Joran saya bukannya yang mahal-mahal seperti sekarang. Cukuplah kalau setakat dahan kekabu yang sederhana besar atau pokok buluh yang kami akan tajamkan di bahagian hujung untuk diikat dengan tali pancing.

Mata kail pula kami beli di kedai runcit mamak dengan harga 20 sen sebentuk. Umpannya pula sangat mudah didapati.

Ambil cangkul, kemudian korek di bahagian tanah yang sedikit lembap, banyaklah cacing-cacing gemuk yang akan menjadi santapan ikan yang bakal dikail.

 

Sepanjang saya memancing, banyak juga kejadian misteri yang saya alami terutama apabila memancing di kawasan lombong tinggal.

Ini yang ingin saya kongsi bersama anda semua. Pengalaman ini saya peroleh 10 tahun yang lepas sewaktu memancing di sebuah lombong tinggal di kawasan Sungai Buloh, Selangor.

 

Malam itu, saya bersama sahabat baik Razak keluar memancing di lombong itu selepas waktu Maghrib. Kami sengaja memilih waktu itu kerana mahukan ketenangan memancing.

Sebelum bergerak, cuaca agak gelap seakan-akan mahu hujan. Angin bertiup agak kencang dengan awan hitam menutup langit.

Kalau tak kerana desakan Razak, saya memang tidak mahu pergi memancing pada malam itu.

 

Sebaik sahaja mata kail dilabuhkan di dasar tasik, hujan sudah turun rintik-rintik. Angin juga semakin kencang.

Air tasik sedikit beralun-alun namun kegembiraan kerana umpan yang galak dimakan ikan membuatkan saya dan Razak masih lagi bertahan walaupun beberapa orang pemancing yang ada di situ sudah angkat kaki pulang ke rumah.

IKLAN

 

Saya masih teringat kata-kata seorang pemancing yang lalu berdekatan tempat saya dan Razak duduk. Katanya “Jangan memancing lama-lama dik. Tempat ni agak keras”.

Namun kelekaan kerana mendapat ikan yang banyak membuatkan saya mengendahkan kata-katanya itu.

 

Dalam keadaan riang gembira itulah saya dan Razak tidak perasan air di tengah tasik kelihatan berpusar.

Pada mulanya perlahan namun lama-kelamaan ia menjadi kuat dan air tasik menjadi ombak besar seperti ombak laut.

Saya dan Razak hampir terhumban ke dalam tasik sekiranya lambat sesaat memanjat tebing lombong yang sedikit curam itu.

Dari atas tebing, kami dapat melihat dengan jelas satu lembaga besar muncul dari permukaan air dengan badannya yang hitam berkilat.

Mukanya seperti begitu hodoh, bertanduk dan mempunyai satu biji mata yang sangat merah.

IKLAN

 

Setiap kali lembaga itu meranduk air tasik yang separas pinggangnya, setiap kali itulah air tasik akan membuak membentuk seperti ombak besar yang menghempas tebing lombong itu.

Kami berdua seperti terpaku melihat kejadian itu. Hujan pula semakin lebat, menyukarkan pandangan kami ke arah lembaga itu.

 

Tiba-tiba saya lihat lembaga aneh bermuka ikan toman itu seperti menyedari kehadiran kami di atas tebing lombong itu. Wajahnya tiba-tiba membengis.

Matanya menyinga memandang kami. Dan akibat ketakutan yang teramat sangat, saya terkencing di dalam seluar!!!

 

“Lari Mil. Lari…!!!” ajak Razak.

Namun, kaki saya bagaikan terpaku ke tanah. Tiada apa yang dapat saya lakukan.

IKLAN

Saya hanya berdiri tegak sambil mata tepat memandang ke arah lembaga bermuka ikan toman itu yang kini berjalan ke arah saya!

 

Saya tidak tahu apakah yang terjadi seterusnya. Pandangan saya beransur gelap apabila melihat tangan lembaga itu yang penuh lumut dan licin bagaikan toman seolah-olah mahu mencapai saya untuk masuk ke dasar lombong.

Saya hanya sedar apabila nama saya dipanggil. Celik mata, saya sudah berada di rumah dengan dikelilingi sanak saudara dan jiran tetangga.

 

Saya diberitahu bahawa saya mengalami histeria di tebing lombong itu dengan mulut berbuih, hanyir berbau ikan.

Tangan saya pula mengapa-apai ke atas seolah-olah mahu menyelamatkan diri dari lemas di dalam air.

Menurut pawang yang dipanggil untuk memulihkan saya, saya terkena lintasan hantu air.

 

Nasib saya baik kerana sebaik sahaja Razak melihat saya mula menjerit ketakutan, dia azan sebanyak tujuh kali di tepi lombong itu.

Selepas itu, keadaan menjadi semakin reda dan air tasik tidak berpusar lagi. Kejadian itu hanya menakutkan saya buat sementara waktu sahaja.

Selepas tiga bulan, saya mula memancing kembali. Saya percaya di dalam dunia ini, kita berkongsi alam dengan semua makhluk ALLAH yang ada.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI