
Pemancing perlu berhati-hati memegang pandan kerana terdapat duri tajam di sirip atas dan bawah yang memiliki bisa menyakitkan.
Kerana kegagahan dan semangat juang yang tinggi serta daya lompatan ke atas permukaan air yang cantik dan menarik, tidak melarikan tangsi ke kawasan reba atau batu karang dengan hanya berlegar di permukaan air.
Habitat Dan Sifat
Talang pandan mudah dijumpai di kawasan perairan persisiran pantai, muara sungai, sekitar pulau di luar pantai yang berdekatan dengan tanah besar dan di luar pantai dalam lingkungan kurang dari 50km dari pantai.
Namun kebanyakan pandan gemar kawasan persisiran pantai yang jernih serta tidak tercemar airnya dari sisa-sisa bahan kimia tercemar dan toksid dan kawasan muara sungai terpilih.
Talang pandan seperti mana talang pada amnya gemar merayau atau berenang mundar-mandir di pantai yang berpasir dan berbatu karang di dasar terutama yang kaya dengan hidupan marin kecil atau mangsa yang terdiri dari anak-anak ikan pelagik sebagai bahan diet utamanya.
Pandan juga merupakan ikan pelagik adalah salah satu spesies yang mempunyai kelajuan serta kekuatan berenang sesuai dengan tabiatnya yang suka menhembur ketika mengejar anak-anak ikan.
Jadi ia tidak pasif atau mengendap mangsa sebelum menyerang seperti kerapu, siakap dan jenahak.
Oleh sebab itu spesies yang berwarna putih dengan tompok hitam kecil dibadan boleh dikatakan sebagai ikan yang tak reti duduk diam. Ia boleh dianggap sebagai pemburu makanan yang pantas (predator).
Pandan adalah spesies yang bermain di bawah permukaan dan pertengahan air. Namun ia juga mencari makanan di kawasan dasar pantai yang airnya agak cetek untuk mencari makanan seperti udang serta anak ketam sebagai diet tambahan.
Mengenal Identiti Giant Trevally

Taksonomi
Kingdom: Animal
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Suborder: Percoidei
Superfamily : Percoidea
Family: Carangidae
Genus: Caranx
Species: Caranx ignobilis (Forsskål, 1775)
Nama lain: Gerepoh, Giant Trevally, GT
Gerepoh? Ikan apa tu? Gerepoh merupakan salah satu spesies ikan marin yang besar dan tergolong dalam famili ikan jack, Carangidae. Lebih popular dengan nama GT, iaitu singkatan bagi giant trevally.
Gerepoh merupakan spesies terbesar di kalangan ikan jack dan sering kali spesies ini menjadi raja sesebuah habitat atau kawasan terumbu karang. Dengan bentuk fizikal badan yang solid serta kekuatan ototnya, gerepoh menjadi musuh yang sukar, malah sangat sukar ditangani oleh pemancing walau dengan set heavy sekalipun.
Sesetengah pula cukup licik, apa lagi jika di kawasan karang. Ibarat serangan gerila, gerepoh akan bersembunyi di kawasan karang dan secara tiba-tiba akan melakukan serangan hendap terhadap gewang anda terutama popper dengan kuasa pecutannya ekornya dan kembali memecut ke karang sebelum memutuskan tali utama pada batu atau karang. Kuat dan licik, tidak hairan raja terumbu karang ini menjadi musuh yang didambakan kaki pancing.
Secara morfologi luaran ikan gerepoh, penampilan utama spesies ini dapat dikenal pasti melalui profil bentuk kepalanya yang besar dan curam selain fizikal badannya yang kelihatan solid dan tegap. Ikan ini juga mempunyai kuasa pecutan dan larian yang luar biasa kerana sirip pektoral yang besar di bahagian pertengahan serta sirip kaudal besar dan solid ibarat pendayung.
Warna badannya pula secara umumnya boleh dikelaskan dalam pola warna putih-perak hingga ke hitam. Sesetengah gerepoh juga mampu mempamerkan rona keemasan gelap pada badannya terutama pada bahagian sirip.
Selain warna umum pada badannya, tanda berpaten atau bercorak yang jelas boleh hadir terutama pada bahagian belakang badan. Ini sering terjadi jika ikan ini mempunyai warna belakang badan yang lebih gelap berbanding bahagian lain, kontra warna akan mewujudkan garisan perak cerah dan akan kelihatan corak bintik kehitaman pada badannya.
Selain itu, pada bahagian kaudal pedunkel, kehadiran scutes (plat kecil yang tajam) jelas kelihatan pada kedudukan selari dengan garisan lateral. Scutes ini mampu mengakibatkan kecederaan jika ikan gerepoh tidak ditangani dengan baik sewaktu pendaratan.
Taburan bagi spesies Caranx ignobilis ini meluas, hadir dalam kebanyakan perairan iklim tropika panas Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Kehadiran ikan ini dikenal pasti hingga ke selatan Australia, timur Kepulauan Hawaii,barat di pulau-pulau timur Afrika dan di utara Jepun.
Gerepoh juga mempunyai toleransi saliniti yang tinggi lantas membolehkannya memilih habitat antara kawasan muara sehingga ke jauh ke lautan di kawasan sistem berterumbu karang. Juvenil pula lebih cenderung untuk berada di kawasan muara, pulau berbatu atau sistem sungai.
Spesimen yang dewasa akan berpindah ke kawasan lebih dalam di lautan di mana terdapatnya struktur seperti terumbu karang atau tukun. Selalunya habitat berstruktur pilihannya ialah kawasan yang mempunyai arus.
Spesies dewasa juga sering berlegar di kawasan tanjung atau pesisir berair cetek ketika memburu makanannya. Kawasan cetek namun berarus di mana terdapat struktur karang atau batuan mewujudkan persekitaran makanan yang ideal bagi spesies ini.
Di Malaysia, gerepoh bersaiz besar boleh diperolehi di kawasan persekitaran pelantar minyak. Bagi kaki popping, waktu senja menjelang malam tatkala lampu pelantar minyak menyala, ia masa yang cukup mendebarkan melontarkan popper sehampir mungkin tiang pelantar dan bawah nyalaan lampu.
Gerepoh merupakan spesies yang mempunyai kadar pembesaran yang cepat. Pada ukuran kepanjangan badannya 60cm, gerepoh umumnya sudah mencapai peringkat matang dan tempoh masa yang diambil untuk mencapai peringkat ini adalah sekitar 3-4 tahun.
Apabila dewasa atau matang, gerepoh mampu mencapai berat 200 lb dengan panjang 1.7 meter dan pada peringkat ini selalunya spesimen akan bersendirian. Apabila dewasa, biasanya gerepoh akan mencari kawasan terumbu karang sebagai habitat dan menjadikan kawasan tersebut sebagai wilayah jajahannya.
Ketika memburu, gerepoh menggunakan abiliti renangan yang unggul dan kuasa hentamannya terhadap ikan buruannya. Selalunya mangsanya akan ditelan terus pada serangan pertamanya, jika terlepas sekalipun biasanya mangsa cedera atau mati akibat kuasa serangannya. Jika memburu berkumpulan, mangsa akan ditelan dengan cepat bagi mengelakkan persaingan yang lebih ganas.
Diet utama gerepoh ialah ikan kecil di sekitarnya. Namun jika terdesak, gerepoh mampu bertukar lebih bengis dan licik. Tuna, penyu dan ikan lumba-lumba antara mangsa yang pernah dilaporkan ada ditemui di dalam perut gerepoh.
Selain itu, kelicikan gerepoh juga terserlah apabila hadir di sebalik jerung karang yang besar dan menjadikan ikan jerung ini sebagai alat untuk serangan hendap mangsanya. Gerepoh bersaiz besar juga ada kalanya menjadikan juvenil sebagai makanannya.
Kenali Spesies Utama Keluarga Ikan Merah

Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Family: Lutjanidae
Genus: Lutjanus
Species: L. erythropterus
Binomial name: Lutjanus erythropterus (Bloch, 1790)
Sehingga artikel ini dihasilkan pun saya masih keliru untuk mengklafisikasi ikan merah dengan tepat. Setelah merujuk beberapa sumber termasuklah laman sensawang perikanan paling efisien, Fishbase, barulah kekeliruan ini dapat dihuraikan. Namun tidak banyak keterangan tentang spesies ini malah nama globalnya juga berubah-ubah dengan nama saintifiknya.
Secara umumnya ikan merah diklasifikasi dalam keluarga besar Lutjanidae (snappers atau ikan lutjan sebagaimana ikan merah lain serta jenahak). Ikan merah merupakan spesies marin tropika dan lebih menggemari kawasan berterumbu karang dengan perairan berkedalaman dari 5 hingga 100 meter.
Taburan ikan merah meliputi Indo-Pasifik Barat: Teluk Persia dan Teluk Oman ke Fiji, utara ke selatan Jepun dan Pulau Jeju, Korea, selatan ke Wales Selatan Baru, Australia dan New Caledonia.
Nama saintifik spesies ini telah menimbulkan kekeliruan dan disebut sebagai Lutjanus malabaricus (non Schneider) atau Lutjanus altifrontalis oleh banyak penulis baru-baru ini. Penemuannya di Laut Merah adalah kesalahan identifikasi.
Spesies L. erythropterus ini dikenali sebagai common snaper, red snapper dan crimpson snapper ini mencapai kematangan apabila mencecah 50cm panjang. Ia mampu membesar sehingga 81cm namun spesimen yang biasa ditemui sekitar 45cm. Dilaporkan merah pucat ini mampu hidup sehingga 8 tahun.
Spesies dewasa gemar mendiami dasar lubang dan terumbu karang. Mereka hadir di atas beting, puing-puing, karang, epibenthos besar, substrat lumpur keras atau berpasir dan terumbu lepas pantai.
Biasanya dalam kelompok. Spesies juvenil dari panjang sekitar 2.5 cm menghuni perairan cetek di atas substrat berlumpur.
Ikan merah menjadikan diet dari pelbagai jenis mangsa yang didominasi oleh ikan, dan dengan sejumlah kecil krustasea, cephalopods dan invertebrata bentik lainnya. Mereka kebanyakan mencari makan pada malam hari.
Kenali Ikan Gegerut!!

Gegerut mempunyai bahagian sekata di muka atau pipi dan tidak menonjol keluar serta warna badan perak keemasan (warna silver), warna tompok-tompok hitam di atas garisan lintang dan bahagian ekor putih dan hitam di bahagian hujung.
Saiz gegerut yang mudah diperolehi sekitar 100gram hingga 500gram. Untuk memperolehi spesies yang lebih besar ia biasa dijumpai di air yang agak dalam dan terkeluar sedikit dari muara terutama paluh (laluan utama sungai) serta kawasan pulau persisiran pantai serta laut bebas. Saiz yang biasa dilihat untuk gegerut di air dalam di antara 600gram hingga 3kg.
Gegerut yang biasa diperolehi dikawasan muara dan air cetek sesuai mengunakan perumpun dan mata yang lebih kecil. Kalau mata pancing yang digunakan terlalu besar anda perlu selalu memasang umpan baru setiap kali selepas henjutan berlaku di hujung joran.
Gerut-gerut boleh diperolehi di kawasan air cetek sehingga kurang dari satu meter tetapi kebanyakanya adalah yang bersaiz kecil. Gegerut yang bersaiz besar 500gram ke atas hanya boleh diperolehi di perairan yang lebih dalam dari 10meter ke atas.
Gegerut gemar kepada kawasan kuala sungai, pantai dan kawasan batu karang di persisiran pantai atau pulau. Pilihan utama gegerut di kawasan kuala sungai ialah berpasir dan juga di kawasan reba pokok bakau.
Walaupun saiz kecil, ia boleh mengejutkan pemancing dengan larian pantas ketika melarikan diri dari pemancing dan mampu menghabiskan umpan yang dua kali ganda besar dari mulutnya. Gegerut yang bersaiz 500gram ke atas sangat popular di Australia sebagai salah satu hidangan sumber protein mereka selain dari negara kita sendiri.