Inilah antara pari yang paling mencabar untuk didaratkan. Apa tidaknya, daya tarikan dan renangan pari rimau pastinya mampu melemahkan otot-otot dan sendi pemancing. Pari rimau ini mendapat namanya kerana corak di badannya yang bertompok seakan-akan harimau. Tidak hairanlah tenaganya juga sekuat raja rimba itu. Habitat bagi spesies ini kebiasaannya ialah di kawasan pantai yang berbatu.
Pari Benting
Pari benting menjadi antara pari yang paling popular di Malaysia. Menurut nelayan tempatan, pari beting ini mendapat namanya kerana ia sering menjadikan beting pasir sebagai lokasi untuk berehat dan memburu mangsanya. Kebiasaannya pari jenis ini akan membenamkan diri ke dalam beting pasir apabila terdapat ancaman.
Pari Karang
Ikan pari karang ini boleh dikenal pasti dengan melihat bintik-bintik biru di badannya. Isinya juga lebih tebal, namun saiznya tidaklah boleh mencapai sehingga belasan kilogram. Kebiasaannya saiz yang biasa dinaikkan pemancing adalah sekitar 1 kg sahaja. Spesies ini juga agak pemalu dan amat susah sekali untuk memakan umpan.
Ads
Pari Bendera / Kelawar
Pari jenis ini berbentuk agak berbeza berbanding pari-pari yang lain di mana ia berbentuk bujur dan ekornya lebih pendek. Pari ini juga begitu jarang sekali untuk memakan umpan. Namun, ia masih menjadikan udang, sotong dan ikan sebagai antara diet pilihannya.
Pari Pasir
Pari pasir boleh dikatakan antara spesies pari yang paling bernilai tinggi di Malaysia kerana mempunyai isi yang lembut dan sedap. Nilai ikan pari pasir meningkat kerana mendapat permintaan tinggi untuk dijadikan hidangan. Pari pasir biasanya memilih kawasan berbenting pasir sebagai habitat utamanya.
Ads
Pari Daun
Pari ini mempunyai isi yang lebih tebal dan pangkal ekornya juga lebih besar berbanding ikan pari yang lain. Di bahagian ekornya juga terdapat layar kecil yang berwarna kehitaman. Ikan pari jenis ini juga dikatakan amat bahaya kerana ia agak agresif.
Pari Helang
Ads
Pari helang atau lang juga antara spesies yang makin sukar didapati di Malaysia ini. Ikan ini mendapat namanya kerana bentuknya yang kelihatan seakan-akan burung dan mempunyai bintik-bintik berwarna putih di sekitar badannya.
Pari Minyak
Spesies pari minyak sememangnya amat popular di dalam arena memancing laut dalam. Ini kerana saiznya yang begitu besar dan asakan padu ikan jenis ini memang menjadi kegilaan untuk sukan ini. Ikan pari minyak senang juga dikenal pasti kerana badanya berwarna hitam dan mempunyai tompok putih di sekitar badannya.
Pari Tuka / ketuka
Sering disalah anggap sebagai anak pari. Spesies daripada genus Himantura (Dwarf whipray / Mangrove whipray) ini biasanya mempunyai saiz sekitar 24 cm diameter dan mempunyai ekor yang lebih pendek. Ia antara pari yang terbaik dijadikan hidangan terutama dibakar.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Siakap merah atau kakap merah yang lebih dikenali dengan nama umum mangrove jack (MJ) atau mangrove red snapper tergolong dalam genus Lutjanus dan keluarga besar Lutjanidae dengan membawa nama saintifik, Lutjanus Argentimaculatus. Ikan siakap merah juga merupakan salah satu spesies daripada keluarga snapper (sebagaimana ikan merah dan jenahak). Justeru itu dapat diperhatikan siakap merah mempunyai gigi taring yang menonjol di rahang yang digunakan untuk menangkap dan menahan mangsa.
Mengikut data taburan spesies, ikan ini merupakan spesies natif di Lautan India dan barat Lautan Pasifik. Taburan ini termasuk di perairan di Afrika sehingga ke Samoa. Selain itu spesies ini turut boleh ditemui di perairan Australia, di kawasan Asia dan Asia Tenggara.
Daripada aspek morfologi, bagi siakap merah, warna pengenalan pada badannya sudah tentu berkisar dalam tona warna merah. Begitu pun, warna badan ikan siakap merah boleh berubah mengikut keadaan persekitaran. Bagi siakap merah, tona warna badannya boleh dilihat daripada warna seperti oren terbakar, sedikit warna perak sehingga ke warna coklat kemerahan bergantung kepada usia dan persekitaran.
Biasanya, ikan siakap merah yang ditangkap di kawasan muara akan mempunyai warna badan yang lebih menonjol berbanding yang ditangkap di luar kawasan pantai.
Daripada aspek habitat dan biologi pula, sesuai dengan nama mangrove jack, ikan siakap merah biasanya boleh ditemui di kawasan sistem muara yang mempunyai banyak pokok bakau. Pun begitu, spesies ini akan turun ke kawasan luar pantai apabila tiba masa untuk mereka bertelur. Malah dalam sesetengah keadaan, spesies ini turun sehingga beratus kilometer ke tengah laut untuk membiak sebelum naik semula ke muara dan sungai-sungai.
Siakap merah merupakan spesies karnivor, lantas menjadikannya antara ikan pemangsa utama di dalam rantaian makanan. Ikan siakap merah biasanya memburu ketika waktu malam dengan sasaran utamanya ialah ikan lain, krustasea, gastropoda dan molluska.
Pemangsa ini juga gemar menggunakan taktik serangan hendap ketika memburu makanannya. Mereka sering menjadikan akar bakau, kayu besar, batu dan mana-mana kawasan berhalangan lain sebagai tempat buruan utamanya keran kebanyakan ikan kecil akan berlindung di sini.
Siakap merah merupakan spesies yang cerdik dan pasti akan mencari kawasan berstruktur dalam usaha melepaskan diri. Apa yang pasti, larian seekor Mangrove Jack dewasa mampu membuatkan pemancing merasai adrenalina tulen lariannya dan jika berjaya mendaratkannya, pastinya menjadi kepuasan peribadi.
Siakap merah merupakan spesies yang dikatakan oportunis dan makan hampir apa sahaja. Bagi pemancing, umpan yang boleh anda cuba termasuklah udang, ketam atau ikan kecil. Biasanya siakap merah akan menyerang mangsanya melalui kepala jika umpan agak besar. Bagi siakap merah yang dewasa berhadapan dengan umpan seperti udang, biasanya spesies ini akan terus membaham keseluruhan udang dalam sekelip mata.
Siakap merah juga menjadi antara hidangan yang bernilai tinggi. Spesies ini memiliki rasa yang sangat lazat lebih-lebih lagi jika masih segar.
Jenahak merupakan salah satu spesies ikan pancingan yang cukup dikenali di negara kita. Spesies ini merupakan antara spesies ikan yang menjadi idaman kepada mana-mana kaki pancing. Kehebatan tentangan di hujung kail spesies jenahak bukanlah merupakan sebab utama spesies air masin ini menjadi buruan, sebaliknya nilai komersial spesies Lutjanus johnii ini melonjak ialah dek kerana rasa isinya yang sedap.
Bagi pemancing yang mempunyai obsesi yang tinggi terhadap spesies ikan jenis snapper ini pastinya pernah mendengar gelaran seperti jenahak bantal atau bantal emas yang merupakan nama timangan khas ikan bersisik emas ini.
Biarpun tidak memiliki abiliti melawan yang luar biasa seperti spesies ikan sukan yang lain, mana-mana pemancing yang berjaya menaikkan si bantal emas ini pastinya merasakan kepuasan yang tersendiri. Ibarat sudah boleh tidur lena dengan ‘bantal emas’ tersebut.
Secara global, spesies jenahak dikenali dengan nama John’s snapper. Nama Golden snapper juga merujuk kepada spesies jenahak namun beberapa spesies snapper lain juga mendapat gelaran yang sama di sesetengah tempat.
Sesetengah kawasan seperti Australia menggelar spesies ini dengan nama Fingermark bream, merujuk kepada tanda tompokan hitam pada badannya. Selalunya, John’s snapper digunakan untuk merujuk spesies L. johnii yang besar atau dewasa sementara Fingermark bream merujuk kepada juvenil spesies ini.
Keadaan ini serupa dengan lapangan pancing kita dalam soal kekeliruan sama ada ikan jenahak dan ikan tetanda merupakan spesies yang sama atau berlainan. Jadi, dalam kekeliruan ini, dapat disimpulkan jenahak dan tetanda merupakan spesies ikan yang sama.
tetanda
TABURAN SPESIES
Pola taburan spesies jenahak boleh ditemui di kebanyakan kawasan perairan barat Indo-Pasifik. Golden snapper boleh ditemui bermula dari Afrika Timur hingga ke Fiji serta utara Pulau Ryukyu dan selatan Australia.
Di perairan Malaysia, spesies ini boleh ditemui di kebanyakan perairan dari kawasan muara hingga ke laut lepas. Bagi kaki pancing, spot memburu jenahak lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat terutama di sepanjang Selat Melaka.
Spot-spot berstruktur seperti kapal karam, kawah, lopak di laluan kapal Selat Melaka, batu karang antara spot pilihan kaki pancing mencari si bantal emas ini.
MORFOLOGI
Daripada segi morfologi luaran, spesies jenahak mempunyai warna badan yang agak memukau. Sisik ikan jenahak biasanya berwarna kuning perak hingga keemasan bergantung kepada persekitaran. Warna badannya akan bertukar kepada warna putih perak apabila dilihat pada bahagian bawah badan dan kepalanya.
Tompokan berwarna hitam pula dapat dilihat pada bahagian antara garisan lateral dan di anterior sirip dorsal lembutnya. Tompokan hitam ini biasanya bersaiz lebih besar daripada diameter matanya dan beransur pudar apabila dewasa. Bahagian dorsal kepalanya berbentuk sedikit curam hingga ke mulut. Duri pada sirip dorsalnya berjumlah 10 manakala jumlah pada dorsal lembut pula antara 13 hingga 14.
Spesies jenahak biasanya mampu membesar sehingga panjang 1 meter biarpun spesimen yang sering ditemui mempunyai panjang sekitar 50 cm. Beratnya pula mampu mencecah sehingga 10 kg dalam persekitaran yang ideal. Terdapat juga kekeliruan antara spesies L. johnii dan Lutjanus ehrenbergii namun pengelasan saintifik oleh Bock pada 1996 mengatakan keduanya merupakan spesies berbeza. L. ehrenbergii hampir menyerupai L. johnii, seperti ikan tetanda yang kita sering lihat. Namun garisan sisik dan warna spesies ini berbeza.
L. ehrenbergii
HABITAT DAN EKOLOGI
Habitat bagi spesies ikan tropika ini lebih tertumpu kepada kawasan berkarang dan juga kawasan perairan yang mempunyai struktur bagi jenahak dewasa. Bagi jenahak juvenil pula, lebih mudah ditemui di kawasan muara, paya bakau dan kadangkala boleh ditemui jauh hingga ke kawasan air tawar yang berarus. Jadi, spesies ini boleh dikategorikan kepada spesies ikan marin dan air payau (brackishwater) bergantung kepada tumbesarannya.
Spesies jenahak merupakan spesies ikan yang bersifat oceanodromous di mana spesies ikan begini merupakan ikan yang bermigrasi bergantung kepada kitaran hidupnya. Selalunya, migrasi jenahak berlaku ketika mengawan serta disebabkan kawasan pemakanannya. Oleh itu, terdapat pola taburan yang merata-rata spesies ini di kebanyakan perairan di seluruh dunia.
Dalam memburu mangsanya, spesies snapper ini akan memilih kawasan trofik berkarang lebih-lebih lagi kawasan perairan yang mempunyai turbiditi atau kekeruhan yang tinggi. Spesies ini juga boleh ditemui dalam kedalaman sehingga 80 meter.
Spesies ini yang menghuni ke dalam lebih 10 meter biasanya terdedah kepada kerosakan fizikal pada tisu badan iaitu Barotrauma yang menyebabkan pelampung (air bladder) dalam badannya terkeluar. Hal ini sering berlaku dan dapat dilihat terutama ketika aktiviti memancing.
DIET
Dalam rantaian makanan dalam persekitaran ideal, si bantal emas ini merupakan tertiary consumer, yang bermaksud pemangsa karnivor unggul yang menghuni carta teratas dalam piramid makanan. Ini bermaksud, jenahak dewasa merupakan ikan karnivor yang menjadikan karnivor lain atau pemangsa kedua sebagai mangsanya.
Diet utama bagi spesies ini tertumpu kepada ikan bertulang, ikan pelagik, udang dan ketam. Selain itu, organisma bentik atau zoobenthos seperti mysids dan cephalopod juga menjadi diet bagi spesies ini bergantung kepada kitaran hidupnya.
TAKSONOMI
Kingdom : Animalia
Phylum : Chordata
Class : Actinopterygii
Order : Perciformes
Family : Lutjanidae
Genus : Lutjanus
Species : Lutjanus johnii (Bloch, 1792)
Nama lain : Jenahak, Jenahak tanda, Jenak, Tetanda, John’s snapper, Golden snapper
Selain ikan kayu (aya kurik / tongkol putih), aya hitam, aya selasih, aya mata besar, aya sirip kuning, aya sirip biru dan aya tenggiri adalah rangkaian ikan yang lebih dikenali panggilan tuna di kalangan masyarakat luar.
Badan aya kurik berbentuk peluru ‘turpedo’ yang padu dan mantap. Mulutnya mampu membuka luas mudah menelan seekor kembong, dan dibarisi gigi-gigi tajam berlapis atas dan bawah.
Ia mempunyai jalur hitam putih yang tidak sekata di atas badan selepas garis lintang dan bermula dari hujung sirip pektoral.
Bentuk dan corak jalur hitam putih inilah yang membezakan aya kurik, aya selasih dan aya hitam. Warna putih mendominasi bahagian bawah badan aya kurik ini dan berbadan gempal dan sedikit gemuk berbanding aya selasih.
Sirip dorsal pertama dan kedua terpisah antara satu sama lain. Sirip-sirip kecil (finlets) hadir selepas sirip dolsal kedua membawa ke pangkal ekor (atas dan bawah).
Pangkal ekor pula terdapat sisik yang keras di tengah pangkal ekor (median keel) yang mampu melukakan tangan jika dikendalikan secara tidak betul.
Ikan aya adalah jenis spesies yang mempunyai darah yang banyak, hanyir sedikit kesan dari bau darah yang berlebihan, cepat mati apabila berada di luar air dan kurang menggelepar seperti mana ikan karang.
Biasanya tongkol ini meronda di lautan yang mempunyai suhu air di antara 18 °C hingga 29°C. Gemar meronda dalam kumpulan yang besar dengan saiz purata 2 hingga 4 kilogram setiap ekor. Rekod terbesar untuk aya kurik ialah 6kg atau 68cm panjang.
Biasanya mengekori kumpulan ikan bilis yang menjadi sumber diet utama. Membiak dari bulan Ogos hingga Oktober di sebelah pantai Timur membawa ke arah perairan Sabah.
Profil Ringkas
Nama Lain: Tongkol, Kayu, Bakulan
Ciri Fizikal: Bentuk badan seperti selinder (peluru), mulut besar dilengkapi gigi-gigi halus. Ekor tirus bercabang dan spesies ini mempunyai lima sirip dorsal dan anal kecil dekat bahagian ekor.
Diet: Gemar makan ikan bilis dan anak-anak ikan pelagik lain.
Habitat: Permukaan air dan persisiran pantai melebihi 20km.
Taburan: Bergerak dari Laut Jepun Ke Australia, Terusan Suez dan seluruh Asia Tenggara.
Tempatan: Pantai Timur, Sabah dan Sarawak, Pantai Barat taburannya lebih ketara dari Pulau Jarak ke arah Tukun Perak.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...