Korang Tanya Umpan Jawab -(S7S2)- Asal Usul Abu Garcia??

Share

 

SOALAN:

Saya merupakan peminat baru jenama Abu Garcia… boleh tak admin ceritakan serba sedikit sejarah latar belakang produk Abu Garcia ni?

 

JAWAPAN:

ABU Garcia (pada awalnya dikenali sebagai AB Urfabriken, kemudian ABU Svängsta) mula diperkenalkan pada tahun 1921 di Morrum River di daerah Svangsta Sweden.

 

Pada asalnya ia adalah sebuah kilang jam tangan sehinggalah mereka mula mereka cipta kekili pancing pada awal 30-an.

Dikatakan, pada awalnya peralatan memancing ini direka bagi memenuhi tuntutan hobi semata-mata.

Namun, apabila melihat kepada keperluan dan satu bentuk perniagaan yang menguntungkan, ia diberi suntikan untuk berkembang maju.

 

Anak pengasas ABU Garcia sendiri bernama Gote Borgstrom merupakan individu yang bersungguh-sungguh menceburi perniagaan peralatan memancing ini.

Dari peringkat awal lagi pembuatan kekili (reel) ini amat menekankan ketepatan dan kejituan reka bentuk.

 

Ciri-ciri ini diberi penekanan dan telah meyakinkan ramai penguna di seluruh dunia termasuklah negara kita. Bermula dengan nama ABU Garcia, kemudian ABU AMBASSADEUR siri diperkenalkan pula pada awal 50-an.

 

Kemunculan ABU AMBASSADEUR ini menjadi satu fenomena dan cukup popular di kalangan pengemar kekili bersaiz lebih kecil tetapi diyakini prestasinya. Dari situ jenama ABU semakin mendapat perhatian.

 

Pada tahun 1965 siri Abu Cardinal (spinning reel atau kekili mendatar) mula diperkenalkan.

Sehingga kini, dari masa ke masa siri-siri Abu Garcia, Ambassadeur dan Carnidal direka bentuk dalam pelbagai saiz dan model.

 

Hampir 100 tahun jenama peralatan pancing ABU Garcia berada di pasaran, ternyata ia berjaya mengekalkan produk dengan harga sederhana tetapi berkualiti setanding produk yang jauh lebih tinggi harganya.

IKLAN