
SOALAN:
Saya bercadang untuk menyertai pertandingan memancing pantai. Boleh tak admin beri apa-apa tip untuk menaikkan ikan terberat dan apa umpan yang paling sesuai untuk digunakan?
baca juga kekili terbaik untuk surfcasting
JAWAPAN:
Sebenarnya bukan mudah untuk memenangi sesuatu pertandingan memancing terutamanya pancingan pantai. Walaupun berpengalaman sekali pun belum tentu dapat mendaratkan spesies podium, apatah lagi jika kurang berpengalaman.
Memancing di pantai perlu mengambil kira banyak aspek seperti kawasan paloh atau parit, kawasan terdapat batu atau reba, di kawasan untuk memancing.
Kalau saya memancing di pantai saya selalu akan ke tempat itu semasa air surut untuk mencari tempat yang ikan mungkin berada semasa pasang nanti.
Umpan pula bergantung pada ikan yang diburu, untuk umpan universal atau antara bangsa kita boleh pakai umpun, udang, hirisan isi ikan dan sotong.
Tapi sekiranya kita nak pancing ikan duri atau ikan bersungut cuba pakai isi kerang atau umpan yang berbau sikit. Kalau bercadang nak tarik ikan pari bolehlah cuba guna isi ikan belacak.
Satu lagi yang penting apabila memancing di pantai adalah penggunaan batu ladung yang dibuat khusus untuk pancing pantai atau berbentuk empat segi atau 3 segi supaya batu ladung tersebut tidak bergolek di pukul ombak.
Janganlah sampai menjadi kecoh satu pertandingan hanya kerana batu ladung yang anda gunakan bergolek sehingga ke pantai.
baca juga spesies sasaran surfcasting
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Gempur Pelantar Ang-C!!

Oleh: Wannazir Wanosman
Team BTR kali ini mensasarkan padang pancing di sekitar pelantar minyak Ang-C, Terengganu. Menurut tekong terdapat lebih 60 pelantar di sekitar kawasan tersebut.
Dengan peruntukan masa selama 4 hari 3 malam hanya beberapa pelantar dan sekitarnya sahaja yang dapat digempur.
Perjalanan dari jeti bermula pukul 10 pagi. Ketika melalui unjam laut, awak-awak menurunkan peralatan ngolok aya.
Berbakul-bakul ikan aya atau tongkol saiz sehingga 1 kg setiap ekor diperoleh. Lebih dari cukup untuk dibuat umpan nanti.
Perjalanan mengambil masa 12 jam untuk sampai ke destinasi pancing. Apa lagi, sebelum bertarung inilah masa untuk tidur mengumpul tenaga.
Saya tersedar dari lena apabila terdengar bunyi bising berdesing lantas bergegas keluar dari dek bot. Rupa-rupanya bot telah pun parking berhampiran pelantar minyak Ang-C. Jam tangan menunjukkan angka 10.15 malam.
Selepas pekena roti dengan kopi panas sesi pertama kami bermula. Kaki bottom tercatuk di depan bangla masing-masing manakala jigger mula mengocak joran.
Jig Eupro Zebra pendar cahaya 80 gram yang diunjun Rizal direntap ganas. Pertarungan yang memercikkan peluh menghasilkan cupak dalam anggaran berat lebih 4 kg.
Mangsa hasil umpan besi pertama nyata telah membakar semangat kami semua.
TUAH BANGLA BARU
Hirisan tongkol segar selebar tiga jari yang dihulur oleh Omar ke dasar terus bersambut. Tersenyum Omar sambil menunggu tali sulam Ichiban 80lb digulung kekili elektrik Command X4 NP.
Mesin baru katakan, tentunya teruja untuk melihat apakah gerangan ikan yang bakal muncul di permukaan. Wah… seronok betul dia, ikan merah yang merasmikan bangla barunya.
Arus pada malam pertama nampaknya tidak memihak kepada kami. Tali yang tegak umpama tiang bendera memberi isyarat tiada arus dan penghuni dasar sudah pasti tidak bergerak aktif.
Lantas Roy mencapai set jigging elektrik kecilnya dan menurunkan jig Madai 60 gram.
Dengan setting karauan laju, joran dihenjut-henjut dan beberapa saat kemudian joran menunduk tanda ada pemangsa yang membaham jig. Seekor cupak rempit berjaya didaratkan ke lantai bot.
Malam itu Roy hanya menumpukan kepada jigging menggunakan bangla dengan hasil 15 ekor cupak berjaya dipindahkan dari perairan Ang-C ke tong Coleman.
Roy memberhentikan acara jiggingnya setelah dia merasakan kekilinya sudah panas.
“Tangkap pinggang woo..” ujar Roy sambil menggosok-gosok pinggangnya. Tahu tak apa!
LOPAK SANG MERAH
Pagi hari pertama Tekong Pok Lan memecut laju ke spot ikan merah. Sebaik sampai hon dibunyikan sebagai isyarat pemancing sudah boleh melabuhkan umpan.
Pantang jatuh sahaja hirisan kepingan sotong atau hirisan tongkol pasti ada merah yang melahap umpan.
Apabila batu ladung mencecah dasar, jari telunjuk mesti terus standby di sisi butang manual (batang sentap) kekili elektrik.
Sentap balas mesti dilakukan secepat mungkin. Kalau lambat sedikit alamatnya melepaslah.
Suasana riuh-rendah di sebelah kiri dan kanan bot dengan suara pemancing yang bersorak keseronokan melayan strike. Air di sini tidak lah begitu dalam.
Paparan skrin kekili menunjukkan angka 50-60 meter sahaja namun habuan yang naik boleh tahan saiznya.
Arus pula sederhana laju dengan saiz ladung 720 di hujung perambut menyaksikan tali utama kami dalam keadaan ‘condong lemang’.
Sudah dikira cantiklah tu. Kalau arus laju sangat jawabnya ladung besar penumbuk kena beraksi.
PERAMBUT DUA MATA
Tanduk stainless steel panjang setengah depa yang saya bawa hanya tersimpan dalam beg joran. Penggunaan perambut apollo dua mata berkekuatan 60lb-80lb nampaknya cukup menjadi.
Bukan merah sahaja yang terjerat. Kerapu, tambak, ibu kerisi, kerapu bara, tetanda, kaci dan jemuduk berjaya didaratkan. Bekerja keras nampaknya kekili Command X5 HS saya melayan asakkan penghuni dasaran Ang-C.
Apa yang menarik adalah kemunculan spesies ikan target yang menjadi sasaran saya secara peribadi iaitu ibu kerisi.
Spesimen ini mendiami lautan dalam antara 50-200 meter dan ia tergolong dalam keluarga Lutjanidae bersama siakap merah, jenahak, delah dan ikan merah. Ikan ini lebih aktif memagut umpan disiang hari berbanding malam.
Ibu kerisi tiada kaitan dengan ikan kerisi biasa yang boleh dipancing di laut pesisir pantai kerana kerisi kecil tersebut termasuk di dalam keluarga Nemiptiredae.
Di Pantai Timur Semenanjung, ibu kerisi lebih ‘glamour’ berbanding ikan merah mahu pun jenahak.
Ikan bertaraf AA+ ini dengan isi yang halus lembut serta kesukaran mendapatkannya dalam jumlah yang banyak menyebabkan harganya amat tinggi di pasaran.
Ikan ini biasanya akan disimpan oleh nelayan laut dalam untuk ditolak kepada peraih yang menjualkannya ke pasaran Singapura.
Jika ditakdirkan panjang umur, ibu kerisi boleh mencapai skala berat melebihi 20kg. Pada kunjungan ini saiz 2-3 kg yang berjaya didaratkan sudah dikira cukup bagus.
Ia menggemari dasar keras serta kawasan karang dan berbatu. Di sebelah Pantai Timur lopak-lopak serta karang di sekitar kawasan cari gali minyak menjadi kediaman spesies ini.
Menurut Pok Lan, 3-4 bulan akan datang barulah dia akan kembali semula ke spot yang telah dikunjungi. Eloklah tu. Barulah ikan tidak culas memagut umpan.
Mana yang rabut serta mengalami kecederaan di bibir sempat sembuh dan lupa ‘kisah seram’ yang dilalui.
Lagipun kalau tidak beribu, pastinya beratus-ratus lagi lopak keramat yang disimpan oleh Pok Lan dalam GPS miliknya.
CUACA YANG CANTIK
Syukur kerana sepanjang kami berada di lautan tiada hujan yang mencurah serta tiada angin kencang yang menerjah.
Awak-awak bot Pok Lan juga ‘ringan tulang’ sentiasa sedia membantu menguraikan kekusutan apabila tali pancing tersangkut sesama sendiri, membantu melekatkan tanda pada ikan-ikan yang diperolehi (ikan tak kongsi) dan tidak ketinggalan masakan chef Ganu yang umppph!
Dari apa yang saya dengar, Team BTR akan mengadakan trip susulan. Cuma tarikhnya belum pasti. Itu lah pemancing, bila dapat ikan nak ulang balik.
Bila kumpau pulak nak repeat semula sebab tak puas hati, nak balas dendam katanya!
Keputusan Penuh & Trivia AMCT 2019

Umpama mimpi menjadi kenyataan! Itulah yang diluahkan oleh majoriti pemancing yang menyertai Asean Monsoon Casting Tournament 2019 (AMCT), berikutan hujan yang turun
dari hari pendaftaran pertandingan sehinggalah tamatnya acara khusus bagi penggemar teknik mengilat dari serata negeri dan negara Asia Tenggara.
AMCT 2019 yang berlangsung dari 29 November hingga 2 Disember dianggap acara paling gemilang semenjak edisi pertama pada 2009 apabila berlangsung dalam cuaca yang
didambakan dan setiap kategori pertandingan diisi oleh para pemenang. Berikut merupakan senarai penuh para pemenang:

KATEGORI KAYAK
Best Of Kayaker : MOHD KHAIRI AZFA B ABD AZIZ (Team White Kayak)
King Of Sebarau : ABDUL HAFIDZ B OMAR (Team Gomo)
KATEGORI INTERNATIONAL
Best of International Angler : JIANG XIAO MING (Team Kimple B)
King Of Sebarau: KIM DONG HOON (Team KSA)
King Of Toman: CHATUPON AVE-ARE (Team Kimple A)
King Of Special: KRIS HICKSON (Team Daiwa Australia)

AMCT 2019
Best of Tekong : EDWIN HAY SOON HOE (Team Gigamate)
Best of Sponsorship Team : EDWIN HAY SOON HOE (Team Gigamate)
King Of Barramundi: AHMAD YUSRY (Team Lanun Kail / 100cm)
King Of Special : BUKHAIRI B ABDULLAH (Team Gigamate / kelah 25cm)
King of Toman : MOHAMAD NAIM FAZLI B TAHIR (Team Gigamate 4 / 84cm)
King of Sebarau: AHMAD YUSRI (Team Lanun Kail / 50cm)
King Of AMCT 2019 (2nd Runner Up): Team LANUN KAIL 1
King Of AMCT 2019 (1st Runner Up): Team MHMH SPORTFISHING B
King Of AMCT 2019 (Winner) : Team GIGAMATE 1 AMCT 2019

Daiwa Casting Battle
King Of Sebarau : MUHAMMAD SAFUAN BIN ISMAIL (Team Reber / 50cm)
King Of Toman : MOHD ZAKI BIN ISMAIL (Team Gigamate / 78cm)
King Of Special : ABDULLAH BIN YUSOFF (Team Kusut)
Hasil tangkapan yang dipertandingkan:
Sebarau: 104 ekor
Toman: 15 ekor
Special: 13 ekor
Barramundi: 1 ekor
Keseluruhan : 133 ekor

Trivia
Ahmad Yusry muncul King Of Barramundi setelah ketandusan tangkapan semenjak 2014.
Ikan kelah merah yang mengungguli kategori King Of Special bukan saja membuktikan spesies bernilai tinggi ini masih wujud di Tasik Kenyir, malah ia masih dipancing dengan teknik casting pada musim tengkujuh.

Otai-otai caster dari Team Alucast yang hadir sebagai tanda sokongan memohon maaf di atas masalah teknikal yang menyebabkan boathouse mereka tidak dapat bergabung dengan boathouse lain pada hari pertama dan kedua.
Penyandang juara bagi beberapa tahun sebelum ini, Team Reber mengambil sikap untuk tidak mempertandingkan hasil tangkapan bagi memberi laluan pemenang baru. Salute to Team Reber!

Menjerat Lee Koh Liar Sungai

(Oleh: KD Negri)
Kalau sesiapa yang biasa memancing ikan lee koh di kolam berbayar, pasti faham bagaimana susahnya untuk memujuk ikan ini memakan umpan.
Walaupun susah, tetapi di situlah letaknya keseronokan. Memancing ni, semakin susah untuk memujuk ikan maka semakin tinggi cabaran yang perlu dihadapi dan semakin tinggilah kepuasan apabila berjaya melakukannya.
Jika memancing lee koh kolam pun dah susah dan kumpau, lupakan saja niat nak memancing lee koh liar.
Apatah lagi jika lee koh liar itu adalah ikan liar di sungai, bukannya ikan liar lombong atau tasik-tasik kecil.
Untuk mencabar diri sendiri, saya dan beberapa rakan sekepala sanggup menebing (memancing di tebing) di sebatang sungai dalam gelap-gelita.
Kami sudah mengetahui sejak sekian lama kewujudan ikan-ikan lee koh di kebanyakan sungai di Negeri Sembilan dan juga Selangor.
Salah satu sungai yang tidak jauh dari kawasan kediaman kami ialah cabang Sungai Langat, iaitu Sungai Kembong yang terletak di Beranang.
Namun, untuk mengesan lubuk yang didiami oleh ikan lee koh bukanlah mudah.
Ikan lee koh dipercayai menyukai badan sungai yang berteluk dan berarus perlahan. Untuk mencari lubuk seperti ini bukanlah mudah di sebatang sungai yang besar dan panjang.
Dan lubuk seperti itu belum pasti juga terdapatnya ikan leekoh. Kami secara kebetulan menemui lubuk ini.
Sebelum ia disedari oleh pemancing atau nelayan sungai lain, kami segera mengadakan operasi memburunya.
Kebiasaannya lee koh aktif keluar mencari makanan pada awal pagi (sebelum matahari naik) dan waktu senja (ketika matahari mula tenggelam).
Jika kita berada di lubuknya pada waktu sebegini maka kita akan mendengar bunyi letupan atau kocakan air yang kuat dihasilkan oleh lee koh ini.
Sementara waktu yang sesuai untuk memancingnya bermula sekitar waktu senja sehinggalah lewat tengah malam.
Oleh yang demikian, kami lakukan operasi menjerat lee koh ini pada waktu.
Mengetahui ikan lee koh amat culas untuk memakan umpan sekiranya terdapat kehadiran cahaya dan bunyi bising di tebing sungai maka kami memancing di dalam gelap gelita.
Bagi menarik perhatian lee koh menghampiri umpan, kami taburkan dedak dalam jumlah yang agak banyak juga.
Dedak yang sama kami akan bancuh untuk dijadikan umpan dengan menggunakan mata kail rambai. Cacing turut kami gunakan sebagai umpan.
Berkat dari kesabaran dan cabaran yang dilalui ternyata tidak sia-sia. Selain lee koh dan lee koh emas, ikan lampam jawa bersaiz kasar turut sama tersenarai dalam hasil tangkapan.
Tentu saja lubuk ini akan kami serang lagi pada akan datang selagi masih dihuni oleh ikan-ikan ini.
GALERI