulan yang bersinar penuh. Jujur aku katakan, aku sudah jatuh cinta pada mereka berdua!
“Saudara Fazrul, dari tadi kami asyik memandang saudara. Sejak saudara melalui perkampungan kami siang tadi. Saudara tak seperti sahabat saudara yang lain. Kami suka melihat saudara solat dan berwirid selepas itu. Suara saudara membaca surah Al Fatihah sungguh mendayu-dayu dan menarik perhatian kami untuk bersahabat dengan saudara. Sudikah saudara menjadikan kami berdua sahabat?” tanya seorang wanita cantik itu sambil tersenyum padaku. Ya Allah, mereka tahu namaku rupanya.
“Siapakah saudari berdua?” suaraku akhirnya terkeluar setelah rasa terkejutku hilang. “Nama saya Putri Khaisara. Ini pula adinda saya, namanya Putri Kasturi. Kami sebenarnya merupakan anak penghulu yang menjaga perkampungan di sini,” jawab salah seorang puteri itu sambil tersenyum dan menampakkan susunan giginya yang putih dan bersih.
Otak warasku sempat juga berfikir. Mana ada perkampungan di dalam hutan simpan yang tebal ini. setakat perkampungan orang asli itu mungkin ada tetapi daripada paras rupa dan pakaian kebaya yang mereka pakai, aku percaya kedua-dua beradik ini datang daripada keturunan orang yang berada. Siapakah mereka yang sebenarnya?
Kami terus berbual-bual hinggalah bunyi kokokan ayam jantan kedengaran bersahut-sahutan. Ini menandakan waktu subuh hampir masuk. Sebelum mereka minta diri untuk beredar, aku memaklumkan kepada mereka keinginan hatiku untuk memancing ikan idamanku iaitu kelisa atau kelah emas. Mereka berdua hanya ketawa sambil mengatakan itu perkara yang sangat mudah!
Aku hanya tersedar apabila dering handphone yang telah aku set berbunyi. Berat sungguh untuk aku membuka kelopak mata. Peristiwa yang aku alami tadi aku anggap hanyalah satu mainan mimpi yang berlaku akibat badan letih dan tidur di dalam hutan yang asing bagiku.
Selesai solat subuh dan berwirid, aku menyambung aktiviti memancing dengan misiku untuk memburu kelisa atau ikan kelah. Dan tanpa diduga, pagi itu sesuatu yang luar biasa berlaku. Setiap kali aku melabuhkan joran, pasti kelah idaman akan tersungkur pada mata kailku.
Peristiwa itu membuatkan rakan-rakanku terasa amat pelik. Hanya aku daripada kami berlima yang berjaya mendaratkan kelah sebesar lengan lelaki dewasa. Mereka berempat hanya mendapat ikan yang ‘biasa biasa’ saja seperti baung dan sebarau.
Sehingga kini, aku masih lagi ‘bersahabat’ dengan kedua orang puteri yang jelita itu. Kini aku faham. Mereka sebenarnya berasal daripada perkampungan bunian Islam yang ada di situ.
Mungkin kerana kami berlima berniat baik dan mengerjakan suruhan Allah dengan taat seperti bersolat lima waktu, maka kami tidaklah diganggu dengan peristiwa yang aneh atau menakutkan. Hingga kini, setiap kali aku memancing di sini, ikan kelas gred A pasti menjadi kepunyaanku dan peristiwa ini kekal rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa!
Orang kata, zaman bujang menjadi waktu yang paling ‘heaven’ untuk kaki pancing. Waktu ini, merupakan saat yang membolehkan kita menghabiskan masa berjam-jam atau berhari-hari keluar memancing tanpa perlu memikirkan apa-apa yang berlaku di rumah atau persekitaran anda.
Tapi, keseronokan ini dikatakan tak bertahan lama. Semuanya berubah bila kaki pancing mula menjejakkan kaki menempuh alam rumah tangga dan pada masa itu aktiviti memancing dikatakan terganggu, malah ada yang terpaksa menggantung joran untuk selama-lamanya. Benarkah begitu?
Gantung Joran?
Pendapat 1
Sesetengah pemancing bila berumah tangga akan menggantung jorannya atas sebab menghormati kedua-dua ibu bapa dan keluarga mertua mereka. Biasanya, selepas beberapa bulan kegiatan memancing akan dilakukan seperti sedia-kala. Tapi, mungkin ada juga ahli keluarga yang tak suka melihat anak mereka meninggalkan keluarga semata-mata untuk hobi memancing ni.
Pendapat 2
My wife ni kalau kita nak keluar memancing memang takde masalah. Janji belanja dapur dan segala bil settle. Dia kata, “Kalau nak memancing, pancing ikan jaa, jangan pancing ikan mulut merah tau!” Ha..ha…
Pendapat 3
Bini aku ni kekadang OK kadang-kadang TAK OK bila aku nak keluar memancing.. Tengok mood dia… Susah juga nak pergi memancing. Nak kena jaga hati bini dulu, baru dapat lesen…
Pendapat 4
Pada saya tak juga.. Macam saya, bini siap belikan lagi set pancing untuk memancing kat Sedili dulu dan tak pernah melarang keluar memancing pun. Cumanya, mungkin bila dah kahwin ni, komitmen dengan keluarga adalah yang paling utama bagi sesetengah individu berbanding hobi.
Masa bujang lagi saya dah bawa keluar memancing, jadi dia dah faham keseronokan memancing ni.. Bising-bising sikit sebab belum barang pancing mahal tu ada la.
Pendapat 5
Pada saya, ramai juga kawan-kawan yang kena gantung joran elepas berkahwin… Alhamdulillah isteri saya memahami hobi saya. Pernah saya bawa isteri serta anak-anak ke kolam untuk merasai keseronokan memancing. Isteri siap cakap patut ler awak syok memancing. Bila ikan tarik kita lawan tarik balik.
Terasa gigil tangan merasa sentapan ikan. Terus isteri cakap awak tunggu ye anak-anak besar nanti, saya nak join sekali mancing. Anak pula asyik tanya bila nak pergi mancing. Sebenarnya lebih seronok kalau anak isteri join sekali trip memancing dan boleh dijadikan aktiviti riadah bersama keluarga.
Pendapat 6
Pendapat gantung joran adalah tidak perlu pada saya. Memancing adalah satu hobi yang tidak memudaratkan. Malah ia mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan. Masa terluang boleh digunakan untuk bersama keluarga beriadah & memancing.
Namun pemancing harus pandai menguruskan masa agar keluarga tidak diabaikan disebabkan aktiviti memancing yang terlalu padat.
Pendapat 7
Bagi persoalan ini, saya sebagai penyimpan joran-joran ul berpendapat adalah TIDAK PERLU gantung joran. Ini adalah kerana kita HANYA PERLU menyimpan joran dengan kemas di rak joran. Sekiranya takut atau risau joran2 dipatahkan oleh isteri anda, sila pilih rod Ugly stick kerana istilah patah itu TIADA.
Bagi saya, lepas kawin saya masih dengan hobi saya. Isteri dah faham kenapa saya dengan pancing tak dapat dipisahkan. Ini adalah kerana dgn memancing saya dapat rileks kan sikit kepala dan fikiran ini setelah stress bekerja. Nak-nak dengan GST dan harga minyak naik.
Pendapat 8
Lepas kahwin kene ingat tanggungjawab. Walau hobi kita ni bagus. Tapi bole jadi tak bagus kalau abaikan tanggungjawab kat rumah. Beli barang mancing ribu-ribu. Anak nak mintak belikan KFC ke mainan RM10 bukan main berkira. Itu dah tak betul. Bini nak beli langsir baru untuk rumah kata mahal, pun tak betul.
Yang betulnya, kenalah pandai beragak. Jangan hanya taksub memancing. Bahagikan masa sebaiknya. Keputusannya pasti Tak perlu gantung joran.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...