Trip Udang Galah Rumah Rakit Temerloh

Share

Setelah membuat perancangan dan persiapan yang agak lama saya bersama tim komplot Zan Kail Utara Pancing yang terdiri daripada Aiman, Adi, Shah, Akhis dan Jan, pada jam 8.00 malam bertolak dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Temerloh, Pahang bagi menjayakan misi kami iaitu memancing udang galah atau jenggo di Sungai Pahang.

 

Bertarikh 6 Oktober bersamaan hari pertama misi, kami tiba di destinasi yang kami iaitu Kg. Pangsenam, Temerloh kira-kira jam 3.00 pagi. Perjalanan yang jauh bagaikan tidak terasa kerana rasa teruja yang meluap-luap. Seawal jam 7.00 pagi setelah menyelesaikan urusan dengan Abang Salleh iaitu pemilik rumah rakit dan sewaan sampan, kami segera menyusut Sungai Pahang mencari lubuk jenggo.

 

 

Kami menyewa 4 buah sampan atau bot fiber. Umpan umpun-umpun nipah memang terbaik untuk menjerat spesies jenggo, siap dibawa bekal dari Sungai Petani lagi. Tanpa mengira rasa lesu akibat perjalanan panjang dan kurang tidur, kami gigih keluar memancing.

 

Hasil yang diperoleh untuk hari pertama memang terbaik walaupun ini adalah buat pertama kalinya kami memancing jenggo di Temerloh. Kira-kira jam 7.00 malam kami kembali ke jeti dan bermalam di rumah rakit Abang Salleh. Soal makan minum tidak menjadi masalah kerana rumah rakit Abang Salleh lengkap dengan peralatan memasak. Hanya bahan mentah sahaja yang perlu dibawa untuk memasak. Malah bilik pun lengkap dengan pendingin hawa.

 

 

Setelah makan malam dan berehat seketika, entah bagaimana secara tiba-tiba kami berbincang untuk cuba memancing pula. Dengan mudah kami sepakat kata untuk mencubanya. Kira-kira jam 9.00 malam kami menyambung operasi mencari jenggo.

 

Berikutan kegelapan malam yang membatasi penglihatan, sedikit sebanyak ia menjejaskan pergerakan kami. Namun hasil diperoleh jauh lebih baik berbanding waktu siang. Disebabkan mengantuk dan letih, jam 5.00 pagi terpaksa kami pulang ke jeti untuk tidur.

 

Tidak sampai pun dua jam kami berehat dan tidur, sebelum jam 7.00 pagi kami sudah pun keluar memburu jenggo lagi untuk sesi hari kedua pula. Berikutan Sungai Pahang yang terlalu luas menyebabkan kami kurang arif untuk menjejak lubuk yang berpotensi. Tambahan pula ia merupakan pengalaman kami yang pertama kali. Namun kami tidak mematahkan semangat kami. Kami mencari informasi lokasi daripada pemancing dan penduduk tempatan.

 

Berkat ringan mulut bertanya, hasil yang diperoleh ternyata terbaik. Keseronokan membuatkan masa berlalu bagaikan tidak terasa. Bagai tidak sedar hari sudah lewat petang dan perlu pulang ke jeti untuk berehat seketika sebelum menyambung pancingan malam pula. Namun hasrat kami untuk memancing malam terpaksa dibatalkan berikutan cuaca kurang baik dan hujan turun dengan agak lebat.

 

Jam 6.30 pagi pada hari ketiga kami keluar memancing udang galah untuk beberapa jam lagi sebelum bertolak pulang ke Sungai Petani kira-kira jam 11.30 pagi. Tiada apa yang dapat kami simpulkan dari trip ini selain amat berpuas hati. Layanan Abang Salleh juga terbaik. Kami mengakhiri trip jenggo Sungai Pahang di Temerloh ini hasil kira-kira 100 ekor lebih udang galah dengan anggaran lapan kilogram. Yang pasti kami amat bersyukur kerana selamat pergi dan selamat juga kembali.

 

(Catatan: Zulhusmi Ismail)

IKLAN