
SOALAN:
Kepala air ni apa, min? Apa pulak kaitannya dengan memancing?
JAWAPAN:
Merujuk kepada Kamus Dewan, fenomena kepala air membawa maksud permulaan atau penghabisan air bah.
Atau dalam kata lain ialah limpahan air yang besar yang membanjiri sungai dan berlaku secara tiba-tiba. Ia turut dikenali sebagai ibu air atau lidah air.
Fenomena kepala air ini berpunca dari aliran air dalam kuantiti yang besar. Ia mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama.
Lazimnya ia berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai. Fenomena ini berlaku di seluruh dunia dan kadangkala meragut nyawa.
Punca kejadian Punca atau sumber kepala air:
Hujan dihulu sungai dengan kadar luar biasa, akibat daripada itu akar pokok tidak dapat memainkan peranan menahan air untuk diserap ke dalam tanah.
Begitu juga dengan kawasan takungan atau tadahan di hulu menjadi penuh maka ia terus melimpah dan masuk ke sungai dengan banyak.
Berlaku tanah runtuh akibat pembalakan atau semulajadi. Pokok-pokok yang dipotong dibiarkan atau runtuhan semulajadi menumbangkan pokok dan ini akan menghasilkan empangan-empangan kecil yang menakung air.
Kesannya, jika ia tidak dapat menahan tekanan untuk menakung air ia akan pecah dan berlakulah limpahan air yang besar.
Hujan di kawasan tanah tinggi pergunungan lebih dari kebiasaan. Walaupun akar pokok memperlahankan proses air mengalir kesungai namun jika hujan berlaku lebat dan lama, maka air akan melimpah masuk kesungai dengan kadar yang banyak dan laju.
Jika empangan pecah dan berlakunya gempa bumi. Namun kedua-dua kejadian amat jarang dan hampir tidak berlaku di negara kita.
Dan tentu saja kefahaman tentang kepala air ini perlu diambil berat oleh pemancing terutamanya pemancing yang menggemari aktiviti memancing di sungai pergunungan.
Di kawasan sungai pergunungan inilah lazimnya berlaku kejadian kepala air.
Sesi Menunggu Ikan Kuku Atas Batu

Tidak lengkap ilmu pancingan anda sekiranya sekadar menumpukan pada sesuatu aspek pancingan sahaja.
Walaupun ikan kuku bukanlah spesies popular yang diburu ramai pemancing, namun ia merupakan salah satu cabang pancingan yang ada pengikut dan teknik tersendiri.
Bagi memahami skop pancingan ini saya ke Kuala Pahang, Pekan menyertai ‘komplot nguku’ bersama tim Bream Fishing Malaysia yang diterajui oleh saudara Rosdi.
Pelajaran pertama yang saya pelajari adalah kemahiran imbangan badan berikutan lokasi pancingan adalah di atas batu-batu pemecah dan penahan hakisan ombak di muka kuala.
Pelajaran seterusnya adalah mengenali spot untuk melabuhkan umpan apabila pantai berbatu itu nanti akan ditenggelami air pasang.
Dan pelajaran terakhir yang paling mudah tetapi paling sukar untuk dilaksanakan, bersabar. Sabar menanti umpan diragut ikan dan sabar menahan peritnya sinar matahri tegak di atas kepala.
Menggunakan umpan resepi tersendiri oleh Rosdi, pancingan ikan kuku sebenarnya tidaklah terlalu taktikal dan sulit untuk dipratik.
Apa yang sulit sebenarnya ialah setelah ikan memakan umpan dan bertindak balas apabila mata kail tertancap pada mata kail.
Memandangkan spot pancingan adalah kawasan berbatu, pemancing haruslah tangkas bertindak balas dan bijak mengendalikan ikan daripada memutuskan tali pancing dengan menggeselkannya pada batu-batu tajam.
Sebarang kelekaan pasti akan berputih mata. Jika tali pancing tidak putus pula, batu ladung yang digunakan turut berpeluang tersangkut dicelahan batu sehingga menyebabkan ikan berjaya meloloskan diri.
Dan kejadian yang lebih berpihak kepada ikan ternyata banyak kali berlaku walaupun joran dikendalikan ahli ‘komplot nguku’ yang berpengalaman.
Walaupun dalam komplot ini saya gagal secara mutlak untuk merasai keseronokan melayan tarikan spesies Pasific seabream ini, namun ahli-ahli lain tetap juga berjaya mendaratkan beberapa ekor spesies dengan skala saiz yang agak memberangsangkan.
Sekurang-kurangnya saya berjaya juga menyentuh dan bergambar kenangan dengan spesies yang belum pernah saya pancing sebelum ini.
Setelah lebih setengah hari berpanas ngail ikan kuku di atas batu bersama sembilan orang ahli tim Bream Fishing Malaysia yang akrab dan mesra, kami berjaya juga membawa pulang beberapa ekor kuku, tamok dan siakap merah yang turut mencari makan di habitat ikan kuku.
Lubuk MERAH Laluan Kapal

Empat orang pemancing menyusuri kuala sungai cetek memulakan coretan dan pengalaman rutin memancing di kawasan paloh kapal.
Dari pengkalan Sementa, Klang kami menuju ke arah matahari terbenam sebaik sahaja keluar dari muara pulau pintu gedung.
Sudah lumrah menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat kerana arus dan arah angin bertentangan.
Alun semakin reda apabila mula memasuki tengah selat yang sibuk dalam di kawasan laluan kapal dagang.
Menyedari kekurangan umpan yang kami bawa, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Klang merupakan persinggahan sementara untuk apollo anak ikan.
Bila musim sotong kurita sukar, apollo ikan adalah kemestian mencari umpan alternatif.
Bila dah lenguh tangan mengarau pancing dalam sesi mencari umpan, barulah perkataan `jom umpan dah cukup’, keluar dari mulut.
Sampan yang dinaiki milik Kapten Khairi mudah membelah alun menuju ke lubang yang kami jumpai dalam trip pertama sebelumnya.
Perjalanan memakan masa 20 minit pada kelajuan 26 knots dari arah koordinat boya merah. Kedudukannya agak selamat dari laluan utama kapal dagang.
Kali ini mengulangi episod sebelum ia diketahui oleh pemancing lain. Lumrahnya bila ada lubuk potensi ramai yang mengintai untuk diterjah saban minggu.
Sekarang terlalu banyak sampan dan pemancing melabuhkan aktiviti mereka setiap hujung minggu tanpa mengira faktor air dan musim.
Kini boleh dikatakan sepanjang tahun lokasi berhanyut di ZEE Selat Melaka kerap dikunjungi kaki pancing.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan membaca pergerakan arus, kemudian sampan akan digerakan di hadapan selari dengan kedudukan lubuk yang di tandakan.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki, kapal kontena dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Kapten Khairi memilih untuk berhanyut di sebelah atas lubang mengikuti arus yang ketika itu sedang surut.
Beliau akan memberi signal apabila kami mula memasuki kawasan dasar berlopak tersebut.
Perlahan atau cepat memasuki zon strike bergantung kepada halaju sampan berhanyut.
Yang penting ialah umpan dipastikan sentiasa berada hampir dengan dasar ketika berhanyut, jangan gantung ladung terlalu tinggi.
Ini berikutan ketika arus laju, ikan kebiasaannya mendiami kawasan berlopak dan lubuk untuk berlindung daripada pergerakan arus.
Bayangkan jika mula berhanyut pada kedalaman 100 kaki kemudian masuk lopak ikan sedalam 160 kaki, pemancing yang leka tidak menyedari umpannya tergantung 60 kaki
dari dasar, sebab itu ada pemancing yang memperoleh GT, talang dan aruan tasik ketika berhanyut. Ada juga spesies ini menjamah umpan yang terseret pada dasar selat.
MISI LOPAK PALOH 3
Misi utama kebanyakan kaki pancing berkunjung ke paloh adalah mencari spesies merah mahupun jenahak.
Pada trip sebelumnya hanya merah sahaja yang kami perolehi di lopak pertama ini.
Dalam masa 20 minit umpan ikan yang diperoleh di boya merah semuanya laku kecuali anak ikan pelata sahaja yang masih bertahan berenang di dalam petak umpan.
Tiga jenis umpan yang kami gunakan hari itu, iaitu kurita oleh Sarjan Omar Dan Sarjan Leman, pelata hidup oleh Kapten Khairi dan penulis sendiri memilih menggunakan tamban apollo yang dah kaku.
Empat joran dilabuhkan ke dasar mengikut turutan agar tali pancing tidak bertindih antara satu dengan lain.
Selesai proses menurunkan pancing kami semua dalam mood bersedia. Sambil pada itu Kapten Khairi turut melepaskan umpan pelata hidup hanyut di belakang sampan.
Ketika berhanyut Kapten Khairi akan bertindak seperti kapten kapal terbang, sering memberitahu kedudukan dan kedalaman semasa supaya kami tidak terleka membiarkan umpan tergantung.
Bila semakin hampir dengan spot yang di tandakan, lebih kuat suara kapten memberitahu supaya bersiap sedia… dah nak terjah lubuk katanya.
Peel ikan berkait dengan hala tuju arus, ada masa ia makan ketika betul-betul masuk lubuk dalam, ada masa ia makan di tubir lubuk dan kadang kala ia makan sewaktu umpan mula melepasi lubuk.
Sukar juga untuk membaca perangai ikan di dasar. Tak kisah kat mana ia merembat umpan yang penting ialah tahu di kawasan mana ia berada.
Bila mula memasuki lubuk merah, kami masing-masing hulurkan tali berterusan sehingga ladung mencecah dasar.
Sedetik ia mula menuruni lopak dari 100 kaki ke 150 kaki, terasa umpan penulis disergah ikan.
Biarkan saja seketika sambil terus memberi tali agar ikan terus terleka umpan di mulutnya. Terhenti hulur tali mula menegang kembali, serentak itu baru joran melentur.
Buka satu, tapi tiga serentak. Dua kali balas dan belum sempat karau tali sudah muntah keluar.
Usaha memujuk ikan mengikut berhasil apabila merah pertama muncul di permukaan dan diikuti ikan merah kedua dan dikuti merah ketiga.
Melepasi lubuk pertama, kapten berpatah balik mengulangi laluan yang sama. Pusingan kedua pula kami mengena dua strike tapi ikan nampaknya lebih bernasib baik di mana perambut putus dan satu lagi terlucut.
Pantang terlepas, ikan terus hilang ketika kami membuat pusingan ketiga.
IKAN PERMUKAAN
Lama juga menanti strike berikutnya selepas hilang merah di lopak pertama. Kami terus berhanyut santai menanti umpan menerjah ke lopak-lopak berikutnya.
Semuanya sunyi, kemudian joran kapten berumpan pelata hidup hanyutkan mengena pula. Jadilah tiada bawah atas pula memberi kepuasan.
Tiada masalah buat kapten melayan kerenah talang. Melihat joran kapten mengena talang menimbulkan minat Sarjan (B) Leman untuk turut mencari kepuasan mengintai ikan di permukaan pula.
Usahanya berhasil apabila joran beliau pula mengena tidak lama selepas itu. Walaupun terpaksa bertungkus lumus melayan aksi talang, akhirnya Sarjan Leman tersenyum puas dapat menewaskan spesimen seberat 7.5 kg tersebut.
Kemudian kami beredar menuju satu lagi boya di tengah Paloh 3 mencari umpan hidup berikutan umpan hidup sudah kehabisan.
Yang tinggal hanyalah umpan kaku dan pudar kilauan sisiknya. Semasa berlabuh di boya sempat lagi kami memancing ikan talang menggunakan ikan anak selar yang kami apollo.
Puas juga melayan talang memandangkan umpan yang dilabuhkan di dasar tidak menerima sambutan.
Sebelah petang banyak masa kami habiskan menjajah lubuk-lubuk lama yang tiada penghuni.
Kalau dah saban minggu dikunjungi tentu lubuk berkenaan sudah diangkut penghuninya oleh pemancing-pemancing yang bertali arus.
Cuma harapan ikan yang baru sahaja yang akan bertandang mendiami lubuk yang sepi. Persoalannya bila dan waktunya siapa pun tidak tahu….
Gathering Jigging Di Laut PD

Pada awalnya trip ini hampir dibatalkan berikutan info cuaca mengatakan bahawa arus pada hari tersebut terlalu laju. Penulis dan Jawe nekad untuk turun juga walaupun arus dijangka laju sambil menaruh harap agar tiada tiupan angin yang kuat.
Jika di perairan PD ketika arus laju, jig 200gram hanya sempat mengetuk dasar 5 ke 6 kali sahaja sebelum hanyut dan sekiranya angin kuat akan lebih menyukarkan kami meneruskan aktiviti jigging.
Lagi pun trip ini sebenarnya lebih kepada trip ‘gathering’ bagi meraikan Jawe yang akan bertugas di Arab Saudi selama 3 tahun. Jadi di dalam hati memang berharap agar cuaca bersikap baik terhadap trip kami ini.
TRIP BERMULA
Pagi itu, tepat jam 8.30 pagi, kami mula meninggalkan jeti. Makanan tengah hari telah siap disediakan dan segala kelengkapan mula dipasang ketika bot bergerak menuju ke spot pertama. Bagi saya yang kali terakhir turun ke laut sekitar tahun 2012 bersama rakan-rakan menduga layaran Rompin, trip kali ini terasa ibarat trip laut pertama.
Sampai sahaja di spot pertama, saya telah berjaya memberi sedekah dasar laut PD dengan jig seberat 220gram selepas beberapa kali membuat unjunan. Putih mata kejap beb!
Tidak lama kemudian, Faizal Ali berjaya mendapat strike yang pertama untuk grup kami. Unjunan jig Faizal dimamah oleh seekor yu anggaran 2-3 kg. Walau bagaimanapun, agak malang bagi Faizal apabila ikan tersebut lucut biarpun sudah diheret ke tepian bot.
Selepas itu, tiba giliran Cikgu Badek yang kali ini berjaya menaikkan seekor ikan talang. Kalau Cikgu Badek dapat ikan yang lain siaplah, memang akan panas telinga la. Dah nama pun cikgu kan, mestilah power memberikan tip semacam dalam kelas.
Dalam tidak henti memanaskan telinga ahli trip lain, Cikgu Badek sekali lagi menjinakkan seekor ‘tong gas’. Memang sungguh hanyir cikgu ini.
Banyak spot-spot berlurah dan berbukit di dasar perairan Port Dickson berdasarkan monitor pada sonar. Memang indah ciptaanNya dan apatah lagi jelas kelihatan spot-spot impian kaki pancing. Seterusnya, Jawe pula berjaya menaikkan seekor ‘tong Gas’.
Bertambah berbulu kami yang belum disapa penghuni dasar. Saya pula hanya berjaya mendapat satu sambaran tetapi lucut selepas beberapa karauan. Tertekan juga masa tu tapi apa nak buat belum ada rezeki.
GEREPOH PD
Lebih tertekan bila pembantu tekong, Syafik sahaja telah berjaya menjinakkan 2 ekor ebek bersaiz mantap dan saya dan beberapa orang rakan lain masih lagi setia mengetuk dasar dengan harapan ada sambaran kasar dari penghuni dasar.
Ketika bot berhenti untuk makan tengah hari, beberapa orang rakan lain yang telah berjaya menaikkan ikan menjamah makanan tengah hari. Kami yang lain masih terus menghulurkan jig ke dasar. Tidak disangka-sangka, bot berhenti tepat pada kawanan GT.
Pertama sekali jig saya direntap kasar dan diikuti oleh jig Faizal Ali, dan seterusnya jig Jawe. Triple hook-up!
Apa lagi, bersimpang siur tali utama kami ke kiri dan ke kanan. Sentapan rakus si GT telah berjaya menanggalkan split ring dari jig Faizal Ali. Akhirnya, GT pertama saya untuk tahun ini seberat 7 kg berjaya dinaikkan selepas 20 minit pertarungan dan GT kedua oleh Jawe yang berat jangkaan sekitar 20kg dinaikkan selepas 40 minit bertarung.
Memang cukup besar bagi GT yang dinaikkan Jawe hingga bot hanyut sejauh hampir 2.5 batu dari spot asal. Ketika pertarungan dengan Sang GT, kedengaran nyanyian berseloroh.
Selepas bergasak GT, tiada lagi sentapan dari dasar berikutan angin mula bertiup kuat dan arus laut juga semakin laju. Beberapa rakan-rakan sudah mula mengeluarkan apollo bagi mencari ikan serombong yang cukup terkenal di sini dengan rasa isinya yang manis.