Setiap peralatan memancing ada tempoh waktu atau jangka hayatnya. Begitu jugalah dengan tali pancing.
Tidak kiralah tali tangsi atau tali sulam, meskipun jarang digunakan ia perlu diperiksa untuk menilai sama ada ia masih berfungsi dengan baik atau sebaliknya.
Walaupun tali tangsi tanpa warna (clear), ia masih boleh dikesan berdasarkan kelunturannya.
Lazimnya tali yang sudah lama digunakan boleh dapat dikesan tahap kelunturannya. Jika tahap kelunturannya agak jelas berbeza maka ia perlulah dikeluarkan atau dibuang.
Sifat tali tangsi atau nylon monofilament ini akan kerinting apabila sudah lama digunakan. Oleh yang demikian sebaiknya buang bahagian yang telah kerinting. Sekiranya terlalu banyak bahagian yang sudah kerinting maka tukarlah tali yang baru.
Ads
Tali tangsi yang sudah lama digunakan atau banyak terdedah kepada terik cahaya matahari akan menyebabkan hilang keanjalannya.
Ia boleh dikesan dengan cara mematahkan tali tersebut. Sekiranya ia tidak kembali seperti biasa maka perlulah ditukar.
Lurut atau gosok permukaan tali untuk merasai sebarang kesan cela atau luka akibat geseran. Sekiranya terdapat sebarang kesan yang kurang baik maka buanglah bahagian tersebut.
Sentap dan rentap tali dengan kuat. Sekiranya tali itu sudah rapuh maka ia akan putus dengan mudah.
Paling ketara sebagai petanda tali sulam sudah hampir tamat jangka hayatnya adalah tahap kelunturan warna yang ketara. Jika warna asal tali adalah merah tetapi sudah menjadi pink, maka eloklah sangatlah diganti tali baru.
Ads
Sebagaimana tali tangsi, sebarang geseran atau kakisan yang berlaku akan menyebabkan tali sulam menjadi rosak dan kelihatan berbulu. Bahagian ini perlu dibuang walaupun ia masih baru.
Selain berbulu, tali yang cedera tetapi tidak putus sepenuhnya akan kelihatan genting atau diameternya mengecil. Kerosakan ini akan menyebabkan tali terputus apabila membuat sentapan kuat. Jadi ia perlu diperiksa untuk mengesannya.
Tali sulam juga juga boleh diuji tempoh hayatnya dengan cara melakukan sentapan. Jika ia putus dengan mudah maka tiada guna lagi anda menyimpan tali tersebut di dalam kekili.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Kali ini kami ingin mendedahkan beberapa teknik memancing yang diamalkan oleh pemancing di negara kita dengan rakusnya dalam memburu ikan idaman. Sekurangnya korang mesti pernah cuba satu teknik memancing. Ayuh kita tengok.
Popping
Teknik ini lebih mirip seperti casting. Bezanya ialah penggunaan replika umpan tiruan yang dinamakan ‘popper’ dalam pelbagai bentuk, warna , saiz dan jenis. Popper akan menghasilkan bunyi ‘poop’ yang menggiurkan ikan seperti gerepoh ( GT ) ketika proses mengarau selepas lontaran. Teknik ini banyak meniru pergerakan ikan terbang di permukaan air.
Jigging
Teknik ini mengilat secara mengujun (henjut) menggunakan umpan tiruan yang di panggil ‘jig’. Jig biasanya diperbuat daripada kepingan timah/objek berat kemudian dibentuk seperti ikan dan dicat dengan warna garang dan terang yang luminous atau pendar cahaya.
Teknik ini memerlukan ketekunan dan stamina tinggi kerana pemancing perlu menghenjut jig pada tempoh tertentu seperti slow atau laju pada kiraan tertentu untuk menarik perhatian ikan. Jig akan dihulurkan semula ke dasar kemudian dikarau kembali dengan kepantasan yang tinggi sambil mengujun joran berselang seli ketika proses karauan laju. Boleh kempis perut dibuatnya!
Sekiranya teknik ini dipraktikkan di tebing atau jeti, ia dinamakan jig cast. Nama je lain sket tapi menghenjun tetap kena henjun!
Bottom fishing
Berkait rapat dengan teknik memancing menggunakan umpan dengan kaedah tradisional. Umpan perlu dilabuhkan ke dasar dengan sasaran tertumpu kepada spesies ikan dasar. Boleh dipraktikkan di kolam, sungai, tasik, paya, laut atau tali air tepi sawah belakang rumah.
Drifting
Menggunakan umpan hidup dan dilepaskan ke sasaran tanpa menggunakan batu ladung. Pelampung dan belon sering digunakan sebagai penanda. Teknik ini sesuai dipraktikkan untuk mencari ikan separa air seperti tenggiri, layaran.
Trolling
Menggunakan umpan ikan, sotong atau gewang . Teknik tundaan dilakukan dengan bot atau sampan berinjin pada kelajuan perlahan antara 5 hingga 10 batu nautika sejam. kalo nak rempit lebih laju lagipun boleh. tapi penat la GT, tenggiri, talang atau baracuda nak sambar umpan .
Fly fishing
Teknik yang berasal dari benua Eropah dan makin popular di negara kita. Teknik yang perlu dipelajari untuk mengawal balingan/ hayunan tali alistik ke sasaran, bukan main belasah je! fly fishing hanya boleh dipraktikkan di kawasan yang lapang dan menggunakan umpan tiruan.
Floating
Teknik menggunakan pelampung. Ia merupakan teknik memancing yang agak mudah kerana baling saja umpan korang kat lubuk idaman dan perhatikan pelampung setiap masa. Namun pengetahuan untuk melabuhkan para umpan adalah sangat penting.
Ikan tilapia merah pernah dianggap sebagai ikan yang menyakitkan hati pemancing kerana kelicikannya mengelak mata pancing.
Malah, pada sesetengah orang beranggapan ikan ini memang tak makan pancing atau tidak boleh dipancing.
Berbanding spesies tilapia yang lain, tilapia merah jarang ditemui hidup liar di lombong atau tasik-tasik kecil.
Sebaliknya ia lebih mudah ditemui di kolam atau sangkar ternakan ikan. Oleh kerana itulah teknik memancingnya tidak meluas berbanding tilapia lain.
Namun ia masih boleh dipancing dan hari ini masih ada kolam pancing yang menempatkan ikan-ikan tilapia merah sebagai ikan sasaran untuk dipancing.
Tidak dinafikan ikan tilapia merah ini boleh dianggap ikan yang licik. Untuk memperdaya ikan tilapia kita haruslah lebih licik daripadanya.
Apa yang penting untuk memancing tilapia merah, kita perlu melakukan sedikit homework. Boleh dikatakan kesemua ikan tilapia yang ditempatkan di kolam pancing berbayar ialah ikan yang diternak.
Jadi, kita perlu tahu apa jenis makanan ikan yang diberikan kepada ikan-ikan tersebut. Lazimnya, ia diberikan pelet makanan ikan.
Maka, umpan yang bakal digunakan haruslah berasaskan pelet atau dedak.
Selain umpan, teknik persembahan umpan juga penting. Tilapia merah boleh dipancing sama ada melalui teknik apung atau dasar.
Kedua-dua teknik ini perlu diaplikasi bagi mengesan kaedah yang paling praktikal. Umpan pula perlu dipersembahkan dalam keadaan semula jadi.
Atau dalam erti kata lainnya, mata kail dan tali pancing perlu dihalimunankan. Caranya, gunalah mata kail yang kecil, halus dan tajam.
Tali pancing dan perambut pula sebaiknya paling halus diameter tetapi berdaya tahan.
Tilapia merah gemar mengutis sebelum menyedut umpan. Apabila merasakan ada beban, ia akan memuntahkan kembali umpan tersebut.
Oleh kerana itu pemancing perlu peka terhadap setiap getuan dan tidak boleh membiarkan mata kail tercangkup dengan sendirinya.
Ia perlu dibantu dengan cara menyentap joran.
Teknik memancing tilapia merah ini sebenarnya ada seni yang tersendiri. Ia bukan gabungan umpan dan peralatan sahaja, tetapi juga kemahiran.
Sekiranya anda berjaya menguasai ketiga-tiga perkara ini, barulah anda layak bergelar otai tilapia.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...