Mencari dan membeli mata kail bukanlah hal yang susah tetapi pemilihan mata kail dengan konsep pancingan dan ikan sasaran itulah yang terpenting. Jadi, sebelum beli sebarang mata kail, korang perhatikan dulu panduan yang kami sediakan ini.
Sebelum beli sebarang jenis mata kail, ambil dulu sedikit masa untuk berfikir. Bentuk dan saiz mata kail perlu disesuaikan dengan saiz dan bentuk mulut ikan yang akan dipancing. Selain itu perlu diambil kira juga tentang tekstur dan kepelbagaian saiz umpan yang akan digunakan.
Jangan terpengaruh dengan satu reka bentuk mata kail saja kerana pernah melihat mata kail jenis itu pernah mendaratkan ikan. Jangan takut untuk bereksperimen sendiri. Malah dengan cara tersebut anda boleh menentukan sendiri reka bentuk mata kail yang sebagaimana lebih sesuai untuk sesatu spesies ikan.
Ads
Ciri Mata Kail
Sifat ketajaman mata kail adalah satu perkara yang tidak boleh bertolak ansur. Menggunakan mata kail yang tumpul, samalah seperti melakukan kerja yang sia-sia. Jadi, periksalah dengan teliti ketajaman setiap mata kail yang dibeli. Dan periksalah sekali lagi sebelum menyambungkannya pada tali perambut ataupun gewang.
Ads
Ibarat kata pepatah, dalam setandan kelapa bukan semuanya busuk walaupun jarang bertemu sebiji yang rosak. Begitu jugalah dalam pembungkusan mata kail. Memang jarang terjumpa mata kail yang rosak atau terdapat sedikit cela.
Ads
Tapi kemungkinan tu tetap ada seperti lubang mata kail yang tertutup penuh atau separuh, berteras lembut, bengkuk pelik atau kesat. Sekiranya tidak diperiksa dengan baik, ia boleh mengundang kekumpauan berlaku sebelum memancing.
Teknik asahan kimia atau chemically sharpened, merupakan salah satu proses pembuatan mata kail agar tahap ketajamannya berkualiti dan tahan lama. Namun tidak bermakna mata kail tersebut berkualiti dan mahal harganya. Proses tersebut bukan lagi hanya mampu dilakukan oleh pengeluar mata kail berjenama sahaja.
Jadi jangan berfikiran mata kail asahan kimia ini berkualiti tinggi. Kekadang ia hanya hiasan pembungkusan sahaja.
Sekarang ini terlalu banyak jenama mata kail dan reka bentuknya. Harganya juga berbeza-beza walaupun kualiti hampir sama. Apa yang penting, pilihlah mata kail berdasarkan fungsi dan kegunaannya. Bukan kerana harga atau pembungkusannya yang cantik.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Memulakan trip kami ke sini, sekitar jam 8.30 pagi kami memulakan perjalanan menaiki dua buah bot.
Saya dan Ame menaiki bot yang dikemudi oleh Nazri manakala Yeo yang mengemudi bot satu lagi bersama Asri dan Amir untuk menyelongkar khazanah Tasik Chini.
Kedua-dua bot dipacu sederhana laju menghala ke sebelah kiri jeti. Setelah perjalanan hampir 10 minit enjin dimatikan dan kami meluncur sambil berdayung merapati kawasan rumput-rumput kelecut yang kekuningan.
Beberapa kali lontaran, Nazri yang pertama menerima sambaran. Bunyi hentaman yang kuat menandakan toman saiz bagak yang menyambar tapi sayang ‘longkah’ di pertengahan jalan.
Kami terus berdayung menyusuri lorong-lorong di celah mengkuang dan rasau sambil joran dihayun dalam usaha menghantar gewang ke arah kawasan yang diharapkan berpenghuni.
Mimix shockwave corak ikan koi yang saya lontar pula disergap. Padanan joran Expert Graphite Blue Carbon 10-20lb dengan kekili Ryoga 1016 yang dimuatkan tali sulam Tufline
XP 30lb berjaya mengekang larian si toman yang cuba ‘main kotor’ dengan menuju ke dalam perdu mengkuang.
Hasil sulung trip ini dicangkuk kemas dan dinaikkan ke atas bot. Usai mengabadikan sekeping dua gambar sebagai ‘bahan bukti’ ia dilepaskan semula bagi meneruskan kehidupannya.
Toman timbul
Enjin dihidupkan kembali dan Nazri selaku tekong memerhati sekeliling sambil mengemudi bot.
“Sana.. sana. Nampak tak anak toman tu?” Ujar Nazri sambil menunjuk ke sebelah kiri bot.
Sebaik menghampiri kumpulan anak-anak toman yang masih merah itu, buzzbait milik Ame berwarna pink yang dikarau laju terus diterkam. Sang mama yang cantik berwarna kehijauan terang tertancap kemas.
“ Lesen!” Ungkap Ame dengan raut wajah kegirangan. Bukan main seronok lagi dia.
Menurut Nazri yang biasa casting toman di sini, cara permainan toman di Tasik Chini berlainan sedikit dengan tempat-tempat lain.
Jika gewang dilontarkan ke tengah ‘highway’ atau menunggu toman mengambil udara baru melontar gewang alamatnya berjanggutlah kerana toman-toman di sini mendiami di kawasan yang cetek.
Spot pilihan seperti di tepi rimbunan kelecut dan rasau, di celah lorong-lorong mengkuang dan paling mencabar spot yang agak hardcore yang pastinya dihuni banyak toman bersaiz kasar iaitu di celah–celah tunggul mengkuang mati.
Tunggul-tunggul yang berceracak dan di dalam air pula berselirat dengan batang serta akar mengkuang pastinya menjadi tempat yang selesa bagi sang toman beristirehat sambil memerhati mangsa yang lalu.
Bagi para caster yang mengidam dentuman padu sanggup mengambil risiko dengan spot yang sebegini.
Apa yang membuat saya bersemangat ialah kata-kata Yeo, “Yang penting ikan mau sambar. Macam mana nak tarik keluar, kita ikhtiar kemudian”.
Tengah hari kami berehat seketika, naik ke jeti. Masa keemasan ini ada yang mengambil kesempatan melepaskan lelah seketika dek kepanasan berada di tengah tasik.
Usai solat jamak dan nasi pun sudah turun ke perut, kami menyambung kembali misi pencarian toman Tasik Chini.
Sesi petang bertambah meriah lagi dengan kehadiran sebuah lagi bot yang dinaiki oleh Masri dan Ijad.
Nampaknya permukaan tasik sudah mula kucah dek tiupan angin. Gewang jenis kecoh dikeluarkan dari lurebox. Jumpfrog, buzzbait dan popper berperanan dalam situasi sebegini.
Kali ini saya menaiki bot yang di kemudi oleh Yeo pula. Gumum antara ‘spot laut’ yang disarankan oleh Yeo untuk dicuba.
Beberapa sambaran yang menggoncang dada berlaku di Gumum. Asri yang mengambil tempat di haluan bot paling banyak mendapat sambaran.
Gewang selaman tidak dapat diperturunkan nampaknya. Rata-rata ahli trip yang casting kali ini membawa gewang jenis permukaan (top water).
Tidak dinafikan keracunan apabila dentuman sambaran yang memercikan air dipermukaan tasik dapat dilihat sendiri membuatkan ramai caster lebih suka ‘bermain’ dengan gewang permukaan.
Saya dan rakan-rakan memilih buzzbait pada trip ini kerana aksinya yang memang bising dan kecoh.
Sesi petang agak kureng hasilnya berbanding pagi terutama ketika matahari sedang mula menampakkan diri.
Bagaimanapun tasik ini masih berpenghuni. Tidak rugi sekiranya para caster hendak menduga penghuni Tasik Chini kerana toman masih banyak.
Menurut Nazri sebarau pun ada kat sini. Kalau bernasib baik, silap-silap ‘badong’ pun boleh sambar gewang anda. Pasti senyum terukir sampai ke telinga.
Tapi apa pun, harus kita ingat, kita sebagai pemancing kalau boleh yang sedang-sedang, seekor-dua boleh ambil makan.
Yang kecil dan besar lepaskanlah. Janganlah semua hendak ditapau. Siapa lagi nak jaga stok ikan di sungai dan tasik kalau bukan kita. Lagipun harus diingat “siapalah pemancing tanpa ikan???”
Catatan: Wannazir Wanosman
Apa pendapat anda? Ayuh komen dan sebarkan artikel ini. Terima kasih!
Jangan lupa like & see first Facebook Majalah Umpan
Lokasi pertama yang saya kunjungi tidak lama dahulu adalah Sungai Hulu Berakit. Lokasinya nun jauh di dalam hutan di Mukim Lepar Utara, Pahang bersempadankan daerah Maran/Kuantan. Trip ini boleh dikatakan trip terjah, bila mensasarkan 100% casting.
Di mukim ini, terdapat banyak sungai-sungai pergunungan. Ada yang masih bertaraf anak dara dan ada juga bertaraf bohsia, bila mana ia telah dikaran, tuba, pedih mata oleh orang yang singkat akal fikirannya.
Kami memilih Sungai Hulu Berakit, kerana destinasinya jauh dan perlu trekking hampir lima jam ke sini. Malah ujar Chilid, rakan yang juga merangkap sebagai guide kami, lokasi ini terlalu jarang dikunjungi pemancing, melainkan pemburu dan juga pencari kayu gaharu dan damar.
Selain beg, khemah, saya hanya membawa sekotak kecil perkakasan memancing yang diisi dengan gewang dan sesudu dan dengan ditemani 3 orang rakan dan bermalam satu malam di sini.
Bertolak dengan menaiki motosikal sekitar jam 9 pagi, perjalanan kami meredah laluan estet kelapa sawit, lombong besi, jalan balak sebelum tiba di rumah kongsi balak untuk menumpang letak motosikal. Kemudiannya kami berjalan kaki ke hulu sungai dan tiba sekitar jam 3 petang.
Amat mengujakan bagi saya, kerana sungai yang pada mulanya nampak biasa di bahagian hilir, semakin memukau pandangan mata bila mana sampai ke bahagian hulunya. Daripada pemandangan sungai biasa di bahagian hilir, di bahagian hulu terbentuk kolam-kolam sekaligus membentuk lubuk yang dalam dan airnya berwarna hijau kehitaman.
Pada saya memang ia lubuk terbaik memancing bottom. Tetapi, memandangkan tiada perancangan untuk pancingan dasar, kami terus sahaja casting dan terus casting. Hasilnya beberapa ekor tengas bersaiz lengan budak berjaya diperolehi.
Untuk casting, di kawasan sungai berarus laju ini, sesudu atau gewang kecil perlu dilontarkan di celah atau tepi batu yang dalam airnya. Kemudian karau laju dan cuba berulang-ulang kali. Tengas bersaiz kasar biasanya ada di celahan batu dan jika ada objek melayang (disangka makanan) akan keluar dan mengejar.
Menjelang malam, sedang kami merancang apa yang ingin dilakukan esok hari di dalam khemah, tiba-tiba sahaja angin menderu dan tidak lama kemudian hujan lebat turun mencurah hinggalah ke pagi.
Sekal gus menyebabkan pemandangan indah yang kami nikmati pagi tadi bertukar menjadi keruh dan deras menyebabkan malam itu kami tidak tidur malam, bimbang-bimbang berlaku kepala air turun.
Awal pagi, air sungai bukan setakat keruh, tetapi juga meningkatkan paras sungai yang telah membantutkan usaha kami meneroka sungai ini. Oleh sebab paras air masih tinggi, kami mengambil keputusan menamatkan dan pulang. Tiada gunanya terus menunggu.
Untuk pulang, kami terpaksa memanjat beberapa buah bukit, menebas semak samun kerana laluan semalam tidak boleh dilalui lagi. Puas berjalan hampir empat jam barulah kami tiba di rumah kongsi balak.
Saya percaya, jika dapat berkunjung semula ke sini pada musim panas kering dan mempraktikkan pancingan dasar, pasti mampu memberikan hasil yang lebih menggembirakan. Ini kerana tengas bersaiz kasar aktif mencari makan pada waktu malam.
Terdapat pelbagai sungai yang boleh dikunjungi di sepanjang Sungai Tembeling antaranya Sungai Terrengan, Keniam, Sat dan Sephia. Sungai keniam merupakan salah satu cabang sungai yang terdapat di Sungai Tembeling yang terletak di Taman Negara Kuala Tahan, Pahang.
Sungai Keniam amat terkenal dikalangkan peminat atau pemancing ikan air tawar dan kaki trekking. Apa yang menarik tentang Sungai Keniam ini ialah sungai ini masih kaya dengan populasi ikan air tawar paling mahal di Malaysia iaitu ikan kelah merah.
PERANCANGAN
Walaupun hasil Sungai Keniam dikatakan tidak semeriah dulu dan sukar diperolehi, ikan kelahnya tetap masih ada. Dalam merealisasikan memperoleh ikan idaman ini, saya telah mengaturkan satu trip seramai 24 orang ke Sungai Keniam selama 4 hari 3 malam.
Untuk ke sana tidaklah terlalu sukar, kami hanya perlu membuat tempahan bot yang banyak terdapat di Kuala Tahan. Tanpa perlu bersusah payah, hanya taip sahaja perkhidmatan sewa bot ke Taman Negara di Google, pasti memberi pelbagai maklumat tentang pelbagai pilihan pakej untuk ke sana berserta nombor telefon orang yang perlu dihubungi.
Selain itu, pelbagai peralatan perkhemahan dan keperluan makanan perlu kami sediakan sebagai persiapan ke sana. Memandangkan Sungai Keniam amat terkenal di kalangan pemancing sungai pergunungan, lokasi ini pasti dilawati oleh pemancing setiap minggu. Oleh kerana itu, pihak Taman Negara Pahang mewajibkan setiap pengunjung yang hendak ke sana memohon permit.
Antara permit yang perlu dipohon ialah permit sewa tapak perkhemahan dan permit memancing. Ini kerana pihak Taman Negara Pahang akan memantau setiap kemasukan pengunjung di sepanjang sungai yang terdapat di Sungai Tembeling supaya kejadian over fishing tidak berlaku serta menjamin populasi ikan-ikan yang terdapat di sungai-sungai ini.
Pengunjung juga dilarang keras membawa sebarang jaring atau jala, bom ikan, tuba dan senapang ikan ke sana. Jika masih terdapat pengunjung yang berdegil membawa peralatan yang dilarang ini, tindakan tegas akan diambil serta merta oleh pihak Taman Negara.
LATA SAID
Selepas membuat pendaftaran di pos Taman Negara Pahang, kami bergerak menongkah arus Sungai Tembeling untuk ke lokasi yang dirancang. Sebelum itu, kami telah berbincang bersama pengusaha bot tentang lokasi perkhemahan kami nanti. Di Sungai Keniam terdapat beberapa tapak perkhemahan yang di sediakan untuk pengunjung antaranya ialah di Lubuk Rinching, Lubuk Rawa dan Lata Said.
Kami telah memutuskan untuk menginap di Lata Said memandangkan kawasan ini ialah lubuk paling berpotensi mendapat ikan sasaran. Perjalanan untuk ke sana memakan masa selama 3 jam perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Tahan. Selepas 1 jam perjalanan, kami sempat singgah di Kampung Pagi untuk membeli sebarang keperluan tambahan.
Tiba sahaja di Sungai Keniam, kelihatan perjalanan kami menjadi lebih mencabar. Kekipas bot terpaksa ditukar kepada saiz lebih kecil kerana setiap bot akan melalui ruang sempit yang penuh dengan batu-batuan yang banyak terdapat di sepanjang sungai. Sekali sekala kami terpaksa mengerah tulang empat kerat kami membantu boatman menolak bot apabila berada di kawasan cetek yang tidak mampu dilalui oleh bot.
SANG BADONG
Selepas melepasi beberapa cabaran, akhirnya kami tiba di Lata Said. Dengan segera kami mengangkat segala kelengkapan kami di tapak perkhemahan. Selepas menyediakan khemah, kami sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memancing. Yuhilmi yang mencuri-curi memancing ketika kami sibuk menyediakan khemah terus mendapat sambaran sebarau yang layak digelar sang badong.
Sang Badong yang mempunyai berat hampir 3kg ini menyambar sesudu Abu Island miliknya dan lokasin tangkapan hanya di depan tapak perkhemahan kami. Ia pasti menggujakan kami untuk memancing. Baru depan tapak perkhemahan kami sudah boleh mendapat Sang Badong, ini belum lagi kami singgah ke lubuk-lubuk lain yang berpotensi.
Hari pertama kami di Keniam, banyak kami habiskan masa memancing di lubuk-lubuk berhampiran dengan tapak perkhemahan kami. Beberapa ekor tengas bersaiz juvenil berjaya kami perolehi. Apabila malam menjelma, kami berpesta pula dengan ikan baung yang rakus menyambar umpan cengkerik yang kami bawa. Kebanyakan baung akar yang kami perolehi sebesar saiz 3-4 jari orang dewasa sahaja. Sudah pasti hasil tangkapan kami pada hari pertama ini dijadikan hidangan makan malam kami.
MENONGKAH ARUS
Pada hari kedua, awal-awal pagi lagi boatman menyarankan kami supaya berpecah kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan berjalan kaki meredah hutan rimba untuk naik lebih jauh ke hulu untuk memancing ikan. Kumpulan kedua akan menaiki bot menuju lubuk-lubuk di bawah seperti Lubuk Rawa atau Lubuk Rinching.
Sambil menuju ke lubuk tersebut, kami boleh mengilat sepanjang perjalanan di atas bot. Saya sendiri bercadang untuk mengikuti kumpulan trekking. Perjalanan ke lubuk yang dicadangkan oleh boatman mengambil masa 1 jam. Sepanjang perjalanan, kumpulan kami terpaksa menongkah arus sebanyak tiga kali untuk ke seberang sungai.
Menurut boatman, lubuk ini merupakan syurga buat ikan kelah dan tengas jika kena dengan masanya. Dengan segera kami terus melabuhkan umpan sawit yang dibawa dengan harapan mendapat lesen ikan idaman. Tanpa menunggu lama rod milik Cho’ort terus melengkung tanda telah disambar oleh ikan. Ikan kelah bersaiz 1kg berjaya dinaikkan.
Sekali-sekala kelihatan hamburan air berdekatan lokasi kami memancing tanda sang sebarau sedang galak menyambar anak-anak ikan. Lantas rod casting dicapai dan lontaran spoon dibuat ke arah kawasan hamburan tadi. Serta-merta sesudu Abu Island II disambar oleh sang sebarau seberat 750gram.
Selepas beberapa jam bertandang di sini, kami mula bercadang untuk pulang ke kawasan perkhemahan. Sempat juga boatman yang menjadi guide kami mencari cacing sungai sebagai persediaan untuk memancing malam dan hari seterusnya.
Apabila malam menjelma, kami hanya bersantai-santai di kawasan perkhemahan kami sambil memancing. Perbincangan tentang rancangan esok lebih diberi tumpuan. Selain itu bagi yang berhati waja, mereka meneruskan memancing di lokasi yang berhampiran hingga lewat malam.
LUBUK RAWA
Hujan pada lewat malam membuatkan kami liat untuk bangun awal. Tetapi semangat hendak memancing masih membara di dalam diri kami. Turunnya hujan, membuatkan air yang jernih di Sungai Keniam menjadi keruh. Hari ini saya bercadang untuk bertandang di Lubuk Rawa untuk memancing. Seperti semalam, umpan dasar yang kami gunakan ialah umpan biji sawit. Selain itu buah ara masak yang banyak terdapat di sana juga digunakan sebagai umpan.
Air sungai yang keruh dan berarus laju membuatkan ikan menjadi sukar dipancing. Hanya lampan, anak tenggalan, baung dan beberapa ikan kecil yang berjaya kami perolehi. Hingga ke lewat petang kami memancing tanpa sebarang hasil yang boleh dibanggakan.
KELAH MASAK TEMPOYAK
Alhamdulilah, hasil yang diperolehi mereka amat membanggakan jika dibandingkan dengan hasil tangkapan kami di Lubuk Rawa. Ikan kelah dan tengas banyak diperolehi mereka. Selain itu, baung akar juga banyak diperolehi menggunakan umpan cengkerik dan cacing sungai.
Ikan yang diperolehi segera diuruskan oleh tukang masak kami. Memang menggiurkan bila mana tukang masak memberitahu akan masak menu masakan gulai tempoyak. Memang tidak mampu kami tolak jika menu masakan terkenal negeri Pahang terutamanya apabila masakan ini melibatkan ikan kelah.
Ikan selebihnya akan kami bakar sebagai hidangan sampingan. Pucuk paku liar dan pucuk hutan menjadi hidangan sayur dan ulam-ulaman. Selain itu siput sungai yang dikutip oleh boatman menjadi salah satu hidangan istimewa kami. Beginilah keistimewaan apabila berkhemah di dalam hutan, setiap hidangan masakan seboleh-bolehnya diambil daripada sumber alam semula jadi.
Selepas selesai makan, kami meneruskan usaha memancing pada malam terakhir ini. Terasa amat rindu dengan suasana damai dan hening apabila berada di dalam hutan. Udara segar dan pemandangan indah amat berbeza dengan hiruk pikuk di bandar. Sekurang-kurangnya trip singkat ini telah banyak menghilangkan stress.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...