Pemancing dikenali sebagai seseorang yang penyabar. Walaupun ikan tak makan umpan, mereka tetap sabar menunggu. Walaupun bakal berakhir dengan kumpau, mereka tetap juga menunggu. Namun, dalam waktu menunggu ini, lain pemancing lain cara yang dilakukan.
“Kalau mengail seorang diri, tak kira kumpau atau tidak saya lebih senang beristighfar. Kalau dengan anak, saya lebih suka berbual dan mendengar tentang segala perkara yang dibincangkan. Kalau dengan konco-konco maka bersedialah untuk dibahan. Semua rezeki dari Allah. Kalau berhasil, Alhamdulilah. Kumpau? Senyum, tak perlu kata apa-apa.”
Qayyum Aizad
“Ikan tak makan umpan? Tengok sekeliling dulu… tengok pemancing lain ada naikan hasil atau tidak… kalau pemancing lain dok gasak tapi kita dok kejung je, maka ada yg tak kena dgn umpan kita… apa lagi, kasi modified la umpan. Takkan nak membangau je sampai ke sudah… hehehe.”
Mohd Hafiz Razali
“Kumpau berdarah tu dah biase…. saya kumpau bernanah pun pernah. Last2 layan game dalam handphone. Cukup jam angkat pancing balik. Tapi standby la nak jawab apa kat org rumah…. huhuuu.”
Dom Abu
“Duduk sambil menikmati keindahan port memancing. Mana tahu lepas berehat dapat strike monstar… hehehe.”
Zafri Angler
Ads
“Saya kalau mancing di tepi pantai… ikan takda mematuk (Bahasa kami dekt KK Sabah), berkenalan laa dengan kaki-kaki pancing. Sambil bercerita pengalaman masing-masing. Tapi kalau memancing di laut dalam… ikan tidak aktif makan umpan, kita yg aktif makan di kapal sebab cepat lapar.”
Walter Walter De’logu
“Kalau memancing sorang-sorang saya akanabersyair, bersajak, menyanyi sambil baling butiran batu kecil ke air… kalau ramai2, kita lebih bercerita tentang teknik, pengalaman segala info xtvt memancing sambil berdoa dalam hati agar rod kita bergetar.”
Safari Jabar
Ads
“Selalu saya akan cakap sorang2 sambil mengharapkan umpan dimakan ikan. Adakalanya duduk termenung seorang dari tengok rod pancing kalau2 gerak skit ke… hihi. Kalo dah kumpau tahap darah biasanya saya repeat esok lagi. Walaupon esoknya jugak kumpau, tak serik lagi turun lusa pulak… hehe. Pemancing tegar tak kenal erti serik. Hahaha…”
Hakim Hayabusa
“Kumpau itu manis! Kumpau itu indah! Ayat biasa dengar untuk sedapkan hati… hehe. Tapi takpe… hari ni bukan rezeki. esok lusa sapa tahu… kalau nak ikan sokmo tak yah mancing… pergi pasar beli. Niat sebenar kaki pancing bukan nak ikan sangat… tapi nak feel memancing tu. Takda ikan takpa… ada ikan itu kira BONUS.”
Mohd Azrai
“Kalau dah kumpau tahap dewa… Kitorang akan akenang dan cerita hasil-hasil trip lepas. Dan kongsi ilmu-ilmu memancing. Memang takkan habis ceritanya… Hahahaha.”
Ads
Maxwell Mirin
“Kalau saya…? Bila saya dah hampir-hampir kumpau berdarah beku, saya mulakan dengan jampi serapah menyebut jenis-jenis ikan yang saya ingin pancing. “Wahai ikan gelama, wahai ikan pari, wahai kakap putih, wahai sekelian ikan makanlah umpan aku ini!!!” Macam orang gila tapi yang sedihnya mak saya selalu tanya saya ikan yang ko pancing dah habis jual kat pasar? Ke jual kat tepi jalan je? Hari-hari kalau mancing tak boleh ikan soalan tu yang selalu diajukan.”
Su-hill
“Sementara menunggu lure ditegur ikan… dapat jugak makan-makan. Bayangkan anda sedang berkhemah… tak la berasa sangat kumpau berdarah. Jadi bila ada komplot boleh la bawak bekal lebih sikit. Ikan tak makan ke nak makan biar kita kat darat makan isi perut. Jangan perut kumpau sudah la.”
Mohd Helmi
“Saya lebih suka rileks tenang sambil fokus melihat batang pancing. Dalam hati terus berbisik… bila ikan nak makan… bila ikan nak makan. Sambil kena rokok… last sekali tak makan juga, cari port lain.”
Saifuad Parham
“Kalau di Sandakan dipanggil kambu biasa time ikan tak sudi makan apa lagi kalau dengan geng tin kosong kalau sendiri apa layan game mancing atau COC… hahahaha!”
Akhi Iqbal
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Tubuh manusia memerlukan pengambilan nutrisi berterusan agak kekal sihat. Ikan jerawat juga mengandung vitamin B1 yang berguna dalam mengekalkan kekuatan dan dapat meningkatkan ketahanan dalam melawan stres. Vitamin B1 juga memainkan peranan untuk melegakan pening dan keletihan akibat kegagalan kerja.
Stamina adalah tenaga tubuh yang perlu kekal bersemangat bagi menjalankan aktiviti harian. Dengan mengamalkan memakan ikan jelawat, korang tidak perlu mengambil suplemen lain.
Iodin sangat penting untuk mencegah beguk atau benguk. Kekurangan iodin yang dialami oleh ibu sejak kehamilan bakal mengakibatkan bayi lahir kronik, dan juga boleh mengalami IQ yang lemah atau rendah.
Kanak-kanak yang cukup fluorida dalam diet mereka akan memiliki gigi yang lebih sihat. Ikan jelawat dikatakan memiliki fluorida yang baik untuk menguatkan gigi.
Bagi orang yang sangat prihatin terhadap penampilan dan sentiasa mahu kelihatan sempurna, maka korang perlu makan ikan Jelawat. Ini kerana kandungan lemaknya rendah dan mudah dicerna. Dalam erti kata lainnya ia dapat mengawal berat badan anda agar tidak menjadi obesiti.
Kandungan phosphorus yang terkandung dalam ikan Jelawat berfungsi meningkatkan prestasi proses pencernaan makanan dan membantu mengawal proses pembuangan sisa metabolik dan bahan yang diperlukan oleh tubuh manusia. Phosphorus juga berfungsi untuk memperkuat tulang dan gigi supaya tidak mudah rapuh.
Boleh dikatakan hampir setiap minggu aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik casting atau pancingan dasar. Teknik melabuhkan umpan dan tunggu merupakan langkah terakhir sekiranya tiada mana-mana geng yang turun atau tiada port yang ingin diterjah kerana casting pilihan utama.
Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di pusat pengajian tinggi dahulu. Rakan-rakan yang lain agak kecewa kerana selalunya akulah yang menjadi mastermind kepada sebahagian komplot yang dibuat.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 12 tengah hari. Dalam hati terdetik “masih awal, ada peluang nak mancing petang ni”. Puas melihat pengantin setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus mencapai telefon bimbit dan menelefon Adnan. Rupanya Adnan sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir dua jam katanya. Racun punya racun, Adnan akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Banting. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku tidaklah terlalu jauh dan tidak terlalu dekat, hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih. Setibanya Adnan di pekarangan rumah, kami bercadang untuk naik satu kereta iaitu kereta aku.
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Adnan. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di setup tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Adnan untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Adnan bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Adnan mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan Maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan Isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh.
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Adnan yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?”
Pak cik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Adnan hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Adnan hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Nan!” Tetapi tidak diendahkan oleh Adnan sebaliknya Adnan terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Adnan, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Adnan sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Kalau memancing dan bercamping dalam hutan sungai pergunungan, cuba-cubalah amalkan pantang larang sikit untuk keselamatan bersama.
Jangan bawa telur & daging
Selalunya apabila berkhemah di dalam hutan, dua benda ini jarang dibawa kerana pada dasarnya ia adalah makanan jin. Pernah terjadi sekumpulan pendaki yang mendaki membawa sepapan telur untuk digoreng apabila tiba di puncak.
Apabila malam untuk sesi makan malam, mereka terkejut kerana semua telur yang masih elok, apabila dipecahkan didapati isinya kosong. Daging pula merupakan penarik untuk haiwan-haiwan datang kerana baunya yang kuat, lagi-lagi apabila dipanggang.
Rumpun akar berjuntai
Orang tua selalu berpesan, “Jangan digayut akar berjuntai, nanti ada teman mengintai”. Nampak menarik bila kita ternampak akar pokok yang berjuntai seperti dalam filem Tarzan tu. Tetapi harus diingat, kebiasaannya ia adalah tempat jin bermain. Salah satu tempat bermain dan bergayut bagi makhluk jin adalah akar yang berjuntai. Apa jadi apabila tempat permainan kita diganggu orang luar? Pasti akan timbul rasa tidak puas hati.
Jangan sebut nama
Sepanjang berada di dalam hutan, kurangkan menyebut nama haiwan secara terus. Contohnya harimau, boleh dipanggil Maybank. Seperti ketika zaman sekolah, ada panggilan tertentu kepada rakan-rakan yang hendak dikutuk tanpa dia tahu. Sama juga apabila berada di dalam hutan.
Jika berjalan secara berkumpulan, jangan suka menjerit ataupun memanggil nama kawan. Takut-takut ada benda lain yang menyahut. Benda ini banyak kali terjadi pada pendaki ataupun kaki pancing.
Tapak kaki haiwan
Harus diingat, pemangsa utama rusa adalah harimau. Selalunya apabila ada rusa, dibelakangnya harimau mengikut. Apabila ternampak kaki rusa atau kelibatnya, jangan berasa seronok dapat melihat rusa sebesar kereta kancil. Kemungkinan besar sang belang menanti di belakang. Silap-silap rusa ditinggalkan, anda yang dia tunggu.
Bunyi bising
Kadangkala ada rakan mengeluh kerana bunyi cengkerik dan berbagai lagi yang didengari ketika mereka tidur di khemah. Itu adalah normal. Yang tidak normalnya apabila keadaan sekeliling menjadi sunyi sehingga dengkuran tidur rakan anda yang menyakitkan telinga.
Apabila keadaan menjadi sunyi secara tiba-tiba, itu menandakan terdapat haiwan yang besar sedang memerhatikan kita. Andai ada bahan letupan seperti mercun, bakarlah mercun tersebut. Sekurang-kurangnya ia dapat menghalang haiwan liar daripada mendekati kita.
Unggun api
Kebanyakan orang melihat unggun api digunakan untuk memasak, memanaskan air dan sebagai pencahayaan. Seeloknya, sediakan kayu api yang mencukupi untuk sepanjang malam dan jangan biarkan unggun api terpadam sehingga terbitnya fajar.
Andai terdapat ahli kumpulan seramai 4 orang, pastikan terdapat 4 batang kayu yang berbara. Ia boleh dijadikan sebagai senjata andai harimau, beruang atau gajah datang melawat.
Jangan suluh sembarangan
Apabila malam, jangan suka menyuluh di kawasan yang tidak perlu. Takut tersuluh cik pon bermata merah pula nanti. Petua juga mengatakan kurangkan menyuluh muka rakan-rakan terutama ketika tidur.
Sisa makanan
Apabila memasak, pastikan kuantitinya sesuai dengan kehendak perut anda. Jangan ada sisa makanan yang ditinggalkan ataupun lebihan makanan yang tidak dimakan. Kebanyakan haiwan amat peka pada bau makanan. Sama juga bagi haiwan seperti beruang, harimau dan lain-lain. Jangan terkejut ketika tidur, khemah anda diselongkar beruang ataupun gajah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...