IKLAN

 

Perairan Penyabong yang terletak di Mersing, Johor sememangnya menjadi antara spot memancing pilihan bagi kaki pancing malaysia, terutama mereka yang menggemari teknik jigging.

 

12 orang ahli Persatuan Pemancing Tegar Negeri Johor (PPTNJ) telah mengatur satu trip santai berjigging di perairan ini dengan matlamat untuk memburu spesies monster dan pada masa yang sama mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli.

 

Sebanyak 3 buah bot milik Tekong Naim Mmd, Tekong Pak Ajis dan Tekong Abang Din telah ditempah untuk merealisasikan trip santai ini.

baca juga tekong jigging perairan endau

 

PULAU SRI BUAT

 

Sewal jam 7 pagi, bot telah dipacu menuju ke lubuk permainan ikan di sini. Spot pilihan tekong untuk trip kali ini ialah di sekitar Pulau Sri Buat.

Setiba sahaja di lubuk pertama, masing-masing terus menurunkan senjata dipadankan dengan peluru pilihan masing-masing.

 

 

Ternyata ikan-ikan di sini memang begitu ramah sekali. Amirul menjadi pembuka tirai apabila jig Senses Candy Saury 40 gram diragut sang kerapu.

Walaupun masih berskala baby, namun ia ternyata menjadi pembakar semangat kepada yang lain untuk terus-menerus berjigging.

 

Di bahagian hadapan bot pula, menjadi giliran Ekyn Aren beraksi. Melihatkan kepada lengkungan maut rod Storm Gomoku Erito PE 0.8-1.5 yang dipadankan dengan kekili ATC

Valiant 4000 ini sudah membayangkan spesies yang bukan calang-calang telah membaham jig Orochi 60 gram ini.

Ternyata hampir 5 minit pertarungan seekor ebek telah muncul di permukaan dan selamat didaratkan ke atas bot.

 

IKLAN

 

Di bot yang lain pula, aksi tidak putus-putus Bob memperagakan jig Hinomiya Blue Sardin 40 gram nya ternyata berjaya menarik perhatian sang ketarap.

Dengan padanan rod Eupro Salty Fighter LE dengan kekili Abu Garcia Ultralight 4000, tidak menjadi masalah untuk ketarap seberat 4.1kg ini didaratkan ke dalam bot.

 

BERTUKAR SUASANA

 

Suasana yang rancak pada awal tadi bertukar sepi secara tiba-tiba. Namun, ia tidak langsung mematahkan semangat kami.

Agus yang tekun berjigging di belakang bot terus memecahkan suasana hambar di sini.

Asakan bertenaga pada rod Tenryu sec 30lb dan jeritan Daiwa Ryoga 4000 benar-benar menunjukkan spesies monster yang melarikan jig yang diturunkannya.

 

baca juga setting light jigging

 

IKLAN

Hampir 15 minit bertarung muncul seekor aruan tasik dalam skala anggaran 15kg di permukaan air.

Namun begitu, pecutan bertenaganya pada saat-saat akhir menyukarkan tekong untuk menggancunya naik ke atas bot. Tetapi mujurlah rezeki tetap memihak kepada kami.

 

Apabila matahari mula memuncak di atas kepala, sambaran ikan semakin berkurangan.

Hanya spesies-spesies karang yang kecil sahaja banyak meligan jig yang kami turunkan.

Disebabkan ini, ramai yang mengambil keputusan untuk berehat sebentar dan mengumpul tenaga untuk pancingan di sebelah petang.

 

GERONG PENYABONG

 

Menjelang petang, suasana kembali rancak. Ekyn Aren dan jig Orochi 60 gram kembali beraksi kali ini.

Setelah berhempas pulas bertarung, seekor gerong belang berjaya didaratkan dengan selamat.

Melihat keadaan ini, yang lain-lain kembali bersemangat. Ada suatu ketika, gerombolan spesies pengacau mendominasi lubuk yang kami singgahi.

Beberapa ketul jig lebur biarpun belum mencecah dasar akibat penangan si gigi tajam, alu-alu.

 

Lain ceritanya di bot sebelah, Kamal Othman yang berada di bahagian tengah bot menerima sentapan kuat dari dasar.

Lenturan rod Tenryu Horizon 25 lb yang beliau gunakan mencecah air apabila diasak penghuni yang tidak diketahui.

 

Mujurlah beliau telah bersiap sedia menghadapi tekanan ini dan hanya 5 minit masa yang diperlukan untuk memujuk seekor lagi gerong belang muncul di permukaan dan selamat dibawa naik ke atas bot.

 

 

Menjelang lewat petang, kami mengambil keputusan untuk menamatkan trip kali ini.

Alhamdulillah, biarpun hanya seharian trip dan berdepan dengan pukulan angin timur yang menyebabkan gelombang kuat, kami masih berjaya memperolehi hasil yang agak memberangsangkan.

 

Ucapan terima kasih tak terhingga diucapkan buat semua ahli yang sporting menyertai trip santai anjuran PPTNJ ini termasuklah Agus Affendi, Kamal Hook, Bob Delima, Fuad, Amirul, Aren, Fendi, Shah, Zainul, If, Epul dan Sis Bro.

 

Insyaallah, di masa akan datang PPTNJ akan merangka trip yang lebih gah dan memperbanyakkan aktiviti sesama ahli. Semoga ketemu lagi di trip yang akan datang.

 

baca juga kenali ikan aruan tasik

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan