Sebagaimana ikan temoleh dan kelah (juga omnivor), ikan lampam juga tergolong dalam keluarga ikan kap (carp fish).
Tetapi pernah tak anda dengar ikan temoleh menyambar gewang. Saya sendiri hampir belum pernah mendengarnya.
Bagaimana pula dengan kelah? Adakah ikan menyambar gewang? Iya, memang benar.
Saya sendiri pernah memperoleh kelah dengan menggunakan gewang sesudu dan juga gewang replika ikan. Jadi, ada kemungkinan atau tidak ikan lampam menyambar gewang?
Sebagaimana ikan kelah atau tengas, kejadian ikan lampam menyambar gewang bukanlah satu insiden kebetulan semata-mata.
Namun kita tidak boleh untuk menetapkan bahawa semua ikan lampam, tengas atau kelah akan menyambar gewang.
Ini kerana mereka bukanlah tergolong dalam haiwan karnivor seperti mana keluarga ikan snakehead atau sebarau.
Apa yang menyebabkan ikan lampam menyambar gewang lebih kepada tabiat pemakanan dan habitat.
Saya percaya ikan lampam yang menyambar gewang adalah ikan lampam yang hidup liar contohnya di sungai atau di habitat yang sumber makanannya amat terhad.
Dan ada kemungkinan juga ia menyangka gewang tersebut adalah sumber makanan yang hanyut bersama daunan atau sampah.
Kamera mahal sebenarnya bukanlah ukuran untuk menghasilkan imej yang cantik dan menepati cita rasa yang kita mahukan. Asal kena gaya, kamera kompak atau kamera handphone pun boleh pakai. Cuma ada sesetengah kaki pancing malas nak tangkap gambar atau terlupa bila habuan sampai ke tangan.
Gambar-gambar hasil tangkapan sebenarnya banyak membawa makna bagi seseorang sekiranya mereka dapat banyak ikan, berjaya dapat ikan kerapu berat 40 kg ke, atau mengambil gambar sewaktu buat teknik casting kat tepi sungai mahupun laut.
Aspek paling penting tanpa mengira kamera ialah teknik merakam gambar itu sendiri. Sama juga ketika memancing, walau joran mahal sekalipun tapi kalau tak tau teknik memancing, tak guna juga.
Jadi, ikuti beberapa teknik di bawah ini yang pastinya dapat membantu anda merakam memori terindah setelah penat mencari habuan.
PASTIKAN MATAHARI SENTIASA DI BELAKANG ANDA.
Ini akan memberi cahaya yang lebih cantik pada ikan atau subjek yang ingin ditangkap. Sekiranya menangkap gambar matahari kat depan, ia akan menyebabkan cahaya berlebihan akan masuk menyebabkan subjek jadi legap, imej flare akan terbentuk dan seperti imej silhouette.
KALAU BOLEH, CUBA JAUHKAN DARI MENGAMBIL GAMBAR DI KAWASAN TEDUH
Ini juga akan menyebabkan kamera anda lebih fokus ke arah cahaya matahari berlebihan. Bukan itu sahaja, subjek akan jadi legap.
JANGAN CROP GAMBAR TERLALU DEKAT
Maksudnya ialah, cuba ambil beberapa shot seperti gambar penuh, gambar separa dan gambar close-up. Jangan hanya fokus close-up sahaja, anda mungkin akan tertinggal angle menarik selain close-up.
AMBIL GAMBAR SAMA PARAS DENGAN ARAS MATA SUBJEK
Maksudnya ialah jika pemancing memegang ikan dalam keadaan dia duduk, anda juga hendaklah mengambil gambar secara berlutut. Ia bukan sahaja memberi imej yang lebih cantik bahkan juga anda akan berasa lebih seimbang dan gambar tidak gegar. Anda boleh guna pelbagai angle tapi pastikan shot hadapan telah diambil terlebih dahulu.
PASTIKAN LATAR BELAKANG SUBJEK CANTIK ATAU BERSIH
Bukan apa, kalau dapat ikan terbaik tapi latar belakang sampah sarap, tak cantik juga. Kepuasan merakam imej menggunakan gambar sama seperti kepuasan anda menyambar ikan setelah berjam lamanya menunggu. Biar ia sentiasa dibawa dan dipikul supaya anda tak terlepas memahat memori indah yang tidak berulang lagi.
Pulau Ketam yang terletak berhampiran Pelabuhan Klang merupakan satu lokasi yang bertunjangkan perikanan sebagai sektor industri utama.
Selain itu, pulau yang mempunyai sejarah tersendiri ini menjadi salah satu spot yang mempunyai daya tarikan berteraskan ekopelancongan bagi negeri Selangor.
Lebih dikenali kerana industri perikanan komersial, Pulau Ketam turut menawarkan alternatif bagi kaki pancing sekitar Lembah Klang untuk datang ke sini.
Dahulunya, sangkar ikan di sini mampu menarik minat pelancong untuk datang ke sini.
Hari ini, beberapa sangkar ikan di sini turut menawarkan pakej bagi kaki pancing untuk melepaskan gian merasakan tarikan ikan di samping menjadi spot menarik untuk bercuti bersama keluarga.
Salah satu sangkar terapung di sini yang boleh dikunjungi oleh kaki pancing ialah Greenway Floating Fish Farm atau sering juga dikenali sebagai Kelong Greenway di kalangan kaki pancing.
Kelong ini merupakan satu lokasi yang lengkap dengan fasiliti dan merupakan spot alternatif yang menarik bagi kaki pancing selain jaraknya yang mudah diakses.
PILIHAN PERCUTIAN KAKI PANCING
Lokasi Greenway Fish Farm ini terletak berhampiran dengan perairan Pulau Ketam. Perjalanan menaiki bot mengambil masa kira-kira 20 minit dari Jeti Pelabuhan Klang yang memang menyediakan perkhidmatan untuk ke sini.
Menurut pemilik Greenway Fish Farm, chalet ini sememangnya terapung dan dipegang oleh sauh yang besar.
Pada awalnya, pembinaan sangkar ini untuk tujuan ladang ikan atau ternakan ikan secara komersial. Setelah beberapa tahun, Greenway Fish Farm ini telah ditranformasikan sepenuhnya untuk tujuan tarikan percutian keluarga terutamanya kaki pancing.
Tambahnya lagi, ini bertujuan agar kaki pancing dapat memancing dengan lebih selesa di sini.
Di sini, anda dapat merasai kehidupan seharian di laut. Malah bagi kaki pancing, anda boleh memancing 24 jam jika berkunjung ke sini.
Dengan kemudahan fasiliti yang lengkap, pasti memberikan keselesaan kepada keluarga dan anak-anak. Kedalaman air di sini agak dalam iaitu kira-kira 40 kaki di bawah sangkar atau chalet ini.
FASILITI DAN KEMUDAHAN ASAS
Chalet atau bilik yang disediakan di sini agak selesa bagi kunjungan keluarga. Terdapat 2 jenis bilik iaitu bilik tingkat atas dan tingkat bawah.
Satu bilik tingkat bawah mampu memuatkan 4 orang dewasa dan bagi kaki pancing, bilik bawah lebih sesuai kerana lebih mudah akses untuk anda melakukan aktiviti memancing. Bilik di tingkat atas pula memuatkan 2 orang untuk satu bilik.
Sumber air tawar pula diambil dari tanah besar dan pihak Greenway sentiasa memastikan bekalan air tawar mencukupi. Keadaan bilik air pula sangat memuaskan dan bersih.
Bagi sumber tenaga elektrik, pihak pengurusan menggunakan generator dan bekalan elektrik cuma beroperasi dari jam 6:30 petang hingga 7:00 pagi.
Selain itu, beberapa kemudahan lain juga turut tersedia. Antaranya ialah hammock yang sangat sesuai untuk berehat santai sambil menikmati tiupan angin laut.
Terdapat juga tempat untuk melakukan barbeku jika anda mahu menikmatinya pada waktu malam bersama keluarga tau rakan-rakan.
Bagi kaki pancing pula, banyak rod holder dipasang untuk memudahkan anda meletakkan rod semasa memancing.
PANCINGAN KELONG GREENWAY
Bagi kaki pancing yang berkunjung ke sini, antara spesies ikan yang sering menjadi sasaran utama kaki pancing ialah kerapu, senangin dan jenahak.
Kerapu sering menjadi sasaran utama kaki pancing yang biasa datang ke sini. Pun begitu, beberapa spesies lain seperti daun baru, ketuka, merah, tanda, gelama dan lain-lain juga boleh dipancing.
Keadaan arus di sini agak laju dan penulis menyarankan agar pemancing yang menggunakan batu ladung yang agak besar.
Penggunaan umpan hidup seperti anak ikan paling efektif semasa kunjungan penulis namun umpan udang dan ikan kembong juga turut efektif berdasarkan pengalaman pemancing di sini.
Secara keseluruhan, keadaan Greenway Fish Farm and Chalet memang sesuai sebagai lokasi untuk anda meluangkan masa bercuti bersama keluarga atau ebrsantai sambil memancing bersama rakan-rakan.
Kaki pancing yang mahukan lokasi memancing santai dan merasakan angin laut, apa kata anda luangkan masa di sini nanti.
BAGAIMANA KE SINI?
Dari Kuala Lumpur, pandu ikut Lebuh raya Persekutuan hingga ke Pelabuhan Klang. Manakala jika anda dari Petaling Jaya boleh memandu mengikut NKVE. Pandu terus menuju ke Pelabuhan Klang (South Port).
Pilihan lain adalah menggunakan komuter. Dari Stesen KL Sentral, ambil perjalanan ke Stesen Pelabuhan Klang yang mengambil masa kira-kira 1 jam.
Apabila anda tiba di jeti, anda boleh pilih perkhidmatan bot atau feri ke Pulau Ketam. Jika anda mahu terus ke Greenway, ambil bot ke sana kerana perkhidmatan feri membawa anda ke Pulau Ketam dan anda perlu menaiki bot lain ke Greenway.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...