Setiap peralatan memancing ada tempoh waktu atau jangka hayatnya. Begitu jugalah dengan tali pancing. Tidak kiralah tali tangsi atau tali sulam, meskipun jarang digunakan ia perlu diperiksa untuk menilai sama ada ia masih berfungsi dengan baik atau sebaliknya.
Tali Tangsi (monofilament line)
Walaupun tali tangsi tanpa warna (clear), ia masih boleh dikesan berdasarkan tahap kelunturan. Lazimnya tali yang sudah lama digunakan boleh dapat dikesan tahap kelunturannya. Jika tahap kelunturannya agak jelas berbeza maka ia perlulah dikeluarkan atau dibuang.
Sifat tali tangsi atau nylon monofilament ini akan kerinting apabila sudah lama digunakan. Oleh yang demikian sebaiknya buang bahagian yang telah kerinting. Sekiranya terlalu banyak bahagian yang sudah kerinting maka tukarlah tali yang baru.
Ads
Tali tangsi yang sudah lama digunakan atau banyak terdedah kepada terik cahaya matahari akan menyebabkan hilang keanjalan. Ia boleh dikesan dengan cara mematahkan tali tersebut. Sekiranya ia tidak kembali seperti biasa maka perlulah ditukar.
Lurut atau gosok permukaan tali untuk merasai sebarang kesan cela atau luka akibat geseran. Sekiranya terdapat sebarang kesan yang kurang baik maka buanglah bahagian tersebut. Sentap dan rentap tali dengan kuat. Sekiranya tali itu sudah rapuh maka ia akan putus dengan mudah.
Ads
Tali sulam (braided)
Paling ketara sebagai petanda tali sulam sudah hampir tamat jangka hayatnya adalah tahap kelunturan warna yang ketara. Jika warna asal tali adalah merah tetapi sudah menjadi pink, maka eloklah sangatlah diganti tali baru.
Ads
Sebagaimana tali tangsi, sebarang geseran atau kakisan yang berlaku akan menyebabkan tali sulam menjadi rosak dan kelihatan berbulu. Bahagian ini perlu dibuang walaupun ia masih baru.
Selain berbulu, tali yang cedera tetapi tidak putus sepenuhnya akan kelihatan genting atau diameternya mengecil. Kerosakan ini akan menyebabkan tali terputus apabila membuat sentapan kuat. Jadi ia perlu diperiksa untuk mengesannya.
Tali sulam juga juga boleh diuji tempoh hayatnya dengan cara melakukan sentapan. Jika ia putus dengan mudah maka tiada guna lagi anda menyimpan tali tersebut di dalam kekili.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Admin boleh jelaskan apa maksud kawasan tagal yang ada di Sabah?
JAWAPAN:
Tagal atau lebih tepat lagi sistem tagal merupakan satu pendekatan tradisional penduduk Sabah dalam memulihara sumber perikanan sungai. Melalui sistem itu, tiada sesiapapun dibenar menangkap ikan di kawasan sungai tertentu yang ditagalkan. Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan sogit (denda) oleh Ketua Kampung atau Ketua Daerah berdasarkan Enakmen Perikanan Darat & Akuakultur Sabah 2003.
Tagal adalah perkataan dalam bahasa Dusun yang membawa pengertian iaitu JANGAN tetapi lebih tapi dan sesuai adalah ‘DITEGAH DENGAN SUMPAH’. Kaedah tagal ini pada asasnya diaplikasikan oleh nenek moyang kaum Dusun untuk melarang agar tidak mengambil milik mereka seperti buah-buahan dan sebagainya dengan cara menanda dengan memacakkan sebatang kayu yang hujungnya ditajamkan dan menghala ke kawasan larangan tersebut.
Kaedah ini telah diguna pakai secara turun temurun sebagai tanda larangan dan tanda tersebut sangat dihormati oleh kaum Kadazan Dusun. Sistem tagal telah diadaptasikan oleh masyarakat Dusun sebagai penguatkuasaan penjagaan hidupan sungai kerana maksud perkataan TAGAL sangat mudah difahami oleh masyarakat Kadazan Dusun dan telah terbukti hanya penguatkuasaan sistem tagal sahaja yang dapat memulihkan kembali populasi ikan yang semakin berkurangan di sungai-sungai Sabah.
Sistem tagal di Sabah ini merupakan satu sistem perkongsian pintar antara masyarakat kampung dengan pihak Jabatan Perikanan Sabah dalam hal perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan sumber perikanan. Selain itu sistem tagal turut menjana pendapatan baru kepada masyarakat luar seperti eko pelancongan, sukan memancing dan sebagainya.
Peranan masyarakat kampung Jabatan Perikanan Sabah dalam usaha pembangunan sistem tagal adalah wewujudkan jawatankuasa tagal di kampung yang mempunyai sungai. Ia bertujuan melindungi dan mengurus alam sekitar sungai dan sumber perikanan sungai di kampung / zon masing-masing.
Hasil penuaian ikan yang dijalankan sekali atau dua kali setahun akan disecara sama rata di kalangan masyarakat di kampung masing-masing dan yang dituai juga dijual kepada umum untuk sumber kewangan jawatankuasa tagal di perangkat kampung tersebut.
Sesuatu yang perlu difahami, segala penangkapan kehidupan sungai dalam sungai yang telah ditagal adalah dilarang sama sekali jika tidak mencapat keizinan dari pihak jawatankuasa. Individu yang didapati melanggar undang-undang menangkap kehidupan sungai tanpa izin atau mencemarkan sungai akan didenda.
Backpack atau beg galas merupakan salah satu keperluan yang paling penting untuk melaksanakan pancingan sungai hutan pergunungan dan jungle trekking. Kesesuaian dan ketahanan sesebuah backpack adalah perkara yang memainkan peranan menentukan keselesaan anda. Perkara yang paling utama sebelum membeli sesebuah backpack, haruslah sesuai dengan saiz tubuh pemakai.
Saiz backpack
Backpack yang dipilih mestilah sesuai dengan bahagian belakang kita yang dikenali sebagai ‘Torso’. Untuk menentukan ukuran torso, anda perlulah berdiri tegak di mana kaki haruslah dibuka selaras dengan luas bahu.
Minta rakan anda mengukur menggunakan tap ukur bermula dari vertebra ke tujuh (tulang yang berada di bawah sekali di bahagian tengkuk biasanya berbonjol). Dari situ ukur hingga ke bawah mengikut kontur tulang belakang.
Untuk mencari titik akhir anda perlulah meletak kedua belah tangan anda di bahagian pinggul dengan ibu jari menghala satu sama lain. Garisan di antara ibu jari tadilah yang akan menandakan penghujung torso anda.
Amnya jika ukuran torso anda di bawah 46cm (18 inci), anda adalah bersaiz kecil. 46-51cm (18-20 inci) bersaiz sederhana dan sekiranya anda lebih daripada 51cm (20 inci) adalah bersaiz besar.
Jika saiz beg terlalu panjang, ia akan menjadikan keseimbangan dan pergerakan seseorang itu terganggu seterusnya boleh mencetuskan kecederaan kepada anggota-anggota badan seperti bahagian belakang. Juga akan membahayakan sekiranya melalui cerun yang sempit kerana gangguan kepada imbangan.
Kapasiti beban
Selepas selesai menentukan saiz dan model diperlukan untuk memenuhi kehendak anda, pastikan anda pergi ke mana-mana kedai outdoor dan timbangkan ia.
Anda perlu mengisi pemberat 9kg (20lb) untuk menjadikan ia mantap di belakang anda. Tali pinggang mestilah berada di pinggul anda, bukan di pinggang anda.
Jika ianya terlalu rendah ia akan mengganggu pergerakan kaki ketika berjalan ke hadapan. Jika ia terlalu tinggi pula anda akan mengakibatkan beban akan tertumpu pada bahagian bahu.
Pelindung alas pada tali pinggang seharusnya membaluti pada bahagian tulang pinggul, tetapi tidaklah begitu tepat di hadapan.
Tempat di mana penggalas bahu bersambung dengan beg seharusnya berada di bahagian bawah bahagian tertinggi bahu anda, ia menyediakan balutan sesuai tanpa ada ruang di antaranya.
Kedudukan penggalas juga haruslah selesa tanpa mengganggu pergerakan tangan anda dan tidak merasa sempit di bahagian ketiak.
Untuk pengetahuan anda beg galas ini juga dilengkapi dengan penggalas-penggalas dan juga bahagian yang boleh diubah alih bagi memastikan keselesaan anda ketika memakainya.
Adalah bijak sekiranya anda mendapatkan khidmat nasihat dari mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan.
Pulau Ketam yang terletak berhampiran Pelabuhan Klang merupakan satu lokasi yang bertunjangkan perikanan sebagai sektor industri utama.
Selain itu, pulau yang mempunyai sejarah tersendiri ini menjadi salah satu spot yang mempunyai daya tarikan berteraskan ekopelancongan bagi negeri Selangor.
Lebih dikenali kerana industri perikanan komersial, Pulau Ketam turut menawarkan alternatif bagi kaki pancing sekitar Lembah Klang untuk datang ke sini.
Dahulunya, sangkar ikan di sini mampu menarik minat pelancong untuk datang ke sini.
Hari ini, beberapa sangkar ikan di sini turut menawarkan pakej bagi kaki pancing untuk melepaskan gian merasakan tarikan ikan di samping menjadi spot menarik untuk bercuti bersama keluarga.
Salah satu sangkar terapung di sini yang boleh dikunjungi oleh kaki pancing ialah Greenway Floating Fish Farm atau sering juga dikenali sebagai Kelong Greenway di kalangan kaki pancing.
Kelong ini merupakan satu lokasi yang lengkap dengan fasiliti dan merupakan spot alternatif yang menarik bagi kaki pancing selain jaraknya yang mudah diakses.
PILIHAN PERCUTIAN KAKI PANCING
Lokasi Greenway Fish Farm ini terletak berhampiran dengan perairan Pulau Ketam. Perjalanan menaiki bot mengambil masa kira-kira 20 minit dari Jeti Pelabuhan Klang yang memang menyediakan perkhidmatan untuk ke sini.
Menurut pemilik Greenway Fish Farm, chalet ini sememangnya terapung dan dipegang oleh sauh yang besar.
Pada awalnya, pembinaan sangkar ini untuk tujuan ladang ikan atau ternakan ikan secara komersial. Setelah beberapa tahun, Greenway Fish Farm ini telah ditranformasikan sepenuhnya untuk tujuan tarikan percutian keluarga terutamanya kaki pancing.
Tambahnya lagi, ini bertujuan agar kaki pancing dapat memancing dengan lebih selesa di sini.
Di sini, anda dapat merasai kehidupan seharian di laut. Malah bagi kaki pancing, anda boleh memancing 24 jam jika berkunjung ke sini.
Dengan kemudahan fasiliti yang lengkap, pasti memberikan keselesaan kepada keluarga dan anak-anak. Kedalaman air di sini agak dalam iaitu kira-kira 40 kaki di bawah sangkar atau chalet ini.
FASILITI DAN KEMUDAHAN ASAS
Chalet atau bilik yang disediakan di sini agak selesa bagi kunjungan keluarga. Terdapat 2 jenis bilik iaitu bilik tingkat atas dan tingkat bawah.
Satu bilik tingkat bawah mampu memuatkan 4 orang dewasa dan bagi kaki pancing, bilik bawah lebih sesuai kerana lebih mudah akses untuk anda melakukan aktiviti memancing. Bilik di tingkat atas pula memuatkan 2 orang untuk satu bilik.
Sumber air tawar pula diambil dari tanah besar dan pihak Greenway sentiasa memastikan bekalan air tawar mencukupi. Keadaan bilik air pula sangat memuaskan dan bersih.
Bagi sumber tenaga elektrik, pihak pengurusan menggunakan generator dan bekalan elektrik cuma beroperasi dari jam 6:30 petang hingga 7:00 pagi.
Selain itu, beberapa kemudahan lain juga turut tersedia. Antaranya ialah hammock yang sangat sesuai untuk berehat santai sambil menikmati tiupan angin laut.
Terdapat juga tempat untuk melakukan barbeku jika anda mahu menikmatinya pada waktu malam bersama keluarga tau rakan-rakan.
Bagi kaki pancing pula, banyak rod holder dipasang untuk memudahkan anda meletakkan rod semasa memancing.
PANCINGAN KELONG GREENWAY
Bagi kaki pancing yang berkunjung ke sini, antara spesies ikan yang sering menjadi sasaran utama kaki pancing ialah kerapu, senangin dan jenahak.
Kerapu sering menjadi sasaran utama kaki pancing yang biasa datang ke sini. Pun begitu, beberapa spesies lain seperti daun baru, ketuka, merah, tanda, gelama dan lain-lain juga boleh dipancing.
Keadaan arus di sini agak laju dan penulis menyarankan agar pemancing yang menggunakan batu ladung yang agak besar.
Penggunaan umpan hidup seperti anak ikan paling efektif semasa kunjungan penulis namun umpan udang dan ikan kembong juga turut efektif berdasarkan pengalaman pemancing di sini.
Secara keseluruhan, keadaan Greenway Fish Farm and Chalet memang sesuai sebagai lokasi untuk anda meluangkan masa bercuti bersama keluarga atau ebrsantai sambil memancing bersama rakan-rakan.
Kaki pancing yang mahukan lokasi memancing santai dan merasakan angin laut, apa kata anda luangkan masa di sini nanti.
BAGAIMANA KE SINI?
Dari Kuala Lumpur, pandu ikut Lebuh raya Persekutuan hingga ke Pelabuhan Klang. Manakala jika anda dari Petaling Jaya boleh memandu mengikut NKVE. Pandu terus menuju ke Pelabuhan Klang (South Port).
Pilihan lain adalah menggunakan komuter. Dari Stesen KL Sentral, ambil perjalanan ke Stesen Pelabuhan Klang yang mengambil masa kira-kira 1 jam.
Apabila anda tiba di jeti, anda boleh pilih perkhidmatan bot atau feri ke Pulau Ketam. Jika anda mahu terus ke Greenway, ambil bot ke sana kerana perkhidmatan feri membawa anda ke Pulau Ketam dan anda perlu menaiki bot lain ke Greenway.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...