Nak minta tolong sikit kat admin. Aa tak cara terbaik nak cabut bahagian sambungan joran yang ketat? Ada masanya bahagian joran ini secara tak sengaja terhentak yang menyebabkan ia masuk padat dan susah nak keluar bila nak cabut.
JAWAPAN:
Masalah untuk menanggalkan bahagian sambung joran terutamanya joran 2 pieces sambungan tengah joran merupakan perkara yang biasa dan sering berlaku. Jika joran sambungan pada pangkal mungkin ia agak mudah untuk ditanggalkan.
Anda boleh gunakan apa saja cara untuk mencabutnya tetapi pastikan tidak memegang bahagian cincin (guide) bagi mengelakkan kerosakan pada bahagian cincin pula.
Untuk mengatasi perkara ini anda perlulah menggunakan sesuatu sebagai alas pada bahagian joran yang dapat mencengkam bahagian joran dengan baik. Sebagai contoh, anda boleh gunakan kepingan getah seperti tiub basikal atau motosikal.
Potong tiub kira-kira seinci lebar dan sepanjang enam inci. Kemudian lilit tiub itu pada bahagian atas joran. Lilit secukupnya sehingga dapat menggengam penuh telapak tangan padanya. Pegang dan putar joran sejajar dengan arah tiub yang membalut joran tersebut.
Pada masa yang sama, kuatkan pegangan sebelah tangan lagi pada bahagian. Lakukan sehingga joran dapat dipisahkan. Sekiranya anda mampu melakukan dengan sempurna, sekuat mana sambungan joran itu ia akan berjaya dipisahkan juga.
Selain tiub basikal atau motosikal ini, anda juga boleh menggunakan alas kepingan getah yang biasa digunakan untuk pelapik dashboard kereta. Pastikan anda menyimpan satu pelapik dashboard kereta ini di dalam kotak memancing.
Tuan mohon bantu jika ada tips atau info penjagaan benang pancing. Perlu tak dibilas dan dikeringkan selepas mancing di laut atau kolam air masin. Adakah air masin menyebabkan benang akan mudah reput jika dibilas dan tak dikering.
JAWAPAN:
Sebagaimana yang diketahui ramai, garam yang terkandung di dalam air laut atau kolam air masin bersifat menghakis. Sementara kebanyakan logam juga merupakan musuh utama garam air laut. Jika logam besi atau zink akan menyebabkan ia berkarat.
Sementara logam lain seperti aluminium tidaklah akan menyebabkan ia berkarat, sebaliknya mendapan air masin akan membentuk bunga-bunga garam pada permukaan logam aluminium seperti spool atau gelendung kekili sekaligus menghakis permukaannya.
Tali benang tidaklah berkarat akibat serapan air masin namun bunga-bunga garam akan terbentuk pada tali tersebut. Walaupun tidak menyebabkan ia reput sepenuhnya, sedikit sebanyak ia akan prestasi tali tersebut menurun dan sekaligus membentuk bunga garam pada spool.
Tali benang akan cepat reput jika terlalu dedah kepada cahaya panas dan pembentukan garam yang terhasil itu mempercepatkan lagi proses tersebut. Oleh yang demikian ada baiknya anda bilas dan cuci tali benang dengan air tawar selepas digunakan di perairan air masin. Jangan simpan kekili tersebut tanpa dibilas dengan air tawar.
Untuk penjagaan tali pancing yang lebih sempurna, ada baiknya tali benang tersebut dikeluarkan dari spool jika tidak digunakan untuk tempoh yang lama. Ia bukan saja dapat memelihara jangka hayat tali benang, malah juga kekili tersebut.
Saya menggunakan enjin Mariner 15hp. Enjinnya sudah lama tidak digunakan, namun ia telah pun diservis dan telah digunakan. Sebelum ini air penyejuk enjin keluar tidak lancar dan saya telah menukar propeller penyedut air kepada yang baru kerana yang lama telah keras.
Tetapi masalahnya apabila bot dibawa laju enjin akan menjadi panas dan mati walaupun air penyejuk enjin keluar. Cuma saya perasan yang air penyejuk enjin itu keluar macam ada bubble dah tersekat.
Boleh terangkan apakah punca biasa yang menyebabkan keadaan sedemikian? Mungkinkan ada laluan air dalam blok enjin yang tersumbat?
JAWAPAN:
Dunia enjin bot memang satu perkara yang jarang diambil kisah oleh kaki pancing, kecuali kaki pancing itu sendiri memiliki sebuah enjin dan boat fiber. Selebihnya hanya bergantung pada tekong bot untuk membawa bot apabila keluar memancing.
Apa kata mulai sekarang silalah berjinak-jinak dengan dunia enjin bot terutamanya enjin bersaiz kecil. Saya percaya jika anda sudah tahu membawa dan mengendalikan bot dan kenal dengan enjin berkenaan, hobi memancing anda pasti akan lebih meriah.
Berikut beberapa soalan yang diutarakan kepada saya berkaitan dunia enjin dan bot.
Enjin sangkut yang telah lama tidak digunakan akan menyebabkan terjadinya masalah kepada peralatan pada semua sistem penggerak enjin.
Apatah lagi cara penyimpanan yang tidak betul boleh menyebabkan piston menjadi jammed dan bahagian-bahagian tertentu berkarat.
Enjin yang tersimpan sekian lama dan tidak digunakan akan menyebabkan implikasi kepada beberapa bahagian.
Pertama, sekiranya enjin sangkut 2 lejang lama tersimpan bahagian karburetor perlu diservis dan ‘repairkit’ perlu diganti agar karburetor dapat menyedut minyak dari tangki.
Ini kerana enjin sangkut menggunakan tangki luar dan kebiasaannya kedudukan tangki lebih rendah daripada enjin. Karburetor enjin sangkut mempunyai pump untuk sentiasa menyalurkan minyak kepada bahagian yang diperlukan.
Kedua, pastikan salur sistem penyejuk enjin ditutup dengan kain atau apa jua yang boleh menghalang binatang kecil seperti semut, angkut-angkut dan serangga lain membuat sarang di laluan keluar dan masuk salur tersebut.
Bagi enjin yang telah lama disimpan, rubber impeller perlu ditukar dan salur ini perlu dibersihkan agas bebas daripada halangan kerana walau hanya sekecil pasir sekalipun ia mampu mengganggu keseluruhan sistem enjin.
Ketiga, bahagian elektronik yang lama tidak digunakan boleh menjadi punca pada pergerakan enjin dan ia tidak mampu menyalurkan kuasa kepada plug untuk terus berfungsi. Sebaiknya periksa bahagian ini sebelum turun memancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...