Bila kita melihat seseorang itu dengan penampilan berambut panjang, berseluar jean ketat, t-shirt bergrafikkan kumpulan muzik dan berjaket, kita boleh mengandaikan beliau mungkin seorang rocker atau sekurang-kurangnya peminat rock. Begitu juga dengan pemancing atau angler. Mereka ada identiti atau penampilan tersendiri yang melambangkan mereka adalah seorang pemancing.
Tengok kenderaan yang digunakannya. Jika ada sticker jenama atau produk peralatan memancing tertampal pada cermin atau badan kenderaan, sahlah beliau seorang kaki pancing
Kalau kenderaannya tak bersticker, tengok pula keychain yang digunakannya. Lazimnya pemancing tegar khususnya peminat casting akan menggantung gewang pada keychainnya.
Berpakaian outdoor… Peminat sukan memancing (yang berduit) lazimnya akan mengenakan pakaian outdoor berjenama yang terkenal dengan aktiviti memancing.
Jika tidak berpakaian outdoor, tshirt atau topi berjenama produk alatan memancing juga sering dipakai pemancing. Begitu juga dengan tshirt kejohanan memancing yang disertainya
Ads
Jika di media sosial contohnya di facebook pula cukup mudah untuk mengetahui seseorang itu adalah kaki pancing kerana lazimnya mereka akan letakkan posing bersama ikan sebagai picture profile mereka.
Ads
Pemancing ni gemar ngeteh di kedai-kedai mamak. Kalau terlihat sekumpulan lelaki lepak-lepak di kedai mamak dan kedengaran bercerita pasal aktiviti memancing, memang sah la mereka adalah kaki pancing
Berkulit hitam atau rentung… Walaupun bukanlah satu fakta yang tepat, lazimnya tidak ada pemancing tegar yang berkulit halus dan putih gebu. Kebanyakannya macam hangus kerana banyak berjemur di tengah panas.
Pada hari yang dijanjikan, kami berempat menaiki motosikal saja ke sana. Kami bertolak jam lima petang, setelah selesai solat Asar. Selain membawa alat-alat memancing, saya juga membawa bekalan makanan berupa satu termos kopi ‘O’ panas dan biskut kering. Hajat kami ingin memancing sehingga jam sepuluh malam sahaja.
Ikan ketutu ini memang aktif pada waktu malam. Bila siang, ia bagaikan tunggul mati. Memancing dengan menggunakan umpan yang power pun, ia tak akan makan. Kerana sifatnya yang begitu, kami mengambil keputusan untuk memancing dari senja hingga jam sepuluh malam.
Kawasan di dalam ladang kelapa sawit itu mempunyai sebatang anak sungai yang sudah terpecah menjadi beberapa lopak yang dalam akibat hujan lebat dan banjir yang berlaku di kawasan tersebut. Lopak-lopak itu membentuk lubuk yang agak dalam. Zamir mencadangkan kami memancing di kawasan lubuk yang berdekatan dengan rimbunan pokok mengkuang kerana kebiasaannya ketutu memang suka dengan habitat begitu.
Kami melabuhkan joran tepat jam enam petang. Di dalam kawasan ladang kelapa sawit, cuaca memang cepat gelap. Tidak sampai lima belas minit menunggu, joran Masran mula melentur. Seekor ikan ketutu dengan anggaran beratnya 150gram menggelepar lemah. Walaupun saiznya kecil, namun ianya cukup untuk memberi semangat kepada kami untuk terus mencuba nasib.
Menjelang jam lapan malam, kami berempat bagaikan berpesta ketutu di situ. Betul kata Napi, lubuk di kawasan itu memang kaya dengan ikan ketutu. Kami bagaikan tidak cukup tangan menarik joran yang pantang dicampakkan ke dalam lubuk.
Dalam keadaan berpesta itu, kami berempat terlupa untuk menunaikan solat Maghrib. Kami bagaikan ‘sayang’ untuk melepaskan aksi menarik joran yang sedang rancak padahal kami sepatutnya melakukan perkara yang wajib dahulu. Saya sendiri sudah memasang niat untuk menqada sahaja solat Maghrib yang tertinggal.
Menjelang jam 8.45 malam, hujan renyai-renyai turun dengan tiba-tiba. Tiada tanda guruh atau petir di dada langit. Walaupun hujan turun dengan agak kasar, kami semua seolah-olah tidak peduli dengan situasi yang berlaku. Kami meneruskan juga pesta menarik joran yang kini bagaikan tidak menang tangan dibuatnya.
Hujan masih turun dalam keadaan renyai-renyai sewaktu jam di tangan saya menunjukkan angka sepuluh malam tepat. Kalau ikut perancangan asal, inilah masa untuk kami bergerak pulang. Namun keriuhan dan pesta menarik ketutu masih rancak. Masing-masing sibuk dengan joran yang ditarik setiap lima minit dan perkara untuk angkat kaki seolah-olah terlupa begitu sahaja.
Salakan anjing yang sayup dan mendayu-dayu tiba-tiba kedengaran dari hutan kecil berdekatan. Bulu roma saya meremang tiba-tiba. Badan menjadi seram sejuk. Sejenak itu juga saya mendongak ke atas. Bulan kelihatan mengambang penuh. Salakan anjing tadi seperti semakin hampir dengan tempat kami memancing.
“Aku rasa cukuplah. Jom kita balik,” ajak Hadi tiba-tiba sambil memberikan kami isyarat tentang sesuatu. Di kalangan kami berempat, memang Hadi yang biasa masuk hutan untuk memancing dan memburu ayam hutan. Mungkin Hadi juga sudah berasa sesuatu yang ganjil di situ.
Ketika aku sedang mengemas kelengkapan memancing, aku terasa seperti ada mata yang memerhatikan kami dari celah-celah belukar. Sepasang mata merah itu bagaikan mengikuti setiap pergerakan kami berempat. Aku cuba membaca Ayatul Qursi apabila perasaan seram sejuk semakin terasa dengan bulu roma yang semakin meremang.
Jelas di pandangan mata saya, sesusuk tubuh berkain kafan dengan bahagian atas dan bawah terikat sedang terloncat-loncat menuju ke arah kami berempat. Ketika itu, otak terasa beku, bibir terasa kelu. Saya jadi blur dan tak tahu nak buat apa.
Cuma apabila melihat Hadi dan Masran sudah berlari menuju ke motosikal, barulah kaki saya turut melangkah sama. Nasib baiklah Hadi dan Masran sudah menghidupkan enjin motosikal. Sebaik sahaja saya melompat duduk di bahagian belakang, motosikal itu terus dipandu laju meredah jalan merah yang sudah becak akibat hujan yang turun tadi.
Saya tidak berani menoleh ke belakang. Hanya mulut saya terkumat-kamit membaca Ayatul Qursi dengan susunan yang agak lintang pukang. Hanya apabila tiba di halaman rumah saya, barulah saya dapat menarik nafas lega. Kami duduk di atas pangkin kayu di bawah pokok rambutan yang rendang.
Masing-masing hanya diam dengan nafas sedikit termengah-mengah. Saya mengeluarkan sisa kopi `O` panas dan kami minum tanpa berbual.
Malam itu, saya sukar untuk memejamkan mata. Peristiwa seram itu terbayang di ruang mata. Inilah kali pertama saya mengalami kejadian seram dan aneh begini. Nasib baiklah tiada perkara buruk yang berlaku pada kami berempat.
Sehingga kini, kejadian ini kami rahsiakan daripada pengetahuan orang lain. Tempat itu juga tidak kami kunjungi lagi.
Kalau dah nama kaki pancing tegar memang tak kisah siang atau malam asalkan boleh memancing. Ada juga yang suka mancing malam kerana suasana yang lebih tenang dan ada yang lebih tenang dan ada yang memilih waktu siang kerana risiko keselamatan atau gemarkan spesies tertentu.
Memang terdapat sesetengah spesies ikan yang lebih aktif waktu siang dan sebaliknya, namun sejauh mana waktu siang atau malam ini menjadi faktor kepada waktu pancing anda?
“Kalau mancing kelah, saya suka malam… tak payah nak nyorok atau pakai baju celoreng sebab kelah tak nampak. Yang tak syoknya mancing mlm ni, kalau ada member suka suluh-suluh sungai time kita mancing kelah… hehehe.”
Mat Kelah Biru
“Semasa bujang suka sangat mancing malam… bila dah kawin rasa pilihan lebih kepada siang hari…. hehehe.”
Najib Burn
“Memancing malam? Hehe… sedangkan bapak aku yang pemancing tegar pun berhenti mancing malam lepas kena suluh UFO (perkataan sopan untuk ganti nama penanggal/bola api)…. inikan pulak aku yang penakut pahit ni. Mancing malam boleh… asalkan tempat tu kawasan ramai orang. Jangan mimpi la nak ajak aku gi camping dalam hutan… hehe.”
Din Jugak
“Kalau saya lebih suka mancing siang kat laut luas pemandangan. Mancing di laut waktu siang boleh mengelak dari kita diserang lanun laut, kapal dagang. Malam best time mancing dengan kawan-kawan santai-santai waktu malam tanpa berpanas.”
Shaiful Azri Baharudin
“Bergantung pada spesies yang hendak ditawan. Mungkin banyak risiko memancing di waktu malam ni…. ramai yang memilih siang dibandingkan malam. Tapi bagi saya… malam adalah yang terbaik.”
Amirul Aizat
“Bagi saya mancing pada waktu siang lebih baik dari malam, bukan apa untuk keselamatan diri. Tapi kadang-kadang mancing malam pun seronok juga kalau ada kawan-kawan sambil buat camp fire.”
Mohd Akbar
“Bagi saya mancing waktu malam lagi seronok. Kena pulak pot yang baik… boleh bersantai dengan bunyi cengkerik.”
Muhamad Hafiz
“Bagi saya mancing malam ni syok sikit kerana tak perlu berpanas. Selain tu jugak hasilnya jugak lumayan kerana ikan lebih aktif pada malam hari. Akan tetapi aspek keselamatan jgn dilupakan.
Mancing malam jugak mempunyai risiko yang tinggi berbanding mancing siang. Pernah sekali semasa saya ngan bapa saudara memancing pada malam hari terserempak ngan ular sawa sebesar pergelangan betis lelaki dewasa. Semenjak itu saya lebih berhati-hati sekiranya ingin memancing pada waktu malam.”
Fakhrul Tahir
“Saya lebih suka mancing waktu malam di kala air pasang besar 13/14 bulan Melayu sebab tak pernah mengecewakan saya, kategori muara la.”
Zul Ema
“Saya suka mancing siang sebab siang tak perlu SIANG lagi ikan tu. Dapat terus goreng ja…”
Tarpon dapat ditemui di Lautan Atlantik dan Lautan Indo-Pasifik. Ia spesies yang mampu memberi tentangan yang sangat hebat untuk ditangkap kerana kemampuan mereka untuk melompat keluar dari air. Tarpon terbesar yang berjaya ditangkap dengan joran dan kekili seberat 249 lb, sepanjang 7 kaki. Sayangnya spesies tarpon gergasi ini tiada di perairan kita.
Sailfish
Ikan layaran hampir menyamai ikan marlin memiliki paruh yang panjang. Panjangnya tidak lebih dari 3 meter, tetapi mereka adalah salah satu perenang terpantas di lautan. Kepantasan renangan dan aksi akrobatiknya juga menjadi kegilaan pemancing sukan untuk menjinakkannya.
Yellowfin Tuna
Mereka adalah salah satu tuna terbesar di dunia. Bentuk tubuh mereka memungkinkan mereka untuk mendapatkan kepantasan ketika mengejar mangsa seperti mackerel, flying fish dan sauries. Ramai pemancing bersetuju bahawa mereka adalah yang tercepat dan terkuat di antara keluarga tuna. Dan ia tuna terbesar yang terdapat di perairan kita.
Bluefin Tuna
Ikan monster ini dapat membesar hingga 3 meter dan berat hingga 450 kilogram. Ia memiliki stamina yang luar biasa yang menjadikannya salah satu ikan paling sukar untuk dijinakkan. Bagi pemburu tuna ia tentulah spesies idaman yang berada di puncak impian.
Swordfish
Ikan todak atau ikan pedang adalah ikan predator besar, dengan paruh panjang dan rata. Ikan yang pantas dan sulit ditangkap ini memiliki tubuh yang memanjang dan bulat. Ikan pedang dapat melukai mangsanya dengan menggunakan paruhnya. Sehingga kini ia masih menjadi impian para pemancing tempatan.
Giant Trevally
Ikan monster ini sangat kuat dan brutal. Ia dianggap sebagai predator puncak karena strategi perburuannya. Giant trevally atau GT dapat mencapai berat sehingga 80 kilogram. Namun untuk menemui saiz monster sebegini masih bagai impian bagi pemancing Malaysia.
Greater Amberjack
Jika Anda ingin pertarungan yang serius, carilah spesies amberjack atau aji-aji ini. Ikan amberjack adalah predator kuat yang memakan haiwan invertebrata dan ikan lainnya. Walaupun semakin sukar untuk menemui saiz-saiz perkasa spesies ini, ia bukanlah satu yang mustahil.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...