Ketika pertama kali tiba di sini, penulis melihat cukup ramai pemancing memenuhi lubuk di tepi sungai dengan berbekalkan joran masing-masing. Di Gerik, memancing tenggalan boleh dikatakan bermusim dan spesies ini turut menjadi antara spesies kegilaan pemancing di Sungai Perak.
Sebelum ke sini, rakan penulis telah mencuba ‘riki’ tenggalan di sini selama 3 minggu berturut-turut. Menurutnya, dalam tempoh itu, hanya sekali dia pulang hampa dengan tangan kosong. Setelah berkira-kira, kami berpendapat kemungkinan mendaratkan tenggalan masih tinggi.
Namun hari pertama, kami pulang dengan tangan kosong. Keadaan arus sungai yang deras membawa sampah dan daun-daun kering agak mengecewakan. Umpan yang dibaling hanya mendaratkan sampah apabila dikarau.
Menurut pemancing di sini, sampah yang dibawa arus menyebabkan umpan menjadi tersorok antara kemungkinan yang menyebabkan kami ‘kumpau’ sampai ke pagi. Menurut Pak Andak, seorang pemancing tegar yang ditemui, arus deras disebabkan berkemungkinan daripada pelepasan air di empangan sekitar sini.
Hari kedua, kami mencuba lubuk berlainan memandangkan arus sungai masih tidak berubah. Selepas Asar, kami meneruskan misi tenggalan di Gerik ini. Keadaan tidak banyak berubah berbanding semalam, dari petang hingga ke malam langsung membawa ke pagi masih hampa.
Sekitar jam 7.00 pagi, barulah kami dikejutkan dengan lenturan hujung joran. Bergegas rakan penulis menyentap dan berjaya menaikkan tenggalan pertama. Selepas itu, barulah agak galak ikan menjamah umpan. Dah extra time barulah ikan di sini sudi menjamah umpan.
Pak Andak yang tiba pagi tersebut turut tidak ketinggalan menaikkan tenggalan bersaiz sekitar 600 gram. Menurut Pak Andak, saiz tenggalan yang lebih besar sudah sukar diperolehi dengan mata pancing sekarang.
Beberapa pemancing lain yang melabuhkan pancing sekitar kami juga turut berjaya mendaratkan spesies tenggalan. Namun saiznya tiada yang bersaiz lebar dua tapak tangan seperti yang diidamkan. Cuma kateh saja.
Istilah kateh digunakan oleh pemancing di sini bagi merujuk kepada tenggalan juvenil atau tenggalan yang bersaiz kecil. Istilah ‘kateh’ terhapus apabila saiz tenggalan tersebut mencapai saiz ‘secekak’ iaitu mampu dicekak oleh tangan orang dewasa.