
SOALAN:
Bagaimanakah tip atau idea terbaik untuk menarik minat pemancing tempatan dalam kaedah casting dan jigging kerana sebilangan rakan pancing saya lebih gemar menggunakan kaedah pancing dasar dengan alasan tidak menunggu lama?
JAWAPAN:
Seperti yang kita tahu, terdapat banyak cara atau teknik dalam lapangan memancing. Setiap teknik memancing ini mempunyai tarikan atau passion dan peminatnya sendiri.
Secara peribadi, variasi segmentasi inilah sebenarnya menjadikan arena pancing lebih meriah.
Malah saya yakin terdapat ramai pemancing yang meminati banyak teknik memancing, mungkin kesemua teknik asalkan dalam konteks memancing.
Minat dan kecenderungan pemancing bagi saya terpulang kepada pemancing itu sendiri. Perkara ini tidak boleh dipaksa namun boleh dipupuk.
Bagi saya antara idea terbaik ialah anda cuba mendedahkan kaedah tersebut kepada rakan anda, terangkan apa tarikan selain berikan galakan untuk mereka mencuba sendiri.
Jika mereka faham dan merasai keseronokannya, tak mustahil mereka akan menjadi peminat kepada teknik casting dan jigging pula.
Namun kita harus ingat tidak semua apa yang kita suka, akan disukai oleh orang lain. Jika kita tidak menyukai makan nasi, kita tidak boleh memaksa orang lain makan burger.
Begitu juga dengan diri anda sendiri. Mungkin disebabkan anda begitu meminati teknik dan casting, anda tidak nampak keseronokan sebenar pancingan dasar sebagaimana yang dirasai oleh rakan-rakan anda.
Dan mereka mungkin tiada idea untuk menggambarkan bagaimana keseronokan pancingan dasar.
Mungkin juga mereka tidak nampak apa kelebihan jigging dan casting bagi menggantikan teknik yang sudah sebati dengan mereka.
WAC Menyandat Sotong Lagi

Walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan terutamanya mabuk laut pada tahun sebelumnya, Kelab Pemancing Wanita Malaysia atau Women Anglers Club (WAC) ternyata tidak serik untuk menjayakan trip mencandat sotong di perairan Terengganu.
Kali ini, sekitar bulan Mei lalu WAC yang diterajui oleh Normala Abd Rahman selaku presiden kelab telah merancang dan menjayakan trip candat sotong 2018 dengan jumlah ahli penyertaan yang lebih ramai.
Perancangan untuk membawa 40 orang ahli dari Lembah Kelang dengan menyewa sebuah bas persiaran menepati sasaran apabila hanya seorang ahli terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir.
Sebelum turun mencandat sotong yang pada asalnya di jeti Pelabuhan Chendering, mereka (ahli-ahli WAC) berehat dan menjadikan chalet di Noor Arfa Craft Complex yang juga terletak di Kuala Terengganu sebagai lokasi kediaman.
Keghairahan 39 ahli WAC untuk turun mencandat jelas terpancar sejurus turun dari bas menuju ke bot masing-masing. Bagi trip ini mereka menyewa 3 buat bot nelayan kelas C. Dengan jumlah pemancing seramai 13 orang bagi bot kelas C ternyata begitu selesa.
Namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, salah sebuah bot kelas C telah menarik diri dan diganti dengan bot kelas B. Namun ia sama sekali tidak menimbulkan sebarang masalah kepada mereka malah keghairahan untuk menyandat sotong tetap meluap-luap.
Sekitar jam 6 petang barulah tiga buah bot membawa 39 pemancing wanita ini keluar dari kuala Sungai Terengganu menuju ke destinasi candat masing-masing. Namun cuaca pada petang itu agak kurang memberangsangkan.
Kaki langit berwarna merah gelap dan tiupan angin yang menderu sedikit sebanyak merencatkan keghairahan mereka. Malah dalam perjalanan bot ke lubuk lebih dari satu jam itu sudah ada ahli yang tidak mampu menahan alunan ombak yang tiada hentinya.
Sekitar jam 8 malam barulah sesi menyandat sotong dapat dimulakan. Itu pun di kebanyakan bot tidak semua ahli yang berjaya memulakannya. Ditambah dengan hasil candat yang begitu perlahan, seorang demi seorang ahli terpaksa mengakui kekuatan kuasa alam.
Ribut dan hujan lebat yang turun sekitar jam 12 malam hampir menjadi penutup trip candat. Malah diberitakan ada ahli di salah sebuah bot yang menangis ketakutan dan merengek untuk pulang ke darat.
Setelah ribut dan hujan teduh hampir jam 2 pagi, suasana di laut ternyata berbeza. Laut kembali menjadi damai dan mesra. Dan keghairahan mereka untuk mencandat kembali meluap-luap apabila ribuan sotong cumit timbul di permukaan air.
Walaupun kehadiran sotong-sotong itu tidak lama, sekejap muncul sekejap hilang namun ia sudah cukup menggembirakan mereka. Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dengan mencandat dan juga menyauk.
Kalau sekali sauk boleh dapat tiga hingga lima ekor sotong sudah tentu sesiapa saja akan berbuat demikian berbanding menyandatnya.
Tepat jam 7 pagi, ketiga-tiga bot yang membawa ahli WAC ini kembali ke jeti di Pelabuhan Chendering. Keceriaan jelas terpancar di wajah masing-masing kecuali salah sebuah bot yang ternyata hasil kurang memberangsangkan.
GALERI
Umpan Throwback – Lubuk Ikan Gred A Perairan Sungai Besar

Perairan Selat Melaka yang dalam dan berarus laju telah memaksa Kami memilih tarikh air yang hampir mati kerana tiada seorang pun di antara kami mempunyai set memancing elektrik. Hanya ada beberapa kekili multiplier 2 kelajuan (double speed) sahaja dan selebihnya spinning reels termasuk single speed multiplier. Jelas kelihatan sedikit kesukaran menanti kami walaupun trip belum lagi bermula.
Lubuk pilihan lubang-lubang yang mana berpotensi menghasilkan merah, jenahak dan kerapu serta gerut-gerut. Setelah selesai memunggah barang, tepat 9.35 pagi bot mula bergerak meninggalkan jeti untuk ke lubuk pertama yang mengambil masa selama kira-kira sejam setengah.
Masing-masing bersemangat apabila saat sauh dilabuhkan dan serta merta umpan dijatuhkan ke dalam air. Tekong menyarankan hirisan isi ikan kembung. Sotong pula disimpan untuk penggunaan malam hari kelak. Tak sampai 10 minit, tarikan pertama datang dari rakan saya, Jemik. Tiada aksi tarik menarik berlaku kerana hanyalah sang gerut-gerut bersaiz sederhana.
Sekali lagi, joran melengkung. Kali ini giliran Azizan pula menarik. Walaupun agak pening-pening lalat kerana mabuk laut, beliau akhirnya berjaya juga menarik seekor lagi gerut-gerut yang saiznya agak besar sedikit dari tadi. Tidak lama kemudian, masing-masing mula menarik gerut-gerut tak kira depan atau belakang bot dengan pelbagai saiz.
Tekong memutuskan berpindah lubuk selepas hampir 2 jam di situ dan jaraknya sekitar 30 minit perjalanan. Setelah berpusing-pusing di situ, Tekong mengajak ke lubuk lain kerana terdapatnya gangguan jaring di dasar.
Lubuk seterusnya terletak 2 batu dari situ dan dikatakan memiliki spesies merah dan kerapu. Kami tiba ketika air mula lemah. Tanpa menunggu lama, Ramesh yang baru sahaja melabuhkan umpan di tengah bot menahan asakan. Joran mula melentur-lentur ditarik ke bawah dan berdasarkan asakan tersebut, pasti ikan sisik sudah mengena.
LUBUK PELBAGAI PENGHUNI
Aksi tarik menarik agak sukar dikendalikan kerana tali ada-kalanya ditarik keluar di samping penggunaan spinning reels bersaiz sederhana. Akhirnya, sang merah idaman menyerah kalah! Kami semua mula menukar umpan baru dan muncul semangat baru.
Giliran Shan di bahagian depan pula mendapat tentangan sengit selepas selang 5 minit. Beliau cukup berhati-hati kerana menggunakan tali braided 30lb sahaja. Seekor lagi merah bersaiz sederhana tewas. Walaupun saiznya begitu, lariannya amat liar. Lubuk ini nampaknya ada hasil gred A. Sayangnya, tiada lagi tarikan sepanjang kira-kira 20 minit selepas itu.
Saya hanya berjaya menaikkan seekor gerut-gerut comel ketika masing-masing sedang leka menunggu joran direntap kasar. Seekor lagi gerut-gerut muncul dari belakang dipancing oleh Mr.Pen. Nampaknya merah sudah hilang dan diganti dengan gerut-gerut pula. Tekong menyuruh kami menunggu lagi dan bersabar.
Kami berpindah ke lokasi agak jauh selepas itu. Sekali lagi kami berhadapan dengan situasi jaring namun berjaya juga sauh dilabuhkan. Sekali lagi Shan memulakan aksi dengan satu tarikan agak kuat yang berlaku ketika beliau hendak memasukkan joran ke rod holder.
Timbul seekor ikan jenahak yang cacat matanya. Menurut Tekong, jenahak ini mungkin berasal dari Pulau Ketam dan dibuang dari sangkar kerana cacat. Azizan bingkas bangun apabila drag berbunyi selang 15 minit kemudian. Sekali lagi aksi tarik-menarik bermula.
Agak payah mengendalikan peralatan manual kerana faktor kedalaman dan arus namun berjaya juga menaikkan seekor lagi spesies yang sama tiada pula sebarang kecacatan. Kedua-dua ikan tersebut tiada logo hitam seperti kebiasaannya bagi spesies jenahak dan hanyalah bersaiz agak sederhana sahaja.
TUKAR LUBUK
Menjelang lewat petang tiada tangkapan besar seperti yang diharapkan. Masing-masing ada yang sudah tidur berehat di kabin bot. Makan malam disediakan apabila hari mula gelap dan di samping itu, kami berbincang dengan Tekong untuk ke lubuk seterusnya.
Lubuk seterusnya agak jauh sedikit di mana kami tiba di sana dalam tempoh 30 minit. Aksi pertama dimulakan oleh Jacob apabila beliau berjaya menaikkan seekor ikan yu. Selepas itu hampir semua dari kami mendapat gangguan daripada yu. Ada yang dilepaskan kembali dan ada juga yang disimpan.
Tekong menyuruh kami menggulung pancing kerana perlu membetulkan kedudukan bot. Sesekali gerut-gerut dan ikan kecil lain dinaikkan oleh kami di sini. Setelah hampir 1 jam tanpa ikan kasar, kami berpindah lagi.
Tekong memberitahu bahawa lubuk ini ada ikan merah. Tanpa menunggu lama, Alip bingkas merentap joran dan terus sahaja menggulung tanpa tentangan berat. Rupanya seekor tebal pipi tumpas di belakang bot dengan menggunakan umpan hirisan sotong. Dalam pada itu, serangan gerut-gerut masih berterusan hingga ke lubuk ini.
Boleh dikatakan, setiap lubuk kami mendapat spesies ini. Tiba-tiba Alip dilihat sedang menarik sesuatu yang kelihatan tidaklah begitu mencabar namun dragnya sesekali berbunyi juga. Sedang leka melihat Alip sambil memegang kamera, secara tiba-tiba, joran saya menerima asakan sama seperti beliau. Double strike nampaknya namun masih lagi kabur tentang ikannya.
Akhirnya timbul Ikan merah serentak! Kami berdua berjaya menaikkan ikan merah bersaiz remaja. Walaupun tidak begitu besar, faktor kedalaman termasuk daya juangnya membuatkan karauan kami tidak begitu mudah.
Ketika ini, terdapat beberapa ahli telah mula tidur dan ada juga yang ‘tidur-tidur ayam’ kerana telah lewat melepasi tengah malam. Sesekali terjaga, saya sempat bertanya rakan yang masih setia menunggu joran, namun tiada hasil menarik kecuali gangguan ikan kecil serta yu. Ia berterusan sehinggalah muncul matahari.
Selepas sarapan ala kadar, kami sepakat pulang awal ke jeti. Bagi kami, trip ini sukses kerana walaupun sehari semalam, kami tetap mendapat ikan gred A dan yang paling penting, dapat berkumpul dengan rakan pancing.
RM50,000 Menanti Di Cabaran Tanjung Malim

Hadiah bernilai hampir RM50,000.00 menanti para peserta dalam pertandingan memancing Cabaran Tanjung Malim di Tasik YDP Slim River esok, 31 Januari (Rabu).
Pertandingan yang dianjurkan Wakjali Event Management itu menawarkan hadiah RM24,000 untuk juara, kedua sebanyak RM5,000 dan ketiga sebanyak RM2,000. Tempat ke-4 akan membawa pulang RM800, tempat ke-5 sebanyak RM500, ke-6 hingga ke-10 bakal memperoleh RM400. Manakala tempat atau ranking ke-11 hingga ke-20 sebanyak RM300 dan ke-21 hingga ke-50 membawa pulang RM250.
Selain ganjaran wang tunai turut ditawarkan 400 helai baju-T bagi peserta yang mendaftar awal, televisyen LED 32 inci sebagai cabutan bonanza dan hamper sebagai cabutan bertuah. Sementara yuran penyertaan RM90 bagi satu joran dan peserta layak memenangi lebih daripada satu hadiah.
Pengurus Besar Wakjali Event Management, Md Zali Kasran, berkata pertandingan yang bakal dilangsungkan ini adalah pertandingan yang pertama diadakan di Tasik YDP setelah lebih 12 tahun tiada sebarang pertandingan memancing dianjurkan di lokasi tersebut
“Pada awal penubuhan syarikat ini (Wakjali Event Management , Tasik YDP adalah antara venue yang pernah menjadi medan pilihan bagi pertandingan memancing anjuran syarikat ini. Namun, selepas itu tiada lagi pertandingan memancing seumpamanya dianjurkan di sini.”
“Pertandingan ini diadakan pada Rabu sempena cuti perayaan Thaipusam. Kaunter pendaftaran 24 jam akan dibuka di lokasi pertandingan mulai jam 3.00 petang Selasa (30 Januari) sehingga hari pertandingan.”
“Menurut penduduk setempat, tasik ini dihuni patin liar bersaiz mega dan toman serta rohu. Namun beberapa spesies lain yang bersaiz kecil juga seperti lampam, tilapia, belut dan lain-lain juga menjadikan tasik ini tempat bernaung mereka,’’ katanya.
Bagi memberi keselesaan kepada para peserta, pihak penganjur telah melakukan pembersihan tasik sejak seminggu lalu dengan sasaran mengeluarkan rumput di kawasan tebing dan dalam tasik.
Menurut Md Zali lagi pertandingan ini merupakan pertandinga pertama dianjurkan Wakjali Event Management bagi tahun ini sebelum ke Melaka pada 4 Februari yang menawarkan hadiah RM100,000.00 untuk juara.
Pertanyaan hubungi 012-2141401, 013-3838655 dan 012-6823479.