
Nama penuh: Din bin Mamat
Nama sosmed: Pak Din Senohong
Usia: 54 tahun
UMPAN: Boleh ceritakan sedikit sejak bila Pak Din memancing?
PAK DIN: Pak Din kenal erti memancing ni seawal umur 7 tahun. Pak Din masih ingat bila mana Pak Din menemani datuk Pak Din memancing.
Dari situlah terbit rasa minat… rasa ingin tahu… rasa teruja. Dan seterusnya terlibat dengan dunia memancing sepenuhnya.
UMPAN: Kenapa Pak Din memilih dan kekal dengan hobi memancing ini?
PAK DIN: Bagi Pak Din, tiada hobi lain yang dapat memenuhi `selera’ Pak Din kecuali memancing.
Selain keterujaan apabila strike ikan bersaiz mega, Pak Din dapat juga menambah kenalan. Dapat belajar erti kesabaran… yang penting hubungan sesama manusia dapat Pak Din perluaskan dengan aktiviti memancing ni.
UMPAN: Apa rintangan dan harapan Pak Din dalam meneruskan hobi ini?
PAK DIN: Sebagai seorang yang kagum dengan pasukan ketenteraan, motto ‘lagi hidup lagi ngelaban’ Pak Din terapkan dalam hobi Pak Din ni. Tiada rintangan yang tak boleh ditempuhi.
Dan harapan yang Pak Din inginkan… biarlah hobi ni dapat membawa keberkatan pada diri Pak Din dan keluarga. Dan semestinya jika mampu Pak Din teringin nak bawa hobi Pak Din ke peringkat antarabangsa.
UMPAN: Ceritakan sedikit pengalaman pahit dan manis sepanjang memancing?
PAK DIN: Jika Pak Din nak bercerita bab pengalaman ni… banyak rasanya. Macam-macam ada. Yang pahit semestinya bila ikan bersaiz mega lucut dari mata kail… frust sungguh Pak Din.
Yang manis melalui memancing ni Pak Din dapat ramai kenalan dan sokongan dari keluarga. Tiada yang lebih manis bila dapat memancing bersama teman-teman dan juga keluarga.
UMPAN: Ceritakan sedikit apakah kelebihan yang Pak Din miliki dalam hobi ini?
PAK DIN: Selain memiliki ilmu memancing daripada pengalaman memancing yang bertahun lamanya, Pak Din juga seorang pembina rod (joran).
Dan boleh dikatakan pakar modification rod. Dah banyak rod yang Pak Din hasilkan. Pak Din sangat percaya rod yang Pak Din hasilkan mempunyi kualiti yang setanding dengan pelbagai jenama di luar sana.
Selain itu Pak Din juga merupakan pengasas kepada kelab FB ‘pak din senohong klinik joran.com.my’. Di sini Pak Din berkongsi ilmu dengan sesiapa yang mahu belajar dan Pak Din sentiasa terbuka.
baca juga Ikon: Tekong & Raja Jenggo Bagan Datuh
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Ikonik Surfcasting: Kenali Kapten Rosdi De Lejen

Nama: Kapten (B) Mohd Rosdi bin Abdullah
Nama sosmed: Mohd Rosdi
Usia: 56 tahun
UMPAN: Boleh cerita sejak bila Kapten memancing?
KAPTEN: Memancing ni sudah menjadi sebahagian daripada darah daging saya sejak kecil lagi. Anak kampung katakan… sentiasa bergelumang dengan sawah padi.
Bila meningkat dewasa saya mula menceburi bidang surf. Bila saya dapati dunia surf ni boleh menjana pendapatan, saya dengan serius mula join setiap pertandingan yang diadakan. Dari hobi bertukar menjadi satu kerja pula.
Pada saya hobi memancing ni merupakan terapi minda yang terbaik bagi seorang surfcaster. Bila boleh ngail… hilang sekejap masalah yang wujud.
Hobi memancing ni merupakan satu hobi yang sangat berfaedah. Sama ada ngail suka-suka ataupun sebaliknya. Kita akan dapat merasa satu nikmat… satu kepuasan yang hakiki.
Kepada yang bukan kaki pancing… mereka punya hobi yang tersendiri. Mereka saja yang tahu akan kenikmatan hobinya itu. So, tolong jangan kecam hobi kami.
UMPAN: Sejak bila pula Kapten terlibat dengan surfcasting?
KAPTEN: Saya sudah terlibat dengan dunia surfcasting ini lebih kurang 30 tahun. Saya lebih serius dengan surfcasting ini dalam 20 tahun lalu.
Sejak itu saya mula menjadi pemancing tegar. Menubuhkan group King Of Surcasting Clinic (KOSC) dengan harapan dapat mendidik dan mengajar bab surfcasting ni. KOSC merupakan laman saya mengajar dunia surf fishing.
UMPAN: Apa rintangan dan harapan Kapten dalam meneruskan hobi ini?
KAPTEN: Sebagai pemancing tegar, memang ada rintangan yang saya hadapi. Walaupun tak banyak, Ianya tetap ada.
Kebanyakan rintangan sebagai seorang sufcaster ia bermula dari peringkat awal menceburi bidang surf ini.
Macam mana kita nak berkawan dengan surfcaster yang lain. Mendapatkan peralatan memancing yang betul-betul sesuai dengan kita.
Ceteknya ilmu surf… hasad dengki surfcaster yang lain pada kejayaan kita… fitnah yang dilemparkan pada saya. Semua rintangan ini saya terpaksa lalui dari dulu hingga sekarang.
Manakala harapan saya pula… pertandingan memancing merupakan pemangkin semangat buat semua surfcaster.
Tanpa pertandingan memancing, surfcaster mungkin berkurang. Pertandingan memancing merupakan pencetus semangat buat semua yang baru nak berjinak-jinak dengan hobi ini.
UMPAN: Boleh tak Kapten ceritakan sedikit pengalaman pahit manis sepanjang menceburi bidang surfcasting ini?
KAPTEN: Memang banyak pengalaman manis saya bila bergelar pemancing tegar ini. Sehingga kini rekod peribadi pari terbesar yang saya daratkan ialah 52kg. Banyak jugak kejayaan yang telah saya capai. Antara kejayaan saya;
- Menjuarai Grand Slam Berita Harian dengan memenangi sebuah kereta Myvi.
- Memenangi pertandingan memancing selama 4 minggu berturut-turut.
- Menjuarai pertandingan Berita Harian sebanyak 2 kali.
- Grand slam Berita Harian pernah juga menjadi naib johan.
- Hadiah paling besar saya dapat RM55,000.00 di pertandingan Pantai Puteri.
Sementara pengalaman pahit pun banyak juga. Antaranya…
- Saya pernah dituduh menggunakan khidmat hantu laut sebab selalu jadi juara.
- Saya pernah diharamkan memasuki pertandingan di sebuah negeri, gara-gara fitnah saya guna khidmat hantu.
- Ikan saya juara tetapi kena tipu dengan ikan tambat, game di Pantai Punggur
- Pernah kereta tersadai nak pergi game… terus balik tak jadi join game.
- Pernah bergaduh dengan surfcaster yang lain disebabkan soal pancang.
baca juga Otai perambut memancing
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Lady Angler – Siti Sariyah, Ulltralight Angler Utara

Nama Penuh: Sariyah bt Saad
Nama FB: Siti Sariyah
Usia: 24 tahun
Lokasi: Perak
UMPAN: Ceritakan sejak bila anda mula memancing?
SARIYAH: Saya memulakan hobi memancing sejak 4 tahun lepas apabila saya sering ikut teman lelaki saya yang juga gemarkan aktiviti memancing.
Semua teknik memancing saya belajar dari beliau. Saya start memancing menggunakan umpan hidup (cacing) dan umpan yang digaul (pelet dan perisa) untuk memancing di kolam sebab saya masih tidak lagi menguasai teknik casting.
Jadi saya belajarlah dahulu teknik asas supaya saya senang memahami teknik yang lain, selain memahami ragam ikan.
tengok juga Lady Angler – Pengalaman seram memancing Alyn
UMPAN: Kenapa anda memilih hobi ini berbanding hobi lain?
SARIYAH: Bila dapat rasakan strike dari ikan! Dari situ gian nak memancing semula. Selain itu, ketenangan yang saya dapat apabila menaiki bot untuk casting di tasik ataupun sungai. Semua masalah dan stress saya hilang.
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi sepanjang memancing dan apa harapan anda untuk meneruskan hobi ini?
SARIYAH: Ada sekali bila saya tengah sedap memancing ada orang datang dengan selamba tebar jala sebelah tempat saya memancing.
Masa tu perasaan marah semua ada bila lihat manusia yang tak memikirkan orang lain. Bagi mengelak sesuatu berlaku dan sakit hati yang lagi parah, saya mengalah je lah dan berpindah ke tempat lain.
Sekarang saya lebih banyak menggunakan set ultralight berbanding baitcasting kerana feel dia lagi best walaupun hanya strike ikan yang bersaiz kecil.
Harapan saya adalah supaya pemancing di luar sana mengamalkan konsep tangkap dan lepas untuk generasi akan datang selain memelihara ikan di perairan sungai supaya tidak pupus.
Selain itu juga saya berharap agar kerajaan atau pun pihak Perhilitan dapat menjalankan penguatkuasaan seperti menyediakan permit bagi memantau pemancing agar mereka lebih peka dan berdisiplin bagi mengelak penangkapan ikan secara berlebihan.
UMPAN: Ceritakan pengalaman manis & pahit ketika memancing?
SARIYAH: Saya masih ingat lagi ketika saya mula-mula menjinakkan diri dalam memancing, saya disuruh mencari cacing sebab kami akan memancing di sekitar sungai di Perak.
Malangnya saya gagal untuk membeli umpan cacing di kedai. Jadi terpaksalah saya mengorek tanah sendiri untuk mencari cacing.
Masa tu Tuhan je yang tau macam mana perasaan geli saya. Hahahahah… tapi lepas tu dah tak ada perasaan geli lagi untuk pegang cacing ataupun umpan yang lain.
Kebanyakan aktiviti memancing saya adalah bersama dengan teman lelaki saya, pernah beliau mengajak saya untuk memacing menggunakan kayak.
Masa tu saya agak teruja sebab saya tak pernah memancing menggunakan kayak. Kami berkayak awal pagi dan untuk pertama kalinya saya rasakan pengalaman memancing menggunakan kayak… sangat tenang, aman dan damai.
Pengalaman pahitnya bila kena berpanas dan gigitan nyamuk bila memancing malam. Selain itu, pengalaman yang paling best pada saya la kan, bila dapat strike dari ikan yang bersaiz agak besar (pada pandangan mata saya la) menggunakan teknik casting.
UMPAN: Pencapaian membanggakan dan apa sasaran anda seterusnya?
SARIYAH: Secara peribadi, dapat menguasai teknik casting, dan mendapat ikan bersaiz idaman adalah satu pencapaian yang membanggakan.
Sasaran saya yang seterunya adalah untuk menguasai bagaimana untuk memancing menggunakan teknik jigging pula.
tengok juga Lady Angler – Bibie dah landed tong gas!
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Trip Retro – Mahligai Toman Air Ganda!!

Kata seorang rakan, jika nak uji kudrat dan keseronokan bermain toman, datanglah ke Tasik Air Ganda. Di sini, bila sahaja pemancing pulang, pasti akan tersenyum sampai ke telinga kerana penangan tomannya yang begitu ramah, banyak.
Itu belum lagi kisah berapa banyak strike tidak boleh control dan juga leburnya gewang-gewang keramat.
Tanggapan tersebut sememangnya tidak dapat disangkal lagi kerana apabila kali pertama penulis sampai ke sini, memang sah, di sinilah mahligai terbaik kerana selain landskapnya
yang dipenuhi kayu berceracak, taburan tomannya juga banyak selain masih peramah jika sapa dengan gewang.
Air surut
Kunjungan saya bersama lima orang rakan baru-baru ini dianggap memang langkah kanan kerana berpeluang melihat mahligai toman yang sebenar-benarnya.
Kedatangan kami disambut dengan timbulnya pokok-pokok kayu mati yang berceracak, lantaran pintu air Empangan Kenering yang berada di bawah Tasik Air Ganda dibuka. Hampir 80 peratus pokok-pokok ini akan tenggelam, jika air penuh.
Tiga buah bot siap dengan tekong yang ditempah awal telah siap menanti kehadiran kami yang tiba sekitar jam 7.30 pagi. Selepas memasukkan barang dan bot melepasi kuala jeti, masing-masing mencari haluan.
Bila sahaja Tekong Anip kata sudah boleh casting, alamak saya dan Pachai bingung seketika jadinya. Ye lah macam mana nak baling walaupun toman rancak menimbulkan diri di permukaan, tetapi semuanya muncul di celah batang-batang kayu.
Toman pada biasanya tidak memilih gewang, asalkan apa sahaja objek bergerak di hadapannya akan dihentam. Dalam situasi ini, gewang yang terbaik adalah jenis top water (popper, popper pensil ataupun jitterbugs).
Selain nampak renangannya melepasi celahan pokok, saat toman menyambar di permukaan, itulah yang paling didambakan. Tetapi kes ‘tersangkut pokok’ tidak boleh dielakkan semasa gewang dilontar.
Saya mencuba beberapa ketul gewang jenis ini jenama Ofmer untuk diuji. Apa yang boleh diungkapkan, di sini tomannya masih banyak. Tetapi kesukaran untuk membaling tepat dan sehampir mungkin dengan tempat ia timbul benar-benar menguji kesabaran kami.
Sambaran pertama saya perolehi, betul-betul ketika toman timbul di permukaan. Baru dua kali karauan dilakukan, gewang Ofmer Gold berjaya mendatangkan amarah seekor toman dalam anggaran 1kg.
Walaupun dianggap masih kecil, saiz sebeginilah yang sebenarnya buas, kerana tenaga ‘muda’nya akan dikerah untuk cuba melepaskan diri.
Pachai juga naik lenguh tangan dibuatnya. Gewang yang dilontar di sebelah kiri bot disambut, mujur toman tidak bermain kasar dengan cuba membelit kayu dan toman anggaran hampir 2 kg berjaya didaratkan.
Di suak pertama ini, saya dua kali mendapat strike, satu sahaja yang berhasil.
Tetapi sambaran kasar yang diterima betul-betul di antara batang kayu yang bercabang. Puas menahan asakan daripada membelit batang kayu walaupun bot menghampiri lokasi, sayangnya ia terus sahaja membenam dan terus senyap.
Kesilapan terbesar pada bot kami adalah tidak seorang pun yang membawa lure retriever termasuklah tekong…. Hah kan dah padan muka, lebur beberapa ketul gewang.
Apa nak buat, benda dah berlaku, walaupun perkara itulah yang ada di dalam kepada masing-masing sebelum datang ke sini.
Kami terus mencuba di suak ini sambil Anip mengemudikan botnya menghampiri sang toman banyak menimbulkan diri.
Menurutnya, potensi gewang disambar lebih tinggi jika toman timbul di permukaan pada tempoh yang lama, berbanding timbul dan cepat menenggelamkan diri.
Toman Tengah tasik
Bila jam di tangan menunjukkan angka ke jam 11 pagi, kami mula bergerak keluar. Kali ini bot dipacu keluar tengah tasik untuk mencuba toman yang bermain di kawasan highway tasik.
Sambil bot dikemudikan dengan laju dan berhati-hati, kami sambil melewati pemandangan kiri-kanan tasik yang begitu indah.
Tetapi ada bukit yang ditarah hingga gondol bagi tujuan pertanian sama ada untuk tanaman pokok getah atau kelapa sawit.
Tekong Anip berhenti di satu kawasan. Ujarnya di toman-toman di kawasan ini bersaiz besar. Tetapi yang tidak menariknya, tempoh ia timbul semula agak lama dan timbulnya agak cepat.
Jika situasi ini berlaku, tomannya tidak begitu agresif mengejar gewang, kecuali betul-betul gewang jatuh di hadapannya. Pachai yang menggunakan Rapala Fat Rap berjaya mendapat sambaran seekor toman yang saiznya boleh tahan.
Menjelang tengah hari, kami bergerak menuju ke satu wakaf (pondok) yang didirikan di atas sebuah pulau untuk berehat dan makan tengah hari. Rakan-rakan dari dua bot lagi juga turut sama sampai tidak lama kemudian.
Sambil menikmati hidangan bekalan makanan yang dibawa, kami rancak berkongsi cerita. Menurut Ujang dan Faizal lokasi yang dikunjunginya bersama tekong Usop banyak
menerima strike, sehingga leka tidak berganjak untuk ke spot lain. Sedar-sedar juga hari sudah meninggi.
Begitu juga dengan Adi dan Onn (adik Ujang) yang menaiki bot tekong Faiz, masing-masing berkongsi cerita, termasuklah kisah mereka yang terjumpa banyak kumpulan anak toman bersaiz lengan bayi, tetapi sayangnya tiada ibu yang menjaganya.
Ada sebarau?
Selain menyasarkan casting toman, sebenarnya saya sudah standby satu lagi set casting untuk sebarau. Senang tidak perlu tukar gewang jika terserempak dengannya walaupun saya dimaklumkan, sebarau Air Ganda amat kurang dan sukar dijejaki.
Mereka juga tidak mencari kumpulan sebarau dan kebetulan akan berhenti sekiranya terserempak dengan kumpulan sebarau yang sedang frenzy mengejar anak ikan.
Ujar Anip lagi, sebarau Air Ganda sukar dicari dan jika ada pun ia bukan berada dalam kelompok besar. Faktor ketiadaan anak sungai dan populasi toman yang menguasai hampir keseluruhan Air Ganda menjadi punca mengapa sebarau agak kurang di sini.
Tapi, bagi kaki casting naluri sebarau hunter tetap ada. Nak dijadikan rezeki, saya dan Pachai bertemu juga gerombolan sebarau rempit yang asyik mengejar anak ikan loma.
Mudah sahaja bila sudah terjumpa kes seperti ini. Lontarkan gewang dan sesudu sehampir mungkin, terus sahaja disambut. Walaupun bersaiz juvenil, apa yang penting ada kami ada lesen sebarau Air Ganda.
Lewat petang sebelum pulang, kami kembali singgah ke spot yang dikunjungi pagi tadi sambil bergabung kembali dengan bot tekong Usop dan Faiz. Dua strike diterima Faizal dan Adi, tetapi hanya seekor sahaja diperolehi oleh Faizal.
Sebaliknya Rapala Fat Rap warna Fire Tiger sekali lagi berjaya dileburkan oleh toman, langsung tidak boleh control. Walaupun menggunakan lure retriever, bila berlaku kes tali
terbelit teruk di bahagian dahan pokok di dalam air, agak sukar gewang dapat diselamatkan. Akhirnya lebur juga gewang berkenaan.
Kami terus casting sehingga hari betul-betul gelap melewati angka 7.30 malam. Ketiga-tiga tekong ini memang tidak berkira tentang hal lebih masa ini, asalkan kami semua puas hati.