(Oleh: Pokmud)

Morfologi

Dikenali dengan nama umum malabar trevally (Carangoides malabaricus), ikan ini dan beberapa spesies dalam keluarga yang sama (trevally fish) juga di panggil cermin oleh

kebanyakan nelayan dan pemancing. Antaranya ialah Carangoides dinema (shadow trevally) dan carangoides equula (whitefin trevally).

 

Perbezaan tidak begitu ketara kecuali diamati betul-betul perbezaan ekor dan sirip di kalangan ikan ini.

Rata-ratanya berbentuk bulat leper dan berwarna cerah kehijauan pada bahagian atas, setengah kehitaman di bahagian mulut ke bawah, badan melebar nipis serta bintik-bintik hitam kecil di bahagian perut.

Sesetengah kawasan ia di panggil rambai, etek, betek, putih.

 

Cermin selalu diibaratkan ikan yang cerah dan berkilat sesuai dengan nama yang di berikan. Pada dasarnya ia kelihatan leper melebar dan agak bulat keseluruhan badannya.

Ebek, sagai, retek dan cermin berbeza bentuk badan dan paling ketara ialah saiz dan bentuk sirip dorsal di mana cermin dan retek lebih pendek berbanding sepupunya.

 

Berwarna keperakan cerah, sirip dorsal kedua dan sirip dubur memanjang hingga pangkal ekor bercabang.

Pada bahagian perut ada sesetengahnya terdapat bintik hitam kecil di serata kawasan membawa hingga ke mulut.

 

Setengahnya pula seperti lebam hitam di bahagian mulut kebawah apabila mati walaupun kelihatan cerah sewaktu dinaikkan.

Sirip dorsal pertama lebih pendek dari sirip dorsal kedua. Warna putih hadir di hujung sirip anal. Tidak mempunyai gigi. Ekornya berwarna kekuningan.

 

Dikatakan hanya mencapai hayat 3 tahun sahaja dan matang pada tahun kedua. Putara saiz sekitar 500 gram hingga sekilogram lebih. Jika di perhatikan kajian ini, bermakna ia mampu membesar sehingga sekilo setahun.

 

 

Habitat Dan Tabiat

 

Taburan ikan cermin agak meluas dari Teluk Thailand membawa ke terumbu karang Australia, Lautan Hindi dari Sri Lanka ke Mauritius.

Perairan Sabah menghala ke bawah Sandakan dan Tawau serta pantai timur semenanjung mendominasi taburan di semenanjung.

 

Cermin dan keluarganya yang lain boleh tinggal dalam satu kawasan. Keluarga ikan trevally rata-ratanya gemar berkumpul di kawasan tukun, karang dan tepi pulau yang berbatu.

Kecuali jemuduk dan cupak sahaja yang gemar membuat rondaan di kawasan yang lebih terbuka di sebabkan saiz mereka mampu menjangkau berbelas hingga puluhan kilometer dan jarang menjadi pemangsa ikan lain.

 

Cermin juga boleh dijumpai merayau di kawasan unjam, benting pasir serta kawasan pinggir karang.

Ikan ini lebih tertumpu di kawasan air dengan kedalaman dari 30 kaki hingga 150 kaki dan gemar kepada perairan yang jernih.

 

Sifatnya bergerak dalam kumpulan yang besar bersama-sama dengan spesies yang satu keluarga dengannya.

Sejenis ikan karnivor dan sering bergerak mengikut kumpulan ikan dalam rantaian makanannya seperti selayang, selar yang juga merupakan satu keluarga dengannya.

 

Pada lazimnya cermin lebih tertumpu di pertengahan air, meronda dan berlegar di bawah rumpunan dedaun unjam dan mudah diintai kehadiran oleh tekong dan juruselam berpengalaman.

 

Mendiami satu lokasi pilihan seperti tepian ujnang dan atas kawasan karang seketika sebelum bergerak ke lokasi lain dalam jangka waktu yang tidak di pastikan.

Pergerakannya berkait rapat dengan sumber makanan yang berada di permukaan air. Cermin menjadikan ikan-ikan pelagik kecil, krustasea dan moluska sebagai diet utamanya.

 

Tinggalkan Komen