IKLAN

 

Terdapat pelbagai jenis batu ladung yang ada di pasaran masa kini. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi kurang arif mengenai kesesuaian penggunaan batu ladung ini sama ada bentuk, saiz ataupun beratnya.

 

Batu Ladung Roket

 

Saya sendiri masih tertanya-tanya kegunaan sebenar batu ladung berbentuk roket dengan lubang laluan tali yang besar. Namun saya percaya ia mungkin digunakan secara tersendiri dalam teknik pancingan pantai. Secara teorinya ia dibentuk dengan sepasang sayap yang membolehkan lontaran umpan dapat dihasilkan dengan lebih jauh tanpa rintangan angin yang besar dan lebih tepat menuju ke lubuk sasaran.

 

 

Batu Ladung Trolling

 

Sebagaimana nama khasnya (trolling sinkers), maka tidak sukar untuk kita mengetahui tujuan kegunaannya. Batu ladung trolling atau menunda ini lazimnya diperbuat daripada logam karat selain timah dan kedua-dua hujungnya dipasang swivel tahan karat.

 

Ia biasanya digunakan untuk menambah berat kepada gewang tundaan bagi mencapai paras selaman yang dikehendaki. Selain dari pancingan menunda, ia juga sesuai digunakan bagi pancingan mengilat atau lain-lain.

 

IKLAN

 

Batu Ladung Peluru

 

Pemberat ini sememangnya popular di Amerika Syarikat kerana di negara itulah ia dilahirkan. Batu ladung peluru atau bullet sinkers pada asasnya dicipta bagi menambah berat umpan tiruan (khususnya gulp atau soft plastic bagi pancingan ikan bass).

 

Lazimnya ia diletakkan di hadapan umpan tiruan bagi tujuan lontaran umpan lebih jauh dan tepat ke sasaran. Bentuknya seperti peluru membolehkan ia dikarau dengan sempurna membelah arus tanpa mengganggu aksi renangan umpan tiruan yang digunakan. Selain itu ia juga boleh digunakan sebagai pengganti batu ladung hidup.

 

 

Batu Ladung Hidup Bulat

 

IKLAN

Apa yang membezakan pemberat ini dengan batu hidup biji kana adalah bentuknya. Fungsi utama adalah teknik persembahan umpan adalah membolehkan ikan membawa lari umpan tanpa merasa beban.

 

Namun pemberat berbentuk bulat seperti bebola ini tidak didatangkan dengan saiz yang besar kerana tidak sesuai digunakan bagi mengekalkan umpan di kawasan berarus deras. Dengan bentuk sedemikian ia mudah bergolek.

 

Oleh yang demikian ia hanya sesuai digunakan di kawasan tanpa arus dengan penggunaan umpan bersaiz kecil. Selain itu ia juga boleh digunakan sebagai pemberat bagi teknik pancingan trolling atau menunda. Lazimnya ia turut diletakkan pada setting perambut tenggiri.

 

 

Batu Ladung Sepit

 

Batu ladung sepit, kepit, kapit atau split weights lazimnya digunakan bagi menambah sedikit berat kepada umpan agar ia tidak terapung di permukaan air. Ia juga digunakan untuk menambah berat kepada umpan agar lontaran umpan dapat dilakukan dengan lebih sempurna.

 

Batu kapit ini biasanya terjual dalam bentuk pakej yang mengandungi pelbagai jenis saiz dan kegunaannya juga dalam pelbagai bentuk teknik pancingan air tawar mahupun air masin.

 

Bagi yang belum mengenali batu kepit ini, ia adalah pemberat yang terdapat lurah pada badannya di mana ia diapitkan pada tali untuk memberi berat pada umpan atau tali. Oleh sebab saiznya yang kecil dari 0.1 gm ke 10 gm kita dapat mengagak berat yang diperlukan. Penggunaannya pula amat senang sekali iaitu dengan memasukkan tali ke celah lurah dan mengepitnya.

 

 

Batu Ladung Loket

 

Saya menamakannya sebagai batu loket kerana tidak menemui nama khas untuknya. Pada asasnya pemberat berbentuk seperti loket rantai ini lebih banyak digunakan dalam coarse fishing. Metod pancingan air tawar yang popular di Eropah terutamanya England.

 

Pemberat jenis ini lazimnya dihasilkan dengan berat beberapa gram sahaja sesuai dengan konsep pancingan tersebut. Di negara kita ia mungkin pemberat yang agak asing namun ia dapat memenuhi keperluan penggemar metode pancingan jenis ini.