Sempena Cabaran Memancing Bulan September, kolam pancing Seri Bayu Tekala, Semenyih mengadakan pertandingan memancing di kolam tersebut, Ahad ini dengan menawarkan wang tunai melebihi RM114,000.
Sebanyak RM65,000 menanti juara Cabaran Bulan September, RM12,000 bagi pemenang di tangga kedua dan RM6,000 bagi podium terakhir. Manakala ranking terakhir di tangga ke-150 memperoleh RM150. Dan kesemua hadiah yang ditawarkan mengekalkan konsep sapu bersih.
Ads
Sebagaimana bermula pertandingan bulan lalu, pihak pengurusan kolam menetapkan spesies ikan patin Chao Phraya tidak lagi dipertandingkan sebaliknya dikategorikan sebagai hadiah khas bersama spesies tongsan sisik halus dengan menawarkan hadiah RM300 bagi tempat pertama dan RM200 untuk tempat kedua.
Ads
Selain ganjaran tunai, pihak kolam turut menawarkan 10 unit kekili jenama Shimano dan dua buah televisyen LED 32 inci berjenama bagi cabutan bertuah atau cabutan bonanza. Yuran pendaftaran penyertaan sebanyak RM100 bagi satu joran boleh dibuat di kaunter pendaftaran yang mula dibuka pada jam 1.00 petang, Sabtu nanti. Sebanyak 1,000 helai baju T lengan panjang disediakan bagi pendaftaran awal.
Ads
Menurut Eddie Rani selaku pengurus pertandingan, bagi sesi memasang pancang yang akan bermula pada 5.00 petang hari Sabtu nanti, pihak kolam telah sediakan pancang di kesemua enam buah kolam yang akan digunakan untuk pertandingan. Dalam erti kata lain, bagi melancarkan perjalanan sesi merebut spot dan atas faktor keselamatan, para peserta tidak dibenarkan membawa pancang sendiri.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ternyata banyak keunikan yang ditawarkan oleh Rakit Wak Kahar ini. Selain terkenal sebagai rumah rakit yang terbesar di Sungai Danga dan Sungai Melayu, ia juga menjadi antara rumah rakit yang termurah dan paling berbaloi dikunjungi oleh kaki pancing.
Dengan bayaran tambang bot pergi balik RM8.00 sahaja, pemancing boleh memancing di sini mengikut tempoh masa yang anda suka kerana tiada had masa dan tiada caj bayaran untuk memancing dikenakan di sini.
Kemudahan yang ada juga cukup lengkap. Kedai makan (beroperasi siang hari sahaja), tandas, umpan dan bermacam lagi turut tersedia di sini. Bagi yang inginkan bilik menginap, kadar sewa bilik di sini juga cukup berpatutan iaitu RM40 untuk 1 malam.
Untuk memancing di sini jangan risau jika terputus bekalan umpan. Ini kerana ikan-ikan yang ada di rakit ini ternyata lebih menggemari umpan kupang yang mana ia turut dijual di sini.
Namun sebagai alternatif tambahan, pemancing juga bolehlah membawa bekalan umpan lain seperti udang, sotong dan umpun-umpun jika mahukan lebih variasi.
Antara ikan-ikan popular yang sering dinaikkan oleh kaki pancing yang berkunjung ke sini ialah daun baru, ebek, semilang, duri, kapas, siakap, kerapu dan tanda.
Namun yang paling popular tentulah ikan daun baru yang mana ia sering dijadikan ikan target bagi kaki pancing yang menggemari teknik bottom dengan menggunakan umpan hirisan kupang.
Jika kena pada musimnya iaitu ketika air sejuk, kaki pancing mampu menaikkan berpuluh-puluh ekor daun baru di rumah rakit ini.
Ternyata keunikan yang ada di rakit ini tidak terhad kepada itu sahaja. Sejak akhir-akhir ini, rakit ini mula mendapat perhatian daripada kalangan kaki jigging Selatan tanah air.
Jika sebelum ini kerap kali kita dengan pancingan jigging dari atas bot, namun ternyata di rumah rakit ini aplikasi micro jigging boleh diguna pakai untuk memburu spesies pemangsa seperti ebek, kerapu, jenahak dan bawal pinang yang banyak bermain di sekitar rakit.
Aplikasi teknik ini mula diguna pakai sejak 8 tahun yang lalu, walaupun pada awalnya masih belum ramai yang berani mengaplikasi teknik mikro jigging di sini.
Namun, bila melihat sendiri hasil yang semakin memberangsangkan, lebih ramai kaki pancing mula menggemari untuk mengaplikasikan teknik ini dan tidak hairanlah pertandingan micro jigging yang berkonsepkan tahunan sering menjadikan rakit ini sebagai lokasi utama penganjuran.
Melihat kepada sambutan yang luar biasa dari kaki pancing, ternyata Wak kahar kini mula membayangkan untuk menaik taraf rakit yang sedia ada ini.
Jika sekarang ia mampu memuatkan 50-60 pemancing pada satu-satu masa, Wak Kahar bercadang untuk membesarkan lagi rakit ini agar mampu memuatkan lebih ramai kaki pancing dan pada masa yang sama akan meningkatkan lagi fasiliti dengan membina sebuah restoran dan kawasan memancing yang lebih selesa.
Ketika menjalankan tugas mengisi slot Ngolam, penulis sebenarnya sudah memasang hajat untuk kembali ke Kolam Pancing Ulu Kuang dan memancing sampai lebam.
Apa yang menarik minat penulis bukanlah kerana tawaran pakej memancing yang rendah, atau ganjaran yang ditawarkan, sebaliknya tarikan sebenar yang ada di dalam kolam yang tidak diketengahkan sepenuhnya iaitu spesies eksotik dari luar negara terutama dari Amazon dan negara Siam.
Arapaima, amazon redtail catfish, alligator gar, siamese carp dan mekong catfish merupakan spesis eksotik yang boleh dipancing di Kolam Pancing Ulu Kuang dengan pakej memancing yang teramat rendah berbanding kolam pancing yang menempatkan spesies-spesies eksotik ini.
Malah tidak perlu untuk ke luar negara, memadai memandu ke Kampung Ulu Kuang, Chemor, Perak. Walau bagaimana pun, sasaran utama penulis adalah untuk bertarung dengan redtail catfish yang kian membesar menjadi monster dengan jayanya di dalam kolam.
Bagi menjayakan komplot ini, penulis mengundang saudara Fadhlan atau lebih dikenali sebagai Lan Umpan di kalangan pemancing di sini. Lan Umpan sememangnya pemancing setia yang turut gemar melayan henjutan dan pecutan si ekor merah ini yang bersifat nokturnal ini.
Terbukti, tidak sampai setengah jam kami melabuhkan umpan hanya beberapa meter dari tebing kolam, pancing beliau sudah pun mengena! Ikan target yang disangka sudah berjaya dipancing itu menarik keluar tali pancing ke tengah kolam dan mengambur di udara. Rupanya arapaima! Redtail catfish yang dicari, ikan bonus pula yang mengena.
Lebih setengah jam pertarungan berlangsung dengan keputusan sama-sama kalah. Arapaima seberat 44kg berjaya ditewaskan dan didaratkan manakala Lan Umpan terpaksa membayar harga tinggi ekoran joran custom made bernilai RM700 yang buat kali pertama turun ke gelanggang patah 3 dalam pertarungan tersebut.
Dan setelah spesies bernilai lebih RM5000 itu selamat dilepaskan kembali ke kolam, pemilik kolam pula terpaksa dikejarkan ke hospital ekoran tekanan darah tinggi menyaksikan pertarungan bersejarah tersebut.
Pencarian redtail catfish diteruskan. Lan Umpan turut meneruskan pencarian dengan set pancing lain pula. Terbukti sekali lagi malam tersebut adalah malam beliau ekoran 6 set pancing yang digunakan untuk mencari redtail catfish, set pancing beliau juga yang terpilih.
Oleh kerana masih kepenatan bertarung dengan arapaima, penulis beroleh peluang bagi menyempurnakan hajat serta tujuan bertandang ke kolam itu.
Bertarung dengan redtail catfish tak ubah melayan baung tempatan bersaiz monster. Pecutan dan benaman ke dasar cukup bertenaga. Tabiatnya untuk meloloskan diri juga sama. Pelepah pokok kelapa sawit yang tumbang ke dalam kolam dijadikan sasarannya.
Setelah berjaya menyelitkan diri di celah pelepah dan membatukan diri, hampir-hampir saja penulis berputus asa memujuknya keluar dan bertindak menarik tali pancing sehingga putus, akhirnya ia keluar juga dan memberikan perlawanan sebelum menyerah kalah.
Sekali gus memberi lesen redtail catfish pertama dengan skala berat 13 kg kepada penulis. Dan sebelum mengakhiri pancingan malam pertama, seekor lagi saudaranya dengan skala berat 8 kg berjaya didaratkan.
Memandangkan hasil pancingan malam pertama berjaya melengkapkan misi komplot 2 hari 2 malam, pancingan seterusnya lebih kepada pencarian siamese carp atau karak dalam situasi santai. Namun pencarian siamese carp ini berakhir dengan kekecewaan ekoran spesies dari Afrika pula yang banyak menghabiskan umpan.
Kegagalan ini juga sebenarnya membenihkan motivasi baru kepada penulis untuk kembali lagi ke Kolam Pancing Ulu Kuang dengan misi baru. Biarkan ia membesar dengan sihat dan kuat dan kembali dengan misi memburu giant siamese carp!
Setelah membuat perancangan dan persiapan yang agak lama saya bersama tim komplot Zan Kail Utara Pancing yang terdiri daripada Aiman, Adi, Shah, Akhis dan Jan, pada jam 8.00 malam bertolak dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Temerloh, Pahang bagi menjayakan misi kami iaitu memancing udang galah atau jenggo di Sungai Pahang.
Bertarikh 6 Oktober bersamaan hari pertama misi, kami tiba di destinasi yang kami iaitu Kg. Pangsenam, Temerloh kira-kira jam 3.00 pagi. Perjalanan yang jauh bagaikan tidak terasa kerana rasa teruja yang meluap-luap. Seawal jam 7.00 pagi setelah menyelesaikan urusan dengan Abang Salleh iaitu pemilik rumah rakit dan sewaan sampan, kami segera menyusut Sungai Pahang mencari lubuk jenggo.
Kami menyewa 4 buah sampan atau bot fiber. Umpan umpun-umpun nipah memang terbaik untuk menjerat spesies jenggo, siap dibawa bekal dari Sungai Petani lagi. Tanpa mengira rasa lesu akibat perjalanan panjang dan kurang tidur, kami gigih keluar memancing.
Hasil yang diperoleh untuk hari pertama memang terbaik walaupun ini adalah buat pertama kalinya kami memancing jenggo di Temerloh. Kira-kira jam 7.00 malam kami kembali ke jeti dan bermalam di rumah rakit Abang Salleh. Soal makan minum tidak menjadi masalah kerana rumah rakit Abang Salleh lengkap dengan peralatan memasak. Hanya bahan mentah sahaja yang perlu dibawa untuk memasak. Malah bilik pun lengkap dengan pendingin hawa.
Setelah makan malam dan berehat seketika, entah bagaimana secara tiba-tiba kami berbincang untuk cuba memancing pula. Dengan mudah kami sepakat kata untuk mencubanya. Kira-kira jam 9.00 malam kami menyambung operasi mencari jenggo.
Berikutan kegelapan malam yang membatasi penglihatan, sedikit sebanyak ia menjejaskan pergerakan kami. Namun hasil diperoleh jauh lebih baik berbanding waktu siang. Disebabkan mengantuk dan letih, jam 5.00 pagi terpaksa kami pulang ke jeti untuk tidur.
Tidak sampai pun dua jam kami berehat dan tidur, sebelum jam 7.00 pagi kami sudah pun keluar memburu jenggo lagi untuk sesi hari kedua pula. Berikutan Sungai Pahang yang terlalu luas menyebabkan kami kurang arif untuk menjejak lubuk yang berpotensi. Tambahan pula ia merupakan pengalaman kami yang pertama kali. Namun kami tidak mematahkan semangat kami. Kami mencari informasi lokasi daripada pemancing dan penduduk tempatan.
Berkat ringan mulut bertanya, hasil yang diperoleh ternyata terbaik. Keseronokan membuatkan masa berlalu bagaikan tidak terasa. Bagai tidak sedar hari sudah lewat petang dan perlu pulang ke jeti untuk berehat seketika sebelum menyambung pancingan malam pula. Namun hasrat kami untuk memancing malam terpaksa dibatalkan berikutan cuaca kurang baik dan hujan turun dengan agak lebat.
Jam 6.30 pagi pada hari ketiga kami keluar memancing udang galah untuk beberapa jam lagi sebelum bertolak pulang ke Sungai Petani kira-kira jam 11.30 pagi. Tiada apa yang dapat kami simpulkan dari trip ini selain amat berpuas hati. Layanan Abang Salleh juga terbaik. Kami mengakhiri trip jenggo Sungai Pahang di Temerloh ini hasil kira-kira 100 ekor lebih udang galah dengan anggaran lapan kilogram. Yang pasti kami amat bersyukur kerana selamat pergi dan selamat juga kembali.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...