Tiada apa yang lebih indah bagi seorang pemancing selain dapat memancing di padang pancing impian dan memancing spesies idaman. Begitulah yang rasa apabila berpeluang memancing di Rumah Api Permatang Sedepa atau One Fathom Bank, dan memancing spesies utamanya ikan telinga gajah.
Peluang ini muncul kira-kira 7 tahun yang lalu. Sebelum hari kejadian, saya buat homework sikit tentang pancingan ikan telinga gajah ini namun tidak banyak maklumat yang diperolehi.
Oleh yang demikian, saya meminta maklumat dari rakan yang mengetuai trip. Namun, beliau meminta saya menyediakan set pancing yang kuat saja. Selebihnya, dia akan sediakan.
“Tak sayang pancing ke?” Itulah perkataan pertama yang keluar dari rakan saya ini apabila saya perlihatkan set pancing yang akan digunakan.
Saya cuma tersengih saja kerana sama sekali tidak menyangka joran 8kaki panjang berkuatan 15-30lb seperti tidak layak untuk digunakan. Terkesan dengan teguran itu saya jadi serba salah untuk menggunakannya atau tidak. Tambah pula bila melihat peralatan ahli trip yang lain semuanya kelas berat.
Rata-rata menggunakan joran PE 4 dan ke atas. Memang nampak macam joran udang berbanding joran mereka.
Ads
Lewat petang barulah sesi memancing telinga gajah dimulakan. Saya mengambil sikap perhati terlebih dahulu. Masih was-was sebenarnya untuk ikut sama memancing atau tidak kerana masih terkesan dengan teguran tersebut. Bagaimana kalau tersebut ada benarnya. Joran itu pun baru saja dibeli. Belum pernah kena ikan pun. Sayang la kalau patah.
Tidak lama selepas sesi memancing bermula, joran salah seorang ahli trip mengena. Saya bergegas ke sudut pemancing berkenaan untuk merakam aksi pertarungan tersebut. Memang menakjubkan melihat aksi joran tersebut ditekan oleh pemangsa. Sekelip mata kemudian saya dapat melihat joran tersebut meletup! Terkedu saya melihat joran PE 4 dipatahkan dengan begitu mudah.
Ads
Selepas insiden joran patah dan ikan terlepas, membawa ke malam tiada sebarang ragutan diterima. Dan saya mengambil keputusan untuk serta. Kalau sayang joran, baik jangan memancing. Kalau nak patah pun patahlah, ia jauh lebih berpuas hati daripada langsung tak mencuba. Namun saya memilih sudut berasingan dari ahli-ahli trip ini.
Suasana sunyi sepi tanpa sebarang aksi sehingga lewat tengah malam. Tatkala seorang demi seorang ahli trip mencari ruang tidur di rumah api tersebut, salah seorang ahli trip secara senyap-senyap mendaratkan seekor telinga gajah saiz sederhana.
Saya hanya sempat merakam gambar beliau bersama hasil saja. Menurut beliau, ia kurang memberikan tentangan hebat kerana bersaiz kecil.
Ads
Sedikit sebanyak ia menyuntik semangat saya untuk menukar umpan baru dan terus menunggu. Sehingga jam 3.00 pagi tanpa sebarang getuan pada umpan, saya mengambil keputusan untuk tidur dan cuba nasib keesokan pagi.
Menurut salah seorang ahli trip, ada pemancing lain yang mengambil tempat saya memancing dan berjaya menaikkan seekor telinga gajah bersaiz besar tidak lama selepas saya masuk tidur.
Sekali lagi saya mampu tersengih. Mungkin bukan rezeki saya. Atau mungkin juga berakhirnya riwayat joran saya jika terus kekal memancing.
Tiada lagi telinga gajah yang dinaikkan sehingga kami meninggalkan Rumah Api One Phanthom Bank pada tengah hari. Saya tidak kecewa sepenuhnya kerana gagal mendapat lesen telinga gajah. Yang pasti saya sudah mengetahui cara penyediaan umpan dan peralatan sesuai untuk digunakan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Berikutan dangau lama sudah usang dan menunggu masa untuk rebah ke bumi. Ia tidak boleh dijadikan tempat berteduh lagi, maka dangau terapung milik penduduk setempat
yang kami panggil Abang Atan menjadi kediaman kami dalam trip percutian sambil memancing selama tiga hari dua malam kali ini.
Dangau Abang Atan sebenarnya adalah pondok kecil di sangkar ikan atau lebih tepat lagi rumah rakit yang baru dibina oleh Abang Atan.
Kunjungan saya dahulu dangau itu masih lagi dalam proses pembinaan. Sementera pulau (tanah tinggi yang tidak ditenggelami air tasik) yang dihubungkan ke dangau dengan
batang balak merupakan kebun getah dan buah-buahan yang diusahakan oleh Abang Atan sendiri.
Oleh kerana kami sampai ke dangau itu sudah lewat petang, maka kami keluar mengilat di kawasan tasik empangan terbuka berdekatan dengan dangau.
Keesokan hari barulah kami akan masuk ke suak simpanan yang sudah setahun lebih tidak diusik. Mengilat toman di kawasan tasik empangan terbuka itu sahaja sudah menyeronokkan.
Kehadiran ikan seluang yang agak banyak memudahkan kami untuk mengesan toman. Hanya kehadiran ikan loma yang timbul bermain air sedikit sebanyak mengganggu tumpuan untuk mengesan toman timbul meneguk udara.
Keesokan petang harinya barulah kami memasuki suak yang sekian lama tidak terusik itu. Kami masuk dengan menggunakan dua buah sampan sahaja.
Enjin-enjin sampan disimpan di dangau usang di muka pintu suak yang sudah hampir roboh sepenuhnya.
Sementara keadaan di dalam suak semakin berselirat dengan pokok-pokok tumbang menyulitkan sampan untuk bergerak walaupun tanpa menggunakan enjin.
Sementara aktiviti yang diperlihatkan oleh penghuni-penghuni suak ternyata meningkatkan adrenalin kami. Tanpa perlu berdayung lebih jauh ke dalam suak, sekadar membaling gewang ke reba-reba berdekatan sudah pun menerima sambaran dari toman.
Sama ada gewang permukaan, katak tiruan, atau umpan tiruan plastik, semuanya menerima sambaran dari pemangsa yang majoritinya adalah toman.
Disebabkan banyak pokok tumbang di dalam air, maka banyak jugalah toman-toman bujang menyambar gewang berjaya meloloskan diri dan meninggalkan gewang kami melekat pada reba di dalam air.
Boleh dikatakan sesiapa yang saja masuk dan memancing di dalam suak itu walaupun pertama kali belajar mengilat akan memperoleh banyak strike.
Sepetang di suak itu sahaja kami memperoleh sekurang-kurangnya 50 strike namun hanya beberapa belas ekor toman bujang sahaja yang berjaya didaratkan dan dilepaskan kembali ke habitat asalnya.
Keesokan paginya sebelum bergerak keluar dari tasik empangan itu kami kembali lagi ke suak tersebut.
Biarpun keputusan pagi itu tidak serancak hari sebelumnya, namun kami berjaya juga mendaratkan mama toman yang agak culas untuk membaham gewang.
Malah kami turut berjaya memujuk beberapa ekor sebarau remaja. Yang pasti suak persendirian itu masih lagi dihuni oleh banyak pemangsa dan sedang membesar dengan semulajadi.
Dan pasti juga kami akan kembali lagi ke suak ini untuk berpesta dengan toman-toman yang setahun dari sekarang akan bertambah saiznya dan lebih ganas menyerang gewang-gewang yang kami gunakan.
Bermula dari tempat menyimpan bot, kemudahan jeti, bengkel baikpulih dan penyelenggaraan bot, maklumat dan informasi persekitaran, kemudahan turun naik bot ke
air, tempat membersih ikan atau tangkapan, aspek keselamatan dan peraturan, persekitaran air yang bersih dan tiada pencemaran sampah sarap, kapasiti enjin serta kuasa kuda bot yang diguna pakai tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Kalau ada di Malaysia kemudahan dan prasarana sebegini pasti aktiviti memancing akan bertambah rancak. Kita boleh maju selangkah ke hadapan.
Pada asalnya tidak pernah terfikir sama sekali peluang memancing di sini memandang ia tiada dalam senarai program utama. Jadi tiada peralatan pancing yang di bawa bersama.
Hasrat untuk memancing di sini dipendam begitu sahaja kerana tugasan membuat promosi memancing ke Malaysia adalah lebih utama.
Penulis hanya dijemput untuk membantu promosi mengenai sukan memancing Malaysia di New Zealand bagi pihak Tourism Malaysia.
Tiga buah bandar utama dipilih sebagai tempat mengadakan persembahan sukan memancing Malaysia iaitu Nelson, Wellington dan Auckland.
DISORONG BANTAL
Hari kedua di Auckland selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Tourism Malaysia di Auckland bersama seorang agen pelancong tempatan tiba-tiba sahaja ada usul,
“Petang ini saya dah aturkan sesi memancing untuk anda semua”, ujar beliau.
Sebenarnya salah satu kemudahan yang wujud di sini ialah khidmat servis memancing lengkap dengan kemudahan peralatan.
Pemancing boleh bertandang dengan tangan kosong. Ini dikuatkan lagi apabila penulis bertemu dengan Dato’ Md Isa, seorang pengembara dari Malaysia yang banyak menghabiskan masa merantau ke negara luar sambil memancing jika ada kesempatan.
Dalam perbualan antara saya dengan Dato’ Md Isa, beliau sudah hampir dua minggu mengelilingi New Zealand sambil memancing seorang diri.
New Zealand menurutnya lagi adalah negara yang cukup selamat jika mengembara apatah lagi berseorangan.
Begitu juga dengan pakej memancing, semua disediakan termasuk guide dan peralatan pancing. Beliau petang itu juga teruja untuk keluar memancing bersama kami.
Dalam pada itu 3 buah bot gentian menanti kami di salah satu jeti menempatan bot-bot pancing di pusat bandar Auckland.
Salah seorang tekong ialah Leane Dixon, pemancing wanita yang mengungguli pertandingan memancing ikan layaran di Kuala Rompin pada 2013 lepas.
Beliau merupakan pemegang rekod IGFA bagi ikan bluefin tuna untuk kategori wanita. Leane bersama suami seorang doktor pakar bedah di Auckland yang sama minat dalam sukan memancing.
PRASARANA SERBA MODEN
Petang yang dinantikan rombongan bergerak ke jeti di mana bot sudah sedia menunggu ketibaan kami semua.
Di sini salah satu prasarana yang berselerak di New Zealand penulis tak dapat bayangkan betapa bahagianya mereka yang memiliki kemudahan infrastruktur yang begitu lengkap.
Ini baru satu yang dilihat dan ianya hampir sama kesemuanya kerana sukan air begitu popular di sini.
Begitu juga dengan kemudahan lengkap dan serba moden yang di wujudkan bagi memberi faedah kepada penduduk tempatan yang membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan mereka.
Dari pelbagai saiz bot disusun dengan kemas di atas rak gudang yang luas. Forklift besar yang diubahsuai digunakan untuk mengeluar dan menyimpan bot di rak masing-masing.
Malah turun naik bot dari dermaga ke air cukup mudah mengunakan forklift tersebut.
Hampir leka memerhatikan aktiviti dan keunikan prasarana yang lengkap ini, nama penulis dilaungkan beberapa kali kerana masih leka mendongkak susunan bot hampir 7 tingkap
di dalam sebuah gudang yang besar ketika kawan-kawan lain sudah siap memilih bot yang di sediakan.
Hati kecil ini mampu berkata “Bilalah kat Malaysia nak ada semacam ini….”
ZON HAD LAJU
Dari jeti bot menyusuri laluan air yang sesak di pinggir bandar Auckland. Bot dikemudi dengan kelajuan sederhana kerana mengikut peraturan ‘port speed limit’.
Bila melepasi zon had laju barulah terasa pecutan bot yang sebenarnya hingga terasa dingin angin hingga ke tulang.
Kunjungan kami ketika memasukki hujung musim panas dan suhu pada 22 darjah sianghari manakala turun sekitar 14 darjah pada sebelah malam.
Hari itu kami dibawa memancing berhampiran dengan beberapa pulau Rangitoto di pinggir Bandar Auckland.
Terdapat banyak juga bot pemancing yang sudah berada di kawasan berkenaan sebelum kehadiran kami.
Pulau ini jenis berbatu granite serta sulfur seperti kesan dari gunung berapi. Kedalaman air sekitar 40 kaki dengan permukaan laut sedikit beralun dibuai angin dingin.
3 jenis umpan dibawa tekong untuk kegunaan kami memancing sepetang.
Setelah diberi taklimat ringkas oleh tekong Brett, kami memulakan sesi pancing yang dihadkan selama 3 jam sahaja. Peluang ini tidak boleh dipersiakan begitu sahaja.
Bekalan Umpan sotong, tuna, sardin beku dan sebagainya amat mudah didapati di seluruh bandar New Zealand. Boleh dikatakan semua stesen minyak menjual umpan-umpan termasuk bekalan ais ketul.
Tidak perlu bersusah payah mencari pasar basah untuk mendapatkan umpan. Pada mulanya kami mengunakan umpan ikan sardin sekor sebagai umpan sesuai dengan matakail 5/0 yang disyorkan tekong.
Sebaik sahaja umpan mencecah dasar terasa getuan bermula. Joran sentiasa bergetar tanpa ada tanda-tanda lenturan kasar.
Joran berhenti bergetar bila masa umpan habis. Inilah yang dikatakan pantang taruk terus makan.
Banyak umpan hilang dengan cepat. Sedang kami sibuk dalam usaha mencari hasil yang pertama, bot di sebelah pula mengena ikan besar.
Habis satu bot di keliling pemiliknya dalam usaha menangani ikan berkenaan yang akhirnya dipotong tali apabila melihat ianya adalah seekor jerung.
TARUK MAKAN TARUK MAKAN
Kami kemudian mengecilkan sedikit saiz umpan memandangkan di bawah bot terlalu banyak ikan kecil.
Kemudian teknik biar umpan digonggong seketika dan sentap joran dengan kuat agar ia mengena kumpulan ikan yang rakus dengan umpan yang dihulurkan.
Teknik ini menjadi apabila lepas satu persatu ikan merah dinaikkan.
Saiz purata lebih lebar dari tapak tangan namun ia dibawah limit yang dibenarkan tangkap. Saiz minima ialah 27 cm untuk semua ikan merah di kawasan ini.
Kalau hendak penuhkan tong 54qt dalam masa sejam memang mudah. Ikan memang pantang dihidangkan umpan terus sahaja disambar.
Beberapa kali kami berpindah di kawasan sekitar bagi mencari kumpulan ikan merah yang besar melebihi had yang dibenarkan.
Hampir 1 jam pertama semua hasil ikan merah yang dipancing perlu dilepaskan. Belum cukup saiz matang.
Umpan susut dengan cepat ketika itu ekoran ikan merah ini terlalu galak dengan sebarang umpan.
Mungkin yang besar lebih tertumpu memburu makanan pada sebelah malam tidak dapat dipastikan.
Hasrat bukan untuk membawa balik hasil tangkapan tetapi memadainya mencari rekod tangkapan terbaik memancing di sini.
Kami teruskan usaha memancing mencari spesimen yang lebih besar, namun kerana terlalu banyak kumpulan ikan merah sebesar tapak tangan yang lebih dahulu menggerutu umpan, maka peluang merah besar untuk mendapatkan umpan tipis.
Walaupun kecil selebar tapak tangan mat salleh namun kekuatan yang dihasilkan membuatkan rod PE1-3 melentur baik.
Layan dan cukup terhibur kerana seolah tiada masa rehat untuk kami semua. Cukup terhibur dan puas melayan kumpulan ikan merah New Zealand walaupun kami tidak dipertemukan dengan induk merah.
Keceriaan tetap terpancar di wajah masing-masing dalam sedikit kedinginan angin senja.
TERIMA KASIH DAUN KELADI
Dalam masa kurang dari 2 jam memancing kami sudah kehabisan umpan. Skipper sarankan supaya mengunakan soft plastik sementara dua lagi mengunakan saki baki umpan yang tinggal.
Dari berpuluh-puluh ekor ikan merah yang diperolehi, hanya 2 ekor sahaja dibawa pulang untuk kami merasai sendiri rasa ikan merah di sini.
Memancing di kala yang cukup meriah terasa masa memang cepat berlalu. Sebelum hari gelap kami perlu meninggalkan kawasan pancing lebih-lebih lagi suhu bertambah sejuk pada malam hari.
Ketiga-tiga bot meninggalkan perairan Pulau Rangitoto dengan kenangan manis pengalaman memancing di negara hujung dunia ini.
Hasil keseluruhan untuk ketiga-tiga bot tidak dapat dihitung, tapi hanya beberapa ekor sahaja yang dibawa pulang oleh skipper untuk dijadikan juadah makan malam di Hilton Hotel.
Terima kasih juga kepada Puan Zarina dan Encik Shafiq kakitangan Tourism Malaysia di New Zealand atas layanan mesra yang di terima serta kakitangan Tourism Malaysia yang
sama-sama berganding bahu menjayakan program promosi Mancing-Mancing Di Malaysia walaupun artikel ini berkisahkan mancing-mancing di Pulau Kiwi.
Begitu juga dengan ketiga-tiga skipper kami yang sudi melapangkan masa membawa kami memancing serta berkongsi pengalaman berguna.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kejadian ribut di beberapa negeri utara tanah air disebabkan ekor Taufan Lekima yang membadai timur negara China.
Ketua Pengarahnya, Jailan Simon, berkata berlaku fenomena garis badai kesan tiupan angin susulan taufan itu di selatan Thailand yang kemudiannya melanda di utara Semenanjung.
“Garis badai adalah garisan ribut petir akibat tumpuan angin barat daya dan barat laut di tengah laut berpunca daripada ribut tropika berlaku di timur China.
“Di selatan Thailand berlaku tumpuan angin menyebabkan garis badai ini bergerak dari barat laut ke arah tenggara dan melanda beberapa kawasan di Kedah termasuk Langkawi.
“Kelajuan angin dicatatkan kira-kira 100 kilometer sejam (kmsj),” katanya pada BH, sebentar tadi.
Beliau berkata, MetMalaysia yakin tidak berlaku gelombang kedua kerana secara kebiasaan ribut akibat taufan Lekima berlaku sekali sahaja.
Dalam pada itu, tempias daripada ribut itu menimpa kelong memancing yang terletak di utara Selangor.
Menerusi laman Facebook Kelong Kupang Sabak Bernam memaklumkan kelong 1, 2 & 3 dihentikan operasi kerana berlaku kerosakan teruk dan roboh sama sekali akibat musibah angin kuat.
Berikutan kejadian tersebut, kesemua tempahan memancing di kelong tersebut terpaksa dibatalkan kecuali kelong 4. Dipercayai tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku kerana tiada pelanggan yang memancing di kelong-kelong tersebut ketika kejadian.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...