UMPAN: Sejak bila bergelar pengusaha peralatan memancing?
MAYEEP: Saya sebenarnya masih mentah dalam industri memancing ini. Secara rasminya pada September 2017 dengan memasarkan tali pancing (braided) atas label Mayeep.
Ads
UMPAN: Kenapa anda memilih usaha ini?
MAYEEP: Saya gemar memancing dan dalam masa yang sama ingin menjadikan hobi memancing sebagai sumber rezeki. Ianya satu kepuasan bila berbisnes dalam passion hobi kita.
UMPAN: Apa rintangan dan harapan anda dalam meneruskan usaha ini?
MAYEEP: Cabaran besar adalah ingin sebaris dan menandingi jenama-jenama besar dalam industri memancing dan harapan saya agar brand Mayeep juga mendapat tempat di
Ads
kalangan pemancing di Malaysia dengan penambahan produk-produk lain yang akan datang.
UMPAN: Ceritakan apa kelebihan produk anda?
MAYEEP: Tali benang Mayeep Muscular Line mempunyai diameter yang halus dan gagah setanding jenama-jenama besar yang sedia ada.
Ads
Selain itu Mayeep juga membuka peluang perniagaan buat kaki pancing dalam Program Usahawan Mayeep di mana mereka yang menyertai program ini akan dibimbing dari sudut jualan dan pemasaran.
Mereka akan dibantu untuk mencapai income 3-4k yang pertama dalam sebulan.
UMPAN: Cerita sedikit pecapaian membanggakan dalam memancing yang pernah diperolehi?
MAYEEP: Dalam Program Usahawan Mayeep jumlah yang berdaftar di bawah program ini sudah melebihi 100 orang pada bulan pertama. Ia satu jumlah yang membanggakan juga.
Jumlah sasaran untuk menyertai program ini pada tahun ini adalah 1000 orang usahawan. Saya yakin program ini akan berjaya mencapai sasarannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Boleh tak admin beri sedikit tip bagaimana nak casting ikan bulan dan bandang? Saya dah beberapa kali try casting guna popper dan SP tapi langsung tak usik.
JAWAPAN:
Ikan bulan (tarpon) dan bandang (ladyfish) mempunyai satu persamaan iaitu aksi akrobatik ketika bertarung dalam usaha menanggalkan mata kail yang tertancap dalam mulut. Aksi inilah yang sebenarnya membuatkan pemancing berasa seronok untuk casting spesies ini.
Bagi kedua-dua spesies ikan ini, ia boleh dipancing dengan kaedah konvensional iaitu menggunakan umpan (ikan kecil atau udang hidup) dan juga teknik moden iaitu teknik mengilat atau casting. Walau bagaimana pun teknik mengilat lebih disukai oleh pemancing masa kini.
Bagi teknik mengilat, kebanyakan kaki pancing akan menggunakan gewang mikro atau bersaiz kecil. Mungkin korang boleh cuba gunakan gewang minnow, mini popper atau spinnerbait.
Sebaik-baik gewang ialah gewang yang menyamai saiz diet spesies tersebut. Boleh juga gunakan gewang bersaiz besar tetapi potensinya mungkin tidak sebagus gewang-gewang kecil dan persembahkan gewang dengan pelbagai cara untuk memujuk ikan ini membaham gewang.
Selain gewang, umpan tiruan yang efektif ialah soft plastic dan micro jig. Anda boleh menggayakan soft plastic dengan cara karau, henti seketika, karau dan henti. Selain itu anda juga boleh cuba gunakan teknik jerk dalam persembahan soft plastic.
Begitu juga dengan teknik menggunakan mikro jig. Anda boleh pelbagai teknik sehinggalah spesies tersebut membaham gewang. Pokok pangkalnya mestilah rajin dan tidak berputus asa.
Penggunaan mata kail pula sebaiknya gunakan mata kail yang halus terasnya dan tajam. Tak perlu mata kail yang tebal dan kuat kerana apa yang penting mata kail tersebut dapat menembus pipi rahang spesies ini yang agak keras, tidak kiralah sama ada mata kail tunggal atau mata tiga.
Hari pertama hasil yang kami perolehi agak kurang kerana lubuk yang kami singgahi menjadi sarang bot pukat tunda Vietnam lalu-lalang. Hanya 4 ekor ikan merah dan beberapa spesies lain seperti kerapu, aruan tasik dan ibu kerisi yang berjaya diperolehi dengan mengaplikasikan teknik memancing secara berhanyut di siang hari.
Pada sebelah malamnya tekong hanya melabuhkan bot di kawasan karang untuk memburu spesies ikan karang. Hasil hari pertama hanya setengah tong sahaja ikan pelbagai jenis kami perolehi.
Hari pertama telah berlalu dan kami tidak berputus asa mencuba nasib hari kedua ini. Tanpa diduga, kami diserang segerombolan ikan cermin yang begitu banyak sekali. Hampir seharian kami tidak putus-putus menerima asakan sang cermin. Mujurlah ke semua ahli komplot menggunakan kekili elektrik. Kalau manual, mau ada yang lenguh tangan melayan. Boleh dikatakan lubuk kali ini sebagai “lubuk taruk makan taruk makan..”
Jatuh sahaja umpan di dasar pasti ikan cermin yang makan. Pakai 2 mata, dua-dua mata akan lekat ikan cermin ini. Dari pagi sampai ke petang kami melayan ikan cermin sampai 1 tong 200L penuh dan 1 tong 400L hampir penuh dengan ikan ini sahaja.
Tekong beritahu kami, bulan lepas beliau dapat menaikkan hasil ikan cermin sebanyak ini dengan hasil jualan cecah RM17,000 hanya untuk 2 hari saja. Memang lumayan! Tetapi harus diingat rezeki di lautan sukar diduga. Bukannya setiap masa hasil akan dapat seperti ini. Untungnya kami mendapat ‘jackpot’ ikan cermin pada hari itu.
Setelah puas melayan ikan cermin, akhirnya kami mengambil keputusan untuk bertukar ke lubuk ikan merah yang sepatutnya menjadi target kami. Untuk ke lubuk baru ini perjalanan memakan masa lebih kurang 2 jam dan oleh yang demikian kebanyakan daripada kami mengambil kesempatan untuk merehatkan badan bagi mengumpul tenaga keesokan harinya.
Hari ketiga pula, barulah hasil bot kami meriah dengan ikan-ikan gred A yang menjadi target trip kali ini seperti merah, kerapu, kerapu bara dan ibu kerisi. Setiap lubuk yang kami singgah di hari ketiga ini mesti ada penghuninya. Tak menang tangan kami menaikkan spesies target yang semamangnya menjadi idaman. Azli menjadi ‘champion’ trip kali ini apabila menaikkan ikan merah terberat trip kali ini iaitu seberat 8kg.
Rata-rata ahli komplot tersenyum puas apabila berhasil menaikkan spesis idaman. Hasil hari ketiga boleh dikatakan tong 200L penuh dengan hasil-hasil ikan gred A.
Menjelang petang, kami meminta tekong untuk singgah di pelantar terdekat untuk melayan ikan cupak. Walaubagaimanapun, di pelantar ini kami hanya dapat singgah sekejap sahaja memandangkan bekalan ais telah hampir habis. Makanya, kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti untuk mengelakkan ikan busuk.
Sewaktu bertolak balik kami terpaksa menempuh ribut barat laut yang agak kuat dengan ombak setinggi 3-4 meter. Berderau jugak kami melihat keadaan laut yang bergelora pada waktu itu. Hanya disebabkan pengalaman tekong dan bot yang besar membuatkan kami rasa agak selamat.
Masing-masing hanya berdoa dan berserah kepada yang Maha Esa agar dijauhi sebarang malapetaka. Alhamdulillah, kami selamat tiba di jeti keesokan harinya. Kesimpulan dari trip ini boleh dikatakan hasilnya agak baik dan hampir pecah tong.
Servis oleh tekong juga boleh dikatakan memuaskan kami. Awak-awaknya yang rajin dan tekong yang berpengalaman dan ada banyak lubuk simpanan menjadikan trip kali ini sukses dengan jayanya. Keadaan bot dengan keluasan 16 kaki lebar dan panjang 58 kaki juga amat bersih dan selesa untuk kami.
Kata orang-orang tua, di mana berkumpulnya udang galah yang banyak, di situ pasti ada buaya besar kerana udang galah suka ‘melepak’ di atas badan buaya. Sama ada kata-kata ini ada benarnya, saya tidak pasti. Namun saya berpegang teguh kepada prinsip, saya memancing udang galah ini hanya sekadar untuk mencari lauk bagi keluarga. Saya tidak mengganggu ‘kehidupan’ makhluk lain yang tidak kelihatan pada mata kasar!
Setelah mendapat spot yang sesuai untuk melabuhkan sampan, saya dan abang Lizam terus membaling umpan ke tengah sungai. Sambil menunggu umpan direnggut oleh sang mangsa, saya menghisap sebatang rokok yang asapnya saya niatkan untuk menghalau nyamuk yang galak berkeliaran malam itu.
Alhamdulillah, tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya mula mengena. Udang galah yang dianggap jenggo dengan anggaran berat 250 gram berjaya dinaikkan. Selepas itu, saya dan Abang Lizam bagaikan tidak cukup tangan melayan aksi penghuni sungai yang lain seperti duri, bagok dan baung. Malam itu kami bagaikan berpesta di tengah sungai.
Menjelang jam dua pagi, suasana mulai sejuk. Gerimis turun dan bulan yang tadinya indah di dada langit sudah mula ditutupi awan hitam yang tebal. Sesekali terlihat guruh di langit. Abang Lizam memberi isyarat supaya saya mengemas semua joran dan bersedia mendayung untuk balik ke jeti semula apatah lagi gerimis yang tadinya halus sudah bertukar kepada rintik kasar.
Ketika inilah, dengan dibantu oleh pancaran kilat yang sesekali datang menerpa, saya perasan di hadapan perahu saya berdiri seorang perempuan tua memakai baju kebaya berbunga-bunga dan berkain batik berwarna kuning.
Rambutnya tidak kelihatan kerana dia memakai selendang. Dia memegang sebatang tongkat yang berlingkar, sebiji seperti akar bonsai yang sering saya kutip di tengah hutan. Rasa gemuruh dan takut menyelubungi diri saya apabila saya perasan mukanya hitam legam tanpa kelihatan mata, hidung atau mulut!!
Rasa tergamam dan seram itu membuatkan saya menundukkan pandangan. Niat untuk membaca ayat-ayat suci itu ada tapi bibir saya bagaikan terkunci untuk membacanya. Otak pula bagaikan blur. Saya duduk statik di dalam sampan betul-betul seperti orang yang sudah terkena renjatan elektrik!.
Ketika inilah saya terdengar Abang Lizam mengalunkan azan sebanyak tiga kali. Setiap kali azan dilaungkan, saya ternampak perempuan tua itu menutup telinganya bagaikan sakit mendengarnya. Akhirnya jasad perempuan itu berubah menjadi asap hitam yang berkepul-kepul lalu menghilang di tengah sungai.
“Nan!!!” bahu saya ditepuk beberapa kali oleh Abang Lizam. Mulut Abang Lizam terkumat-kamit membaca ayat Qursi lalu dihembuskan ke muka saya.
“Itu syaitan Nan. Jangan takut. Dia makhluk Allah jua” kata Abang Lizam lagi. Saya mengangguk lemah. Tubuh saya masih lagi gementar dan tiada berdaya untuk mendayung.
Nasib baik Abang Lizam seakan mengerti dengan keadaan saya. Dia mendayung sehingga kami selamat sampai di jeti tepat jam 3.10 pagi. Abang Lizam juga yang memunggah semua hasil yang kami dapat masuk ke bonet kereta.
Sampai sahaja di hadapan rumah saya, Abang Lizam tidak membenarkan saya masuk terus ke dalam rumah. Dia menghulurkan sebatang rokok kepada saya. Sambil menghisap rokok, saya terdengar Abang Lizam seperti berbual-bual dengan ‘seseorang’ dengan suara perlahan. Katanya, “sampai sini sahaja kau ikut aku. Jangan ikut aku lagi. Aku tak kacau kau dan jangan pulak kau kacau aku,”.
Selepas itu, baru Abang Lizam ‘membenarkan’ saya masuk ke rumah. Saya juga diberi pesanan agar mandi dan terus tidur selepas itu.
Walaupun peristiwa ini sudah lama berlalu namun ia masih menghantui saya. Sejak kejadian itu, saya tidak berani lagi memancing udang galah pada waktu malam. Saya hanya memancing pada waktu siang itu pun dengan mengajak beberapa orang kawan untuk turut serta. Pengalaman yang saya alami itu saya anggap sebagai satu dugaan kecil dan ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus memburu si sepit biru!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...