Bila disebut sahaja teknik mengerau ikan, pasti ramai yang kurang pasti akan perkara ini. Sebenarnya mengerau ikan ini bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia, terutama di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Mengerau ikan atau turut dipanggil menghambat ikan di sesetengah kawasan merupakan salah satu teknik menangkap ikan yang unik dan popular terutama di kawasan Hulu Terengganu yang biasanya dilakukan ketika musim kemarau.

 

Teknik mengerau ini tidaklah sesukar mana, tetapi memerlukan kerjasama ramai orang kampung.

Tidak hairanlah, bila ada aktiviti mengerau, satu kampung akan turun siap kenduri kendera, kerana kaum wanitanya akan memasak nasi, menyediakan minuman sambil kanak-kanak turut sama terjun ke dalam sungai.

 

Untuk aktiviti mengerau perlu ada dua kumpulan yang mana mereka akan bertindak sebagai ‘pengepung’ dan ‘penghambat’ ikan.

Bagi pengepung ikan mereka perlu memasang buluh sepanjang 2-3 depa dan membuat kepungan menggunakan pukat di keliling buluh berkenaan yang berfungsi sebagai penutup untuk memerangkap ikan yang masuk ke dalam kepungan ini.

Kepungan ini akan dibuat betul-betul berhampiran dengan tebing sungai.

 

Setelah kepungan di tebing sungai siap, pukat lain pula akan dipasang merentangi sungai yang mana ia akan dipegang oleh tidak kurang daripada 10 orang.

Ini dilakukan bagi memperdaya ikan yang melalui kawasan ini untuk masuk ke dalam kepungan yang telah disiapkan tadi.

 

Kumpulan yang kedua pula bertindak sebagai penghambat. Tukang hambat ini biasanya terlebih dahulu akan berada di sebelah hulu sungai dengan jarak tertentu dan akan

berjalan beramai-ramai mengikut arus sungai menuju ke kawasan kepungan sambil membuat bising dengan memukul permukaan air bagi memaksa ikan keluar dari kawasan persembunyiannya.

 

Apabila penghambat mula menghampiri kawasan kepungan, biasanya mereka yang bertindak sebagai pengepung akan berada di dalam posisi senyap bagi mengelakkan ikan dari takut dan menjauhi kawasan kepungan tersebut.

 

Apabila ikan mula diyakini sudah masuk ke kawasan kepungan, mereka yang berada di tebing akan terus meluru masuk ke kawasan kepungan untuk menangkap ikan yang sudah terperangkap.

Kebiasaannya, jika kena pada airnya hasil yang akan diperolehi memang amat lumayan!

Antara ikan yang sering menjadi tangkapan dengan teknik ini ialah ikan sebarau, lampam sungai, sikang, terbul, tenggalan dan jika bernasib baik, kelah pun boleh diperolehi.

 

Walaupun ‘kaki pancing’ tidak menyukai kerja ini, kerana geram melihat ikan yang ditangkap melalui kaedah ini dan bukannya memancing, tetapi inilah salah satu teknik menangkap ikan tradisi masyarakat Melayu yang masih lagi hidup dan perlu diketahui.

 

Menurut penduduk tempatan, aktiviti mengerau ikan ini bolehlah dikatakan aktiviti wajib penduduk kampung sekitar Sungai Berang dua kali setahun terutamanya pada musim kemarau.

Dengan adanya aktiviti sebegini ia mampu mengeratkan lagi hubungan penduduk kampung sekitar dan hasil yang diperolehi dikongsi bersama.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI