Sebut sahaja udang galah (Macrobrachium rosenbergii), pasti terbayang bermacam-macam perkara tentangnya. Dari keseronokan dan cabaran memancingnya, tentang habitatnya yang dikatakan berkongsi dengan sang buaya & kesedapan rasa isinya . Sehinggalah tentang harganya yang mahal.
Bercakap soal harga, tidak dinafikan udang galah merupakan hidupan air tawar yang mahal harganya. Harga pasaran bagi sekilogram udang galah liar kini boleh mencecah harga hingga RM80 sekilogram bergantung pada gred saiznya.
Udang galah kini antara hidupan yang bukan mudah diperoleh di pasar-pasar basah. Jika adapun udang galah yang dijual di pasar adalah udang galah ternak atau yang dijala dan bubu oleh nelayan sungai. Dan biasanya ia bersaiz kecil.
Ads
Bagi udang galah liar dan bersaiz kasar, permintaannya amat tinggi. Kebiasaannya, ia telah pun ditempah oleh kedai-kedai makan atau restoran serta ditempah awal oleh mereka yang mengidamnya.
HABITAT UDANG GALAH
Selain sungai berdekatan dengan muara, udang galah sebenarnya turut mendiami sungai di kawasan tengah dan hulu, tasik dan juga lombong. Jadi jangan hairan sekiranya jika anda memperolehi udang galah di lokasi-lokasi ini. Disebabkan faktor inilah juga, udang galah kini sudah mula diternak dan dikomersialkan di kolam-kolam berbayar.
Ads
LUBUK UDANG GALAH
Udang galah merupakan jenis perayap di dasar, gemar mengikut arus dan pusaran air untuk mencari makanan. Jadi sebab itulah paling mudah untuk menduganya, carilah lokasi seperti di bawah timbunan sampah, kayu, lubuk airnya yang berpusar perlahan, celahan akar-akar pokok, batang pokok nipah, di kawasan rumah rakit dan sebagainya.
Ads
MUSIM UDANG
Memancing udang galah tiada musim tertentu. Begitu pun waktu terbaik untuk memancingnya ialah pada musim kering (bukan musim hujan). Bagi sungai di kawasan muara, waktu puncak adalah bila berakhirnya hari hujan lebat di kawasan hulu.
Udang galah dikatakan turun dibawa air ke bahagian hilir dan akan mudik semula ke hulu apabila muara sungai kembali payau dan masin.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Trip mancing ini sebenarnya dah lama tapi saja nak up sebagai kenangan antara kami berlima. Berbeza dengan trip yang pernah hadapi, trip ini adalah yang mencabar buat kami berlima. Bukan mencabar sebab menghadapi ribut, tetapi kami berhadapan dengan keadaan air laut permukaan umpama cermin… tiada angin panas terik dengan arus yang tidak bergerak.
Walau bagaimana pun kami dengan sedaya upaya memujuk ikan dasar atau sedap panggil ikan sisik. Sememangnya ikan sisik menjadi spesies sasaran utama setiap kali kami berjigging di Port Dickson.
Pembuka selera seawal pagi Abam Mie Nderk dapat menjinakkan si baracuda anggaran sekilo lebih.. ia sedikit sebanyak buat kami bertambah semangat. Sangkaan kami meleset, tiada sekor ikan selepas itu yang dapat kami pujuk terutama ikan dasar.
Menyedari situasi yang amat kurang memberangsangkan, skipper tersohor Shariman Are-pex mengambil keputusan drastik mengubah teknik pancingan apung.
Kami berlima seolah-olah menjadi pekerja part time membersihkan sampah sarap di permukaan laut, hasilnya sangat memberangsangkan. Ikan pecah periuk atau ikan patipok berjaya kami daratkan dengan keadaan agak kelam-kabut sedikit, kami berlima strike serentak.
Selepas habis mengerjakan ikan patipok kami bergerak menuju ke arah lain pula. Trit… trit… trit… bunyi menandakan ikan berada di dasar laut. Kami meneruskan teknik jigging, namum si talang yang menyambar jig. Hafizuliz Amri Ariffin berjaya memujuk saiz talang raya yang sangat besar.
Manakala saya jugak berjaya memujuk talang menggunakan set light jigging, memang osem kena buli teruk (jangan kecam abam). Hahahha.
Sesi petang pula kami mencari spesies senangin. Sekali lagi Abam Mie berjaya menjinakkan senangin bersakala 3kg. Situasi yang lucut… rabak jig sangkut tidak terkira.
Akhirnya saat kecemasan Shahrul Nizam berjaya menaikkkan baracudda bersakala 6kg. Kami semua gumbira…. hahahaha.
Biarpun hasil tidaklah seberapa namun ia tetap menggembirakan kami. Kalau nak kira ia satu hasil yang padu juga jika nak dibandingkan dengan factor air pada hari tersebut. Kalau kumpau sekali pun ia tetap menggembirakan kerana bukan selalu kami dapat mancing bersama.
Kejayaan sesuatu trip itu lazimnya bergantung kepada perancangan dan persiapannya. Lazimnya begitulah.
Namun tak bermakna tanpa perancangan dan persiapan rapi sesuatu trip itu akan berakhir dengan kumpau berdarah.
Sebaliknya, trip yang dirancang dan penuh siap siaga itulah yang berakhir dengan kumpau berdarah manakala trip ad hoc pula yang sukses terlampau.
Dan inilah yang penulis alami ketika dalam satu sesi lawatan santai ke utara tanah air.
Apabila dipelawa oleh rakan baik untuk menemani beliau ke Sungai Petani dalam pertemuan dengan pengasas produk Tokwan Iron Lure, penulis menerimanya dengan bersyarat.
Sehari daripada jumlah hari lawatan tersebut adalah hari memancing. Setelah dipanjangkan perkara tersebut, biarpun kesuntukan masa dapat juga Tokwan mencari spot larangan haruan mega yang macam cendol banyaknya.
Oleh yang demikian kami bertiga bertolak ke Sungai Petani dengan kelengkapan untuk bermain haruan saja.
Uniknya apabila pemancing berurusan dan bertemu dengan pemancing ini, urusan bisnes atau apa saja urusan penting lainnya menjadi urusan sampingan, sebaliknya memancing pula yang menjadi urusan nombor wahid.
Bukan satu tapi 3 spot telah diatur oleh Tokwan untuk kami pilih. Sama ada bermain haruan mega, sudahlah mega macam cendol pula di spot larangan A.
Land base casting di sungai larangan B atau menerjah bekas lombong yang memiliki reputasi menyeramkan kerana toman-toman yang ada tidak dapat dipastikan saiznya kerana saiz mata toman itu saja sudah sebesar roti canai!
Namun kami sepakat sekata untuk bermain haruan di spot larangan A saja meskipun terbawa-bawa ke dalam mimpi kisah toman yang matanya sebesar roti canai.
Seawal pagi keesokannya, atas sebab-sebab teknikal kami tidak diberi akses untuk memancing di spot larangan A.
Kami hanya dibenarkan memancing di kawasan pinggirannya saja. Spot haruan mega juga tapi yang mega-mega sudah pun dipunggah.
Memandangkan spot di sungai larangan B juga dilarang masuk pada hari tersebut dan gerun untuk ke lokasi toman yang matanya saja sebesar roti canai, kami bersantai sajalah di spot haruan mega yang sudah dipunggah orang.
Menjelang tengah hari seperti terhidu kekecewaan kami, Tokwan pantas merencana perancangan baru.
Sejurus selesai makan tengah hari di Bedong kami terus ke Jeniang untuk menjemput player Tokwan yang arif dengan spot casting belida bintik di Kubang Sepat, Jitra.
Tak sangka pula jarak dari Bedong ke Kubang Sepat sekitar 70 kilometer juga dan mengambil masa satu jam perjalanan.
Dalam masa yang singkat juga Tokwan berjaya mengumpul pemancingpemancing atau player beliau sendiri dari grup Akula bagi menyertai komplot casting belida bintik.
Dan spot yang dikhabarkan banyak belida didaratkan oleh grup Akula sebelum ini adalah di kawasan tandop atau kunci tali air Alor Biak dalam mukim Kubang Sepat.
Memandangkan sesi trip ad hoc atau komplot casting belida bintik yang tak dirancang ini kami tiada sebarang persediaan gewang untuk diguna pakai, Tokwan So’do dan custom blade atau Tokwan Blade yang masih dalam proses ujian atau prototype akan digunakan.
Ternyata spot belida bintik merupakan kawasan awam yang terbuka untuk umum. Pada mulanya penulis seperti sukar untuk terima akal bagaimana belida bintik boleh dipancing dengan mudah di tali air atau saliran di sepanjang jalan Sungai Korok ke Jitra tersebut.
Tambah pula dengan menggunakan bilah besi kontot seberat 3.5gm.
Ikan yang diburu pula adalah bersifat nokturnal atau hanya aktif pada waktu malam. Hanya kerana rekod peribadi penulis agak baik dalam menggunakan blade suatu ketika dahulu, membenihkan sedikit keterujaan untuk menguji prototype Tokwan Blade.
Rakan baik saya yang masih dalam mood hanyir menjadi pembuka tirai petang itu.
Hasil casting berhampiran longgokkan pokok kangkung dan tumbuhan terapung berjaya juga beliau menarik keluar belida bintik yang dipercayai spot di bawah tumbuhan tersebut yang redup dan gelap merupakan kediamannya pada siang hari.
Meskipun dikatakan pergerakan belida ini agak lembap pada siang hari namun apabila terkena mata kail tentangan yang diberi ternyata menyeronokkan juga.
Apabila matahari semakin menurun, dan kelibat belida bintik semakin galak bermain main maka semakin banyaklah aksi strike dapat disaksikan. Hanya dipisahkan berjaya atau tidak mendaratkannya saja.
Seekor belida bintik mega turut berjaya diheret hingga ke tepi air namun kelewatan penulis tiba untuk sesi fotografi menyebabkan belida tersebut berjaya meloloskan diri.
Dan penulis sendiri berjaya juga mendaratkan seekor. Walaupun saiznya kecil saja namun ia sudah dianggap sebagai lesen casting belida menggunakan Tokwan Blade.
Meskipun tanpa perancangan dan persiapan rapi, dan tempoh memancing juga begitu singkat, hasil dari komplot ad hoc ini bolehlah dianggap sukses.
Ia mungkin boleh dianggap sebagai sukses sepenuhnya jika Tokwan atau pengasas Tokwan So’do dan Tokwan Blade ini berjaya keluar dari mood kumpau yang sekian lama memayungi beliau.
*Nota sentap: Dikhabarkan spot ini tidak lagi menjadi lubuk belida apabila ada aktiviti meracun dijalankan.
Cerita bab memancing di Malaysia, kaki pancing negara kita memang sudah amat sinonim dengan terma mengilat, pancingan dasar, pancingan pantai atau surfcasting dan beberapa teknik pancingan lain. Namun, jika disebut terma ‘coarse fishing’, mungkin kedengaran agak janggal bagi kebanyakan kaki pancing di Malaysia.
Penulis sendiri pun sebenarnya kurang pasti berkaitan teknik coarse fishing ini sehinggalah penulis bersemuka dengan salah seorang kaki pancing yang meminati coarse fishing ini. Tuan punya badan bernama Tengku Izzudin dan dialah yang menceritakan sedikit sebanyak perihal coarse fishing kepada penulis.
Tengku Izzudin merupakan seorang peminat teknik coarse fishing. Secara peribadi, penulis berani mengatakan bahawa dia merupakan antara beberapa figura terawal yang meminati dan mendalami ilmu teknik pancingan ini di Malaysia. Tidak keterlaluan jika hendak dikatakan dia antara ‘otai’ coarse fishing di Malaysia ketika ini.
MINAT BERMULA DI ENGLAND
Tengku Izzudin juga sempat berkongsi cerita bagaimana timbul minat dalam dirinya untuk terjebak ke dalam coarse fishing. Menurutnya, dia yang melanjutkan pengajian di Nottingham University merupakan seorang yang memang minat memancing sejak kecil. Ketika tinggal di Caterham, England, dia sering turun memancing ikan menggunakan teknik pancingan layang.
Sewaktu di universiti berkenaan, dia melihat komuniti pemancing di sana kurang menggunakan teknik pancingan layang sebaliknya ramai menggunakan teknik seakan-akan pole fishing. Dari situ, timbul rasa ingin tahu berkaitan teknik pancingan ini. Daripada rasa ingin tahu itulah, timbul pula keinginan untuk mempelajari dan mencuba sendiri teknik pancingan coarse fishing.
Ketika mula-mula mendalami ilmu pancingan coarse fishing, terdapat sebuah kedai pancing yang menjadi tempat untuknya mendapatkan peralatan pancing. Malah, pemilik kedai pancing yang diberi nama Super Tackle itu jugalah menjadi tempat rujukan hal-hal berkaitan teknik coarse fishing selain pemancing tempatan di sana.
Setelah beberapa lama mempelajari teknik coarse fishing, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini dapat mempraktikkan teknik ini dengan baik. Kesungguhannya meminati dan mempelajari teknik ini juga berbaloi apabila kedai pancing Super Tackle itu pernah menaja Tengku Izzudin untuk beberapa pertandingan coarse fishing di sana.
Sekitar tahun 1999, Tengku Izzudin pulang kembali ke tanah air termasuklah membawa semua peralatan pancing termasuk coarse fishing.
SERBA SEDIKIT PERIHAL COARSE FISHING
Semasa pertemuan kami, Tengku Izzudin sempat menerangkan serba sedikit kepada penulis berkaitan coarse fishing. Coarse fishing merupakan teknik yang berasal dari Eropah dan didefinisikan sebagai teknik pancingan (rod dan tali) semua ikan air tawar kecuali trout dan salmon. Oleh kerana spesies berkecuali tadi tiada di Malaysia, maka coarse fishing boleh didefinasikan sebagai ‘teknik pancingan air tawar ala Eropah’ di lapangan pancing di sini.
Teknik pancingan coarse fishing merupakan satu teknik pancing yang sangat teknikal. Teori penggunaan pilihan alatan pancing sangat penting, namun untuk aplikasi dalam lapangan itu lebih penting. Coarse fishing juga merupakan teknik pancingan aktif, berbeza dengan pancingan dasar yang berkonsep ‘baling dan tunggu’. Coarse fishing ialah teknik di mana pemancing perlu mencetuskan keghairahan ikan untuk memakan umpan.
Di Malaysia, antara spesies ikan yang boleh dijadikan sasaran menerusi teknik ini ialah spesies kap, rohu, jelawat, tilapia, lampam dan lain-lain. Pun begitu, merujuk kepada definasi coarse fishing, semua spesies ikan air tawar di Malaysia masih boleh dipancing menggunakan teknik coarse fishing.
Dalam teknik ini juga, tanda aras lebih kepada jumlah berat ikan yang ditangkap. Jadi boleh dikatakan coarse fishing merupakan teknik pancingan aktif yang mementingkan kuantiti ikan yang ditangkap. Katanya lagi, terdapat pertandingan dunia mengenai coarse fishing. Antara nama yang pernah menjadi juara pertandingan coarse fishing dunia ialah Steve Ringer dan Tamas Walter.
PANDANGAN DAN HARAPAN COARSE FISHING DI MALAYSIA
Sebelum menamatkan perbualan, penulis sempat bertanyakan harapan Tengku Izzudin tentang hala tuju coarse fishing di Malaysia. Secara peribadi, dia melihat perkembangan yang positif soal sambutan kaki pancing terhadap coarse fishing. Lebih-lebih lagi sejak wujudnya klinik dan bengkel berkaitan coarse fishing.
Bagi jangka masa panjang, dia berharap sambutan terhadap coarse fishing berterusan. Dengan pengurusan dan sambutan yang positif, Tengku Izzudin berharap pemancing Malaysia dapat menghasilkan satu pasukan pemancing coarse fishing untuk bersaing dalam kejohanan dunia.
Secara peribadi, penulis berasakan harapan Tengku Izzudin itu tidak mustahil menjadi realiti satu hari nanti kerana dia sendiri sudah pun bersaing dalam pertandingan coarse fishing.
Biografi ringkas
Nama : Tengku Izzudin Bin Tengku Ismail
Asal : Lahir di Kuala Lumpur
Umur : 41 tahun
Kerjaya : Jurutera
Pengalaman penulisan artikel memancing : Rod n Line, Sirip, The Star, The Asian Angler
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...