Sungai Kinta merupakan salah satu cabang sungai yang mengalir ke Sungai Perak yang puncanya mengalir dari Gunung Korbu di Ulu Kinta, Tanjung Rambutan. Sungai Kinta ini mengalir dan melalui beberapa buah bandar dan pekan antaranya Ipoh, Pasir Putih, Pengkalan Pegoh, Pusing, Batu Gajah, Tanjung Tualang dan Kampung Gajah.

 

Kuala Sungai Kinta ini pula terletak di selatan Kampung Gajah yang terletak kira-kira 75 km di barat Bandaraya Ipoh. Dahulu warna air sungai ini jernih kini sangat keruh kerana dicemari oleh aktiviti perlombongan dan pengorekan pasir.

 

Kunjungan Semasa kunjungan saya dan seorang rakan ke sini, kami mencuba dengan kaedah boating menggunakan enjin 5 kuasa kuda bermula dari jambatan kayu di Sungai Galah menghulu sehingga ke kawasan lombong pecah di Tronoh Mines.

 

Paras air ketika itu adalah normal dan keadaan air tidaklah begitu keruh seperti kelazimannya. Pada masa inilah yang dikatakan amat sesuai untuk mencuba nasib di Sungai Kinta. Awalnya kami mengambil pendekatan untuk membuat balingan ke arah tebing sungai yang bereba namun tiada sambutan.

IKLAN

 

Kemudian kami mengambil keputusan untuk mencuba pula di kawasan berjeram kecil yang kami temui di sepanjang laluan. Bot kami tambat betul-betul di kawasan ekor lubuk dan membuat balingan ke arah kawasan air tenang selepas arus ekor lubuk. Tidak sampai beberapa balingan sahaja kami telah menerima banyak strike.

 

Gewang selaman cetek bersaiz 5-7cm kami gunakan dan hasilnya beberapa ekor sebarau remaja berjaya didaratkan. Begitulah seterusnya yang kami praktik dengan mencari jeram kecil bereba. Kawasan air tenang selepas arus adalah spot yang sering mendapat sambaran.

 

IKLAN

Pada sebelah petang pula, semasa menghilir pulang kami membuat mencuba ke arah tebing berpasir yang landai kerana sering ternampak kelibat anak ikan seakan-akan dihambat pemangsa. Andaian kami tepat kerana sebaraulah pemangsa yang meligan anak ikan di sekitar tebing pada sebelah petang.

 

Kunjungan seterusnya kami mencuba dari tebing pula. Spot terbaik adalah di sekitar tiang jambatan Sungai Galah dan kawasan tebing berdekatan. Menurut sumber dari rakan-rakan, waktu yang paling sesuai adalah semasa banyak sampah yang terperangkap di sekitar tiang jambatan tersebut kerana pada ketika itu banyak pemangsa yang gemar mengendap di sekitar timbunan sampah hanyut tersebut terutamanya pada awal pagi dan lewat petang.

 

Kegembiraan bersama rakan

IKLAN

 

Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh strike itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan sebagai seorang pemancing dan pengilat khususnya.

 

Jadi, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara. Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.

 

 

Senantiasalah mengamalkan ‘Tangkap dan Lepas’ (CnR) ataupun mengehadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit). Semoga usaha yang kita amalkan ini turut dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi memastikan stok ikan di perairan kita terutamanya spesies-spesies tempatan sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan di masa hadapan.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI