Memancing dengan menggunakan umpan tiruan atau gewang kini semakin meluas di kalangan kaki pancing di Malaysia.
Pelbagai jenis umpan tiruan terdapat di pasaran pada masa kini merangkumi pelbagai jenis konsep dan material yang boleh diguna pakai sama ada untuk top water, sinking, deep, dan ada juga spoon, blade, pencil, popper dan bermacam-macam lagi.
Boleh kita lihat, kebanyakan gewang khususnya minnow atau crankbait yang dijual di pasaran datang bersama mata tiga atau treble hook.
Bagi yang baru-baru nak berjinak pasti mereka akan gunakan sahaja gewang bersama mata tiga tersebut. Namun bagi sesetengah caster, mereka lebih gemar menukar mata tiga ini kepada mata tunggal.
Kurang sangkut adalah antara sebab mengapa single hook menjadi pilihan untuk dipadankan bersama gewang. Ini amat efektif digunakan jika memancing di kawasan berstruktur atau yang mempunyai banyak halangan seperti samai atau rumpai.
Namun, bukan semua perfect bila menggunakan single hook ini. Harus diingat potensi untuk ‘missed-call’ juga sangat tinggi bila menggunakan single hook, terutama bila berhadapan dengan ikan bersaiz juvenil.
Lain pula dengan mata tiga, yang mana potensi untuk hook-up lebih tinggi jika dibandingkan dengan mata tunggal. Walau potensi hook-up lebih tinggi, namun potensi untuk rabut juga amat tinggi.
Ini kerana mata tiga mempunyai teras yang sangat pendek, jurang sempit dan tekak yang cetek sekali gus ia sukar untuk mengunci ikan lebih lama kecuali jika ketiga-tiga mata kail tersebut tertancap kemas pada mulut ikan.
Berbeza dengan mata tunggal yang mana jika ikan berjaya mengena, tancapannya lebih kemas di mulut ikan.
Ini akan menyukarkan ikan melakukan pintalan terhadap split ring, sekali gus kebarangkalian untuk ikan rabut sangat rendah melainkan jika ikan tersebut berjaya mematahkan atau mengangkangkan mata kail pada gewang tersebut.
Masih ramai yang tidak begitu yakin kepada penggunaan mata tunggal pada gewang. Mungkin faktor susah “hook-up” menjadikan ramai yang tidak begitu yakin kepada penggunaan mata tunggal.
Mata tiga atau mata tunggal tu biarlah ikut pada lokasi memancing anda. Jika memancing di yang berstruktur atau mempunyai reba, penggunaan mata tunggal adalah disarankan.
Sedikit sebanyak ia mampu menyelamatkan gewang anda tersangkut sekaligus menyelamatkan poket anda daripada membelinya lagi.
Jika gemarkan permainan gewang permukaan, mata tiga tidak perlulah ditukar ke mata tunggal. Begitu juga casting menaiki bot, ia tidaklah memberi masalah besar meskipun ada menggunakan gewang mata tiga. Apa yang penting, lure retriever, benda wajib yang mesti dibawa.
Boleh tak admin beritahu musim yang paling sesuai untuk memancing ikan patin. Satu lagi, mana lebih bagus untuk memancing ikan patin, waktu siang atau malam?
JAWAPAN:
Sebenarnya tiada musim khusus untuk memancing ikan patin. Anda boleh memancingnya setiap hari tanpa mengira musim kemarau atau tengkujuh. Namun untuk hasil pancingan yang lebih bagus, anda perlu cuba memancing musim hujan tiba atau tengkujuh.
Ketika inilah ikan patin akan lebih mudah dipancing kerana populasi lebih banyak dan menyebar ke semua penjuru sungai. Namun kalian juga tetap boleh memancing ikan patin pada musim kemarau jika mengetahui lubuk-lubuk yang berpotensi untuk melabuhkan umpan.
Berkenaan waktu yang lebih sesuai untuk memancing pula, waktu malam adalah lebih berpeluang. Ini kerana ikan patin termasuk ikan nocturnal (lebih aktif pada malam hari). Jadi, ia sudah cukup jelas bahawa malam hari lebih efektif untuk memancing.
Namun garis panduan tersebut hanya berlaku untuk ikan patin liar saja. Berbeza dengan ikan patin kolam yang sudah beradaptasi dan memang sudah terbiasa diberi makan pada siang hari.
Untuk rekod saiz tangkapan pula waktu malam lebih baik. Kebanyakan ikan patin bersaiz besar sering dinaikkan pada waktu malam sama ada di habitat liar mahupun di kolam pancing.
Saya masih sangsi tentang pemilihan mata kail yang sesuai untuk memancing di air tawar. Mata kail yang manakah lebih sesuai, mata kail warna hitam atau yang berkilat?
JAWAPAN:
Secara asasnya, mata kail hitam (black nickel) dikatakan lebih sesuai digunakan di perairan air tawar.
Ini adalah kerana warna hitam itu lebih serasi dengan kegelapan dasar perairan air tawar sekaligus bersifat halimunan.
Sementara mata kail berkilat (aloi atau stainless steel) lebih sesuai digunakan di perairan air masin kerana sifat kilatnya itu sedikit sebanyak memainkan peranan untuk menarik perhatian ikan.
Secara peribadi, admin bersetuju dengan pendapat ini. Malah ada juga yang berpendapat, mata kail berkilat kurang sesuai digunakan di perairan air tawar kerana kilauan mata kail itu akan menakutkan ikan.
Atas sebab itu jugalah kebanyakan mata kail gewang (mata tiga dan mata tunggal) bagi pancingan air tawar kebanyakannya adalah mata kail hitam.
Sementara mata kail hitam ini kurang digunakan di laut bukanlah kerana ia tidak memiliki faktor kilauan, sebaliknya ia adalah jenis bahan yang mudah dikakis air masin dan berkarat.
Namun, untuk keberkesanan yang lebih bagi pancingan air tawar, tidak kiralah sama ada mata kail hitam atau berkilat, mata kail itu perlulah disembunyi dengan sempurna di dalam umpan.
Justeru, sebagai contoh jika menggunakan cacing sebagai umpan, cacing itu haruslah dicucuk sehingga menutup bahagian mata kail sepenuhnya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...