Sebagaimana ikan sembilang, sembilang karang turut memiliki sirip kaudal atau sirip ekor yang sama sebagaimana ikan belut.
Oleh yang demikian sembilang karang turut digolongkan dalam keluarga belut berduri atau bermisai.
Sembilang karang boleh dikenali dengan jelas berdasarkan corak jalur pada badannya.
Sembilang karang berwarna coklat atau kelabu gelap pada keseluruhan badan dengan tiga jalur melintang berwarna putih.
Jalur pertama bermula dari bahagian hidung melintasi atas mata ke arah bahagian atas ekor.
Jalur kedua juga bermula dari hidung tetapi melintasi bawah mata dan berakhir pada pangkal bawah sirip ekor.
Jalur ketiga pula lebih pendek, ia bermula dari bahagian atas hidung dan berakhir sebelum sirip ekor.
Ads
Sembilang karang mempunyai taburan yang agak meluas dan boleh ditemui di Lautan India dan Laut China Selatan, ke arah timur hingga ke Samoa, ke arah selatan hingga ke Australia dan ke arah utara hingga ke Jepun.
Sembilang karang lebih gemar mendiami kawasan terumbu karang sepanjang pantai terbuka dan kadangkala bergerak ke muara tetapi jarang sekali memasuki perairan yang bersaliniti rendah.
Ia juga bergerak dalam kumpulan yang agak besar yang terdiri dari beberapa ratus individu. Sembilang karang hanya bersaiz sekitar 20-35 cm panjang.
Seperkara lagi yang menarik tentang ikan ini adalah isinya yang sangat sedap dan lembut. Mungkin antara yang terlembut berbanding ikan-ikan lain.
Ads
Nisbah isinya juga tinggi sebagai mana catfish yang lain.
Sebagaimana ikan sembilang, ikan sembilang karang turut terkenal kerana duri atau spinanya yang berbisa.
Oleh yang demikian, jangan terlalu ghairah untuk menanggalkannya dari cangkukkan mata kail apatah lagi jika anda baru berjinak-jinak dengan dunia memancing.
Anda mungkin berhadapan dengan bahaya besar apabila sembilang dapat melibaskan kepala dan membenamkan sengatnya ke tangan anda.
Ads
Bisanya cukup untuk membuatkan anda ingin pulang terus ke rumah dan melupakan keseronokan memancingnya.
Bukan setakat itu, bisanya juga boleh kekal sehingga beberapa hari dan agak lambat untuk sembuh.
Bagi mereka yang alah terhadap bisanya, mungkin mereka akan turut mengalami demam.
klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Secara global spesies ini dikenali dengan nama John’s snapper. Nama Golden snapper juga merujuk kepada spesies jenahak namun beberapa spesies snapper lain juga mendapat gelaran (golden snapper) yang sama di sesetengah tempat.
Lazimnya John’s snapper digunakan untuk merujuk spesies Lutjanus johnii (nama saintifik) yang besar atau dewasa, sementara fingermark bream merujuk kepada juvenil spesies ini.
Keadaan ini sama dengan lapangan pancing kita dalam soal kekeliruan sama ada ikan jenahak dan tetanda merupakan spesies yang atau berlainan. Jadi, dalam kekeliruan ini dapat disimpulkan jenahak dan tetanda adalah spesies ikan yang sama.
Pola taburan spesies jenahak boleh ditemui di kebanyakan kawasan perairan barat Indo-Pasifik. Golden snapper juga boleh ditemui bermula dari Afrika Timur hingga ke Fiji serta utara Pulau Ryukyu dan selatan Australia.
Di perairan Malaysia, spesies ini boleh ditemui di kebanyakan perairan dari kawasan muara hingga ke laut lepas. Bagi kaki pancing, spot memburu jenahak lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat terutama di sepanjang Selat Melaka. Spot-spot berstruktur seperti kapal karam, kawah, lopak di laluan kapal Selat Melaka serta batu karang.
Dari segi morfologi luaran, sisik ikan jenahak biasanya berwarna kuning perak hingga keemasan bergantung kepada persekitaran. Warna badannya akan bertukar kepada warna putih perak apabila dilihat pada bahagian bawah badan dan kepalanya.
Tompokan berwarna hitam pula dapat dilihat pada bahagian antara garisan lateral dan di anterior sirip dorsal bersaiz lebih besar daripada diameter matanya dan beransur pudar apabila dewasa.
Bahagian dorsal kepalanya berbentuk sedikit curam hingga ke mulut. Duri pada sirip dorsalnya berjumlah 10 manakala jumlah pada dorsal lembut pula antara 13 hingga 14. Spesies jenahak biasanya mampu membesar sehingga panjang 1 meter biarpun spesimen yang sering ditemui mempunyai panjang sekitar 50 cm. Beratnya pula mampu mencecah sehingga 10 kg dalam persekitaran yang ideal.
Habitat bagi jenahak dewasa lebih tertumpu kepada kawasan berkarang dan juga perairan yang berstruktur. Bagi jenahak juvenil pula lebih mudah ditemui di kawasan muara, paya bakau dan kadangkala boleh ditemui jauh hingga ke kawasan air tawar yang berarus.
Dalam memburu mangsanya, spesies snapper ini akan memilih kawasan trofik berkarang lebih-lebih lagi kawasan perairan yang mempunyai turbiditi atau kekeruhan yang tinggi. Spesies ini juga boleh ditemui dalam kedalaman sehingga 80 meter.
Spesies ini yang menghuni di kedalaman lebih 10 meter lazimnya terdedah kepada kerosakan fizikal pada tisu badan iaitu Barotrauma yang menyebabkan pelampung (air bladder) dalam badannya terkeluar. Hal ini sering berlaku dan dapat dilihat terutama ketika aktiviti memancing.
Dalam rantaian makanan di persekitaran ideal, spesies ini merupakan tertiary consumer, yang bermaksud pemangsa karnivor unggul yang menghuni carta teratas dalam dalam piramid makanan. Ini bermaksud jenahak dewasa merupakan ikan karnivor yang menjadikan karnivor lain atau pemangsa kedua sebagai mangsanya.
Diet utama bagi spesies ini tertumpu kepada ikan bertulang, ikan pelagik, udang, sotong dan ketam. Selain itu, organisma bentik atau zoobenthas seperti mysids dan cephalopod juga menjadi diet bagi spesies ini bergantung kepada kitaran hidupnya.
Ikan ceramin-ceramin (Sabah) atau ebek bukanlah satu nama spesies ikan yang janggal bagi pemancing di Malaysia.
Tergolong dalam kalangan keluarga Carangidae, ikan ebek atau nama sebenarnya, Alectis indica merupakan ikan jack yang mampu membesar sehingga saiz yang cukup besar, atau lebih sinonim dengan terma kaki pancing iaitu saiz mega.
Ikan ebek merupakan sejenis spesies ikan marin yang mudah ditemui di perairan tropika seperti Lautan Pasifik yang melangkaui Afrika Timur ke India, Asia, Indonesia, Australia dan juga Malaysia.
Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidaklah sesukar mana, bermula dari kawasan muara hingga ke lautan lepas.
Mungkin disebabkan itu, ebek atau nama lainnya, diamond trevally menjadi antara spesies yang sering menjadi buruan pemancing di Malaysia.
Malah kekuatan pertarungan di hujung kail juga cukup untuk memberikan kepuasan pancingan kerana ebek cukup agresif sebaik sahaja kail tercangkuk kemas di mulutnya.
Walaupun mampu membesar sehingga keberatan 25kg dan panjang sehingga 1.6 meter, kebiasaan spesies ebek yang dipancing di perairan Malaysia bersaiz lebih kecil.
Ebek yang berat sekitar 6-7 kg sudah dianggap saiz yang besar jika dinaikkan menggunakan joran dan kekili.
Sinonim
Ebek atau diamond trevally merupakan salah satu daripada tiga spesies ikan jack daripada genus Alectis di mana kumpulan ikan ini datang daripada 33 genera dalam keluarga Carangidae.
Carangidae pula merupakan ikan jenis perciformes dalam suborder yang digelar Percoidae.
Spesies ini asalnya diterangkan secara saintifik oleh pengkaji naturalis Jerman iaitu Eduard Rüppell pada tahun 1830 di bawah nama binomial Scyris indicus, hasil spesimen yang dikumpul dari Laut Merah.
Selepas penamaan Ruppell itu, beberapa orang pengkaji lain tanpa disedari telah menerangkan semula spesies ini, dengan nama-nama seperti Hynnis insanus
(Valenciennes, 1862), Caranx gallus (Klunzinger, 1879) dan Hynnis momsa (Herre, 1927), yang merujuk kepada spesies yang sama.
Selang beberapa tahun, pengelasan asal Ruppell juga telah disemak semula; di mana asalnya spesies ini diletakkan dalam genera Seriolichthys, dan akhirnya diletakkan dalam genus Alectis oleh James Douglas Ogilby pada tahun 1913.
Lantas, nama spesies ini telah ditetapkan sebagai Alectis indicus dalam cetakan sains. Bagaimanapun genus Alectis adalah genus feminin, dengan itu indica merupakan ejaan spesies yang betul.
Taburan Spesies Dan Habitat
Secara saintifiknya, taburan spesies ebek tertumpu di kawasan tropika seperti Lautan Hindi dan Barat Lautan Pasifik merangkumi Madagascar, Afrika Timur, Laut Merah hingga ke India, China, Asia Tenggara, utara Jepun hingga ke selatan Indonesia serta utara Australia.
Selalunya, ikan ebek akan menghuni kawasan perairan berbatu karang yang mempunyai kedalaman sekitar 20meter hingga 100meter sebagai habitatnya.
Begitu pun, ebek juvenil lebih bersifat pelagik dan sering berlegar mengikut arus laut. Kadangkala ebek juvenil mengikut arus laut sehingga ke kawasan muara.
Morfologi
Dari segi morfologi luaran ikan ebek, spesies ini mempunyai bentuk kebiasaan pada spesies ikan jack. Badan ikan ebek mempunyai bentuk yang bersudut yang agak menonjol selain daripada badan nipis mampat yang kuat.
Pengenalan utama bagi spesies ebek boleh diperhatikan pada bahagian kepalanya yang mempunyai bentuk sedikit cekung berhampiran matanya yang membezakannya antara saudara terdekat dalam genus Alectis.
Dengan sedikit imaginasi, pemancing dapat melihat bentuk bersudut ikan ini seakan-akan sebutir berlian apatah lagi ditambah dengan warna perak berkilat pada badannya yang memukau apabila disimbah cahaya matahari.
Sirip dorsal ikan ebek menunjukkan bentuk yang melengkung ke belakang dan bentuk sudut yang jelas bentuk badannya dapat dilihat pada unjuran antara sirip dorsal lembut dan sirip anal lembut yang menggariskan bentuk badannya ke bahagian ekor.
Bagi sirip pektoral pula, spesies ebek mempunyai sirip pektoral yang panjang dan melengkung sehingga ke garisan lengkung lateral.
Badannya kelihatan seolah-olah tidak bersisik, namun jika diperhatikan lebih dekat, dapat diperhatikan kehadiran sisik-sisik kecil dan halus yang tertanam pada badannya.
Garisan lateral pada badannya jelas menonjol dan melengkung pada bahagian anterior dan kehadiran sisik kasar scutes antara 6-11 scutes juga kelihatan pada bahagian kaudal pedunkel.
Bagi ebek juvenil, sirip anal dan dorsalnya seakan filamen yang lebih panjang berbanding ebek dewasa.
Bagi ebek dewasa, warna badannya ialah perak terang dan menyilaukan hingga ke warna perak biru kehijauan, sering kali warna bahagian kepala lebih gelap dan beransur perak apabila semakin ke bawah.
Bahagian operculum atas ebek mempunyai tompok hitam kecil. Warna sirip berfilamen lembut ebek pula biasanya berwarna biru atau hitam.
Biologi Dan Diet
Asasnya, ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin alam kitaran makanan lautan. Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krustasia sebagai mangsanya seterusnya menjadikan senarai tersebut sebagai diet pemakanan utama.
Bagi kitaran persenyawaan pula, tidak banyak diketahui berkaitan ikan ebek. Namun pemerhatian sebuah kajian di Indonesia mendapati persenyawaan spesies Alectis indica
berlaku di kawasan beting yang berkedalaman antara 35-45meter berhampiran kawasan berkepulauan.
Acanthopagrus berda atau nama globalnya picnic seabream mungkin dinamakan sedemikian kerana mudah untuk ditemui di kawasan orang berkelah di tepian pantai umpamanya.
Sementara ia dinamakan ikan kuku mungkin warnanya ada persamaan dengan kuku manusia.
Ikan kuku putih atau kuku pasir ini bersifat jernih, sisik berkilat keperakan tetapi gelap sedikit, badan tegap melebar dan berekor cabang.
Ia biasanya merayau kawasan pantai dan muara berkedalaman 2meter hingga 50meter dari permukaan. Berkeupayaan merayau di kawasan air payau sehingga air tawar.
Di Pantai Timur ikan ini akan mudik ke hulu sungai ketika musim tenkujuh dan keluar kembali ke kawasan muara sungai atau pesisiran pantai dua minggu selepas habis musim.
Picnic seabream sejenis ikan dasar atau bottom feeder mengemari kawasan berpasir dan lumpur keras menjadi kawasan tumpuan.
Sesuai dengan sifat diet utama, beting pasir dan lagun muara sering dijadikan kawasan serangan kuku terhadap mangsanya.
Di Australia dan Jepun umpamanya subspesies bream amat popular di kalangan pemancing pantai.
Ikan-ikan ini banyak berkeliaran di tepian benteng, dermaga dan kawasan pantai berbatu yang dipenuhi rumpai laut. Ia menjadi spesies tarikan utama jika kunjungan ke tempat begini.
Info taburan ikan kuku putih banyak tertumpu ke arah kepulauan Asia Tenggara di mana sebelah Laut China Selatan mendominasi populasi ikan ini.
Bermula dari selatan Jepun hingga Utara Australia adalah had utama taburan kuku. Jelas menunjukkan ikan ini lebih tertumpu kepada kawasan lautan iklim sederhana dan laut yang lebih panas.
Warna ikan kuku putih cerah berkilat umpama perak di dalam air. Pudar kehitaman sedikit apabila ia mati.
Sisiknya kelihatan kasar dan lebih keras dari ikan kapas yang hampir menyerupai kuku ini. Ikan kapas memiliki sisik yang lembut bertentangan dengan sisik kuku.
Kuku boleh membesar sehingga 90cm atau berat yang dilaporkan ialah 3.2kg. Setakat ini spesimen yang pernah saya lihat kurang dari 1kg, teringin juga untuk merakamkan kuku yang lebih dari 2kg.
Persoalannya adakah kuku saiz sebegini mendiami kawasan pantai kita atau induk akan bergerak jauh ke tengah apabila tahap matang.
Jika ada pemancing yang berjaya memperolehi kuku lebih dari 1.5 kg sudah dikira bertuah! Warna di hujung sirip dorsal dan ekor lebih gelap sedikit.
Ekor bercabang tegap mampu membuat pecutan dan kuasa asakan buat pemancing. Bermulut kecil dibarisi ketulan gigi kasar seperti batu penumbuk.
Fizikal yang dimiliki gigi ini membantu ia memecahkan cengkerang keras dengan sekali ngap.
Tiada masalah buatnya untuk memecahkan cengkerang teritip dan ketam batu yang turut berada di dalam rangkaian makanannya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...