Pulau Pinang yang terkenal dengan jolokan nama Pulau Mutiara ini terletak di pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Selain daripada syurga makanan, Pulau Pinang turut dikenali dengan tinggalan-tinggalan sejarah yang masih wujud hingga ke hari ini.

 

Walau bagaimanapun dalam sukan memancing, nama Pulau Pinang tidaklah segah perairan Terengganu, Pahang atau Sabah.

Namun perairan ini turut menyimpan khazanah lautan yang berharga untuk sukan ini.

 

SYURGA MEMANCING

 

Tepat jam 12 tengah hari, apabila selesai majlis pelancaran Penang Angler’s Paradise, para media telah berkumpul di Jeti Straight Quay untuk memulakan perjalanan memancing di tengah lautan.

Peralatan memancing telah disediakan oleh pihak Tourism Pulau Pinang, namun ada juga peserta yang membawa peralatan sendiri untuk mencuba nasib di perairan ini.

 

Seramai 15 wakil media telah menyertai program ini dan pihak tourism telah menyediakan 2 buah bot untuk program Penang Great Fishing ini.

Selesai sesi pelepasan peserta kami pun memulakan perjalanan merentas perairan Pulau Mutiara ini. Bot yang saya naiki turut disertai oleh 7 lagi wakil media dan agensi pelancongan Pulau Pinang.

 

Kami menaiki bot sepanjang 55 x 13 kaki yang dimiliki oleh Ah Eng. Bot ini sememangnya cukup selesa untuk kami kerana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tandas, GPS, katil, dapur dan pelbagai lagi.

Perjalanan ke lokasi pertama kami memakan masa hampir 4 jam. Jadi untuk masa yang lama ini, kebanyakan daripada kami manfaatkannya untuk berehat terlebih dahulu.

 

 

LOKASI PERTAMA

 

Setibanya di lokasi pertama, Ah Eng telah membawa kami ke unjam untuk mendapatkan bekalan umpan hidup.

Setibanya di Unjam, kami terus menghulurkan mata kail apollo untuk menjerat spesies ikan pelagik.

Baling sahaja umpan, kami terus dihujani dengan segerombolan ikan selar kuning yang bermain di permukaan air. Tidak terkira jumlah yang kami perolehi pada petang itu.

 

Menurut Ah Eng, umpan selar hidup ini sesuai digunakan untuk menjerat pemangsa yang bermain di pertengahan air seperti tenggiri, alu-alu dan GT.

Selesai sahaja mendapatkan bekalan umpan, kami terus menuju ke lokasi pertama.

 

Kami tiba di lokasi tepat jam 6 petang. Tanpa membuang masa, kami terus menghulurkan umpan selar hidup dengan menggunakan teknik hanyut.

Spesies buruan kami adalah tenggiri untuk petang ini. Namun, setelah hampir 2 jam menunggu, langsung tiada seekor pun tenggiri yang sudi menjamah umpan.

 

 

 

IKLAN

Menurut tekong mungkin faktor air yang tidak sesuai menjadi sebab kami gagal mendaratkan tenggiri pada petang itu.

Oleh sebab itu, tekong mengambil keputusan untuk berpindah ke lokasi rahsianya yang memang didiami oleh spesies ikan gred A seperti jenahak dan kerapu.

 

LENA BERBANTAL EMAS

 

Kami tiba di lokasi kedua pada jam 8.30 malam. Di spot jenahak dan kerapu ini, ujar tekong teknik yang paling sesuai digunakan adalah teknik pancingan bottom dengan menggunakan umpan sotong atau udang hidup.

Tanpa membuang masa, kami terus menurunkan umpan ke dasar.

 

Tidak perlu menunggu lama, joran Penn International Custom 50-100lb milik agensi pelancongan terus melendut direntap penghuni dasar.

Tidak sampai 3 minit bertarung sudah terlihat kilauan emas di dalam air.

“Sah! Jenahak dah start makan!,” jerit tekong kepada kami.

 

 

 

Naik sahaja jenahak yang pertama, tidak menang tangan kami melayani penghuni dasar ini. Satu demi satu berjaya dinaikkan.

Tekong Ah Heng juga tidak ketinggalan menaikkan jenahak berskala 3kg dengan menggunakan umpan sotong hidup.

 

“Memang betul-betul hebat lubuk Ah Eng ini,” ujar seorang wakil media. Apa tidaknya, di sini sahaja beliau berjaya mendaratkan 3 ekor jenahak berskala 2–3 kilogram.

Belum puas melayani jenahak, kami dikejutkan dengan jeritan mesin Daiwa Opus Bull 6000 yang diletakkan di belakang bot.

Pemancing yang berada berhampiran terus menyentap joran dan asakan yang kuat dapat dirasai.

 

IKLAN

Dengan asakan bertubi-tubi, spesies tersebut berjaya melarikan diri ke lubang persembunyiannya. Kemenangan nampaknya berpihak kepada sang ikan.

Menurut Ah Eng, daripada cara permainan tersebut, ia sudah dapat di agak iaitu kerapu bersaiz besar!

 

 

 

KEHADIRAN SPESIES PENGACAU

 

Jam sudah menunjukkan angka 1 pagi, namun masih ramai lagi wakil media yang masih berjaga menunggu sang ikan menjamah umpan.

Saya yang sedang rancak mencandat sotong untuk dijadikan umpan tiba-tiba dikejutkan dengan lenturan kuat joran yang diletakkan di belakang bot lantas bingkas bangun dan menyentap joran tersebut.

 

Aksi tarik-menarik berlangsung selama hampir 5 minit. Sesampai sahaja perambut di permukaan air, terlihat kelibat spesies bergigi tajam berlegar-legar berenang untuk melepaskan diri.

Dengan itu Ah Eng segera menarik tali kail untuk menaikkan ikan tersebut ke dalam bot.

Sayang sekali belum sempat dibawa naik, alu-alu atau juga dikenali dengan nama barracuda ini terlebih dahulu memotong tali perambut tersebut.

 

Selepas sahaja aksi itu, bersilih ganti joran lain direntap sang alu-alu, namun semua tali perambut berjaya diputuskannya.

Disebabkan kehadiran spesies pengacau inilah ikan-ikan lain kurang menjamah umpan.

 

 

 

Aksi penutup hari pertama adalah dari wakil agensi pelancongan dan wakil media yang masing-masing berjaya menaikkan jenahak bersaiz kasar.

Yang epiknya, kedua-dua ikan tersebut juga telah berjaya mematahkan joran mereka. Bayangkan bagaimana joran yang begitu kuat berjaya dipatahkan dengan asakan si bantal emas ini?

IKLAN

 

LUBUK KAPAL KARAM

 

Hari kedua bermula sangat hambar.Tidak ada sebarang getuan dapat dirasai pada sebelah pagi sehinggalah joran milik tekong mendapat satu stike dari penghuni dasar.

Ah Eng yang menggunakan kekili elektrik, bagaikan tiada tentangan langsung untuk menaikkan seekor ikan duri berskala hampir sekilogram.

 

Pada waktu lewat petang pula joran milik wakil media turut direntap ganas. Pada mulanya kami menjangkakan ikan duri yang telah meratah umpan sotong yang dihulurkan, rupa-rupanya sang kerapu hampir sekilogram menunjukkan bayangnya.

Wakil media bersorak kegembiraan kerana pada hari pertama tiada seekor pun kerapu berjaya kami naikkan.

 

 

 

Menjelang senja, Tekong mengajak kami berpindah ke Lubuk Kapal Karam yang juga menjadi lubuk favourite nya.

Di sini, sekali lagi Ah Eng menjadi pemecah suasana apabila berjaya mendaratkan ikan Duri berskala sekilogram.

 

Tidak lama selepas itu, salah seorang daripada kami menerima asakan kuat dari dasar dan dengan bantuan tekong, beliau berjaya menaikkan kerapu berskala 2 kilogram.

Apa lagi riuh rendah suasana di dalam bot apabila satu persatu spesies gred A berjaya dinaikkan. Menurut tekong, semakin hari gelap, semakin galak ikan menjamah umpan.

 

Di lubuk ini sahaja bersilih-ganti ikan berjaya dinaikkan. Kerapu, jenahak, duri, dan alu-alu antara spesies yang berjaya menjadi trofi kami pada malam kedua ini.

 

MENUJU PULANG

 

Menjelang jam 6 pagi, kami pun menuju pulang ke Jeti Straight Quay. Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan matahari terbit yang begitu indah sekali.

Kami tiba di Jeti tepat jam 9 pagi. Kebetulan, sebuah lagi bot yang dinaiki wakil media yang lain turut tiba di Jeti.

 

 

Di bot yang lagi satu mereka berjaya mendaratkan tenggiri, belitung, jenahak, kerisi dan talang.

Melihat kepada hasil kedua-dua bot ini, memang tidak boleh disangkal lagi bahawa perairan ini memang boleh diketengahkan untuk industri Angling Tourism ini.

 

Sesungguhnya, pengalaman kami selama 3 hari 2 malam di perairan Pulau Pinang ini akan terus mekar di ingatan.

Siapa sangka jolokan Pulau Mutiara itu memang secocok sekali dengan Pulau Pinang kerana terbukti perairannya memiliki mutiara yang berharga untuk kaki pancing Malaysia.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI