Ikan siakap putih dikenali dengan panggilan siakap di sebelah Pantai Barat dan kakap putih di Pantai Timur Semenanjung. Nama Inggerisnya barramundi atau giant perch.

Siakap boleh dikategorikan sebagai ikan sukan kerana sifatnya semulajadinya yang gemar membuat loncatan ke udara ketika beraksi dengan pemancing.

Aksi akrobatik siakap sememangnya digemari oleh kebanyakan pemancing di merata tempat terutama di sebelah utara Australia.

 

Spesies siakap dianggap unik kerana memiliki keupayaan menukar jantina dari jantan ke betina secara semula jadi apabila saiz melebihi 5kg atau 2 tahun ke atas mengikut keperluan.

Ini bermakna siakap putih yang ditangkap melebihi berat 5kg besar kemungkinan adalah betina.

 

Info spesies: Profil ikan siakap

 

Satu lagi kemampuan ikan tidak bergigi ini ialah kemampuan mendiami air payau mahupun air tawar.

Kerana kemampuannya menyesuaikan diri di kawasan air yang kadar kemasinan kurang dan tahan lasak, siakap putih amat popular di kalangan penternak ikan sangkar di serata muara semenanjung.

Ia mempunyai permintaan yang tinggi manakala yang lebih besar mendapat permintaan tinggi dari pengusaha kolam pancing komersial.

 

Bentuk Dan Ciri Fizikal

 

Kepala berbentuk seperti ikan belida. Ia juga seakan-akan ikan siakap nile atau Nile perch (Lates niloticus) di mana kepala tirus mendatar di bahagian atas dan menirus leper dari pangkal tengkuk hingga ke bahagian mulut.

Badannya pula lebih gempal berbanding saiz kepala yang dimiliki. Ekornya separa bulat dan lebar. Sirip ekor di hujung berwarna hitam gelap.

 

Info spesies: Profil ikan siakap

 

Bermata kecil bersinar pada waktu malam dan apabila diterangi cahaya lampu ia menjadi merah cerah dan bersinar.

Ketika juvenil, ikan ini mudah dikenali jika dipandang dari atas berpandukan jalur putih dari kepala hingga pangkal badan yang cukup jelas dan sirip lebih gelap dari atas.

 

Habitat

 

Siakap putih merupakan ikan yang mendiami satu-satu kawasan secara berperingkat. Induk akan  bertelur di antara bulan September-Oktober di muara sungai terutama kawasan berlumpur dasar yang mempunyai tahap kemasinan 2-3 peratus.

Anak-anak siakap pula akan menyusuri masuk ke anak sungai untuk membesar, kawasan yang mempunyai sumber makanan yang cukup dan sebagai kawasan yang selamat dari pemangsa.

 

Info spesies: Profil ikan siakap

 

Apabila saiz meningkat ia akan keluar ke kawasan yang lebih luas terutama di sungai hingga ke kuala.

Ia mampu mencapai seberat lebih dari 40kg dan saiz sebegini hanya mendiami di kawasan sungai yang lebih besar dan air dalam.

 

Pada amnya siakap putih lebih tertumpu di muara sungai di kawasan di mana ia senang memburu mangsa. Pergerakan siakap putih berkait rapat dengan peredaran arus pasang surut.

Ketika air pasang (air besar) siakap putih sering dilihat  menghambur ke udara mengejar anak-anak ikan di tepi air dan di celah-celah pokok bakau kawasan di mana ikan belanak bermain.

 

Kawasan perairan pantai juga menjadi tempat pilihan siakap putih yang besar menghuni.  Ia jarang meronda ke tengah laut dan hanya berlegar di sekitar kurang dari 2km di kawasan pantai terutama yang berdekatan dengan muara sungai.

 

Info spesies: Profil ikan siakap

 

Profil ringkas siakap

 

Nama saintifik: Lates Calcarifer

Famili: Centropomidae

Nama Lain: Siakap putih, kakap putih, selungsung,

Ciri fizikal: Bersisik putih keperakan, pandangan dari atas kelihatan gelap, tidak bergigi, warna gelap di kebanyakan hujung ekor dan sirip.

Diet: Ikan, udang, dan anak-anak ikan yang kebanyakkannya jenis yang mendiami muara.

Habitat: Muara sungai / kuala dan persisiran pantai. Dari kawasan air payau hingga air masin.

Taburan: Selatan Jepun hingga Utara Australia. Hampir di setiap kuala sungai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

 

Info spesies: Profil ikan siakap

(oleh: Pokmuds)

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI