Sempena majlis perkahwinan seorang sahabat sepemancingan tidak lama lalu, saya tidak ketinggalan meraikan majlis sahabat ini di Batu Pahat bersama-sama sahabat lain yang juga bersahabat dengan raja sehari ini.
Kami berempat bertolak dari Kuala Lumpur dan tiba di majlis sekitar jam 2.00 petang. Selesai makan kenduri, kami tidak bercadang untuk terus pulang ke ibu kota. Rugi pulak pergi jauh-jauh ke kampung orang kalau tidak cuba melontar gewang di mana-mana padang pancing berdekatan.
Berbekalkan maklumat dari sahabat yang baru menamat zaman bujangnya, kami meredah padang pancing sekitar Senggarang. Tujuan asal kami adalah untuk casting siakap. Namun tidak temui spot siakap yang dipetakan. Padang pancing yang kami temui agar menarik juga. Kawasan pantai bertebing tinggi yang memanjang dan bersebelahan pula dengan parit yang juga panjang.
Ads
Berikutan sukar untuk menuruni tebing tinggi, kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib mengilat haruan di sepanjang parit yang menjadi sumber pengairan kebun sawit. Saya percaya parit itu menjadi padang pancing kepada pengilat tempatan yang kerap kelihatan meronda dengan motosikal bersama joran dan softfrog mini pada hujung joran.
Setelah meninjau dan berjalan di sepanjang tebing parit itu saya temui satu spot yang kelihatan agak berpotensi. Ada kelibat seperti haruan meneguk udara di kawasan lapang yang dipenuhi rumpair. Lontaran soft plastic (SP) yang pertama segera disambut namun sambarannya tidak lekat.
Ads
Menyedari keinginan seorang sahabat yang kepingin lesen haruan, saya segera memberi ruang tersebut kepada beliau. Saya yakinkan beliau ada haruan yang menunggu di spot tersebut dan perlu memujuknya berikutan kes rabut tadi. Malah saya beri beliau guna SP yang gunakan tadi.
Beberapa minit memujuk, haruan tadi kembali menyambar namun tidak mengenai tepat pada sasaran. Karan pertama yang beliau rasai itu membuatkan adrenalinnya melonjak. Saya yakinkan beliau lagi haruan tersebut akan kembali menyambar. Beliau terus tekun melontar dan memujuk dan akhirnya… sukses!
Ads
Seekor haruan anggaran 1kg didaratkan dengan selamat. Selesai sesi bergambar, haruan tersebut kami lepaskan semula ke habitatnya. Kejayaan itu mendorong rakan lain untuk merasai tarikan haruan Senggarang. Sehinggakan ada yang sanggup meredah lebih jauh parit tersebut. Hasilnya, seorang lagi sahabat berjaya juga memperolehnya walaupun bersaiz bocet (kecil).
Jika tidak kerana hari semakin senja dan kami perlu pulang ke Gombak, mungkin seorang lagi sahabat atau saya sendiri turut sama dapat merasai karan haruan parit Senggarang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kami memilih Mat Rafi sebagai tekong. Pada awalnya, semasa tiba jam 6.30 pagi di Jeti Kampung Permatang, Teluk Rubiah, langit yang pada mulanya kelihatan cerah telah bertukar mendung dalam sekelip mata.
Hampir 8.15 pagi, barulah kami berlepas selepas laut kembali tenang. Semua ahli trip menggunakan jig dari saiz 18gm hingga 60gm. Bagi casting pula, kami menggunakan spoon, bulu ayam serta gewang seperti Jackson Pintail dan sebagainya.
Lubuk pertama kami ialah sesi casting di kawasan berbatu. Tanpa menunggu lama, saya dan Tompok menerima sambaran hampir serentak namun lucut semasa beraksi. Ia angkara todak yang kelihatan agak banyak dan agresif. Tekong menyarankan kami agar menukar mata tiga kami kepada saiz yang lebih besar bagi memastikan ia tidak rabut lagi.
Setelah menukar mata tiga, rakan saya, Jemik telah membuat lontaran pertama dengan gewang Yozuri bersaiz 12 cm. Sepantas kilat satu sambaran kasar berlaku dan drag terus berbunyi nyaring. Ikan telah lekat dan beliau berhempas pulas mengawal larian dan loncatan todak tersebut. Akhirnya todak yang agak kasar itu berjaya juga dinaikkan.
K.I yang mencuba dengan Pintail turut mendapat sambaran kasar selepas Jemik. todak ini dilihat lebih agresif dan besar ketika meloncat dalam usaha untuk melepaskan mata kail. Akhirnya setelah 3 kali meloncat tinggi, tali perambut kejutan tangsi terputus ketika ia membuat pecutan terakhir dan berkuburlah gewang Pintail K.I.
Mat Rafi kemudiannya mengalihkan bot ke kawasan lain pula kerana kami telah berhanyut jauh dari sasaran. Kebetulan satu ‘boiling’ berlaku kira-kira 20 meter dari bot. Saya yang telah bersedia, tanpa berlengah melontar jig Yozuri Metallic Sardine dan terus menerima asakan kasar ketika baru menutup ‘bail arm’.
Tali mencurah-curah keluar telah memaksa saya mengawal dengan berhati-hati kerana saya menggunakan set ringan Ryobi Zauber 1000 dengan tali 20lb. Aksi tarik menarik berakhir dengan seekor GT tumpas. Walaupun tidak besar, aksinya masih mendebarkan kerana menggunakan set ringan.
Kami berpindah lagi ke satu kawasan yang dipanggil Tukun Jepun. Baru sahaja jig dijatuhkan dan di unjun 2 kali, K.I mendapat sambaran padu.
Jorannya dihenjut-henjut ke bawah. Ketika itu, tiada siapa dapat meneka jenis ikan kerana amat berlainan sekali lariannya. Kelibat jehahak mula kelihatan dan semua bersorak gembira walaupun belum lagi dinaikkan.
Jenahak skala 2kg tersebut tumpas setelah ditangguk. Bertambah semangat semua untuk meneruskan sesi pancangan kali ini!! Saya dikejutkan dengan satu tarikan ketika leka berbual sambil jigging. Tarikannya mudah dikawal. Tanpa disangka, seekor cencaru kuda pula berjaya dinaikkan.
Kami beralih ke Batu Putih pula untuk mencari ‘boiling’ cencaru kuda kerana waktu ini arus air kelihatan amat sesuai. Ketika tiba sambil berpusing-pusing, kelihatan banyak burung sedang mengejar sesuatu di permukaan laut.
Kami bergegas ke situ. Tak sampai seminit, kejadian “boiling” pun berlaku. Masing-masing yang sememangnya telah bersedia, terus sahaja membaling mikro jig. Serentak 3 orang sekali mendapat sambaran. Suasana bertukar kecoh kerana kami perlu menukar poisi kedudukan kami agar tali tidak bersilang.
3 ekor telah tumpas dan misi seterusnya terus menanti ‘boiling’ kedua. Ia berlaku di belakang bot pula. Hanya saya dan Tompok berjaya membaling jig dan saya telah berjaya menaikkan spesies terbesar, anggaran 2kg. Ketika bot mula menghampiri kawasan berbatu, Jemik yang menggunakan gewang berjaya menaikkan seekor lagi cencaru.
Selang 10 minit, K.I pula bertarung dengan ikan. Penggunaan joran halus menyukarkan K.I untuk menarik secara kasar. Seekor delah muncul tanpa disangka dan terus sahaja diangkat masuk ke dalam bot. Oleh kerana telah penat dan jam hampir ke-2 petang, kami memutuskan untuk berehat sambil makan tengah hari di pulau.
Hampir 2 jam juga kami berehat sambil tertidur beralaskan tikar yang dibawa. Badan kembali segar setelah mandi air bukit yang segar. Saya mengajak Mat Rafi ke lubuk sotong mengabang. Pesan saya kepadanya, cukup 3 ekor sahaja yang dicari untuk saya buat lauk anak-anak.
Di sini, hanya candat Yamashita sahaja laku. Kami berlabuh dengan mengikat tali ke boya di situ. Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan 3 ekor mengabang saiz ‘selipar no 8’ yang diidamkan dalam tempoh 30 minit sebelum berpindah ke lokasi lain.
Kami meneruskan kembali aktiviti jigging di satu kawasan yang agak dalam. Selepas 3 kali berhanyut, barulah ada sambaran dan kali ini, Mat Rafi yang kena. Agak lama juga bermain tarik tali sebelum seekor lagi talang berjaya dinaikkan.
Kami berpindah lagi. Mat Rafi juga yang membuka tirai sambaran ketika kami masih lagi terkial-kial hendak mengunjun. Seekor lagi talang skala 3kg dinaikkan. Tompok turut mengena ketika baru sahaja Mat Rafi menyimpan ikan tersebut ke dalam tong.
Kami memutuskan untuk mencuba di kawasan berbatu sebelum berangkat pulang. Bulu ayam, gewang serta spoon kembali menjadi taruhan. Balingan kedua K.I disambut, aksi yamg tampak agresif pada mulanya berakhir dengan mudah. Seekor todak kecil dinaikkan.
Menurut Mat Rafi, keadaan air jernih telah menyebabkan Talang nampak pergerakan mata kail gewang atau bulu ayam tersebut dan tidak akan membahamnya ketika casting. Kami berpindah sebanyak dua kali lagi tetapi hanya todak sahaja yang diperolehi. Tepat jam 6 pm, kami mengajak Mat Rafi pulang.
Bagi sesi memancing di Port Dickson kali saya bertekad untuk cuba satu teknik memancing yang masih baru di tempat kita. Sekitar hampir dua tahun lalu saya tertarik dengan satu method pancingan yang kian popular di Jepun dan Eropah, namun masih baru bertapak di negara kita.
Kemunculan teknik kabura tai atau tai rubber dalam segmen jigging ini tidaklah sehebat teknik slow pitch jigging yang segera menjadi fenomena.
tai rubber @ kabura tai
Saya sendiri tidak begitu teruja mencuba teknik pancingan yang kelihatan lebih khusus untuk memancing famili bream dan snapper.
Tambah pula (pada pendapat saya) tai rubber ini hanya lebih sesuai untuk dimainkan bagi memancing ikan karang dan dapat digayakan dengan sempurna jika menggunakan setting peralatan yang khusus, dan pada kederasan arus yang sesuai.
Bagi tidak ketinggalan menimba pengalaman teknik jigging terbaharu ini, penghujung tahun lalu saya dan beberapa orang rakan mengadakan trip `geli-geli meraba’ bersama dua orang tekong jigging tersohor Port Dickson.
Talang tunggal hari pertama
Tanggal 4 Muharram, trip kami bersama tekong Pak Ali. Jika diikutkan ramalan jadual, air sederhana besar dan arus juga sederhana itu bagus sudah boleh untuk cuba bermain tai rubber.
Namun jadual hanya boleh dijadikan rujukan saja jika permukaan laut agak bergelora. Saya hanya sempat mencuba beberapa kali ketika arus mati.
Hanya seorang rakan yang berjaya mendaratkan seekor talang. Tambah pula hasil teknik slow jigging lebih berjaya menyebabkan kami rasa seperti rugi pula bila tengok rakan lain mendaratkan ikan.
Sesi 5 Muharram, kami bersama tekong Apex Kecik pula. Sebagaimana hari sebelumnya, faktor angin mempengaruhi sesi memancing hari itu.
tekong menjadi pembuka tirai
Sementara menanti angin lebih teduh dan arus mati, kami berjigging seperti biasa. Menjelang tengah hari barulah kami dapat ke lubuk ikan merah untuk sesi tai rubber sepenuhnya.
Teknik ini ternyata efektif apabila mata kail yang diikat dengan silikon rambu-ramba dan skirt kulit ikan itu segera dihentam pemangsa sebelum jig sempat jatuh ke dasar.
talang lagi
Tiga kali berturut-turut ia dikerjakan oleh talang yang terpedaya dengan umpan tiruan yang mungkin pertama kali melihatnya.
Respon yang agak perlahan mendesak kami menyuntik sedikit `assist’ dalam persembahan tai rubber ala-ala kepala sotong itu. Dan ia ternyata membuahkan hasil.
Masing-masing tersenyum puas apabila berjaya mendaratkan ikan merah impian yang dipercayai tergolong dalam spesies merah suman.
lagi lagi talang
Spesies merah suman ini juga merupakan pemangsa yang menyambar umpan tiruan namun peratusnya amat rendah berbanding umpan alami. Mungkin dengan aplikasi tai rubber ini, lebih banyak keluarga ikan merah ini mampu didaratkan oleh penggemar teknik pancingan mengunjun umpan tiruan.
MAG telah mengadakan beberapa siri komplot melayang sang bulan yang dianggotai oleh saya sendiri, Ruzain Narumy, Kelvin Chua, Tomato Bey, Emily Lai Malie dan Sally LC. Set yang kami gunakan adalah sekadar set berharga ekonomi bermula dari WT2 hingga WT 4/5.
Tali utama pula adalah daripada jenis floating line & sinking line yang disambungkan kepada perambut sekasar 18-20 paun dan tippet pula adalah dari jenis mono berkekuatan 8-10 paun sahaja.
Manakala penggunaan umpan lelayang tradisional seperti nymph Zonker Gurgler, Damsel dan sebagainya jarang kami gunakan setelah beberapa kali bereksperimentasi tentang mata pancing yang sesuai untuk menjerat bulan.
Kejadian ‘miss call’ dan kadar rabut yang tinggi membuatkan kami memilih untuk menggunakan mata pancing udang bersaiz no. 2 dan 3. Material mata pancing layang yang halus dan tajam amatlah sesuai untuk mengatasi masalah rahang sang bulan yang keras.
Kadar tancapan dengan menggunakan mata pancing udang terbukti berjaya mengurangkan kes rabut yang tinggi. Cuma kelemahannya adalah tatkala ikan bersaiz besar dan kuat seperti bandang serta siakap putih, yang mencuri umpan lelayang, kejadian mata kail patah sering kali berlaku.
Pada hujung tahun lepas, kami berkumpul di spot yang dikenal pasti dan berada cuma lebih kurang 10 km dari pusat bandar Mukah. Spot ini didiami banyak si ikan bulan, malah sang bandang dan juga siakap putih.
Dengan berbekalkan setup wt2 dan wt4/5, kami mula membuat layangan sambil berkongsi teknik dan umpan lelayang. Ternyata umpan lelayang yang diikat sendiri menggunakan sedikit bulu serta rumbai berkilat amat berkesan. Saya sendiri berjaya mendaratkan lebih 30 ekor ikan bulan pelbagai saiz dengan hanya bersenjatakan setup wt2 untuk sesi pagi.
Namun dalam keterujaan melayan sang bulan yang tengah frenzy, kelibat sang bandang ada kalanya turut merampas umpan. Acap kali juga terjadi kes tippet putus, cuma sekali henjut dek sang bandang yang membuat pecutan bak peluru ala-ala Usain Bolt sambil meluncur ke udara membuatkan suasana menjadi riuh seketika.
Namun begitu, beberapa ekor bandang juvenil berjaya juga kami daratkan meskipun ada yang ‘foul hooked’. Kesemua hasil tangkapan kami lepaskan semula demi menjaga stok ikan sukan agar terus berkekalan pada masa hadapan.
Pada lewat petang untuk sesi komplot tersebut, timbul suasana agak kelam kabut dan cemas apabila tiba-tiba umpan lelayang Sally LC mainkan disergap sesuatu yang amat kasar. Dia yang cemas dan dalam keadaan terkejut sempat juga melayan keras pecutan dan larian ikan tersebut.
Saya yang melayangkan umpan dalam jarak 30 meter dari tempat kejadian pun berasa terkejut mendengar suara Ruzain dan Emily yang memanggil dan menyatakan Sally tengah bergasak dengan ikan yang kuat.
Sedang berlari lari anak sambil meranduk air separas lutut, tiba-tiba bunyi sorakkan daripada Ruzain menyatakan bahawa ikan yang mengonggong lelayang Sally adalah seekor mama bandang apabila ianya meluncur ke udara lantas menunjukkan badannya yang sasa, tegap dan panjang.
Saya sempat menyaksikan kejadian tersebut tetapi tidak dapat berbuat apa apa apabila sang bandang berjaya meloloskan diri bila mata pancing udang yang disasarkan untuk sang bulan patah.
Sally yang pertama kali bertembung spesies pemecut itu tidak dapat berkata apa-apa sambil terduduk terkejut. Pada masa yang sama, dia seakan masih tak percaya yang sang bandang sebesar dan sekuat itu menjadi tentangan petang tersebut.
Saya bersama Ruzain meneruskan layangan petang tersebut tetapi kelibat sang bandang tidak muncul lagi. Cuma beberapa bulan juvenil sahaja yang menjadi penghibur.
Berikutan kejayaan sesi melayang 100% tersebut, komplot susulan lantas di rancang. Komplot ini di sertai oleh beberapa caster yang ingin mendapatkan lesen bulan dan bandang.
Setelah semua ahli komplot hadir di tempat yang dijanjikan, sedikit taklimat dan perkongsian daripada saya selaku penganjur komplot berkenaan agenda komplot pada hari tersebut.
Ini disebabkan ahli-ahli komplot kali ini pertama kalinya disertai oleh caster dari Sabah di samping orang kuat persatuan pemancing Bahagian Bintulu serta pemancing dari Sibu, Matu dan Mukah sendiri. Tanpa membuang banyak masa, semua ahli komplot segera beredar ke spot pertama pada pagi Ahad tersebut dengan kenderaan masing masing.
Setelah bergambar sebagai kenang kenangan, komplot terus bermula. Agak malang sedikit untuk sesi pagi tersebut kerana tiada langsung kelibat sang bulan bermain air. Tetapi semua ahli komplot tetap berusaha menjejaki penghuni spot ini memandangkan ianya didiami pelbagai jenis ikan. Akhirnya ramai ahli komplot mencuba kaedah casting sebagai usaha mendapatkan tangkapan masing masing.
Sedang penulis asyik membuat layangan ke atas sekawan tarpon juvenil yang mula bermain air di satu penjuru, tiba tiba kedengaran suasana sedikit riuh serta ada yang memanggil penulis agar cepat datang ke tempat kejadian. Setelah diperiksa, rupa rupanya si Ysp Yby telah dapat mendaratkan seekor siakap putih dengan kaedah casting.
Setelah mengambil sedikit gambar, sesi pancingan diteruskan semula. Penulis dan Ruzain Narumy yang masih setia dengan pancingan layang akhirnya mendapat habuan masing masing. Ruzain berjaya mendaratkan seekor bulan yang agak kasar setelah umpan lelayang yang dibuat menggunakan mata pancing udang tertancap kemas di bibir sang bulan.
Penulis juga berjaya mendapatkan beberapa tangkapan selepas itu sambil diselang seli dengan tangkapan casting dari ahli komplot yang lain. Memandangkan keputusan pancingan pada pagi tersebut kurang memberansangkan, ahli ahli komplot bersetuju untuk berpindah ke spot yang seterusnya.
Berbekalkan semangat yang masih tinggi, sesi pancingan di spot yang kedua adalah lebih meriah. Ini berikutan spot tersebut hanyalah berada di pinggir jalan sahaja, maka kedudukan ahli komplot memancing pun agak selari dengan jalan raya.
Walaupun kelibat sang bulan bermain air memang rancak kali ini, tetapi segala lelayang serta gewang yang dimainkan kurang mendapat sambutan. Akhirnya setelah beberapa kali rabut, penulis akhirnya berjaya mendaratkan seekor ikan bulan remaja.
Semua ikan hasil pancingan kami pada hari tersebut selamat dilepaskan semula ke habitat asal. Sebagai kesimpulannya, pancingan layang memang mempunyai potensi yang cerah untuk berkembang seperti mana kaedah pancingan yang lain seperti kaedah mengilat. Cuma sedikit masa diperlukan untuk memperkenalkan atau mempromosikan seni pancingan layang itu sendiri.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...