Admin boleh jelaskan apa maksud kawasan tagal yang ada di Sabah?
JAWAPAN:
Tagal atau lebih tepat lagi sistem tagal merupakan satu pendekatan tradisional penduduk Sabah dalam memulihara sumber perikanan sungai. Melalui sistem itu, tiada sesiapapun dibenar menangkap ikan di kawasan sungai tertentu yang ditagalkan. Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan sogit (denda) oleh Ketua Kampung atau Ketua Daerah berdasarkan Enakmen Perikanan Darat & Akuakultur Sabah 2003.
IKLAN
Tagal adalah perkataan dalam bahasa Dusun yang membawa pengertian iaitu JANGAN tetapi lebih tapi dan sesuai adalah ‘DITEGAH DENGAN SUMPAH’. Kaedah tagal ini pada asasnya diaplikasikan oleh nenek moyang kaum Dusun untuk melarang agar tidak mengambil milik mereka seperti buah-buahan dan sebagainya dengan cara menanda dengan memacakkan sebatang kayu yang hujungnya ditajamkan dan menghala ke kawasan larangan tersebut.
Kaedah ini telah diguna pakai secara turun temurun sebagai tanda larangan dan tanda tersebut sangat dihormati oleh kaum Kadazan Dusun. Sistem tagal telah diadaptasikan oleh masyarakat Dusun sebagai penguatkuasaan penjagaan hidupan sungai kerana maksud perkataan TAGAL sangat mudah difahami oleh masyarakat Kadazan Dusun dan telah terbukti hanya penguatkuasaan sistem tagal sahaja yang dapat memulihkan kembali populasi ikan yang semakin berkurangan di sungai-sungai Sabah.
IKLAN
Sistem tagal di Sabah ini merupakan satu sistem perkongsian pintar antara masyarakat kampung dengan pihak Jabatan Perikanan Sabah dalam hal perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan sumber perikanan. Selain itu sistem tagal turut menjana pendapatan baru kepada masyarakat luar seperti eko pelancongan, sukan memancing dan sebagainya.
Peranan masyarakat kampung Jabatan Perikanan Sabah dalam usaha pembangunan sistem tagal adalah wewujudkan jawatankuasa tagal di kampung yang mempunyai sungai. Ia bertujuan melindungi dan mengurus alam sekitar sungai dan sumber perikanan sungai di kampung / zon masing-masing.
IKLAN
Hasil penuaian ikan yang dijalankan sekali atau dua kali setahun akan disecara sama rata di kalangan masyarakat di kampung masing-masing dan yang dituai juga dijual kepada umum untuk sumber kewangan jawatankuasa tagal di perangkat kampung tersebut.
Sesuatu yang perlu difahami, segala penangkapan kehidupan sungai dalam sungai yang telah ditagal adalah dilarang sama sekali jika tidak mencapat keizinan dari pihak jawatankuasa. Individu yang didapati melanggar undang-undang menangkap kehidupan sungai tanpa izin atau mencemarkan sungai akan didenda.
Assalamualaikum admin, saya ingin bertanya mengenai tali sulam untuk pancingan pantai. Sesuai atau tidak saya menggunakan tali berkuatan 60lb jenis tiga empat sulam dan dipadankan dengan joran 12 kaki panjang?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam… Pancingan pantai atau surfcasting merupakan salah satu teknik pancingan di kawasan pantai. Secara amnya, teknik ini amat mementingkan jarak lontaran umpan jauh ke tengah. Terutamanya di kawasan pantai yang landai dan cetek. Justeru jarak lontaran umpan jauh ke tengah amat penting bagi membolehkan umpan sampai ke lubuk atau kawasan ikan.
Untuk membolehkan lontaran umpan sampai ke kawasan sasaran, faktor panjang joran amat memainkan peranan untuk tujahan balingan serta meminimumkan tolakan ombak ke arah daratan pada tali utama. Oleh yang demikian penggunaan joran panjang melebihi 12 kaki amat membantu. Bahkan semakin panjang joran maka semakin jauh jarak lontaran umpan dapat dilakukan.
Selain faktor panjang joran, diameter tali pancing juga turut memainkan peranan. Selalunya penggunaan tali sulam atau benang (braided) sering digunakan membolehkan lontaran umpan yang sempurna. Namun tali benang kekuatan 60lb jenis empat sulaman sebenarnya agak besar/kasar dari segi diameter. Kekuatan tali tiada masalah pada asasnya namun saya mengesyorkan anda menggunakan tali berdiameter lebih kecil untuk memaksimumkan jarak lontaran anda.
Adakah situasi perubahan warna air di sesuatu lokasi boleh mempengaruhi hasil tangkapan memancing? Sebab ada yang kata… kalau air jernih baru menjadi. Tetapi ada pulak yang kata kalau air keruh baru menjadi. Pening la!
JAWAPAN:
Warna air tidak mempengaruhi tangkapan ikan secara mutlak. Bagaimana pun sedikit sebanyak ia mempengaruhi beberapa jenis ikan serta cara kita memancingnya.
Misalnya, jika ikan sasaran yang kita pancing ialah ikan sebarau dan tiba-tiba arus membawa air keruh ke kawasan kita memancing, maka sekiranya pada masa itu kita mengguna gewang yang berkilau, kilauan yang menjadi tarikan pada sebarau tidak dapat dilihat dengan baik oleh ikan tersebut disebabkan oleh air yang keruh.
Jadi kita perlulah menukar gewang ke gewang yang akan menarik perhatian ikan tersebut seperti gewang popper atau gewang yang mengeluarkan bunyi untuk menarik perhatian ikan tersebut.
Biasanya, sekiranya air bertukar menjadi keruh maka ikan bermisai (seperti ikan baung, keli, sembilang) akan aktif di mana ia menggunakan sesungut untuk mencari makanan dengan menghidu makanan sebab deria penglihatan ikan sedikit terjejas disebabkan air keruh.
Sebenarnya, hasil tangkapan yang berkurang bukanlah disebabkan kekeruhan air, sebaliknya disebabkan penurunan suhu air. Disebabkan hujan atau perubahan cuaca (sama ada panas atau sejuk secara mengejut) ia akan mempengaruhi aktiviti ikan. Bila ikan menjadi tidak aktif secara tidak langsung ia tidak buka mulut atau mencari makanan.
Saya berminat untuk memiliki bot dan anggaran kos yang mampu saya beli adalah sekitar RM3,000 termasuk sampan dan enjin sangkut. Keperluan ini hanya untuk memenuhi minat memancing di lombong atau tasik dan mudah disimpan dan digunakan.
JAWAPAN:
Terdapat banyak model sampan dan enjin sangkut dari pelbagai pengeluar termasuk model berharga ekonomi dari negara Korea dan China. Dengan kos yang saudara berikan saya akan pecahkan kepada dua pembelian sampan dan juga enjin. Kesesuaian penyimpanan dan mudah dialihkan mengikut kehendak pemancing.
Sampan yang sesuai untuk dibawa di atas bumbung kereta bersaiz 12 atau 13 kaki dengan lebar lebih kurang 4 kaki. Namun bagi bot fiber yang bersaiz 10 kaki dengan kelebaran 3 kaki 10 inci juga sesuai untuk dibawa di atas bumbung kereta dengan menggunakan “roofrack”. Harga bot fiber ini di antara RM750 hingga RM1,200 mengikut model dan pengeluar sampan.
Enjin sangkut yang sesuai perlu dikaji terlebih dahulu bagi memastikan kuasanya mampu menggerakkan sampan di kawasan padang pancing. Bagi penggunaan di lombong atau tasik, Kuasa kuda (hp) hanya memainkan peranan untuk bergerak pantas ketika menukar lubuk ketika memancing atau mengejar ‘boiling’ ikan misalnya.
Enjin sangkut 2.5 kuasa kuda juga sudah memadai untuk bergerak di kawasan lombong atau tasik yang tidak luas. Harga bagi enjin sangkut ini lebih kurang RM2,000 mengikut harga pasaran semasa. Dalam keterangan di atas, saudara bolehlah membuat pilihan sekali gus merealisasikan impian memiliki sebuah bot fiber dan enjin sangkut.