
Pada zaman Rasulullah SAW, pernah seorang sahabat baginda, Usman R.A terlupa membayar zakat fitrah hingga selesai solat Aidilfitri.
Apabila teringat, beliau segera pulang dan mengambil seekor unta yang paling bagus miliknya lalu dijualnya, kemudian wang hasil penjualan unta tersebut beliau guna untuk memerdekakan seorang budak.
Setelah itu, beliau menghadap Rasulullah SAW dan berkata:
“Ya, Rasulullah, bahwasannya saya telah lupa membayar zakat fitrah, namun saya telah menjual seekor unta yang paling bagus dan saya gunakan untuk memerdekakan seorang budak. Apakah itu setara nilainya dengan zakat fitrah yang saya terlupa membayar itu?”
Di hadapan para sahabat, Rasulullah SAW kemudian menjawab:
“Sangat merugikan bagi sesiapa pun yang tidak membayar zakat fitrah, kerana pahala zakat fitrah itu sangatlah tidak terhingga.
Jangankan memerdekakan seorang budak, memerdekakan 100 orang budak pun tak akan dapat menyamai pahala zakat fitrah.”
Subhanallah, begitu hebatnya pahala zakat fitrah, maka saudaraku sekalian jangan sampai terlupa menunaikannya.
Rahsia Penawar Biasa Disengat Sembilang Oleh Netizen

Memang tidak dapat dinafikan penawar bagi disengat sembilang ialah dengan mendapatkan rawatan dari doktor atau pusat kesihatan. Namun, jika terkena sengat di tengah laut dan jauh dari daratan, penawar alternatif merupakan kaedah yang terhampir dengan mangsa. Dan biasanya, pemancing yang pernah disengat sembilang ada penawar dan petua yang tersendiri.
“Pernah kena.… lepas tu tekong suruh gigit dan telan ekor ikan sembilang tu. Alhamdulillah kurang sakit… boleh teruskan mancing sampai ke petang. Masa tu naik sampan kena dalam pukul 10 pagi. Tapi lepas naik darat… balik rumah mandi terus tangan start bengkak. Terus pergi klinik kena inject!”
– ZULKEFLE SIPUN
“Penawar paling mujarab… kerat sikit ekor belakang dia, lepas tu kunyah dan telan. Kompom boleh kurang sakit. Bukan main-main ni… dulu ada pak cik geng tangkol ketam yang ajar buat macam ni. Alhamdulillah dia punya sakit tak merebak. Cuma sakit kat tempat kena sengat tu yang perlahan-lahan hilang sakit.”
– MOHD KAMAL
“Dulu saya merawai ikan sembilang, biasa kena sengat tu je petuanya. Tapi saya juga ada guna buah pinang muda. Caranya keluarkan bijik pinang yang bulat tu, lepas tu belah dua dan lekatkan tempat yang kena sengat tu sehingga melekat. Buah pinang tu akan menarik bisa ikan dalam lima minit akan hilang.”
– SULAIMAN LEMAN
“Saya pernah kena sengat ikan sembilang… ya ampun punya la bisa setengah mati! Tak ada penawar yang nak guna.. yang ada cuma Panadol. Telan sekali 4 biji baru reda sikit bisa dia.”
– MAD TOCANG
“Belah kepala ikan sembilang tu… ambil otak atau lendirnya kemudian sapu pada bahagian yang kena sengat.”
– KAMAL JUNA
“Pakai air bateri… tuang dekat tempat kena sengat. Betul ni… tapi jangan minum. Kalau di minum kubur tempatnya. hehehe… titis di tempat terkena sengat pari atau ikan sembilang.”
– SAKURAGI THORMARTEOEW
“Petua yang saya dapat dari ayah… ikan sembilang, keli, duri dan keluarganya… asah kuku guna pisau, ambik habuk kuku dan tampal di tempat kena sengat. InsyaAllah rasa berdenyut sakit hilang.”
– AMIR AZIZ
“Saya pernah kena dekat rumah rakit. Kena dekat jari manis… sungguh manis penangannya. Cara saya buat, ikat lengan… tumbuk asam jawa, bubuh dalam kain, lepas tu ikat kat tempat kena sengat tu… minum susu. Alhamdulillah, saya boleh sambung mancing lagi.”
– LAN JB
“Tak ada ubat! Tunggu la 3 kali pasang surut air. Banyak kali dah kena. Banyak dah petua ikut termasuk makan ekor… pahit yang amat! Tapi denyut tetap sama dia punya sakit boleh rendam tangan dengan air panas.”
– MUHD SAFREE
“Paling mujarab ambik satu misai kucing kemudian cucuk dekat tempat yang kena sengat tu… nanti akan terasa hisapannya. Saya dah cuba Alhamdulillah lena tidur dengan izin Allah.”
– SEKUT COTEK
“Pengalaman Wak kena…. baca selawat, tekapkan tempat kena sengat tu kat badan ikan tu balik (mean kat lendir badan ikan tu.…) petua dari orang lama jugak ni. Alhamdulillah… boleh sambung mancing balik.”
– CIKWAN REDZUAN JELANI
“Kalau kena atas bot… rendam jari atau tangan yang kena sengat dalam minyak petrol dan pecahkan biji asam jawa, lekap kat tempat yang kena.”
– MAZLAN MAJID
“Bisanya rasa macam kena api rokok.. setiap saat berdenyut. Kalau kena air pasang lagi kuat denyutnya. 8 jam tahan bisa. Bibir pun dah biru. 4 jam sekali inject, sampai sekarang kaki lemah sebelah.”
– NORA ZEMAN
“Biasa saya kalau kena sengat sembilang ni atau ikan duri saya akan kencingkan kat jari yang kena sengat tu dan biar beberapa minit sampai reda. Lepas reda baru basuh balik tangan dengan air bersih.”
– FAKHRUL TAHIR
“Masa memancing dulu-dulu dengan orang-orang lama… dia ambik tahi cacing tanah yang masih baru dan sapu pada tempat terkena sengat.”
– YAMIN HAMZAH
“Selalu dah kena… cara saya, gigit sikit tempat kena sengat, sedut sikit bagi keluar darah, buang lepas tu sapu minyak angin cap kapak… tak sampai sejam lega.”
– MAT NASH
Ketahui Parasit Yang Sering Ditemui Dalam Mulut Ikan!!

Sejak dari kecil saya cukup menggemari ikan kerisi. Khususnya ikan kerisi bersaiz kasar yang digoreng dengan sisiknya sekali. Disebabkan terlalu menggemarinya, saya sedia ditugaskan untuk menyiang ikan ini.
Boleh dikatakan setiap kali menyiang ikan kerisi, saya akan temui ada sejenis ulat seperti kutu yang besar berada di dalam mulut ikan. Saya menyangka ia adalah sejenis udang laut yang menjadi makanan ikan.
Apabila bergelar seorang pemancing, saya ditemukan sekali lagi ulat ini ketika memancing di Kuala Rompin. Lantas saya menjadikannya umpan dan ternyata berhasil. Oleh kerana kerana itu tanggapan tersebut terus kekal dalam minda.
Setelah bergelar fishing journalist barulah saya tahu rupa-rupanya ulat itu sejenis parasit. Cymothoa exigua adalah krustasea parasit yang termasuk dalam keluarga Cymothoidae. Parasit ini memasuki ikan melalui insang, dan kemudian menempel di lidah ikan.
Parasit betina menempel di lidah, sementara parasit jantan menempel di lingkungan insang di bawah dan di belakang parasit betina.
Cymothoa exigua betina memiliki panjang sekitar 8–29 mm dan lebar sekitar 4–14 mm. Sementara yang jantan memiliki panjang sekitar 7–15 mm dan lebar sekitar 3–7 mm.
Parasit ini menghisap darah melalui kaki cakar hadapannya sehingga lidah ikan mengalami simpton atrophy akibat kekurangan darah.
Cymothoa exigua kemudian menggantikan lidah ikan dengan menempelkan tubuhnya sendiri ke otot potongan lidah. Ikan tersebut mampu menggunakan parasit tersebut seperti lidah biasa.
Dalam erti kata lain parasit ini tidak mengakibatkan kerusakan besar bagi ikan yang menjadi rumahnya.
C. exigua dianggap tidak berbahaya bagi manusia kecuali jika disentuh kerana akan terkesan dengan gigitannya.
Di Puerto Rico, C. exigua pernah menjadi subjek dalam tuntutan mahkamah terhadap penguasaha pasar spesies ini ditemui di ikan snapperyang berasal dari Pasifik Timur, kerana menyangka ia haiwan beracun.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tazkirah Ramadan (D3) : Batalkah Puasa Kita Jika… (Bhg1)

Isu perkara yang membatalkan puasa, tumpuan utama patut diberikan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
KES 1
Darah keluar dari tubuh; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya:
Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar’ dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida’ dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
KES 2
Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya:
Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja’ atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
Kes 3
Pil elak haid untuk puasa penuh:
Hukumnya:
Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.
Kes 4
Penyembur gas untuk pesakit lelah:
Hukumnya:
Pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa.
Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.
Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.
Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh ”
والأصل بقاء الشيء على ما هو عليه
Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.
Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu’alam.
Kes 5
Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya:
Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, ‘pain killer’ dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, airseperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar’iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
Kes 6
Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya:
Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : “Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
Kes 7
Melakukan Maksiat seperti tidak solat:
Hukumnya:
Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : “Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah” (Riwayat Ibn Hibban).