Setiap kali turun memancing laut dalam menggunakan bot memancing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan Rompin, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memancing atau lebih tepat lagi diistilah sebagai mencandat sotong mengabang.
Kawasan unjam bahkan juga bekas tapak unjam lazimnya akan menjadi kediaman atau ‘kandang’ sotong mengabang serta sotong lainnya dalam jumlah besar berikutan ia turut menjadi kediaman ikan-ikan kecil yang merupakan sumber makanannya.
Namun di Selat Melaka, terutamanya perairan Pelabuhan Kelang, saya tidak berpeluang untuk mengamalkan salah satu teknik memancing yang menjadi kegemaran saya ini.
Selain ketiadaan unjam, sotong mengabang dikatakan sukar untuk ditemui, mencandat sotong itu sendiri umpama sesuatu yang ganjil jika dilakukan di Selat Melaka.
Sehinggalah apabila mendapat perkhabaran dari tekong-tekong bot memancing kurangnya hasil jigging berikutan kehadiran sotong jarum yang agak banyak.
Secara tidak langsung ia merangsang saya untuk lakukan sesuatu dari situasi tersebut.
Ads
Justeru apabila ada trip jigging bersama rakan dalam tempoh tersebut, saya tidak tertangguh lagi mencubanya walaupun pada awalnya ia menjadi bahan gelak rakan-rakan.
Untuk mencandat di Selat Melaka, saya ubah sedikit tekniknya. Saya tidak mencandat sotong secara langsung dengan kaedah lazim candat dan pemberat.
Sebaliknya saya gantikan pemberat dengan jig lengkap mata kail. Dalam erti kata lain ia lebih kepada konsep 2 dalam 1.
Candat udang untuk memancing sotong dan jig untuk memancing ikan. Konsep ini sebenarnya agak besar belanjanya kerana apabila ia tersangkut pada karang atau sesuatu
Ads
di dasar laut sehingga mengakibatkan tali utama putus, maka bertambahlah kos kerugiannya.
Setelah dua kali tersangkut dan putus, saya hampir-hampir berputus asa sehinggalah apa yang saya dambakan menjadi kenyataan.
Setelah menemui kandangnya, seekor demi seekor sotong jarum saiz yang agak kasar berjaya saya naikkan.
Selain sotong jarum, sotong kurita dan sotong mengabang yang dikatakan agak sukar diperolehi turut sama didaratkan.
Ads
Setelah percubaan pertama berjaya, saya luaskan teknik ini ke mana saja saya turun memancing di Selat Melaka.
Untuk menggayakan teknik 2 dalam 1 ini lebih kurang sama sahaja dengan teknik jigging perlahan.
Namun untuk mengesan sama ada sotong sudah mengena agak sukar sedikit apatah lagi dalam keadaan berarus dan jig melebihi 200 gram digunakan.
Yang pasti teknik 2 dalam 1 ini sudah terbukti bukan sekadar berkesan untuk mencandat sotong malah sudah berjaya mendaratkan spesies ikan juga.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Revolusi penghasilan jam & meter teksi kepada kekili pancing
Syarikat yang pada asalnya bernama AB Urfabriken ini mula-mula ditubuhkan pada tahun 1921 oleh Carl August Borgstrom di Blekinge, Sweden.
Nama syarikat ini bermaksud “The Watch Factory, LTD“ merupakan sebuah syarikat pembuatan yang memfokuskan kepada pembuatan jam dan meter teksi.
Namun, anak kepada pemilik asal iaitu Gote Borgstrom merupakan seorang pemancing tegar kemudiannya menukar haluan syarikat ini kepada pembuatan kekili ketika Perang Dunia ke-2.
Tahun 1941 merupakan tahun di mana kekili ABU Record diperkenalkan. Pada tahun 1952, kekili Red Ambassadeur diperkenalkan dalam pameran dunia di New York.
Kemudiannya, syarikat pancing terbesar di US, Garcia Corporation mula mengimport dan memasarkan banyak kekili buatan ABU termasuk kekili Ambassadeur yang terkenal.
Ketika itu, Garcia merupakan peneraju dalam industri barangan pancing termasuk memasarkan kekili Mitchell 300 dari Perancis.
Awal 1950-an memperlihatkan ABU memperkenalkan beberapa siri kekili dan produk pancing lain. ABU 444, kekili spinning pertama buatannya diperkenalkan pada 1955.
Bermula 1957, syarikat ini juga menjadi terkenal dengan kekili spincast iaitu The Abumatic – yang dilengkapi dengan beberapa inovasi kejuruteraan yang dipertingkatkan.
Kekili spinning terkenal buatan ABU iaitu Cardinal pula mula diperkenalkan pada tahun 1965.
Pada tahun 1971, anak kepada Gote iaitu Lennart mengambil alih perniagaan ABU daripada bapanya. Gote kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1974.
Dalam tahun 1984, nama syarikat ini ditukar daripada ABU kepada ABU Garcia oleh kerana nama Garcia lebih dikenali oleh kebanyakan pemancing Amerika.
Pada 1995, Abu Garcia dibeli oleh Berkley, Inc. dan The Outdoor Technologies Group (OTG) pula ditubuhkan.
Pada 1999, OTG menukar namanya kepada Pure Fishing. Hari ini, kilang pembuatan kekili di Blekinge masih menghasilkan kekili klasik Ambassadeur serta kekili generasi baru
baitcasting terkenal iaitu siri Revo, yang telah melakukan revolusi dalam rekaan kekili baitcast hari ini.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tidak lama dulu, sempena cuti hujung tahun, saya berkesempatan melawat sebuah rumah panjang di pedalaman Sarawak. Memandangkan saya peminat pancingan sungai pegunungan, peluang tersebut tidak disia-siakan dengan membawa set memancing ringkas untuk menduga penghuni sistem sungai di Ulu Baram, salah satu sungai terbesar di Sarawak selepas Sungai Rejang.
Namun, kerana kekurangan informasi mengenai keadaan di sana, saya dibuli teruk kerana set tidak sepadan dan kekurangan peralatan. Dari itu, saya telah merancang rapi satu trip ‘balas dendam’ setahun berikutnya dan berjaya merasai sendiri pengalaman hebat bergasak dengan ikan yang digelar raja sungai pegunungan dengan kaedah casting atau mengilat.
Setibanya di Miri, di mana saya bersama isteri dan adik yang juga kaki mengilat telah dijemput oleh Henry Agang selaku guide kami dan bermulalah perjalanan Ke hulu Sungai Baram melalui jalan balak selama 8 jam.
Kami tiba di sebuah perkampungan etnik Kenyah kira-kira jam 7.00 petang. Tidak banyak info yang boleh dilakukan malam itu kecuali menyiapkan diri serta peralatan untuk keesokan harinya.
Tempat penginapan kami boleh dikatakan mewah dengan keadaan rumah panjang yang cantik dan bersih, bekalan air pegunungan yang tiada had serta generator untuk bekalan elektrik.
Pagi berikutnya, walaupun saya bangun awal kerana tidak sabar untuk melontar gewang, namun perjalanan belum dapat diteruskan kerana masalah bot dan enjin sangkut. Menjelang tengah hari barulah masalah tersebut dapat diselesaikan.
Long Buang, salah sebuah anak sungai yang bersambung dengan Sungai Baram menjadi sasaran kami, hanya terletak kira-kira 30 minit menghulu dari perkampungan tersebut namun perjalanan terasa amat lama kerana keadaan sungai yang cetek dan deras dengan bongkah-bongkah batu besar di tengah-tengah sungai membuatkan enjin 15hp bagaikan hanya berkuasa 2hp lajunya.
Setibanya di Long Buang, kami terpaksa meninggalkan bot di muara kerana air sungai terlalu cetek. Rancangan asal adalah untuk terus berjalan kaki ke hulu di mana terdapat banyak lubuk besar dan dalam namun memandangkan kami hanya mempunyai masa setengah hari untuk memancing maka rancangan diubah untuk hanya menduga lubuk-lubuk kecil berdekatan muara.
Saya menggunakan set padanan Abu Garcia Revo MGX dengan rod custom 4-7lb, satu set ringan kerana berpendapat kawasan dekat muara ini tiada saiz ‘monster’ berikutan lubuknya yang kurang dalam. Namun lontaran pertama sesudu Abu Island II Gold 12 gram terus sahaja bersambut.
Saya dapat menjangkakan bahawa ini perbuatan sebarau kerana sambaran diterima ketika sesudu baru tenggelam dan larian pertamanya yang padu namun agak singkat. Setelah dihela ke tebing seekor sebarau dua belang dalam anggaran berat 500 gram berjaya dinaikkan.
Saya difahamkan, di lubuk ini hanya sebarau dua belang sahaja yang menghuni. Dan berdasarkan pengalaman memancing spesies ini di kebanyakan lokasi di Sarawak, daya juang sebarau dua belang jauh lebih hebat daripada saudaranya satu belang.
Dari segi penampilan fizikalnya juga memang berbeza dengan kepala yang lebih besar dan nampak garang, badan yang lebih ‘ streamline’ dan panjang serta dua belang hitam melintang di tengah badan dan pangkal ekor menampakkan lagi kelainan ‘sebarau Borneo’ ini.
Memandangkan hari semakin lewat tengah hari, kami memutuskan untuk casting secara ‘rapid’ dalam usaha mendapatkan lauk untuk makan tengah hari kerana kami hanya membawa nasi sahaja sebagai bekalan makanan.
Lagipun menurut guide kami, adalah senang untuk mendapat lauk-pauk di dalam perjalanan sebab banyak paku-pakis dan tumbuhan hutan lain yang boleh dimakan bersama ikan yang dipancing nanti.
Sebarau dan anak tengas rata-rata dalam lingkungan berat 500-900 gram berjaya kami naikkan. Dalam masa lebih kurang setengah jam casting hasil keseluruhan 3 orang ‘caster’ untuk dijadikan lauk kami adalah lebih kurang 15 ekor.
Agak menyedihkan, kerana terpaksa mengambil juvenil untuk dijadikan hidangan. Nak buat macam mana, survival.
TRIP PETANG
Setelah makan, kami berkemas untuk meneruskan agenda sebenar trip. Jam menunjukkan pukul 3 petang. Kami berpecah kepada dua kumpulan untuk meminimumkan bunyi bising dan setiap kumpulan diberi lubuk masing-masing untuk digempur.
Di satu lubuk yang dalam, lontaran pertama saya terus bersambut. Sesudu Abu Island II 12 gram disergap pemangsa jauh di dalam lubuk ketika dibiarkan tenggelam.
Drag kekili Abu Garcia Mgx disetkan tinggi namun tali mencurah-curah keluar. Saya terpaksa menambah tegangan dengan ibu jari menahan spool yang ligat berpusing. Ikan berjaya dihalang daripada masuk ke kubunya dan dilayan sehingga letih.
Kira-kira 2 minit kemudian ternampak kelibat ikan di dalam air yang sejernih kristal. Agak kecewa kerana apa yang menonjol adalah dua garisan melintang di tengah badan ikan.
Badong rupanya… ingatkan kelah sebab tarikannya memang syok habis. Yelah kan, penulis belum ada pengalaman bertarung dengan kelah, masih kurang arif dengan lariannya. Bacaan pada ‘lip grip’ menunjukkan angka 5 lb. Lebih kurang 2 kilo lebih. Memang puas hati.
Berita daripada kumpulan lain agak kurang memuaskan. Hanya sebarau juvenil yang banyak dinaikkan untuk hari pertama. Memandangkan hari semakin lewat kami bergerak balik pada pukul 5.00 petang.
Dalam perjalanan pulang, kami merancang untuk memancing dasar pada malam harinya, namun selepas sahaja berehat, semuanya terus hanyut tertidur dek keletihan. Keesokan harinya, kami bertolak agak lambat kerana porter dari suku kaum Penan yang diupah untuk mengangkat enjin sangkut ke perahu datang lambat.
Jam 10 pagi barulah kami dapat bergerak ke Long Buang. Hari ini, kami merancang untuk pergi lebih jauh ke hulu demi mendapatkan lubuk-lubuk besar yang dalam. Sepanjang ‘trekking’ menghulu tersebut, saya sempat melempar sesudu di kawasan-kawasan yang difikirkan berpotensi.
Sebarau amatlah banyak, sehingga ‘blind cast’ pun bersambut. Sekali-sekala anak-anak tengas juga turut terjerat. Strategi hari ini juga seperti hari sebelumnya.
Kami berpecah kepada 2 kumpulan untuk meneroka lubuk-lubuk. Jam 2 petang kami berkumpul semula untuk rehat makan. Sementara menunggu api hidup dan memasak, saya mencuba di sebuah lubuk berdekatan lokasi kami berehat.
Beberapa ekor sebarau berjaya didaratkan walaupun dalam keadaan bising dengan semua anggota trip berkumpul dan memasak. Saya masih lagi mencuba beberapa balingan.
Dalam satu balingan yang ‘miss q’, tali dalam spool menjadi kusut. Sesudu terus tenggelam ke dasar sementara saya membetulkan tali.
Pada karauan pertama, sebaik sesudu terangkat dari dasar,terasa satu terjahan padu menghentam dan menarik tali mencurah-curah dari kekili. Setelah dilayan seketika, menyerahlah seekor kelah dalam anggaran 600gram.
Selain sesudu, saya turut mencuba gewang selaman dalam berwarna terang yang menyerupai buah-buah hutan. Rapala Fat Rap 5cm berwarna Golden F1 Red (GFR) amat laku di sini. Dua kali tali utama 30 lb saya putus.
Mungkin kesilapan saya sendiri kerana menggunakan tali yang terlampau halus. Tali Gtech walaupun kuat, ia mungkin tidak dapat menahan geseran dengan batu-batu di dasar sungai lalu terputus.
Menjelang petang, kami bertolak balik dengan azam untuk ‘repeat’ keesokan harinya. Namun keesokannya, niat kami terbantut apabila hujan lebat turun sepanjang hari menyebabkan sungai menjadi keruh.
Kami memutuskan memancing dasar berumpankan cacing di Sungai Baram. Keputusannya beberapa ekor baung berjaya kami perolehi. Highlight hari ketiga ini adalah pertarungan isteri saya, Lydia dengan ikan misteri yang berjaya melepaskan diri walaupun dilayan dengan menaiki bot.
Menurut guide, mungkin angkara ikan ‘Keramu’ (bahasa Kenyah) iaitu spesies baung besar berwarna kelabu.
HARI TERAKHIR
Keesokannya harinya, cuaca begitu baik dan kami mengambil keputusan kembali ke Long Buang yang telah kembali jernih. Saya bergerak seorang diri menghulu sungai, mendahului ahli-ahli yang lain.
Keadaan lebih sunyi dan ikan kurang menyedari kehadiran pemancing menyebabkan penulis ‘lost count’ sambaran sebarau dan anak kelah yang dinaikkan tapi sayang tiada orang untuk merakamkan detik pertarungan.
Bergambar pun jadi malas sebab tiada sebarau dan kelah ‘monster’ sudi menjadi model. Namun, purata berat ikan-ikan yang dinaikkan tidaklah mengecewakan, memang ada ‘fight’! Kira-kira jam 4.00 petang kami bergerak balik menyusuri sungai. Sedih meninggalkan syurga sebarau ini. Namun kami akur dengan keadaan masa yang mencemburui kami.
Dalam perjalanan pulang ke rumah panjang, saya meminta agar bot berhanyut kerana mahu melontar gewang di sepanjang Sungai Baram sehingga ke kawasan kampung. Beberapa minit kemudian, lontaran Rapala Fatrap 5cm GFR ke satu sudut lubuk disergap sesuatu ketika gewang menyelam maksimum. Berdasarkan kedalaman strike zone itu, saya dapat membuat tekaan angkara siapa.
Sentapan balas dibuat dan larian tiada henti pun berlaku. Berdesit-desit tali keluar dari kekili. Penulis hanya mampu berharap tali utama, perambut, ikatan FG knot, swivel, split ring dan segala macam peralatan dapat bertahan.
Mujur perahu yang digunakan berada jauh dari tebing maka ikan dapat dihalang daripada masuk ke mana-mana reba yang sememangnya banyak di kawasan tebing sungai.
Apabila dirasakan ikan menyerah kalah, tali dikarau dengan cepat dan berhati-hati, manalah tahu pecutan tiba-tiba berlaku. Putih mata dibuatnya kalau putus lagi.
Kira-kira 10 minit kemudian,ikan berjaya dihela ke permukaan dan satu kilauan perak yang besar kelihatan. Gembira bukan kepalang apabila melihat ikan kelah atau lebih dikenali sebagai ‘jembala’ oleh penduduk tempatan menyerah kalah di tepi bot.
Namun kegembiraan itu tidak lama, digantikan dengan ‘sense of urgency’ untuk menaikkan ikan tersebut ke dalam bot kerana cangkukan mata treble VMC 4X di mulut ikan kurang kemas.
Sejurus terlantar di lantai bot, gewang terlepas dari mulut ikan. Mujur sempat dinaikkan. Gambar diambil sambil membelek kagum kecantikan ikan tersebut.
Dengan kejayaan menaikkan kelah tersebut, maka berakhirlah trip idaman bagi penulis, namun kejayaan ini telah menanamkan tekad untuk kembali lagi suatu masa nanti.
Sempena cuti umum tahun yang agak panjang lepas, kami dari kelab pemancing N9 (Negeri Sembilan) Angler Sport Fishing Team atau N9ASFT telah sepakat sekata mengadakan pertemuan dan memancing atau lebih dikenali dengan istilah komplot santai.
Memandangkan majoriti ahli N9ASFT lebih aktif dengan aktiviti memancing di kolam air tawar, maka lokasi komplot tentu sahaja dilangsungkan di kolam memancing air tawar.
Walaupun N9ASFT merupakan kelab pemancing berasal dari Negeri Sembilan namun tidak kesemua ahli menetap di Negeri Sembilan. Malah ramai juga yang menetap di Lembah kelang.
Justeru pemilihan kolam sebagai lokasi komplot santai haruslah tepat bagi memudahkan seramai mungkin ahli hadir.
Setelah bermuafakat akhirnya kami memilih kolam pancing Fish Valley (FV) yang terletak Semenyih, Kajang sebagai lokasinya.
Ia dianggap adil bagi ahli dan menetap di Negeri Sembilan serta di Lembah Kelang untuk hadir.
Selain ia (FV) terletak di kawasan pertengahan antara Lembah Kelang dan Negeri sembilan, kami sebenarnya sudah pernah memancing di sini.
Berbanding kolam-kolam lain, suasana memancing di FV lebih selesa kerana lazimnya tidak ramai pemancing yang tertumpu ke kolam yang tidak menawarkan apa-apa hadiah memancing.
Justeru, kami boleh memancing dengan penuh santai tanpa sebarang tekanan.
Sebagaimana yang dijanjikan, kami seramai 13 orang dari N9ASFT yang mampu untuk hadir pada tarikh tersebut.
Walaupun ia tidaklah seramai mana namun tidak bermakna sesi komplot santai yang kami langsungkan ini menjadi sunyi. Sebaliknya ia tetap meriah dengan aksi menarik ikan.
Biar pun tidak semeriah dahulu namun ikan-ikan yang ada di kolam besar FV masih sudi menjamah pelbagai jenis umpan yang kami persembahkan.
Hasil menggunakan umpan roti, dedak dan palet, dapat jugalah kami mendaratkan spesies patin, pacu, tongsan sisik halus, tongsan sisik kasar, keli, baung, jelawat dan lampam.
Dan kesemua hasil tangkapan kami lepaskan kembali sebagai peraturan yang ditetapkan oleh pihak kolam.
Selain memancing, kami turut meraikan hari jadi salah seorang ahli yang hadir.
Sesetengah kelab meraikannya dengan mencampaknya ke kolam namun kami meraikannya dengan lebih santai iaitu dengan mandi.
Sejurus meraikan majlis mandi tepung tersebut, kami menamatkan sesi komplot santai pada 7 malam dan masing-masing kembali ke rumah masing-masing dengan wajah penuh keriangan dan kepuasan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...