Ada yang mendakwa beliau adalah seorang pengamal pancingan tangkap dan lepas (CnR) dan bukannya seorang kaki tapau apabila melepaskan kembali hasil tangkapannya.
Sedangkan dia menggunakan peralatan tidak setanding dengan kekuatan ikan dan bertarung lebih lama dari tempoh yang sepatutnya.
Hakikatnya, perbuatan tapau itu lebih baik daripada membebaskan kembali hasil tangkapan yang tidak pasti keselamatan dan jangka hayatnya.
Sekiranya korang ingin menjadi seorang pengamal pancingan tangkap dan lepas, maka lakukanlah konsep tangkap dan lepas sepenuhnya.
➡ Sila cuba mendaratkan ikan anda secepat yang mungkin. Ini mengelakkan dari paras asid lactic dalam ikan menjadi terlalu tinggi dan mungkin membunuhnya.
Ads
➡ Gunakan tangguk, bukan cangkuk (gaff). Tangguk perlulah dari bahan jaring yang halus dan tidak mencederakan sisik ikan.
➡ Basahkan tangan anda sebelum anda memegang ikan. Ini mengelakkan dari lendir ikan dikikiskan. Lendir ini adalah agen pertahanannya dari penyakit!
Ads
➡ Jika boleh biarkan ikan didalam air ketika anda menanggalkan mata kail.
➡ Setelah menanggalkan mata kail, pegang ekornya di dalam air, dan olakkan ikan sehingga ia mula meronta, kemudian lepaskanlah ia.
Ads
➡ Jika anda ingin mengambil gambar ikan, buatlah secepat mungkin. Setiap saat ikan itu di luar air, maka semakin kurang peluangnya untuk hidup.
Jangan gantung ikan dari insang atau bibirnya saja. Ini merosakkan organ dalamannya. Gunakan kedua-dua tangan anda, biarkan ikan itu dalam posisi mendatar.
😳 Jangan sekali-kali melepaskan ikan pendatang balik ke dalam air (kecuali anda memancing di kolam berbayar atau perairan yang tertutup).
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ladung atau pemberat merupakan antara terminal tackle yang diperlukan untuk memancing. Kebiasaannya, batu ladung berperanan dalam mengekalkan posisi umpan.
Batu ladung lazimnya diperbuat daripada timah kerana ciri utama timah ialah ketumpatan tinggi dan menjadikannya berat, suhu lebur rendah menjadikan kos pembuatan murah, tahan karat dan tahan hakisan air laut.
Terdapat pelbagai jenis batu ladung yang ada di pasaran masa kini. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi kurang arif mengenai kesesuaian penggunaan batu ladung ini sama ada bentuk, saiz ataupun beratnya.
BATU MATI LEPER
Pada asasnya batu ladung leper ini direka untuk memastikan umpan tidak hanyut apabila dilontar ke kawasan tepi pantai. Namun begitu, batu jenis ini lebih sesuai digunakan untuk joran aksi ringan sahaja.
Ini kerana kebiasaannya, ikan-ikan target untuk batu jenis ini hanyalah untuk ikan-ikan kecil seperti gelama, bolos dan sewaktu dengannya sahaja. Namun peranan dan saiz asalnya sudah berubah.
Terdapat pelbagai lagi jenis batu ladung yang ada di pasaran masa kini. Ada batu yang berbentuk diamond, piramid, buah kana dan sebagainya.
Namun begitu, pemancing haruslah bijak untuk menggayakan kegunaan batu ladung ini mengikut kepada spot memancing.
BATU MATI BULAT
Batu Ladung berbentuk bulat sangat sesuai digunakan untuk memancing di kawasan yang pantai atau laut yang landai, berpasir ataupun berlumpur.
Tetapi ia tidak sesuai digunakan di kawasan berbatu karang kerana bentuknya yang bulat sememangnya memudahkan batu jenis ini untuk tersangkut.
Cara penggunaan batu ladung ini bergantung pada keadaan air di kawasan anda memancing.
Jika kawasan tersebut berarus deras, gunakanlah saiz yang lebih berat agar tali anda tidak hanyut terlalu jauh dari kawasan permainan ikan.
BATU MATI PANJANG
Batu Ladung berbentuk panjang juga antara jenis pemberat yang biasa digunakan oleh pemancing tidak kiralah di Pantai, kolam mahupun tasik.
Batu jenis ini sangat efektif digunakan untuk pancingan tepi pantai ataupun kuala. Batu ladung jenis ini juga boleh diguna pakai untuk pancingan di kawasan berbatu karang.
Bentuknya yang menajam di kedua-dua hujung berpotensi untuk mengelakkan perambut anda dari tersangkut di celah-celah batu karang.
Sama seperti batu ladung bulat, saiz batu ladung panjang juga digunakan mengikut kawasan memancing anda.
BATU HIDUP
Batu hidup merupakan sejenis pemberat yang membenarkan tangsi bergerak bebas melaluinya tanpa diikat.
Kebiasaannya batu jenis ini sesuai digunakan di kawasan muara dan ia juga sering digunakan untuk memancing di tasik, sungai atau kolam-kolam komersial.
Penggunaan batu jenis ini amat sesuai digunakan untuk memancing ikan siakap di muara-muara sungai kerana bagi sesetengah ikan (seperti siakap) ia akan memuntahkan kembali umpan apabila terasa ‘berat’ dan umpan tersangkut-sangkut pergerakannya.
Jenis batu hidup yang popular ketika ini ialah ladung biji kana dan ladung bulat.
BATU SAUH
Batu sauh amat popular digunakan oleh kaki pancing dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Batu jenis ini amat bersesuaian digunakan di kawasan yang berarus deras terutamanya sewaktu air jalan pasang ataupun jalan surut.
Kegunaan dawai di sekeliling batu sauh ini adalah untuk memastikan batu ini dapat mencengkam dasar laut sekali gus mengelakkan dari perambut kita dihanyutkan arus deras.
BATU KAPIT
Batu kapit atau split weights lazimnya digunakan bagi menambah sedikit berat kepada umpan agar ia tidak terapung di permukaan air.
Ia juga digunakan untuk menambah berat kepada umpan agar lontaran umpan dapat dilakukan dengan lebih sempurna.
Batu kapit ini biasanya terjual dalam bentuk pakej yang mengandungi pelbagai jenis saiz dan kegunaannya juga dalam pelbagai bentuk teknik pancingan air tawar mahupun air masin.
Setiap peralatan memancing ada tempoh waktu atau jangka hayatnya. Begitu jugalah dengan tali pancing.
Tidak kiralah tali tangsi atau tali sulam, meskipun jarang digunakan ia perlu diperiksa untuk menilai sama ada ia masih berfungsi dengan baik atau sebaliknya.
Walaupun tali tangsi tanpa warna (clear), ia masih boleh dikesan berdasarkan kelunturannya.
Lazimnya tali yang sudah lama digunakan boleh dapat dikesan tahap kelunturannya. Jika tahap kelunturannya agak jelas berbeza maka ia perlulah dikeluarkan atau dibuang.
Sifat tali tangsi atau nylon monofilament ini akan kerinting apabila sudah lama digunakan. Oleh yang demikian sebaiknya buang bahagian yang telah kerinting. Sekiranya terlalu banyak bahagian yang sudah kerinting maka tukarlah tali yang baru.
Tali tangsi yang sudah lama digunakan atau banyak terdedah kepada terik cahaya matahari akan menyebabkan hilang keanjalannya.
Ia boleh dikesan dengan cara mematahkan tali tersebut. Sekiranya ia tidak kembali seperti biasa maka perlulah ditukar.
Lurut atau gosok permukaan tali untuk merasai sebarang kesan cela atau luka akibat geseran. Sekiranya terdapat sebarang kesan yang kurang baik maka buanglah bahagian tersebut.
Sentap dan rentap tali dengan kuat. Sekiranya tali itu sudah rapuh maka ia akan putus dengan mudah.
Paling ketara sebagai petanda tali sulam sudah hampir tamat jangka hayatnya adalah tahap kelunturan warna yang ketara. Jika warna asal tali adalah merah tetapi sudah menjadi pink, maka eloklah sangatlah diganti tali baru.
Sebagaimana tali tangsi, sebarang geseran atau kakisan yang berlaku akan menyebabkan tali sulam menjadi rosak dan kelihatan berbulu. Bahagian ini perlu dibuang walaupun ia masih baru.
Selain berbulu, tali yang cedera tetapi tidak putus sepenuhnya akan kelihatan genting atau diameternya mengecil. Kerosakan ini akan menyebabkan tali terputus apabila membuat sentapan kuat. Jadi ia perlu diperiksa untuk mengesannya.
Tali sulam juga juga boleh diuji tempoh hayatnya dengan cara melakukan sentapan. Jika ia putus dengan mudah maka tiada guna lagi anda menyimpan tali tersebut di dalam kekili.
Pancingan mengunjun atau jigging merupakan teknik khusus sukan memancing bagi memburu ikan pelagik mahupun demersal. Terdapat pelbagai spesies ikan demersal namun dalam sukan memancing jigging yang berkonsepkan pancingan ikan dasar, terdapat beberapa spesies yang menjadi sasaran utama.
Kerapu Pisang / Sunoh
Dalam disiplin jigging ia merupakan spesies tangkapan impian berikutan kesukaran untuk mendapatkannya, khususnya di perairan Selat Melaka yang merupakan padang pancing utama jigging perlahan. Memperoleh spesies bersisik cantik ini sebenarnya lebih kepada kepuasan bukan kerana kudrat melawannya.
Info Kerapu Pisang
Nama saintifik: Plectropomus leopardus
Nama Inggeris: Common coral trout, leopard coral grouper
Nama tempatan: Sunoh, kerapu pisang, kerapu bara, kerapu bintang
Kerapu ini dapat dikenali menerusi badannya yang dilimpahi titik biru kecil. Bulatan cincin biru yang tersendiri di sekeliling mata. Dan sirip pektoral yang polos tanpa warna. Ia mampu membesar sehingga 120 cm panjang namun saiz yang lazim didapati sekitar 35cm sahaja.
Mandi Abu / Kaci
Dalam disiplin jigging, spesies ini hampir tidak tersenarai dalam buruan utama berikutan ia pernah dianggap tidak membaham jig kecuali jig yang ‘berumpan’. Namun tentangan yang diberikan kaci sehingga ke permukaan membuatkan ia kini menjadi spesies yang ingin diburu.
Info Kaci:
Nama saintifik: Diagramma pictum
Nama Inggeris: Grunts (sweetlips)
Nama tempatan: Kaci, mandi abu
Ciri-ciri untuk mengenali kaci atau mandi abu ini memiliki 9-10 duri pada sirip dorsal, 20-24 tompok sinar lembut. Kaci juvana atau sub dewasa memiliki tompok atau jalur. Ia mampu membesar sehingga 100 cm namun saiz biasa yang ditemui sekitar 45 cm.
Ruby Snapper / Kerisi Bali
Satu-satunya spesies idaman penggemar segmen pancingan jigging yang hanya boleh ditemui di perairan Sabah dan Sarawak. Ikan ruby snapper pada awalnya dikenali melalui hasil penangkapan ikan komersil menjadikannya banyak tersedia untuk umum.
Ketika itu kebanyakan pemancing rekreasi tidak biasa dengan spesies ini kerana habitat airnya yang dalam. Walau bagaimana pun ia tidak kekal sedemikian berikut bantuan moden kekili elektrik… dan kini melalui teknik jigging perlahan.
Info Ruby Snapper:
Nama saintifik: Etelis carbunculus.
Nama Inggeris: deepwater red snapper, deepwater snapper, jobfish, queen snapper, red snapper, ruby-colored snapper fish, snapper atau squirrelfish snapper.
Nama Melayu: Kerisi Bali
Spesies marin benthopelagic ini hanya boleh ditemui pada kedalaman 90-400meter atau pada kebiasaannya 200 – 350 meter.
Spesies Etelis carbunculus dikatakan mencapai usia matang apabila mencecah 61 cm. Ia mampu mencapai panjang maksimum sehingga 127 cm dan tempoh usia sehingga 32 tahun.
Jenak / Jenahak
Dalam disiplin jigging, ia merupakan ‘ikan sisik’ yang berada di ranking paling atas dalam spesies buruan utama. Bahkan dalam sesuatu trip jigging perlahan, trip berkenaan boleh dianggap gagal atau kumpau jika gagal mendaratkan jenahak berikutan ia merupakan spesies utama sasaran dalam aktiviti ini.
Info Jenahak:
Nama saintifik: Lutjanus Johnil
Nama Inggeris: Golden Snaper, John’s Snapper
Nama Tempatan: Jenahak, jenak, ungah
Ikan yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae ini merupakan spesies yang paling popular dalam 60 genus lutjanus yang memakai nama jenahak. Ikan jenahak boleh hidup sihat dan berenang bebas di kawasan laut beriklim tropika dan sub-tropika.
Ia mampu membesar sehingga satu meter panjang dan seberat 13 kilogram. Ia mudah dikenali dengan tompok hitam bulat di bahagian belakang badannya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...