Ikan susu atau milkfish dengan nama saintifiknya Chanos chanos adalah spesies tunggal yang hidup dalam keluarga Chanidae. Walau bagaimana pun spesies ini mempunyai banyak nama umum. Di Hawaii ia dipanggilkan ‘awa’. Di Indonesia ia dikenali sebagai ‘bandeng’ dan juga ‘bolu’. Sementara di Filipina pula ia merupakan ikan kebangsaan dengan nama ‘bangus’.
Taburan Chanos Chanos atau ikan susu ini meluas di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, dari Afrika Selatan ke Hawaii dan Marquesas, dari California ke Galapagos, utara ke Jepun, selatan ke Australia. Dari Asia Tenggara termasuklah negara kita Malaysia. Ikan susu lazimnya hidup di perairan marin luar pantai tropika di seluruh pulau dan di sepanjang tebing benua, pada kedalaman 1-30 meter. Spesies ini turut sering memasuki muara sungai dan sistem sungai-sungai berair payau.
IKLAN
Ikan susu mampu membesar panjang sehingga 1.80 meter (5 kaki 11 inci), namun spesimen yang sering ditemui tidak lebih daripada 1 meter (39 inci) panjang. Ia boleh mencapai berat sehingga 14 kilogram pada kemuncak usia 15 tahun. Dari aspek morfologi, spesies ini memiliki badan memanjang dan hampir mampat atau padu dengan penampilan simetri. Ikan susu memiliki satu sirip dorsal, sirip pektoral berbentuk sabit dan sirip kaudal bercabang besar. Bermulut kecil tanpa gigi seiras ikan rohu. Memiliki badan berwarna hijau buah zaiton, sirip keperakan dan sempadan sirinya agak gelap. Ia turut memiliki 13-17 segmen sirip dorsal yang lembut, 8-10 segmen sirip anal yang lembut dan 31 segmen lembut pada siri anal atau dubur.
IKLAN
Spesies ikan susu atau milkfish ini lazimnya memakan cyanobacteria, alga dan invertebrata kecil. Mereka cenderung berkumpul dan berlegar sekitar pantai dan pulau-pulau berterumbu. Ikan-ikan susu juvenil mendiami di lautan untuk suatu tempoh dua hingga tiga minggu sebelum bermigrasi ketika masih berstatus juvenil ke kawasan payau bakau, muara dan kadangkala tasik dan kembali ke laut lepas untuk proses kematangan seksual dan membiak. Ikan-ikan susu betina bertelur pada waktu malam dan berupaya melepaskan 5 juta telur di perairan laut cetek.
IKLAN
Ikan susu juga merupakan makanan laut yang terkenal di Asia Tenggara dan beberapa Kepulauan Pasifik. Justeru ia ditangkap secara komersial oleh nelayan dan mudah diperoleh di pasaran. Dalam dunia joran dan kekili, pancingan ikan susu tidaklah menjadi satu cabang memancing yang dikuti ramai. Namun bagi pemancing yang pernah merasai tarikan ikan susu yang berdesup seperti torpedo, pasti akan kecanduan untuk terus memburunya.
Ikan gerut-gerut dan tebal pipi merupakan dua spesies yang tergolong dalam keluarga besar Haemulidae. Begitu juga genus (Pomadasys) dan hanya berbeza spesies.
Ikan gerut-gerut dan tebal pipi mendapat nama jolokan grunts berikutan kemampuan mereka menghasilkan atau mengeluarkan bunyi yang kuat (groot… kooot koot) dengan melaga atau menggesel gigi pharyngeal mereka.
Boleh dianggap mereka ini bersaudara rapat yang banyak berkongsi persamaan seperti rupa dan habitat. Namun masih banyak juga perbezaan antara kedua-dua spesies ini.
Perbezaan yang paling ketara antara tebal pipi dan gerut-gerut ialah pada bahagian pipi (operculum) dan warna sirip. Gerut-gerut mempunyai bahagian setara di muka, pipi atau bahagian penutup insang rata dan tidak menonjol keluar.
Memiliki warna badan perak keemasan, warna tompok-tompok hitam pada bahagian atas dan bahagian ekor berwarna putih dan hitam di bahagian hujung. Manakala tebal pipi mempunyai bahagian penutup insang membengkak pada tulang pipi serta menonjol keluar.
Badan berwarna perak dan kekuningan di bahagian bawah terutama sirip dorsal, sirip bahagian bawah badan dan sirip kaudal atau ekor. Kombinasi warna badan lebih cantik dari gerut-gerut, mempunyai serta badannya lebih gempal.
Kebiasaannya gerut-gerut juvenil mudah diperoleh dan dianggap sebagai pengacau umpan oleh pemancing.
Ini jarang berlaku kepada tebal pipi juvenil mungkin disebabkan ini kerana gerut-gerut mempunyai beberapa spesies berlainan walaupun bentuk hampir sama dan bilangannya lebih banyak dari tebal pipi.
Spesimen gerut-gerut yang mudah diperolehi sekitar 100 hingga 500 gram. Untuk memperoleh spesies yang lebih besar, biasanya ditemui di perairan yang lebih dalam di bahagian paloh atau laluan alur utama sungai atau terkeluar sedikit dari muara terutama serta kawasan pulau pesisiran pantai. serta laut bebas.
Sementara tebal pipi jarang ditemui di perairan cetek dan saiz yang biasa diperoleh agak besar dari 1 hingga 3 kg.
Dari segi rasa pula, tebal pipi mempunyai isi yang lebih sedap berbanding gerut-gerut dan harganya juga begitu.
Namun agak sukar untuk mendapatkan tebal pipi di pasaran kerana ia amat sukar diperoleh berbanding gerut-gerut.
Perancangan untuk memancing di Sungai Bernam telah lama kami bincang. Cuma halangan masa membatasi kami. Maklumlah kami berempat berbeza kerjaya. Namun, cuti panjang sempena beberapa cuti umum baru-baru ini menemukan kami semula.
Hasilnya, kami membuat keputusan untuk pergi memancing pada hari pertama bercuti. Semua alatan joran memang sudah tersedia di dalam bonet kereta masing-masing. Kalau sudah digelar kaki pancing, memang itu adalah benda wajib yang perlu dibawa ke mana sahaja walaupun dalam mood bercuti.
Seawal jam tujuh pagi, kami berempat berkumpul di gerai Cek Ta di simpang jalan. Di sini aku sempat bertanyakan kepada beberapa orang pak cik yang duduk makan di situ tentang Sungai Bernam.
Masing-masing mengakui memang banyak spesies ikan yang ada di situ termasuklah baung, sebarau, tengas, lampam dan juga kelah. Cuma, kata seorang pak cik yang dikenali dengan nama Pakcik Dolah, kami dinasihatkan supaya berhati-hati. Kawasan hulu dikatakan agak keras dan misteri.
Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda. Jalan tanah merah dan berbukit menjadi cabaran pertama kami. Nasib baik tidak becak. Setengah jam melalui jalan merah yang berbonggol itu akhirnya kami tiba di hujung jalan mati. Hanya kenderaan seperti motosikal yang boleh melalui denai kecil yang ada di situ.
Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya hanya 200 meter dari situ. Memercik peluh jantan saya mengusung alatan memancing dan sebuah khemah bentuk A. Sebenarnya hajat kami untuk bermalam sekiranya hasil tangkapan memberangsangkan.
Haikal memilih sebuah kawasan lapang yang mempunyai batu besar di depannya. Sungai di kawasan hulu ini agak berbatu dengan airnya mengalir deras. Kesunyian hutan kadang-kadang dipecahkan dengan bunyi jeritan sang ungka berbulu merah yang galak bergayut dari dahan ke dahan.
Keletihan berjalan tidak melunturkan semangat kami untuk mencuba aksi penghuni di Sungai Bernam ini. Kami mencuba teknik mengilat di kawasan berbatu ini. Hasilnya memang tidak mengecewakan apabila masing-masing menaikkan sebarau yang seberat 800 gram-1 kilogram setiap seekor. Boleh tahan!
Menjelang petang, kami berempat mengambil keputusan untuk bermalam. Saya menanak nasi manakala Budin pula membersihkan enam ekor ikan sebarau yang akan dipanggang dan di cicah sambal kicap yang telah disediakan oleh isteri Haikal.
Selesai menanak nasi, barulah aku mengambil wuduk di tepi anak sungai. Ketika itu kawasan sekitar sudah menjadi gelap dan agak suram. Nasib baiklah aku sudah mengumpulkan ranting dan dahan kayu yang akan dibakar untuk menjadi unggun malam ini. Nak diharapkan pada pelita ayam yang dibawa, berapa sangat nak diterangkan kawasan yang ada.
Selesai solat Maghrib, aku menyediakan juadah. Tiga orang sahabatku sudah tidak nampak kelibat lagi. Mungkin mereka sedang berehat di dalam khemah. Aku tidak kisah sangat kerana aku tahu masing-masing keletihan dengan aktiviti yang padat hari ini.
Ketika sedang menyuap nasi yang terakhir, aku mula terbau wangi seolah-olah harum kemboja. Ada kalanya bau itu bertukar menjadi bau minyak atar dan bau kenanga putih. Aku tidak mempedulikan semua itu.
Ikan sebarau panggang berbaki seekor yang berminyak itu aku ambil untuk meratahnya lalu aku cubit isi dagingnya dan ku cicah dengan sambal kicap. Fuhh, memang nikmat, tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.
Ketika sedang melayan keenakan isi ikan sebarau itu, ekor mataku dapat menangkap satu lintasan orang yang berjalan bertongkat. Berderau darahku apabila mengangkat kepala, seorang nenek tua, memakai baju kebaya yang agak usang dengan berkain batik sedang memandang ke arah aku sambil tersenyum.
Dia menggenggam sebatang tongkat yang diperbuat daripada kayu cengal rasanya. Tongkat itu sedikit bengkok namun berbonjol bulat di atasnya.
“Jemput makan nek,” spontan aku bersuara walaupun sedikit gugup. Entah kenapa aku tidak rasa takut sedikit pun. Di dalam hati, aku mengulang-ulang membaca ayat Qursi tanpa henti.
“Makanlah cu. Terima kasih kerana tidak membuat onar di sini,” jawabnya perlahan dan agak tersekat-sekat. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Minta maaf kalau saya mengganggu kawasan nenek. Saya cuma mencari sedikit rezeki di sini,” kataku lembut. Aku perasan mata nenek bertongkat cengal ini agak merah dan ke dalam. Tudung putih yang dipakai pula bergoyang ditiup angin.
“Tak apa. Nenek izinkan. Kita semua makhluk Allah. Esok selepas cucu dapat apa yang cucu mahu, pulanglah dengan selamat”.
“Errrrr nek….” Aku segera memintas katanya. “Saya teringin nak makan ikan kelah. Di sini takde ikan kelah ke?” berani betul aku meminta.
Nenek tua itu tidak menjawab. Dia hanya senyum dan berjalan perlahan. Lima saat kemudian, dia hilang dari pandangan. Hanya kabus nipis yang tinggal di tempat akhir dia berdiri.
Aku tidak lalu makan. Perasaan mula berbaur. Rasa takut, seram, hairan mula menghantui di benakku. Hairannya tiga lagi orang kawanku seolah-olah tidur mati. Kenapalah aku yang dipilih untuk merasai kejadian aneh ini???
Aku tidur dalam keadaan gelisah. Bayangan nenek tua bertongkat yang aneh dan bau-bau harum membuatkan tidurku tidak tenang sepanjang malam. Namun syukurlah tiada lagi kejadian aneh yang berlaku selepas itu.
Usai solat Subuh, aktiviti memancing kami sambung semula. Sesuatu yang menghairankan, pagi itu gewangku dimakan oleh ikan kelah yang bersaiz besar. Peristiwa ini tidak berlaku pada tiga sahabatku yang lain. Aku memanjat kesyukuran di atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.
Kami berempat balik dengan tangkapan yang agak luar biasa hingga kami dapat menjual sebahagian hasil tangkapan dan mendapat untung yang lumayan. Sesungguhnya aku mengerti, di bumi ini kita memang berkongsi tempat dengan makhluk Allah yang lain. Dan aku, antara mereka yang sudah merasai pengalaman ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...