Kalau anda ingin memburu pari kelebihan adalah tetap pada malam hari. Memancing pari, anda harus rajin menunggu dan jangan cepat jemu, gunakan umpan udang atau sotong cumit yang lebih kurang sejangkal panjang jika kepingin ingin merasa keperitan bertarung jaguh terbang ini. Tapi kena tahan kesejukan angin laut dan berembun hingga ke pagi.
Kawasan berpasir atau benting adalah tempat yang terbaik menunggu spesies ini selain di kuala atau muara sungai. Perambut jangan terlalu pendek dan pasti umpan dilabuhkan pada dasar kerana pari tak mungkin menyambar di atas air.
Jangan tertipu dengan permainan pari yang selalu ‘offside’ iaitu suka membuat kejutan pada peringkat awal. Jika drag terlalu ketat kemungkinan ia rabut atau putus tali. Ramai yang gopoh apabila pancing dilarikan oleh pari, sibuk membetulkan drag yang longgar sehingga memberi ruang pari untuk membuat pendaratan cemas di dasar.
Begitu juga dengan pari yang makan memerap, tarikan dapat dirasakan apabila pemancing hendak menggulung tali. Dalam situasi begini biasanya mata kail sudah tertelan jauh ke dalam perut dan sukar untuk pari melepaskan diri.
Seorang rakan memancing saya pernah menaikan pari seberat 10kg tidak sampai 5 minit. Mungkin air tidak berapa dalam lebih kurang 15 meter, tapi beliau langsung tidak memberi peluang dari membalas pada larian pertama dan terus mengepam tanpa rasa ragu-ragu dengan Daiwa Sealine berkekuatan tali Berkley 20Ib.
Pari benar-benar tertewas atau letih apabila ia timbul di permukaan dengan keadaan terbalik. Namun untuk mengelakkan kehilangan pada saat-saat akhir, pencangkuk atau gaft adalah alatan terakhir untuk menaikan piring terbang ini kerana pada amnya ia masih ada lagi stok tenaga yang bakal digunakan pada saat akhir.
Kalau tiada alat ini, memegang bahagian di kedua-dua belah mata sebagai alternatif. Tapi teknik ini hanya untuk pemancing yang berpengalaman dan berani ambil risiko. Badan pari yang lembut terutama bahagian sebelah bawah badan adalah sesuai dicangkuk selain dari bahagian mulut dan mata.
Memperolehi pari yang besar di awal trip memancing akan mendatangkan masalah terutama apabila kotak ikan yang dibawa terlalu kecil untuk dimuatkan. Trip memancing dengan bot nelayan mungkin tidak menjadi masalah. Kalau nak simpan di kotak yang kecil terpaksalah dipotong.
Boleh dikatakan teknik jigging menjadi semakin popular di kalangan kaki pancing masa kini. Namun, masih ada juga yang tidak begitu arif mengenai teknik ini. Jom kita kongsi beberapa info penting mengenai teknik jigging yang perlu anda ketahui.
Dalam istilah jigging, terdapat 2 jenis kaedah untuk jigging, iaitu vertical jigging dan jig cast.
Vertical jigging digunakan untuk mengumpan ikan yang mendiami dasar dengan cara melepaskan jig secara menegak atau ke depan sehingga ia tenggelam ke dasar laut. Kemudian karauan secara laju atau perlahan dibuat untuk mengayakan jig besi di dalam air.
Jig cast pula digunakan untuk mengumpan ikan predator yang bermain di pertengahan atau di permukaan air. Teknik ini sering kali digunakan untuk menjerat ikan tenggiri. Caranya, Jig dibaling sejauh mungkin dan karauan laju dibuat dan membuatkan jig seolah-olah ikan yang sedang berenang.
Joran jigging mestilah halus, ringan dan tahan lasak. Kebiasaan panjang rod jigging antara 4.5 hingga 6 kaki. Bagi menjimatkan kos jigging, anda boleh membuat sendiri ikatan mata kail jig.
Saiz kekili yang berbeza juga perlu dipadankan dengan berat jig yang anda gunakan. Misalnya, kekili saiz 4000-6000 sesuai untuk jig seberat 40 gram – 100 gram, saiz 8000-10000 untuk jig seberat 100 gram – 400 gram dan untuk jig seberat 400 gram ke atas, kekili bersaiz 10000 ke atas sesuai digunakan.
Untuk menentukan saiz jig yang boleh anda gunakan, anda harus mengambil kira kedalaman air di lokasi memancing anda. Misalnya, kedalaman 100 kaki amat sesuai menggunakan jig bersaiz 100gm dan begitulah seterusnya. Senang cerita, jig yang semakin besar digunakan apabila air semakin dalam. Ini kerana pemilihan saiz yang besar ini akan mempercepatkan jig jatuh ke dasar.
Saiz jig mestilah disesuaikan dengan arus pada masa itu. Sekiranya arus agak laju, saiz jig yang sesuai perlu digunakan untuk memastikan jig jatuh betul-betul di kawasan yang sudah dikenal pasti kawasan ikan bermain sekali gus mengelakkan tersasar akibat dibawa arus.
Warna jig juga memainkan peranan besar. Apabila jigging pada waktu malam, jig jenis luminous adalah pilihan utama. Spesies seperti cupak dan tenggiri amat mudah diperdayakan.
Tali sulam atau braided line menjadi pilihan utama untuk teknik jigging. Tali sulam bukan sahaja dapat memotong air dengan lebih cepat, kurang daya regang, sensitif tetapi yang paling penting diameternya yang kecil akan membolehkan lebih banyak tali di sisi dalam gelendong kekili anda.
Penggunaan shock leader atau juga amat penting untuk teknik jigging. Ini kerana dengan leader ini ia mampu menampung main line apabila mendapat asakan secara tiba-tiba. Tali jenis fluorocarbon adalah lebih disarankan kerana ia lebih lasak menahan geseran dan kurang kelihatan di dalam air.
Batang bertam adalah kelengkapan memancing bagi pemancing di desa sejak sekian lama. Joran bertam memberikan penjimatan kepada pemancing desa kerana tidak perlu mengeluarkan wang untuk membeli pelampung.
Batang bertam perlu diraut kulitnya untuk mendapatkan terasnya.
Daya lenturan joran bertam akan bertambah seiring pengeringan teras lembut dan kulitnya. Teras lembutnya boleh dijadikan sebagai pelampung.
Bertam yang ingin dijadikan pelampung pula perlulah dibuang selaput luarnya. Apa yang perlu bagi pelampung hanyalah teras lembutnya. Teras bertam sangat sesuai dijadikan pelampung kerana memiliki warna putih ke perang-perangan yang sangat cerah. Daya apungannya juga sangat tinggi.
Potong bahagian teras bertam sepanjang mana yang dikehendaki untuk dijadikan pelampung,
Sesuatu yang istimewa seandainya anda menggunakan terasnya sebagai pelampung, ia tidak perlu diikat sebaliknya anda hanya perlu menebuknya hingga ke tengah pelampung. Rekahan teras akan memegang tali pancing anda.
Tebuk bahagian tengah teras bertam dan kemudian masukkan tali melaluinya.
Uniknya pelampung tersebut boleh dilaras kepanjangan jarak apungan umpan, mengikut kesesuaian padang pancing anda.
Tali pancing tidak akan mudah melurut dan mampu mengekalkan umpan di dalam air.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...