Setelah menempa pelbagai sejarah dalam kelas tersendiri, pengurusan kolam pancing Seri Bayu Tekala mencipta satu lagi lembaran sejarah apabila menawarkan ganjaran RM80,000 bagi pemenang utama dalam pertandingan memancing Cabaran Tutup Tirai Finale 2017, Seri Bayu Tekala.
Pertandingan memancing yang bakal berlangsung pada 10 Disember dan bertempat di kolam pancing Seri Bayu Tekala, Semenyih itu bukan sahaja mencatat rekod hadiah tertinggi yang pernah dianjurkan oleh pengurusan kolam bahkan merupakan kolam pancing pertama berbuat demikian di Malaysia.
Menurut pengurus acara Eddie Rani, hadiah tempat pertama tertinggi pernah ditawarkan sebelum ini berjumlah RM76,000 pada Mac lalu, pertandingan memancing sempena ulang tahun kolam Seri Bayu Tekala.
“Sekiranya anda berpendapatan RM2,000 sebulan atau RM24,000 setahun, hanya bermodalkan RM100 sahaja, anda sudah boleh goyang kaki untuk tempoh 40 bulan atau tiga tahun setengah sekiranya memenangi pertandingan ini,” ujarnya lagi.
Selain tawaran RM80,000 bagi kejuaraan utama, pemenang di tempat kedua bakal memperoleh RM12,000 dan RM6,000 bagi tempat ketiga pelengkap podium. Manakala tempat keempat sebanyak RM1,000; kelima RM700; keenam dan ketujuh RM500 dan kelapan hingga kesepuluh RM400. Sementara tempat ke-11 hingga ke-30 RM300; ke-31 hingga ke-50 RM250; ke-51 hingga ke-100 RM200; dan ke-101 hingga ke-150 sebanyak RM150.
Sekiranya kurang bernasib baik untuk menduduki carta 150, para peserta masih berpeluang untuk memenangi cabutan bonanza berupa sebuah motosikal Modenas Kriss dan dua buah televisyen LED berjenama.
Sementara ikan tongsan sisik halus dan patin Chao Phraya yang tidak dipertandingkan, disenaraikan dalam kategori spesies yang mana pemenang bagi kategori ini akan membawa pulang RM 300 dan tempat kedua RM 200.
Acara pertandingan yang terbuka kepada sesiapa sahaja ini boleh disertai dengan cara melakukan pendaftaran di kaunter pendaftaran kolam yang dibuka pada jam 1.00 petang 8 Disember sehinggalah bermulanya pertandingan.
Seperkara lain menurut Eddie Rani, bagi sesi memasang pancang yang akan bermula pada 5.00 petang hari Sabtu nanti, pihak kolam tidak lagi menyediakan pancang di kesemua enam buah kolam yang akan digunakan untuk pertandingan. Dalam erti kata lain para peserta perlu berlari membawa pancang sendiri dan acara pelepasan pancang akan dilangsungkan secara berperingkat.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Negara Maldives yang terletak disebuah kepulauan yang terletak di Lautan Hindi juga dikenali sebagai Pulau Terumbu Karang.
Maldives memliliki lebih 26 terumbu karang (atoll) yang diwartakan sebagai wilayah dengan 1,192 kepulauan kecil di dalamnya.
Apabila disebut Maldives, ia adalah salah satu kepulauan yang merupakan destinasi idaman setiap pelancong di seluruh dunia dek kerana kecantikan perairan dan pulaunya.
Tidak hairanlah juga ia destinasi idaman untuk berbulan madu. Bagi kaki pancing, ia satu destinasi yang perlu dikunjungi oleh para pemancing yang menggemari teknik popping dan jigging.
PERSIAPAN
Satu trip ke Maldives telah saya dan rakan-rakan lain dari Prime Anglers rencanakan dan tumpuan kami adalah teknik popping dan jigging.
Untuk popping banyak peralatan perlu dibeli dan disediakan seperti joran, kekili, popper, mata kail sampai ke aksesori.
Untuk jigging di Maldives peralatan yang digunakan lebih kurang sama sahaja seperti peralatan yang digunakan di Pulau Jarak. Jig dari 140g-250g.
POPPING
Popping boleh dianggap sebagai kaedah memancing yang mengghairahkan dan apabila dicuba oleh pemancing pertama kali dan mendapat hook up pasti pemancing itu akan gembira dan terkena racun yang kuat untuk popping.
Setup untuk popping di Maldives memerlukan joran PE8 sampai PE10 (tertakluk kepada jenama yang berlainan), kekili spinning seperti model Shimano SW10000HG, SW14000XG sudah mencukupi.
Untuk popping, tali utama kami menggunakan Shimano Ocea 121lb, TUF Line 80lb, Daiwa Saltiga Boat 100lb dan untuk leader kami menggunakan shock leader bersaiz 130lb, 150lb dan 170lb.
Pemilihan popper untuk Maldives kami menggunakan stickbait kerana ia adalah killer untuk GT di sana.
Kami menggunakan stickbait FCL Labo model CSP175HS, SPPSLIM, SPPTUNA kerana ia sudah terbukti di sana senang mendapat hook up yang banyak sekali.
JIGGING
Jigging adalah satu kaedah yang sudah terkenal di arena memancing dan joran yang dibawa kami ialah dari jenama Major Craft Giant Killing spinning PE1.5-4 dan PE2-4.
Joran Evergreen Poseidon juga tidak ketinggalan kerana joran ini dibuat khas big game.
Antara joran Evergreen Poseidon spinning ialah PE2.5, PE3 dan PE4. Joran ini terkenal dengan backbone yang kuat dan jorannya ringan.
Kali ini saya membawa setup slow pitch jigging ke sana dengan joran dari Major Craft Giant Killing GKJ B64/4SP PE1.5-3 max jig: 150g. Jig dari 130g-250g diperlukan untuk perairan Maldives.
Trip Maldives dan juga bot Kandi Hibaru ini perlu diatur dan ditempah setahun lebih awal.
Jika ingin memancing di Maldives, bulan Oktober hingga Mei paling sesuai kerana ia musim lenang. Musim monsun di Maldives bermula dari Jun hingga September.
Saya merancang trip ini untuk ahli-ahli Prime Anglers yang pertama kali menjejakkan kaki ke Maldives.
Antara ahli Prime Anglers yang menyertai trip ini ialah Steven, Dennis, Meng, Venice, Ice dan saya sendiri bertolak dari lapangan KLIA dan terdapat dua orang ahli Prime Anglers dari Singapura iaitu Sims dan Jit yang bertolak dari Singapura ke Maldives.
Dari Malaysia ke Maldives penerbangan mengambil masa lebih kurang 4 jam. Kami tiba di Male, ibu negara Maldives atau lebih tepat lagi Lapangan Terbang Antarabangsa Ibrahim
Nasir tepat jam 9.45 malam waktu tempatan dan kami menunggu dalam masa 15 minit sebelum water teksi dan staff mereka menyambut kedatangan kami dan terus menuju ke bot yang akan kami tinggal dan pancing selama 7 hari.
Selepas memunggah semua barang kami ke bot Kandi Hibaru, masing-masing tidak tunggu lama membuat persiapan dan memasang kekili ke joran dan membuat ikatan yang perlu.
Bot Kandi Hibaru berlabuh di sini sepanjang malam dan keesokan hari jam 6 pagi, barulah bot mulai bertolak ke lubuk popping.
Selepas berlabuh, kami mulai memancing, memang tidak tunggu lama, apabila seorang demi seorang mendapat sambaran.
Sedar tidak sedar, kapten bot telah pun siap menyediakan hidangan tengah hari dan selesai menjamu selera, kapten bot pun bertolak ke lubuk seterusnya.
Tiba sahaja di lubuk baru, tidak sampai 3 membuat lontaran, Sims mendapat satu sambaran yang kuat dan joran popping terus melentur dan kedengaran bunyi drag Stella
SW18000HG berbunyi tidak henti dan krew bot pun membantunya ke belakang bot bagi memudahkannya bertempur dengan GT.
Selepas hampir 15 minit bergasak, akhirnya GT yang dinantikan telah muncul di permukaan air dan kami semua pun amat teruja melihat GT bersaiz bagak sekali.
Hari pertama GT mega sudah dinaikkan dan kami semua pun penuh dengan semangat walaupun kawan kami yang menaikkan GT 30kg.
Selepas 30 minit tiada lagi sambaran untuk popping kapten pun bertukar ke lubuk jigging. Lubuk jigging di sini kedalamannya dari 50m-140m.
SYURGA MEMANCING
Sepanjang berada di Maldives, boleh dikatakan semua daripada kami puas hati dengan tarikan demi tarikan ikan yang diperolehi.
Puas dengan sesi popping, kaedah jigging pula dipraktikkan. Tekong dan kru bot Kandi Hibaru pula memang tahu di mana spot terbaik buat kami.
Di sini, memang betul-betul syurga ikan. Tekong tidak gusar jika di satu spot tiada tangkapan dilakukan.
Terdapat beratus-ratus malah mungkin beribu spot memancing terbaik di Maldives.
Apabila malam menjelma, pelbagai ikan yang berjaya diperolehi melalui kaedah jigging, besar atau kecil jig yang dihulurkan majoritinya pasti akan disambut oleh penghuni di bawah.
Pelbagai jenis ikan diperolehi yang ada rupanya belum pernah lagi saya lihat, terutama spesies kerapu yang beraneka warna dan corak.
SANGAT PUAS HATI
Sesesungguhnya, perjalanan trip kami selama 7 hari di Maldives memang cukup-cukup puas hati.
Momen memancing dan pengalaman yang diperolehi cukup berbaloi dengan pelaburan perbelanjaan yang setiap orang keluarkan.
Andai masa mengizinkan, kami pasti akan datang lagi ke sini suatu hari nanti. Memang tidak dinafikan, Maldives adalah syurga buat kaki pancing!
(Catatan: Melvyn Chan)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Perjalanan kira-kira 80km melalui jalan balak bukanlah menjadi masalah kepada sembilan jentera ‘kereta perang’ grup Memerang Tracker, cuma cuaca hujan renyai berterusan membuatkan jalan menjadi becak dan beberapa kali juga pacuan empat roda tumpas di lereng bukit.
Setelah seharian meredah hutan dan sungai, akhirnya kumpulan kami tiba di pertembungan sungai di Sangka 3, itu pun hari sudah mendekati senja dengan renyai hujan masih tidak jemu mencurah hutan Jerantut.
Setelah mendirikan kem utama dan mengisi perut lebih kurang, kami memilih untuk berehat dahulu memandangkan kesemua penat bermain kereta sepanjang hari.
Lagi pun trip empat hari, tiga hari lagi sebelum keluar dari hutan.
Esoknya seawal tujuh pagi, masih dalam renyai hujan, kami berpecah kepada beberapa kumpulan dan penulis memilih untuk meranduk ke hulu berbekalkan beberapa keping sesudu untuk mengilat.
Setelah hampir dua jam mengilat, masih belum ada yang sudi menyambar.
Lebih membimbangkan, tidak ada kelibat ikan mahu pun anak-anak ikan melintas berkejar-kejaran.
Ini sesuatu yang pelik memandangkan kawasan seperti ini pasti ada anak-anak ikan melintas.
Entah ada pihak bermain tuba atau tidak, kami memilih untuk berkemas dan bertukar lubuk bagi mengelak pulang dengan gelaran kumpau.
Kami terpaksa korbankan hari kedua untuk turun sedikit ke bawah dan tiba di Lubuk Sg Pertam ketika matahari hampir terbenam.
Pagi hari ketiga, penulis cuba mengilat, namun tidak lama memandangkan hujan berterusan menyebabkan air semakin keruh dan paras air semakin tinggi.
Gagal cubaan teknik mengilat tidak harus dikenang, cubalah teknik bottom asalkan tak kumpau.
Teknik bottom berumpankan cengkerik dan sawit nampaknya tidaklah begitu memberikan hasil lumayan.
Dalam keadaan renyai hujan, hanya baung bersaiz kecil hingga sederhana yang menjamah umpan, yang gadang nampaknya tak berselera.
Pada malam akhir, penulis bersama Mizun dan Wan sekali lagi, kali ini dengan sedikit umpan cacing yang dikorek di kawasan lubuk.
Selepas beberapa ekor baung dan dua ekor keli tumpas, joran Wan ditarik kasar.
Entah spesies apa yang menarik kerana tali dibawa ke reba sebelum terlucut.
Kemudian, joran Mizun yang melentur laju sempat disambar dan karauan laju dibuat.
Setelah beberapa ketika, dalam kepekatan malam dan renyai hujan, seekor kelah merah hampir 1kg tewas di gigi air.
Nah, hanya berumpan cacing.
Dalam bergembira dengan kelah tersebut, sekali lagi rod Mizun ditarik sebelum seekor lagi kelah, kali saiz lebih kecil, berjaya didaratkan juga berumpankan cacing.
Betullah perkiraan kami sebelum itu, kalau mengilat tak dapat, main bottom pun jadilah.
Setidak-tidaknya, dua ekor kelah tersebut sedikit sebanyak menjadi pengubat dalam trip ini. Tidaklah kami berangkat pulang dengan membawa gelaran kumpau.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pada 12 Oktober lalu, Saya mendapat jemputan satu trip santai dari tekong bot 44 dan teman-teman dari Tumpat untuk menyertai misi mereka menduga spot-spot yang lama mereka tinggalkan.
Trip tersebut dirancang untuk 3 hari 2malam sebagai garis panduan dan rujukan tekong 44 untuk beliau meletak harga pakej yang berpatutan dan khidmat servis terbaik pada masa akan datang.
Setelah berfikir panjang dan memohon kebenaran ibu saya dan juga KDN (isteri saya). Mereka menyokong dan memberi lampu hijau dengan ikhlas.
Setelah semua perancangan dan taktikal diatur hampir sempurna dengan menyenaraikan saudara Pok Har 50 sebagai mastermind, saudara Faie Kaido, Hilman Yusoff, Serol dan saya sebagai crew.
Tekong 44 menyiapkan keperluan asas bot seperti bahan api, air bersih, makanan, ais dan memeriksa bot dengan teliti dibantu oleh co-skipper, saudara Sero DBJ.
Tekong 44 menelefon sy memaklumkn utk menterjemahkan perancangan pada 15-17 oktober 2019 .
Kami berkumpul di jeti Pengkalan Che Lat, Tumpat jam 1.00 pagi 15 Oktober. Tekong mula keluar dari jeti belayar dalam keadaan tenang jam 1.30 pagi Selasa.
Perjalanan ke spot pertama sejauh 45 batu nautika mengambil masa 5 jam dengan kemampuan bot 44 yang boleh mencapai kelajuan 18 knot.
Kira-kira jam 6.00 pagi saya merasakan tekong memperlahankan tempo kelajuan bot dan menandakan kami sudah hampir sampai di lokasi. Setelah beberapa minit memerhatikan sonar, tekong mengarahkan Sero melabuhkan sauh.
Tekong 44 mengambil kesempatan melelapkan mata seketika sementara menunggu hari siang. Saya, Hilman, Faie dan Pok Ha 50 berehat bersembang sambil menikmati makanan ringan.
Jam 7.00 pagi kami mula memancing. Tempo keaktifan ikan pelagik agak kurang pada waktu ini mungkin kerana pertukaran arus.
Kira-kira jam 9.00 pagi selelah agak lama menggayakan teknik fast jigging, kami diasak gerombolan tenggiri yang baru masuk ke spot. Jam 12.00 tengah hari pertama kami berjaya menewaskan kira-kira 30 ekor tenggiri.
Keletihan mula mencacatkan rentak kami. Pok Har 50 mengarahkan kami ‘cool down’ sementara menunggu beliau memasak menyediakan makan tengah hari.
Menu hari pertama kami kari ikan tenggiri dan ikan tongkol goreng. Sungguh nikmat menikmati juadah di atas bot andainya kita tidak terlibat dengan mabuk laut.
Jam 2.00 petang kami beralih ke lokasi kedua kira-kira 5 batu nautika. Di situ kami diasak oleh kawanan ikan tongkol yang rakus.
Setelah keadaan kurang rancak, tekong memaklumkan untuk belayar sejauh 27 batu nautika ke arah timur. Lokasi yang ingin dituju ialah pelantar Cakerawala.
Kami berhenti sementara di lokasi kapal karam utk menyejukan enjin bot. Di situ kami bermain light jig jenis luminous. Ikan cupak rakus meligan kepingan jig yang dimainkan. Kami berjaya mendaratkan kira-kira 20 ekor cupak berskala 2-3 kilogram seekor.
Jam 12.00 malam tekong meneruskan perjalanan, kami tiba di pelantar Cakerawala jam 3.00 pagi.
Setelah agak dekat merapati pelantar Cakerawala, kami tidak dibenarkan untuk memasuki apatah lagi memancing di sekitar pelantar kerana ia berbahaya kepada kami dan pekerja di atas sana. Juga terdapat kerja-kerja selenggara di bawah air oleh petugas pelantar.
Kami akur dan tidak terkilan kerana memahami SOP mereka. Bagi kami dapat sampai dan mengambil gambar kenangan sudah cukup bermakna. Tekong menjauhkan bot dari pelantar. Kami bersauh kira-kira 3 batu nautika dari pelantar.
Di situ kami merehatkan tubuh dan minda sementara menunggu untuk patah balik ke spot-spot unjam laut.
Hari kedua
Kami berada kira-kira 65 batu nautika dari dataran. Kami memancing pelbagai teknik. Ikan pada hari kedua juga sungguh frenzy hingga membuatkan kami lupa untuk makan tengah hari.
Jam 6.00 dengan hasil pancingan yang agak memuaskan, Tekong 44 dan Sero mula menyusun atur hasil tangkapan ke dalam tong bagi mengekalkan kualiti ikan. Sebelah malam kami lebih byk berehat sambal santai memancing ikan cupak.
Hari ketiga
Jam 9.00 pagi kami mula merancakkan tempo pancingan kami. Lepas satu spot ke spot unjam lain kami terjah. Alhamdulillah pertambahan hasil pada hari ketiga juga agak memuaskan. Tenggiri pada hari ketiga juga bersaiz bagak.
Kami bersauh di kepala unjam sementara menunggu Pok Har 50 menyediakan makan tengah hari. Kami menghulurkan umpan teknik bottom. Di situ kami berjaya memperolehi ikan kerapu, asu-asu, merah tanda dan jenahak.
Sesekali barracuda berjaya kami daratkan dek kerana arus mula mati tetapi gelombang dan angin timur agak besa.
Setelah usai makan tengah hari dan menyegarkan tubuh, Tekong 44 memberitahu kami untuk menamatkan misi kerana keadaan laut sudah mula bergelora ditambah pula kuantiti ais sudah mula berkurang. Perjalanan pulang ke jeti sejauh 60 batu nautika pasti mencabar.
Sepanjang perjalanan kami tidak menghadapi masalah besar kerana mengikuti dan menurut ombak dan angin monsun membuatkan perjalanan pulang kami cepat dan tenang.
Profil trip
Jetty – Pengkalan Che Lat,Tanjung Kuala,Tumpat,Kelantan
Bot – Bot 44
Skipper – Abe Har 44
Team: Paradorm Simphat dan Team Predator Killers Tumpat.
Hasil: Tenggiri 90, cupak 35, asu-asu 6, kerapu 6, merah tanda 3, jenahak 1, ebek1, MJ dan GT 1.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...