Admin ada tak cara terbaik nak cabut bahagian sambungan joran yang ketat? Ada masanya bahagian joran ini secara tak sengaja terhentak yang menyebabkan ia masuk padat dan susah nak keluar bila nak cabut.
JAWAPAN:
Ads
Masalah untuk menanggalkan bahagian sambung joran terutamanya joran 2 pieces sambungan tengah joran merupakan perkara yang biasa dan sering berlaku.
Jika joran sambungan pada pangkal mungkin ia agak mudah untuk ditanggalkan.
Anda boleh gunakan apa saja cara untuk mencabutnya tetapi pastikan tidak memegang bahagian cincin (guide) bagi mengelakkan kerosakan pada bahagian cincin pula.
Ads
Untuk mengatasi perkara ini anda perlulah menggunakan sesuatu sebagai alas pada bahagian joran yang dapat mencengkam bahagian joran dengan baik.
Sebagai contoh, anda boleh gunakan kepingan getah seperti tiub basikal atau motosikal.
Potong tiub kira-kira seinci lebar dan sepanjang enam inci. Kemudian lilit tiub itu pada bahagian atas joran.
Ads
Lilit secukupnya sehingga dapat menggengam penuh telapak tangan padanya. Pegang dan putar joran sejajar dengan arah tiub yang membalut joran tersebut.
Pada masa yang sama, kuatkan pegangan sebelah tangan lagi pada bahagian. Lakukan sehingga joran dapat dipisahkan.
Sekiranya anda mampu melakukan dengan sempurna, sekuat mana sambungan joran itu ia akan berjaya dipisahkan juga.
Selain tiub basikal atau motosikal ini, anda juga boleh menggunakan alas kepingan getah yang biasa digunakan untuk pelapik dashboard kereta.
Pastikan anda menyimpan satu pelapik dashboard kereta ini di dalam kotak memancing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kata orang-orang tua, di mana berkumpulnya udang galah yang banyak, di situ pasti ada buaya besar kerana udang galah suka ‘melepak’ di atas badan buaya. Sama ada kata-kata ini ada benarnya, saya tidak pasti. Namun saya berpegang teguh kepada prinsip, saya memancing udang galah ini hanya sekadar untuk mencari lauk bagi keluarga. Saya tidak mengganggu ‘kehidupan’ makhluk lain yang tidak kelihatan pada mata kasar!
Setelah mendapat spot yang sesuai untuk melabuhkan sampan, saya dan abang Lizam terus membaling umpan ke tengah sungai. Sambil menunggu umpan direnggut oleh sang mangsa, saya menghisap sebatang rokok yang asapnya saya niatkan untuk menghalau nyamuk yang galak berkeliaran malam itu.
Alhamdulillah, tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya mula mengena. Udang galah yang dianggap jenggo dengan anggaran berat 250 gram berjaya dinaikkan. Selepas itu, saya dan Abang Lizam bagaikan tidak cukup tangan melayan aksi penghuni sungai yang lain seperti duri, bagok dan baung. Malam itu kami bagaikan berpesta di tengah sungai.
Menjelang jam dua pagi, suasana mulai sejuk. Gerimis turun dan bulan yang tadinya indah di dada langit sudah mula ditutupi awan hitam yang tebal. Sesekali terlihat guruh di langit. Abang Lizam memberi isyarat supaya saya mengemas semua joran dan bersedia mendayung untuk balik ke jeti semula apatah lagi gerimis yang tadinya halus sudah bertukar kepada rintik kasar.
Ketika inilah, dengan dibantu oleh pancaran kilat yang sesekali datang menerpa, saya perasan di hadapan perahu saya berdiri seorang perempuan tua memakai baju kebaya berbunga-bunga dan berkain batik berwarna kuning.
Rambutnya tidak kelihatan kerana dia memakai selendang. Dia memegang sebatang tongkat yang berlingkar, sebiji seperti akar bonsai yang sering saya kutip di tengah hutan. Rasa gemuruh dan takut menyelubungi diri saya apabila saya perasan mukanya hitam legam tanpa kelihatan mata, hidung atau mulut!!
Rasa tergamam dan seram itu membuatkan saya menundukkan pandangan. Niat untuk membaca ayat-ayat suci itu ada tapi bibir saya bagaikan terkunci untuk membacanya. Otak pula bagaikan blur. Saya duduk statik di dalam sampan betul-betul seperti orang yang sudah terkena renjatan elektrik!.
Ketika inilah saya terdengar Abang Lizam mengalunkan azan sebanyak tiga kali. Setiap kali azan dilaungkan, saya ternampak perempuan tua itu menutup telinganya bagaikan sakit mendengarnya. Akhirnya jasad perempuan itu berubah menjadi asap hitam yang berkepul-kepul lalu menghilang di tengah sungai.
“Nan!!!” bahu saya ditepuk beberapa kali oleh Abang Lizam. Mulut Abang Lizam terkumat-kamit membaca ayat Qursi lalu dihembuskan ke muka saya.
“Itu syaitan Nan. Jangan takut. Dia makhluk Allah jua” kata Abang Lizam lagi. Saya mengangguk lemah. Tubuh saya masih lagi gementar dan tiada berdaya untuk mendayung.
Nasib baik Abang Lizam seakan mengerti dengan keadaan saya. Dia mendayung sehingga kami selamat sampai di jeti tepat jam 3.10 pagi. Abang Lizam juga yang memunggah semua hasil yang kami dapat masuk ke bonet kereta.
Sampai sahaja di hadapan rumah saya, Abang Lizam tidak membenarkan saya masuk terus ke dalam rumah. Dia menghulurkan sebatang rokok kepada saya. Sambil menghisap rokok, saya terdengar Abang Lizam seperti berbual-bual dengan ‘seseorang’ dengan suara perlahan. Katanya, “sampai sini sahaja kau ikut aku. Jangan ikut aku lagi. Aku tak kacau kau dan jangan pulak kau kacau aku,”.
Selepas itu, baru Abang Lizam ‘membenarkan’ saya masuk ke rumah. Saya juga diberi pesanan agar mandi dan terus tidur selepas itu.
Walaupun peristiwa ini sudah lama berlalu namun ia masih menghantui saya. Sejak kejadian itu, saya tidak berani lagi memancing udang galah pada waktu malam. Saya hanya memancing pada waktu siang itu pun dengan mengajak beberapa orang kawan untuk turut serta. Pengalaman yang saya alami itu saya anggap sebagai satu dugaan kecil dan ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus memburu si sepit biru!
Assalamualaikum admin, saya ingin bertanya mengenai tali sulam untuk pancingan pantai. Sesuai atau tidak saya menggunakan tali berkuatan 60lb jenis tiga empat sulam dan dipadankan dengan joran 12 kaki panjang?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam… Pancingan pantai atau surfcasting merupakan salah satu teknik pancingan di kawasan pantai. Secara amnya, teknik ini amat mementingkan jarak lontaran umpan jauh ke tengah. Terutamanya di kawasan pantai yang landai dan cetek. Justeru jarak lontaran umpan jauh ke tengah amat penting bagi membolehkan umpan sampai ke lubuk atau kawasan ikan.
Untuk membolehkan lontaran umpan sampai ke kawasan sasaran, faktor panjang joran amat memainkan peranan untuk tujahan balingan serta meminimumkan tolakan ombak ke arah daratan pada tali utama. Oleh yang demikian penggunaan joran panjang melebihi 12 kaki amat membantu. Bahkan semakin panjang joran maka semakin jauh jarak lontaran umpan dapat dilakukan.
Selain faktor panjang joran, diameter tali pancing juga turut memainkan peranan. Selalunya penggunaan tali sulam atau benang (braided) sering digunakan membolehkan lontaran umpan yang sempurna. Namun tali benang kekuatan 60lb jenis empat sulaman sebenarnya agak besar/kasar dari segi diameter. Kekuatan tali tiada masalah pada asasnya namun saya mengesyorkan anda menggunakan tali berdiameter lebih kecil untuk memaksimumkan jarak lontaran anda.
Salam min… boleh tak buatkan satu artikel cara-cara ikan mencari makanan? Dari situ bolehlah kita tau macam mana nak persembahkan umpan kepada ikan.
JAWAPAN:
Wasalam… sebagaimana manusia, ikan-ikan memiliki deria tersendiri untuk mengesan makanan malah mereka memiliki deria yang lebih baik berbanding manusia.
➡ Deria penglihatan:
Ikan mempunyai penglihatan yang baik, namun matanya berbeza dengan manusia. Lensa mata ikan berbentuk bulat bagi membolehkannya melihat di dalam air.
Ikan air tawar tidak mempunyai kelopak mata untuk menentukan jumlah cahaya yang memasuki matanya untuk melihat. Jadi ikan ini akan bergerak ke kedalaman yang berbeza untuk mengawal cahaya yang masuk.
Kebanyakan ikan boleh melihat warna, disebabkan itu kita dapat perhatikan banyak gewang tiruan di pasaran dalam pelbagai jenis warna.
Kedudukan mata ikan membolehkannya melihat sisi kanan dan kiri dalam satu masa. Posisi ini juga menyebabkan titik buta di hadapan dan belakangnya pada jarak tertentu.
Oleh kerana cahaya akan membias apabila memasuki air, ikan sebenarnya boleh melihat keluar permukaan air tanpa perlu menghalakan penglihatannya ke atas.
Jadi jika anda melihat ikan di dalam air, kemungkinan besar ikan itu juga melihat anda. Adalah lebih baik untuk anda menghampiri kawasan lubuk pilihan anda dengan pergerakan minimum bagi mengelakkan ikan terkejut.
➡ Deria getaran
Garisan lateral ialah satu garisan halus melintang pada badan ikan yang memanjang dari kepala hingga ke ekornya.
Garisan lateral ini mempunyai organ sensor yang membolehkan ikan mengesan perubahan suhu dalam air dan mengesan sebarang getaran yang berlaku di dalam air.
Walaupun dalam keadaan air yang keruh, garisan lateral akan bertindak seperti sonar untuk mengesan lokasi, kelajuan dan saiz sesuatu objek di sekelilingnya.
➡ Deria bau
Ikan dapat mengesan bau menerusi nostril yang dipanggil ‘nares’ yang seakan lubang hidung terletak di atas mulutnya.
Menerusi organ ini, ikan dapat mengesan mangsa, pemangsa dan lokasi asalnya walaupun telah berenang sejauh ribuan batu.
Walaupun ikan mempunyai deria bau yang baik, kebanyakan ikan tidak bergantung kepada deria ini kerana apa yang ikan dapat kesan melalui bauan pada satu masa bergantung kepada kekuatan dan arah arus air.
➡ Deria rasa
Kebanyakan ikan mampu merasa melalui reseptor rasa di dalam mulut, deria ini selalunya kurang digunakan oleh kebanyakan ikan terutama ikan pancingan.
Lain pula halnya bagi kumpulan ikan catfish. Ikan seperti keli dan baung pula menjadikan deria ini sebagai organ utama dalam mencari makanan kerana kumpulan ini mempunyai
deria bau dan rasa yang cukup berkesan dengan menggunakan misainya yang dipanggil barbel.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...