Spot jigging sudah terbentang di hadapan mata. Masing-masing tidak sabar lagi nak beraksi. Dasarnya yang dalam sehingga 300 meter membuatkan kami lebih bersedia dengan pelbagai jenis jig. Set berat dikeluarkan untuk mengunjun besi jig seberat 250 gram hingga 350 gram.

 

Saya hanya menggunakan jig Runaway 270 gram kerana faktor stamina yang kurang memberangsangkan. Kebanyakan jigger yang bertandang ke sini sudah pasti melakukan latihan keras atau sekurang-kurangnya masuk ke gimnasium untuk persiapan memperkemas otot-otot lengan, bahu dan pinggang.

 

Jika terserempak dengan kawanan burung menjunam ke permukaan air maka tekong sudah pasti akan berhenti dan menduga apa yang terdapat di situ. Apa yang pasti tuna-tuna berlegar di bawah permukaan air sambil mengejar anak-anak sardin. Ketika inilah peluang perlu dimanfaatkan dengan menghulurkan besi jig.

 

Melihat Somchok menggunakan set sederhana kami kembali teruja. Masing-masing menyimpan set aksi berat dan menukar kepada set aksi sederhana untuk membuat perhitungan. Saya hanya menggunakan kekili Shimano Stella 8000SW dan joran Expert p.e 3-5 sahaja untuk melayan skipjack dan baby yellow fin tuna.

 

Masing-masing mempraktikan pelbagai jenis variasi jigging laju, perlahan, lembut dan campuran. Sebagai orang baru kita kena cuba apa sahaja teknik. Jangan malu belajar dan bertanya, apa yang penting mencuba dan terus mencuba tanpa jemu pasti kejayaan akan menjelma.

 

Selesai minum petang kami berpindah lubuk untuk meneruskan aksi jigging. Entah lubuk mana entah yang tekong singgah. Ketika senja inilah tuna semakin galak mengejar besi jig yang di unjun secara mendatar. Para jigger terpaksa melontar jauh jig masing-masing dan dibiarkan sedikit tenggelam lalu dijig dengan laju. Jigging ketika senja ini lebih memberangsangkan. Kali ini lebih rancak, tekong dan awak-awak turut jigging sama.

 

Memburu Monster Burma Banks (Bab Akhir)

 

Di sinilah kami berjaya menewaskan beberapa ekor yellow fin tuna dan dogtooth tuna. Spesies malam juga mengancam. Selain tuna, lubuk ini dihuni juga ruby snapper dan kakap merah. Azuan dan Zulkefly lebih bernasib baik dengan hasil jigging masing-masing.

 

Berkat kesabaran, berjaya juga yang lain-lainnya dengan spesies yang sama di samping yellow fin tuna. Tak sangka pula red bass juga membaham jig milik saya. Masing-masing dapat merasakan sendiri pertarungan tanpa henti yang membuatkan kami tidak lena tidur sehingga ke pagi.

 

SPOT JIGGING RINGAN

 

Suatu ketika tekong sempat singgah di karang bergunung yang kedalamannya hanya sekitar 100 meter. Inilah masanya nak praktikkan pelbagai jenis variasi jigging menggunakan tengkorak besi dan juga crystal ball. Daripada yang mahal dan berkualiti seperti Duel hinggalah yang agak ekonomi keluaran Eupro. Manakala yang murah seperti Sure Catch dan Hinomiya juga tidak kurang hebatnya.

 

Acara jigging ringan di sini boleh dikatakan sesi bersantai setelah lebih berjigging berat. Selain itu, inilah masanya untuk mencuba produk-produk terbaru di pasaran. Sebenarnya kitalah merupakan ’tester’ tidak bertauliah yang banyak memberi manfaat kepada pemancing-pemancing baru.

 

Memburu Monster Burma Banks (Bab Akhir)

 

Kami mempraktikkan teknik popular di sini dengan menurunkannya ke dasar lalu di unjun sedikit demi sedikit dengan aksi perlahan. Kadangkala ia diunjun-unjun setempat tanpa mengarau tali. Tengkorak besi ini akan terlompat-lompat seperti seekor sotong kurita kecil yang sedang berenang. Aksinya yang semula jadi akan membuatkan mangsa lebih geram.

 

Spesies karang seperti kerapu bara dan kerapu pisang sudah tentu akan menyerang hendap apabila jig ini melintas di hadapan mata. Satu lagi teknik yang berkesan dengan membuat lontaran jauh melepasi kawasan karang. Kemudian dikarau perlahan secara mengenjut-enjut agar ia kelihatan seperti terlompat-lompat melalui kawasan dasar batu karang.

 

Lontaran dilakukan berulang-ulang kali tanpa jemu dan pelbagai arah untuk menarik sang kerapu keluar dari tempat persembunyiannya. Kami lakukan secara beramai-ramai agar penghuni di dasar lebih teruja.

 

Hasil usaha mencuba dan mencuba, akhirnya berbaloi juga dengan tertumpasnya kerapu bara, kerapu chonoh dan kerapu pisang. Selain itu, spesies karang yang lain juga sudi membaham jig-jig kami yang pelbagai. Sehinggakan red bass turut sama tergoda lalu mengejar jig tanpa henti.

 

Suatu ketika ikan-ikan karang seperti jebong dan barat-barat banyak membuat kacau. Selain itu terdapat pelbagai spesies pelik yang geram dengan jig tengkorak besi ini seperti moonfish, merah duri dan tidak ketinggalan, ular ginjal (eel)!

 

Memburu Monster Burma Banks (Bab Akhir)

 

LUBUK RUBY DAN KERTANG

 

Kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 160lb untuk menahan asakan ruby snapper. Setelah kedudukan bot betul-betul di atas spot yang tepat, pesta pun bermula. Ruby snapper mula menyerang. Semua peserta sibuk melayan asakan si merah ini walaupun cuaca panas terik.

 

Setiap pemancing berupaya menaikkan dua ekor sekali gus. Itu yang membuatkan awak-awak tak menang tangan menggancu ikan. Rata-rata ruby snapper berskala 10-12 kg berjaya didaratkan. Di samping itu, ada juga kerisi bali pelbagai saiz yang mencuri umpan kami. Masing-masing tersenyum apabila hasil tangkapan memenuhi tong merah besar.

 

Memburu Monster Burma Banks (Bab Akhir)

 

Lubuk terakhir kami ialah lubuk kertang hitam. Tekong menyarankan kami menggunakan perambut sekurang-kurangnya 180-200 lb jika tidak mahu tewas lagi. Sebenarnya kami sudah bersedia dengan perambut mono tebal sebegitu. Tak perlu tunggu lama.

 

Sebaik sahaja umpan tongkol mencecah dasar pastinya ada ragutan kasar dari bawah. Rata-rata kertang hitam berskala 30-40 kg menjadi milik kami. Kedalaman 200 hingga 300 meter memerlukan kekili elektrik, rod heavy, mata kail kasar dan batu ladung berat.

 

Kekili elektrik perlu bekerja lebih keras. Kekili Tanacom Bull dan Command X sudah memadai untuk misi di sini. Menurut tekong, terdapat juga kertang hitam dianggarkan lebih 100 kg yang menghuni lubuk ini. Jika persiapan yang rapi dilakukan tidak mustahil hasil akan lebih lumayan.

 

Memburu Monster Burma Banks (Bab Akhir)

 

Kata bijak pandai, wang bukan menjadi ukuran. Kepuasan peribadi lebih menjadi keutamaan. Bercuti bersama-sama rakan memang menyeronokkan di samping mengeratkan lagi tali persahabatan setelah penat bekerja siang dan malam. Sikap bertolak ansur dan happy go lucky yang ada pada kumpulan ini membuatkan trip-trip yang dianjurkan menjadi lebih ceria.

 

Tambahan pula hasil tangkapan dibahagikan sama rata maka tidak timbul masalah perebutan tempat memancing di dalam bot. Sebenarnya terdapat banyak faktor yang menyebabkan kumpulan saya tidak melepaskan peluang setiap tahun berkunjung ke sini. Di samping spesies dasarnya yang bersepah, kekuatan tarikan tuna yang hebat menyebabkan masing-masing sentiasa hendak datang lagi.

Oleh: Shamwen Hashim

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI