Pada asasnya, kegunaan mata tunggal bagi menggantikan treble hook atau mata tiga pada gewang (termasuklah gewang permukaan, minnow, depth dan sebagainya) bagi mengatasi masalah sangkut. Ini kerana kebanyakan perairan air tawar di negara kita banyak memiliki struktur atau objek sama ada di permukaan atau di bawah air. Dengan menggunakan single hook maka ia dapat mengurangkan risiko sangkut berbanding mata tiga.
Bagi peratusan hook up pula tentu saja single hook lebih rendah berbanding mata tiga kerana ia hanya mempunyai satu mata cangkuk. Tetapi, dari segi faktor kejayaan pula, ikan yang tercangkuk pada mata tunggal amat tinggi peratusan untuk didaratkan berbanding mata tiga kerana lazimnya mata tunggal tahap cangkukannya lebih solid. Berdasarkan pada kenyataan ini anda bolehlah menilai sendiri mata kail jenis apa yang sesuai untuk digunakan pada gewang.
Ads
Saya secara peribadi menggunakan kedua-dua jenis mata kail ini untuk memancing toman. Untuk gewang crank atau selaman dalam, saya lebih gemar memilih mata tunggal. Sementara gewang permukaan dan selaman cetek pula saya gunakan mata tiga.
Ads
Selain menyambar gewang (dengan mulut), toman turut bertindak memukul gewang dengan bahagian kepalanya (tindakan menjaga kewilayahan), dengan menggunakan mata tiga maka peluang untuk ia tercangkuk pada anggota badan toman juga tinggi berbanding mata tunggal.
Tali pancing adalah penghubung utama antara kita (pemancing) dengan subjek utama memancing iaitu ikan. Ia umpama talian hayat. Jika putus pertengahan jalan ketika bertarung kesudahannya pemancing akan kehilangan hasil dan rasa menyesal tanpa kesudahan.
Seorang pemancing perlu memahirkan diri untuk membuat ikatan yang kemas dan kuat supaya tidak akan menjadi satu penyebab mendatangkan kegagalan.
Perlu diketahui simpulan dan ikatan adalah titik paling lemah pada tali pancing. Ada berpendapat ikatan mengurangkan sehingga 50% kekuatan sebenar tali. Bayangkan ini hanya ikatan belum termasuk ikatan yang terluka, calar, genting dan sebagainya. Kekuatan tali turun mendadak dan terlalu mudah putus ketika bertarung.
Cara terbaik ialah anda perlu cuba pelbagai jenis ikatan dan uji sendiri kekuatan ikatan tersebut sebelum mengaplikasikannya ketika memancing. Di dalam portal Umpan ini kami menyediakan banyak jenis ikatan dan setiap ikatan memiliki kelebihan tersendiri.
Member saya cakap ikan ketutu (haruan bodoh) boleh dipancing dengan teknik casting gewang. Iya ke min? Sebab setahu saya ikan ni pemalas. Kalau pancing dia kena letak umpan betul-betul depan mulut baru dia makan.
JAWAPAN:
Berdasarkan pengalaman, saya berani menyatakan bahawa ikan ketutu sememangnya boleh diperdaya dengan menggunakan umpan tiruan atau gewang. Walaupun cuma sekali dan bukan disengajakan, saya pernah mendaratkan ikan ketutu dengan menggunakan gewang. Gewang selaman dalam yang digunakan untuk memancing haruan tetapi ikan ketutu yang mengena.
Ikan ketutu ialah dari jenis ikan pemangsa yang menjadikan ikan-ikan atau hidupan air lain sebagai sumber makanannya. Oleh yang demikian tidak hairanlah jika umpan tiruan yang direka cipta menyerupai ikan atau hidupan air disambar oleh ketutu apabila melintas di hadapannya.
Jika anda ingin memburu ketutu menggunakan gewang, dicadang menggunakan gewang soft plastic dan gewang yang boleh menyelam hingga ke dasar. Cara persembahan amat penting dan sering kali sambaran berlaku apabila gewang dipersembahkan betul-betul di hadapannya. Apa yang penting kita mestilah tahu mengenal rumah atau lubuk yang didiami oleh oleh ikan ketutu ini.
Saya masih keliru bilakah masa yang sesuai untuk menggunakan perambut panjang (3-7 depa) bersama tanduk dan perambut apollo 2-5 mata kail bagi sesuatu trip memancing laut dalam. Boleh tak admin bagi nasihat perambut yang mana satu perlu saya guna?
JAWAPAN:
Saya memahami dengan jelas kekeliruan yang anda alami kerana saya sendiri pernah mengalami perkara yang sama suatu ketika dahulu. Untuk menyelesaikan kekeliruan ini sebenarnya tidaklah sesukar mana. Pertama sekali kita perlu memahami peranan dan kegunaan dua jenis perambut ini.
Secara mudahnya bolehlah dirumuskan penggunaan perambut ini bergantung kepada ikan sasaran dan lubuk. Sekiranya lubuk itu didiami oleh ikan hidup secara berkumpulan (seperti ikan merah atau ibu kerisi), maka penggunaan perambut apollo 2 atau 3 mata kail adalah lebih sesuai.
Ini adalah kerana secara logiknya ikan yang hidup dalam kumpulan besar ini memiliki tabiat makan secara berebut. Oleh yang demikian, peluang untuk mendaratkan ikan lebih dari satu ekor pada satu-satu masa adalah lebih tinggi jika menggunakan perambut apollo 2 mata kail.
Sementara perambut panjang ini lebih sesuai untuk memikat ikan yang meronda atau mendiami lubuk secara bersendirian atau dalam kumpulan yang kecil. Sementara panjang pendek perambut bergantung kepada arus dan juga jarak antara pemancing di atas bot. Boleh dikatakan perambut panjang ini lebih efektif penggunaannya berbanding perambut apollo.
Akan tetapi, sekiranya anda atau ahli trip yang lain berjaya mendaratkan ikan yang hidup dalam kumpulan besar ini dengan menggunakan perambut panjang, maka segeralah menukar kepada perambut apollo.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...