UMPAN: Sejak bilakah anda mula terlibat dengan aktiviti memancing?
SHEDA: Saya mula memancing secara serius kira-kira 3 tahun lepas. Sebelum itu saya tidak mempunyai peluang untuk memancing kerana terikat dengan status atlet professional dalam acara hoki & floorball negara.
Pada awalnya saya memancing hanya sekadar menemani suami memancing. Akhirnya, suami saya (Dicky) berjaya memujuk saya menurut jejak hobinya.
Tidak lama kemudian, saya mengenali kelab memancing Women Anglers Club (WAC) di mana saya mendalami teknik memancing.
Sebelum ini hanya suami yang mengajar dan saya juga berterima kasih kepada suami yang sangat mendorong.
Walau bagaimana pun masih banyak yang saya belum pelajari dan belum mampu untuk pelajari kesemuanya.
SHEDA: Sebagai ahli sukan, saya memilih hobi ini kerana ia agak serupa dengan bersukan di mana gerakan penuh seluruh badan memainkan peranan (sportfishing).
Terutama sekali semasa kita berlawan dengan ikan yang telah berjaya dicangkuk mata kail. Pada masa yang sama, secara mentalinya kita terus berpikir bagaimana untuk mengawal larian ikan agar tidak rabut atau memutuskan tali pancing kita.
Maka kerana itu saya mengatakan ia sama seperti bersukan, di mana kawalan dari segi fizikal dan mental sangat berperanan.
UMPAN: Apa rintangan dan harapan anda dalam meneruskan hobi ini?
IKLAN
SHEDA: Dalam pemantauan saya yang baru mempelajari teknik memancing ini, satu-satunya rintangan atau halangan ialah sistem perikanan kita agak tertekan. Ia memberi makna pemancing lebih ramai dari kuantiti ikan.
Dalam pada masa yang sama, terdapat segelintir pemancing tidak memikirkan ekosistem dan kitaran pembiakan ikan. Selain itu terdapat juga rintangan lain seperti adanya pemancing yang mempolitikkan agenda memancing ini.
Bagi saya memancing sepatutnya suatu pemangkin agar kita dapat bergaul, beramah ramah mesra dan mempelajari sesuatu tanpa had.
Maka harapan saya biarlah agenda memancing ini menjadi suatu agenda yang menyatukan semua pancing secara sihat.
Dan saya berharap dapat mempelajari cara pancingan di luar negara suatu hari nanti.
IKLAN
UMPAN: Ceritakan sedikit pengalaman pahit dan manis yang dialami sepanjang bergelar pemancing?
SHEDA: Banyak pengalaman manis yang saya dapat dari pengalaman memancing ini. Hasil dorongan dan tunjuk ajar suami maka saya dapat merasai tarikan ikan idaman semua pemancing seperti layaran, tenggiri, dan lain-lain lagi.
Pengalaman pahit pula… secara automatiknya mabuk laut merupakan pengalaman pahit yang mungkin tidak dapat dilupakan. Rasanya semua pemancing begitu, kan??
Bagi sesetengah kaki pancing baru, tidak berapa mengenalinya. Ini kerana orang yang berbadan kurus dan sederhana tinggi ini cukup merendah diri. Tetapi bagi mereka yang gemarkan pancingan teknik casting dan juga trekking ke hulu-hulu sungai, nama tekong Karim tidak perlu dikenalkan lagi, kerana dia adalah salah seorang tekong tersohor di Tasik Kenyir.
Apa yang menarik tentang dirinya, adalah dia mengenali semua ceruk tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia Tenggara ini. Dia mula bergelumang dengan hutan banat di Hulu Terengganu ini sejak berumur 16 tahun dengan bekerja sebagai buruh Jabatan Penyiasatan Kaji Bumi (kini Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia).
Bahkan, dia begitu arif mengenali nama puncak-puncak gunung yang pernah dia jejaki dahulu di seluruh Tasik Kenyir. Selain hutan di Hulu Terengganu, dia juga pernah bekerja dan tinggal di dalam hutan berminggu-minggu lamanya di hutan negeri Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah.
Tekong Karim atau nama sebenarnya Abdul Karim Satar, 53 berkata dia sedikit pun tidak menyangka bahawa suatu hari nanti kawasan tempat dia membesar dan juga tempatnya mencari rezeki semasa usia muda akan ditenggelami oleh air bagi memberi laluan pembinaan Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud.
“Untuk pengetahuan, lokasi seperti Terenggan, Cacing, Mentong, Bewah, Kerbat, Petuang, Belimbing, Petang, Melor dan banyak sebenarnya berasal dari nama-nama perkampungan tradisional di Hulu Terengganu satu ketika dahulu.
“Hanya nama-nama ini sahaja kekal, sedangkan semua kampung-kampung ini berada di dasar Tasik Kenyir,” katanya ketika ditemui semasa kunjungan penulis ke Tasik Kenyir baru-baru ini.
Menurut anak jati Kampung Dura, Kuala Berang ini lagi, dia mengambil keputusan berhenti sebagai buruh lantaran sudah puas bermain dengan hutan. Sebaik sahaja tamat pekerjaan tersebut, dia bekerja sendiri sebagai seorang nelayan sungai dengan menjual hasil tangkapan ikan di pekan Kuala Berang selain mencari anak ikan kelisa dan kelah untuk dijual. Ada kalanya dia mencari kayu gaharu dan madu lebah di sekitar hutan Tasik Kenyir.
Bercakap soal ikan, Tekong Karim memberitahu, ikan di Tasik Kenyir cukup banyak, sehinggakan suatu ketika dulu ikan lain tidak begitu dihiraukan melainkan ikan kelah. “Boleh dikatakan, semua hulu sungai utama di Tasik Kenyir ikan kelah amat banyak, saiznya juga besar-besar. Saya sendiri pernah mendapat kelah hampir 20 kg seekor.
“Masa dulu bukan ada ais macam sekarang. Kalau dapat kelah pun kebanyakannya dijual secara salai kerana jarak perjalanan yang jauh,” katanya yang pernah memperolehi ikan tilan sebesar paha orang dewasa.
Selepas beberapa tahun menjadi nelayan sungai, pada tahun 2005, Tekong Karim mula beralih membawa boathouse selepas diminta oleh rakannya, seorang pesara Perhililitan, Pok Par, juga seorang tekong terkenal di Tasik Kenyir.
“Selepas dua setengah tahun bekerja membawa boathouse Pok Par, saya mengambil keputusan mengikut jejaknya dengan membina sebuah boathouse (no pendaftaran TKP 51) berkongsi modal dengan seorang saudara hasil dari wang simpanan masing-masing serta hasil jualan kayu gaharu,” katanya.
URUSKAN TRIP SENDIRI
Di saat ramai tekong yang sama usianya tidak lagi kerap turun membawa sendiri boathouse ataupun trip trekking, Tekong Karim antara segelintir ‘tekong lama’ yang masih lagi kuat mengerah kudrat membawa sendiri boathouse miliknya selain bertindak sebagai guide untuk trip trekking terutama ke Hulu Sungai Terenggan.
Untungnya, dia kini telah pun ada pewaris untuk meneruskan pekerjaannya membawa boathouse, iaitu anaknya Mohd Nazrul Hidayat (Yo) yang bertindak sebagai pembantunya setiap kali ada trip memancing.
Ujar ayah kepada enam cahaya mata ini, sukar untuknya meninggalkan pekerjaan yang diminatinya buat masa kini, lebih-lebih lagi dia akan berpeluang untuk turun casting bersama kaki pancing setiap kali khidmatnya ditempah pelanggan.
“Dahulu saya memang tak suka langsung casting, tetapi bila Baharom (Tekong Siam) ajak saya sama-sama casting, terus ia melekat hingga ke hari ini. Bila sebarau, badong atau toman besar menyambar gewang, itulah saat yang paling menyeronokkan bagi diri saya.
“Untuk trip trekking pula mencari kelah, setidak-tidaknya ia dapat mengimbau kenangan saya tinggal berminggu-minggu di dalam hutan semasa usia muda dahulu,” katanya yang bergelar datuk kepada dua orang cucu.
Ceritanya lagi, pernah satu ketika dia dan lima orang rakannya sekerjanya terputus bekalan makanan sehingga terpaksa keluar berjalan kaki 2 hari menuju ke Sungai Sephia, Hulu Tembeling, Pahang untuk mendapatkan bekalan makanan sebelum berjalan kaki 2 hari lagi menuju semula ke Hulu Terenggan.
Mengimbau kenangan pahitnya sepanjang dia bergelumang dengan Tasik Kenyir, Tekong Karim memberitahu dia pernah membawa boathouse tengah malam pulang ke Jeti Jenagor gara-gara ada seorang kaki pancing sakit asma yang teruk.
“Bukan perkara mudah membawa boathouse bergerak pada waktu malam, ia cukup berisiko tinggi kerana tidak nampak benda di hadapan, terutama tunggul atau balak hanyut. Syukurlah, segalanya selamat dan dua kali kes tersebut berlaku,” jelasnya lanjut.
Perkara yang paling tidak dapat dilupakannya sehingga ke hari ini adalah, dia pernah menyelam ke dasar Tasik Kenyir sedalam 150 kaki menggunakan tong gas bersendirian gara-gara untuk mencari dan mengambil semula enjin bot sangkutnya yang terjatuh.
Disebabkan keberaniannya itu jugalah, Tekong Karim kini orang yang akan dipanggil untuk mendapatkan khidmatnya oleh rakan-rakannya jika berlaku kes seperti itu.
“Sebagai seorang tekong, saya harus sentiasa bersedia berhadapan risiko dan mesti berani. Dalam masa yang sama, kepuasan hati pelanggan perlu dijaga. Ada masanya trip memancing dapat ikan banyak, ada masanya kurang. Itu semua rezeki datangnya dari Allah,” katanya lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Jika disebutkan nama sebenarnya, barangkali hanya segelintir kaki pancing yang mengenali, tapi jika disebut POK MUD… kaki pancing mana pula yang tidak mahu mengenalinya?
Berasal dari perkampungan nelayan, berdarah dagingkan nelayan, maka tidak hairanlah seawall usia 6 tahun lagi Pok Mud sudah mula terjun ke dalam dunia hanyir memancing.
Ekoran minat yang kian mendalam, ketika di bangku persekolahan menengah, Pok Mud mula mengumpul duit untuk memiliki peralatan memancing sendiri. Ketika menuntut di pusat pengajian tinggi, tanpa mengenepikan dunia memancing, Pok Mud melebarkan hobi mendaki gunung pula.
Bersama Rakan Muda, beliau terus aktif menawan pelbagai gunung di dalam negara. Implikasi mendaki gunung jugalah Pok Mud memperoleh kekuatan dan tenaga untuk memancing ke lubuk sungai pergunungan pula.
Setelah mendirikan rumahtangga, hobi memancing dan mendaki tidak terkubur bersama zaman bujangnya. Malah antara pesan kepada isterinya, jangan sesekali cuba untuk menghalang hobinya itu. Sebaliknya ia menjadi titik tolak kepada Pok Mud berkecimpung secara serius dalam hobi memancing.
Bukan sebagaimana pemancing yang menjadikan rumah tangga sebagai penghalang untuk meneruskan hobi ini.
Walaupun memancing tidak memerlukan guru dan tiada guru secara formal, Pok Mud menjadikan para tekong bot dan nelayan sebagai guru pancingnya. Setiap kali menyertai trip memancing, laut dalam khususnya, Pok Mud akan menjadikan tekong sebagai tempat bertanya.
Tanpa segan Pok Mud akan meminta pendapat atau nasihat teknikal daripada para tekong. Kemudian Pok Mud akan mempraktikkan setiap ilmu yang dipelajari ketika memancing. Dari situlah beliau menimba pengalaman sekaligus menjadi seorang pemancing berilmu.
Meskipun pada dasarnya Pok Mud memancing sekadar untuk kepuasan diri beliau tidak kedekut untuk berkongsi ilmu yang dimiliki. Justeru itu beliau mula berkongsi ilmu dan pengalaman dengan menjadi penulis sambilan.
Selain menceritakan pengalaman memancing, beliau turut mengajar pemancing mengenali spesis-spesis ikan tanah air serta panduan untuk menghasilkan joran sendiri. Dan menyedari betapa bernilainya ilmu yang Pok Mud miliki, beliau telah diminta oleh sebuah akhbar khusus untuk menjawab persoalan mengenai segala teknik memancing.
Apabila ditanya mengenai kemahiran beliau menghasilkan joran berkualiti tinggi pula, Pok Mud menjelaskan, beliau banyak mengorbankan masa selama 6 bulan dengan mempelajarinya daripada 2 orang guru, rakan serta internet.
Meskipun mampu menghasilkan joran dengan kualiti tinggi, Pok Mud tidak pula menjadikan kemahirannya itu sebagai punca pendapatan sampingan, sekadar untuk kegunaan sendiri atau tempahan tertentu sahaja.
Tambah pula, pernah suatu ketika lantaran terlalu sibuk menghasilkan joran beliau telah mengabaikan pendidikan anak-anak. Ekoran daripada itulah beliau langsung tidak menghasilkan joran selama lebih 10 tahun demi semata-mata menumpukan perhatian kepada pendidikan anak-anaknya.
Mengulas trip memancing, Pok Mud sudah pun mencuba perairan antarabangsa seperti di Indonesia, Thailand, Burma, Vietnam, Jepun serta Maldives. Beliau amat bersetuju yang mengatakan Maldives adalah syurga memancing. Kerana kegilaan itulah beliau pernah memancing ke Maldives selama 3 tahun berturut-turut.
Hasilnya, beliau pernah mendaratkan tuna sirip kuning dengan skala berat 80kilogram. Meskipun sibuk dengan kerjaya sebagai pengurus kualiti, tenaga pengajar kokurikulum memancing secara mingguan di Universiti Putra Malaysia, Serdang, AJK Persatuan Pengail Selangor, jemputan mengadakan bengkel dan seminar serta sebagai ketua keluarga, Pok Mud masih mempunyai masa dalam dunia hobi memancingnya.
Beliau masih menghasilkan joran yang ditempah atau dibuat khusus sebagai hadiah serta membaikpulih kekili klasik yang menjadi hobi terkini. Dan yang pasti, beliau masih belum bercadang untuk membiarkan set joran yang tergantung di dinding rumahnya, terus tergantung begitu saja.
Jika ada kelapangan pada hujung minggu dan cuaca mengizinkan, beliau akan turun memancing meskipun seorang diri di lubuk-lubuk sekitar Pelabuhan Klang.
Terkini Pok Mud menjadi tekong dan pembuat joran sepenuh masa. Jika ingin menempah trip atau joran, bolehlah hubungi beliau di Facebook Pok Mud’s.
Biografi Pok Mud
Nama Penuh: Mohd Tamizam B. Abdul Karim
Tarikh lahir: 20 Oktober 1966
Tempat lahir: Kemaman, Terengganu.
Pendidikan: Uitm
Status: Berkahwin (5 anak)
Hobi Selain memancing: Mendaki gunung, fotografi, rod crafter, membaikpulih dan mengumpul kekili klasik.
Lokasi memancing terbaik: Maldives
Alfatihah untuk Allahyarham Pok Mud yang meninggal dunia pada hari ini 3 Ogos 2021
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Perusahaan mata kail inovatif yang sekarang Eagle Claw dimulai ketika McGill menghabiskan waktu melakukan apa yang paling disukainya, pancingan layang di Sungai Colorado.
Pancingan pagi itu tidak sebagus yang seharusnya, meskipun rainbow trout frenzy, mereka sulit untuk dipancing.
Ketika beristirehat, Drew memerhati dua ekor helang besar berlegar di ruang udara. Salah satu helang perlahan-lahan berputar ke bawah dan mendarat di puncak pohon kapas yang sudah mati, cakar runcingnya yang tajam menembus dengan mudah kayu yang lapuk.
McGill kagum dengan kemampuan helang yang luar biasa menangkap ikan di atas air dan pikirannya beralih ke kekuatan penetrasi cakar mematikan itu, dibandingkan dengan kekuatan penetrasi mata pancing yang beliau gunakan.
McGill tertarik dengan ilham barunya dan merasa terdorong untuk menguji mata kailnya sendiri dengan menyeretnya ke atas tali beg kulit.
Goresan mata kait meninggalkan tanda pada tali beg kulitnya tetapi tidak menembusnya. McGill kemudian menggunakan playar untuk membentuk mata kail agar menyerupai bentuk khusus cakar helang dan menguji pada tali kulit.
Kali ini kait itu menusuk kulit tebal. McGill terus mengubah suai mata kailnya hari itu dan dengan penuh harapan untuk memancing keesokan harinya. Hasilnya McGill berjaya mendaratkan banyak ikan!
McGill tidak tertangguh mereka cipta mata kailnya yang baru dan lebih baik dengan menggabungkan hujung yang tajam dan design melengkung yang terinspirasi oleh cakar helang.
Ketika Wright dan McGill duduk untuk memberi nama produk baru mereka, apa lagi nama yang lebih baik selain Eagle Claw?
Mata kail itu pantas menguasai pasaran berikutan inovasi hebatnya dalam industri memancing selepas ratusan tahun. Itulah kisah luar biasa burung yang membangunkan industri memancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...