
Mungkin sebahagian dari kita sudah tahu sensasi tarikan ikan jenis ini. Jika tidak mahu kecewa kita harus memilih jenis line atau tali yang kuat untuk bertarung dengannya. Tentu kita tidak mahu berputih mata apabila tewas dalam pertarungan dan menjadi rezeki mata saja.
Line yang biasa saya gunakan ialah jenis braied atau tali sulam 20lbs kerana line jenis ini tidak mudah putus jika bergeser atau berbeli pada bangkar pokok yang menjadi rumah kegemaran baung.
Umpan saya biasa guna ialah anak ikan kap ukuran sebesar jari telunjuk atau usus ayam yang dibusukkan yang tidak lebih dari 2 hari.
Namun yang paling sering saya pakai adalah umpan usus ayam yang dibusukkan kerana dengan bau yang menyengat akan menarik perhatian ikan baung itu sendiri, sebab ikan baung akan mencari sumber yang mengeluarkan bau busuk untuk dijadikan makanan yang merupakan makanan kegemarannya.
Tak seperti menggunakan umpan anak ikan kerana jika kita menggunakan anak ikan, kita hanya menunggu ikan baung melintas untuk memakan umpan kita. Namun, gabungan umpan busuk dan umpan anak ikan boleh membuahkan hasil yang lebih baik.
Beberapa pemancing mengabaikan hal ini, mereka lebih beranggapan yang penting umpan sudah dibaling dan memancing pada malam hari. Tak mustahil jika begini, anda hanya akan dapat gigitan nyamuk saja tanpa sebarang hasil.
Ada beberapa hal yang perlu diketahui pemancing, jika kita memancing pada malam hari mulai lewat sampai pukul 03.00 pagi, pada tempoh waktu tersebut ikan baung aktif mencari makan di pinggiran sungai dan jenis umpan yang paling sesuai ialah anak ikan.
Mistik – Roh Merayau Di Lubuk Asli!!

Sepanjang perjalanan, Hairi asyik bersiul. Entah mengapa, hatinya berasa sangat gembira dan teruja untuk ke Jeram Lesung. Amza, kawan Zainal sudah beberapa kali mengingatkan Hairi agar menjaga pantang larang semasa di dalam hutan terutama bersiul, namun Hairi buat endah tak endah saja dengan teguran yang diberikan.
Hampir 45 minit meredah denai , akhirnya mereka berlima sampai ke tempat yang dituju. Sebatang anak sungai mengalir jernih, tenang dan deras dibahagian hilirnya menyambut kedatangan mereka. Tetapi tumpuan lebih terarah ke kawasan air yang mengalir tenang dan gelap airnya di bawah pokok besar.
“Subhanallah! Cantik betul tempat ni.” puji Mizan sambil berjalan ke gigi air. Dia membasuh mukanya sambil berfikir-fikir lokasi manalah hendak dilabuhkan jorannya nanti.
“Geng, kita pasang khemah dululah. Lepas ni kita cari kayu api dan pasang joran. Mana tahu ada ikan yang menjadi mangsa santapan tengah hari kita nanti” arah Amza. Semua mengikut arahan Amza tanpa banyak soal.
Dua buah khemah didirikan tidak jauh dari gigi air. Zainal kemudiannya mencari kayu api untuk dijadikan bahan bakar. Mizan dan Jimie pula sudah memasang empat batang joran dengan berumpankan perut ayam yang diadun dengan tepung gandum dan juga umpan kelapa sawit peram.
“Ikan apa yang ada di lubuk ni Amza?” Tanya Hairi.
“Ikut pengalaman akulah, ada ikan tengas, sebarau, baung dan kelah” jawab Amza. Mata kail yang sudah dilekatkan umpan dilemparkan ke dalam air.
“Kelah?” Hairi tersenyum keriangan.
Ikan kelah adalah raja segala ikan sungai. Ikan ini memerlukan habitat yang bersih, sunyi dan air yang mengalir tenang.
Bukan calang-calang orang dapat menangkap ikan kelah ini! Jam dua petang, mereka sudah berjaya menaikkan tiga ekor ikan sebarau, dua ekor tengas dan lima ekor ikan lampam sungai.
Ikan-ikan itu dibersihkan lalu dipanggang begitu saja untuk dijadikan santapan tengah hari. Aduh, enak tak terkata apabila menikmati ikan segar yang ditangkap sendiri dan dimakan panas-panas begitu.
Menjelang waktu Maghrib, Amza sudah mula menghidupkan unggun api di tepi sungai. Selain untuk menerangkan kawasan perkhemahan, unggun api juga bertujuan menghalau nyamuk, agas serta menakutkan binatang liar kalau ada.
Namun sesuatu yang ganjil berlaku apabila senja semakin melabuhkan tirainya. Ketika asyik melayan joran yang galak dimakan ikan, satu suara asing menegur dari belakang. Tiba-tiba muncul seorang lelaki berusia awal 50-an, bertubuh kurus, tetapi kelihatan pucat dari semak-samun berhampiran.
“Boleh pakcik tumpang berteduh sebentar di sini” jawab lelaki itu dengan ramah. Amza hanya memandang saja. Zainal dan Mizan pula bagaikan terkunci mulut. Jimie leka melayan jorannya yang galak dimakan ikan.
“Duduklah encik. Kami pun baru saja sampai petang tadi. Kalau encik nak makan, ada lagi nasi petang tadi. Ikan panggang tu pun ada lagi. Tapi kena cicah dengan air kicap je la” kata Hairi menjawab bagi pihak rakan-rakannya.
“Tak takut ke memancing di tengah-tengah hutan ni?” lelaki misteri tadi terus menyoal.
“Nak takut bendanya. Bukan ada hantu atau bunian kat sini” lancang Hairi menjawab. Amza menjeling tajam ke arah Hairi!
Tiba-tiba guruh berdentum. Daun-daun mula menari ditiup angin.
“Nak hujanlah pulak. Leceh…” rungut Hairi. Dia memandang ke tempat lelaki tadi duduk. Berderau darahnya.
Lelaki tadi telah ghaib entah ke mana! Malam itu mereka berlima tidak dapat memancing. Semuanya berkurung di dalam khemah.
Hujan turun mencurah-curah diikuti dengan petir dan kilat sabung menyabung. Selain itu, mereka dapat mendengar pelbagai bunyi aneh kedengaran di sekeliling kawasan khemah. Seperti ada pesta keramaian.
Suara kanak-kanak dan orang dewasa berbual jelas kelihatan. Ini menyebabkan mereka gelisah dan tidak dapat tidur. Masing-masing enggan membuka mulut, bertanyakan hal yang berlaku, apatah lagi cuba untuk menjenguk apa yang berlaku di luar khemah.
Keesokan harinya, mood memancing seperti sudah hilang. Tepat jam 9 pagi, mereka berlima sudah siap mengemas untuk pulang. Namun, sampai sahaja ke tempat kereta diletakkan, mereka terperanjat apabila melihat kawasan itu sudah dipenuhi oleh polis dan orang awam.
“Ada apa ni bang?” Tanya Jimie kepada seorang lelaki.
“Ada orang jumpa mayat dalam gaung. Kata polis, mungkin dah 2,3 hari mati kot. Kena bunuh. Ngerilah!” jawab lelaki itu bersahaja.
Sewaktu pihak polis mengusung mayat itu, secara tidak sengaja mereka terpandang ke arah muka mayat yang tidak ditutup rapat. Berderau darah mereka berlima apabila melihat muka lelaki itu saling tak tumpah dengan lelaki asing yang datang berteduh di khemah mereka malam tadi.
Siapa lelaki berkenaan dan bagaimana dia ghaib dengan tiba-tiba serta bunyi aneh di sekeliling khemah mereka terus menjadi persoalan. Sejak kejadian itu, mereka tidak berani untuk berkunjung ke Jeram Lesung.
Port Siakap Terhebat Perlis

Dalam pencarian spot siakap, penelitian yang tinggi amat diperlukan. Cara bacaan air perlu diperhatikan betul-betul untuk memastikan ikan yang boiling itu tadi merupakan spesies yang diburu. Saya mengenal boiling ini berdasarkan dari tunjuk ajar sifu saya Sham Merang semasa pergi memancing dengan beliau beberapa kali.
Melihat percikan air sahaja semasa boiling belum cukup untuk memastikan ikan yang boiling itu ialah siakap. Tapi, kita juga perlu melihat sirip atas yang kelihatan di permukaan air ketika siakap sedang mengejar anak ikan seluang. Melihat banyak boiling seperti siakap air tawar di sepanjang sungai (Sungai Kampung Bakau) tersebut, telah mendatangkan perasaan saya ingin cuba memburu siakap air tawar di kawasan itu.
Berbekalkan umpan soft plastik dan gewang top water saya terus mencuba spot berkenaan. Tiga puluh minit kemudian, kelihatan ada sesuatu sedang kejar soft plastik saya. Mengingatkan pesanan Sham Merang, ketika melihat ada ikan mengejar umpan, kita hendaklah perlahankan kayuhan mesin agar soft plastik bergerak lebih perlahan untuk memudahkan ikan tersebut memakan umpan kita.
Dengan gaya itu siakap berkenaan betul-betul menelan umpan tersebut. Dengan tanpa menunggu lama, saya menyentap joran saya. Ternyata teknik yang diajar oleh Sham Merang amat berkesan. Pertarungan bermula dengan ikan siakap membenam ke dasar sambil ia bergelut menerjah ke permukaan air berkali kali untuk melepaskan diri.
Waktu itu, debaran kian terasa apabila ikan berkenaan menggelupur di atas permukaan air. Mujurlah drag mesin telah disetkan mengikut kemampuan mesin agar memudahkan tali joran mengikut gerakan ikan tersebut. Hampir 15 minit melayan, akhirnya ikan berkenaan berjaya didaratkan.
Walaupun tidak terlalu besar, sudah cukup memuaskan hati saya kerana teknik ajaran sifu Sham Merang membuahkan hasil. Memancing siakap di sini (Sungai Kampung Bakau) memberikan kepuasan yang tinggi kepada saya.
Jumlah tangkapan tidaklah banyak tetapi amat memuaskan bila dapat strike siakap air tawar aka puyu panggilan setempat. Dengan menggunakan teknik ajaran Sham Merang dalam tempoh dua minggu saya berjaya mendaratkan 9 ekor siakap air tawar di sini (Sungai Kampung Bakau). Alhamdulillah Perlis the best walaupun kecik tapi masih ada spot untuk memburu siakap liar.
Oleh Abdul Aziz
Trip Trobek – Komplot Tenggiri Perairan Yan!!

Walaupun mata yang masih bengkak tidak Tidur dari awal malam kerana perjalanan daripada ibu negara ke sini mengambil masa 5 jam untuk sampai kami tetap bersemangat meneruskan perjuangan ini.
Tekong mula menghala bot terus ke tuasnya dengan kelajuan maksimum memecah kesunyian pagi dengan deruman bunyi bising ekzosnya. 1 jam perjalanan kami tiba di tuasnya dan acara casting bermula.
Kelihatan kelibat tenggiri membuat ‘boiling’ kelihatan kira-kira 100 meter dari bot kami. Memandangkan lontaran peluru torpedo kami tidak sampai ke tahap itu, maka kami menggunakan teknik menghanyut umpan segar.
Menanti beberapa ketika, kekili Abu Garcia 405 berdesing memuntahkan tali secara tidak henti. Lantas Ayim menyentak 2 kali jorannya agar mata kailnya tertancap kemas pada mangsa dan setelah diyakini mangsa tertewas dengan tusukan mata kail tersebut.
Ayim segera mengarau kekilinya tanpa memberi ruang kepada mangsa untuk melarikan diri. Beliau amat yakin dengan teknik dan kekuatan tali utama 50 paun dan steel leader berkekuatan 40 lb tidak mampu diputuskan pemangsa. Akhirnya tenggiri seberat 7 kg dapat ditewaskan.
Setelah kawanan tenggiri menghampiri tuas, kami meneruskan aktiviti pagi itu dengan acara casting menggunakan peluru ‘torpedo’ yang dijual di jeti. Tekong menasihatkan kami membuat karauan selaju mungkin bagi menarik perhatian mangsa.
Lontaran dibuat sejauh mungkin dan dikarau selaju mungkin bagi menjadikan larian umpan ‘torpedo’ kelihatan seperti sotong jarum yang melarikan diri apabila terlihat pemangsa.
Memang benarlah kata orang, inilah karannya bila casting tenggiri di sini. Sebabnya tangan anda penat mengayuh laju, kekili, ketika itulah tiba-tiba umpan anda disentak ke belakang dan dihenjut tanpa memberi amaran langsung.
Ragutan pertamanya membuatkan anda mampu berasa cemas dan ketika itulah serapan penghayatan kuasa ikan mengalir dari tali terus ke joran dan mengalir ke urat tangan anda dan seterusnya merangsang otak anda untuk melawan kembali asakan tersebut.
Selain tenggiri yang menjadi target, ikan lauk lain juga menjadi sasaran kami iaitu cencaru dan juga kembong dengan menggunakan teknik apollo. Penutup trip tenggiri terakhir seberat 9 kilogram menjadikan tangkapan keseluruhan 12 ekor. Misi telah tercapai dengan semua ahli dapat merasai permainan tenggiri di sini.