Salah satu keseronokan memancing di laut, apatah lagi di perairan yang kita pernah sampai ialah kita takkan tahu spesies apakah yang akan memakan umpan yang dipertaruhkan.
Begitulah yang kami alami pada trip memancing di perairan Koh Adang, Thailand kira-kira 5 tahun lalu.
Objektif utama kumpulan adalah untuk mendaratkan spesies-spesies utama bersaiz monster seperti kerapu dan jenahak yang juga merupakan spesies utama perairan ini.
Tidak ketinggalan menyertai trip kami ini ialah Datuk Seri Maznah (DSM). Seperti biasa apabila beliau turut serta, saya akan menjadi pemandu pancingnya.
Setelah melabuhkan umpan pada set pancing sendiri, barulah saya sediakan set pancing dan umpan untuk DSM.
Memandangkan DSM lebih gemar pancingan konsep perambut apollo, maka saya buatkan perambut apollo dua mata kail dengan menggunakan umpan hirisan sotong segar.
Tidak sampai 5 minit setelah menyerahkan set pancing itu kepada DSM, kedengaran beliau sudah bersorak riang. Saya tumpang seronok mendengar desingan halus drag kekilinya.
Namun kegembiraannya tidak lama dan mendakwa ia tidak boleh dikarau lagi kerana tersangkut sesuatu.
Ads
Saya segera memberikan bantuan dengan mengambil alih set pancing pancing. Saya ketatkan sedikit drag kekili yang agak longgar.
Ia tidaklah tersangkut cuma terasa beban yang sedikit berat. Pada firasat saya mungkin telah tersangkut pada batu karang kerana seperti tiada tentangan.
Setelah beberapa kali mengepam dan mengarau kekili, saya dapat rasakan ada sedikit tentangan yang diberikan, namun aksinya tidak seperti sifat ikan.
Yakin dan percaya ia bukanlah batu karang, saya serahkan kembali set pancing tersebut kepada DSM.
Ads
DSM kembali berseri dan mengayuh kekili dengan gembira setelah diyakinkan ada sesuatu di hujung mata kailnya dan bukannya batu karang atau sampah yang tersangkut.
Sejenak suasana di atas bot menjadi kecoh apabila DSM berjaya menghela hasil tangkapannya ke permukaan air.
Lobster! Bagaikan serentak pula kami berteriak. Dan keadaan bertukar gawat seketika berikutan sukar untuk memasukkannya ke dalam tangguk.
Beberapa kali juga kedengaran jeritan kebimbangan apabila lobster tersebut menjunam secara mundur apabila menyentuh gelung tangguk.
Ads
Setelah beberapa mencuba akhirnya ia berjaya ditangguk sepenuhnya dan disusuli sorak-sorai sekalian anggota trip.
Lobster itu kemudian ditimbang dan agak memeranjatkan juga ia seberat 1.5kg. Selain menjadi tangkapan pembuka trip, ia juga merupakan spesies paling bernilai bagi kami dan tentu saja bagi DSM.
Bukit Merah terletak di utara Perak yang mana di sini terdapatnya sebuah tasik yang menyimpan pelbagai khazanah spesies marin yang dikenali sebagai Tasik Bukit Merah atau lebih dikenali dengan Kolam Bukit Merah oleh warga tempatan di sekitar tasik ini.
Suatu ketika dulu, tasik ini sering menjadi lokasi bagi memburu spesies kelisa bergred tinggi.
Difahamkan spesies kelisa yang menghuni tasik ini antara spesies yang terbaik di dunia.
Bagi pemancing yang hendak bertandang ke tasik ini, mereka boleh menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dan terus ke Bukit Merah.
Tasik ini adalah di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mana kepada pengunjung yang mahukan khidmat sewaan bot pancing bolehlah terus ke Jeti JPS yang terletak di Kampung Balik Bukit.
Bagi yang mempunyai bot sendiri juga boleh membawa bot sendiri dan dinasihatkan berhati-hati kerana tasik ini dipenuhi dengan batang-batang pokok tenggelam yang sukar dilihat dan juga tali-tali rawai serta pukat-pukat nelayan tempatan.
Sebaiknya, dapatkan maklumat daripada rakan atau penduduk kampung yang telah biasa dengan situasi tasik ini.
Sebagai pemancing saya, saya suka mengingatkan diri sendiri dan juga rakan pemancing yang lain agar sentiasa mengenakan jaket keselamatan ketika berada di atas bot. Ini kerana, malang sentiasa tidak berbau.
Antara spesies ikan yang mendiami tasik ini adalah terdiri daripada ikan-ikan tempatan seperti lampam, terbul, selat, kaloi, dan lain-lain lagi di samping spesies-spesies ikan pemangsa seperti sebarau, toman, kelisa, haruan, bujuk, dan juga kerandang.
Difahamkan, sebelum ini, tasik ini dikatakan pernah dituba/diracun oleh pihak tidak bertanggungjawab pada tahun 90-an dan kesannya banyak spesies-spesies ikan mati ketika itu dan difahamkan lokasi yang terlibat adalah di sebelah Air Hitam.
AIR HITAM & AIR PUTIH
Untuk makluman semua, Tasik Bukit Merah ini terbahagi kepada dua bahagian yang mana dikenali sebagai Air Hitam dan Air Putih yang mananya ia dipisahkan dengan landasan kereta api.
Bagi peminat fotografi, panorama cahaya matahari kemerahan ketika tenggelam di lokasi ini amat ditunggu-tunggu.
Di Air Hitam terdapat beberapa suak dan anak-anak sungai kecil yang patut dikunjungi. Saya pasti, jika tekong yang membawa anda ke spot ini pun, pasti akan berada lama
kerana teruja menantikan bila-bila masa sahaja akan berlaku boiling di sini. Begitu juga dengan tempat yang bernama Air Putih.
Bagi pengunjung yang pernah berkunjung ke Bukit Merah Laketown Resort, pusat peranginan ini terletak di sebelah Air Putih dan Pulau Orang Hutan yang mana ia di bawah pengurusan Bukit Merah Laketown Resort juga terletak di sebelah Air Putih.
Tasik ini dilihat sangat sesuai bagi aktiviti sukan memancing sama ada pancingan dasar, mengilat, dan juga pancingan layang.
Kunjungan saya ke sini mendapati aktiviti pancingan dengan menggunakan teknik mengilat dan juga pancing layang boleh membuahkan hasil.
Saya berkesempatan untuk mencuba dua teknik ini dan hasilnya cukup baik.
Gewang dan lelayang yang sesuai digunakan di sini bergantung kepada spesies yang diburu.
Bagi pancingan layang, tidak banyak yang boleh saya kongsikan kerana, saya cuma berkesempatan mencuba ‘popper fly’ sahaja dan hasilnya beberapa ekor toman remaja berjaya didaratkan.
Kunjungan saya ke sini lebih tertumpu kepada teknik mengilat dan saya amat yakin teknik pancingan layang juga sesuai dipraktikkan di sini.
Bagi kaki casting, berdasarkan pengalaman saya ketika berkunjung ke sini, gewang-gewang selaman dalam yang berprofil bulat (gemuk) amat efisyen untuk memintas toman yang naik mengambil udara.
Lontaran tepat ke arah selaman toman mampu memberi sambaran. Seperkara lagi, peralatan ‘lure retriever’ jangan dilupakan lantaran dasar tasik di beberapa lokasi mampu membuatkan anda kehilangan gewang kesayangan.
KEPELBAGAIAN JENIS GEWANG
Selain daripada gewang selaman dalam, toman-toman di sini juga menggemari gewang permukaan.
Bawalah sebanyak mana yang anda mahukan. Lain orang lain gewang ‘ong’ nya kan. Bagi saya jika berkunjung ke sini, ‘jump frog’ jangan dilupakan, amat rugi jika tidak membawanya.
Di sini ia sangat-sangat lagu untuk menjerat beberapa spesies kepala ular di sini seperti toman, bujuk, dan juga kerandang.
Di Tasik Bukit Merah memang memiliki ikan kelisa, dahulu sebelum terdapatnya kolam ternakan komersial ikan kelisa, orang kampung mencari anak-anak kelisa di tasik ini dan dijual kepada pengusaha ikan berkenaan.
Sehingga kini, aktiviti tersebut masih lagi dilakukan. Bahkan semasa kunjungan saya ke tasik tersebut baru-baru ini turut menemukan dengan spesies kelisa hijau.
Tetapi bukan hasil pancingan tetapi kelisa yang mabuk dan berjaya ditangkap oleh nelayan tempatan.
Kelisa ini dilihat bukan sahaja mabuk tetapi sudah tidak bermaya. Mungkin kerana jala yang digunakan memberi kesan kepada ikan ini.
Tidak mustahil suatu hari nanti akan ada pemancing yang bertuah akan memperoleh spesies ini.
Bagi penggemar sebarau, sesudu kecil antara 5 – 7 gram sesuai digunakan berbanding sesudu dan gewang bersaiz besar.
Mungkin diet sebarau di sini lebih kepada anak-anak udang dan anak-anak ikan kecil yang menyebabkan sebarau di sini lebih menggemari sesudu.
Gewang juga boleh digunakan dan masih boleh mendapat sambaran tetapi saya lebih menggemari sesudu sekiranya bertandang ke sini.
Untuk pengetahuan semua, di tasik ini, sama seperti tasik-tasik lain yang mana setiap spesies ada masa ‘frenzy’ nya.
Ketika musim air tinggi, toman mudah dicari di samping sebarau yang mengendap anak-anak toman.
Musim sebarau adalah ketika air separa surut dan sebelum surut sepenuhnya. Apabila air surut sepenuhnya tibalah musim haruan, bujuk, dan kerandang.
Walaupun begitu, spesies-spesies ini masih boleh dipancing pada bila-bila masa dan yang penting tahu tempat persembunyiannya, teknik yang sesuai dan sentiasa berhubung
dengan tekong bila waktu yang ikan Tasik Bukit Merah mulai galak menjamah umpan tipu anda.
Setelah membuat perancangan dan persiapan yang agak lama saya bersama tim komplot Zan Kail Utara Pancing yang terdiri daripada Aiman, Adi, Shah, Akhis dan Jan, pada jam 8.00 malam bertolak dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Temerloh, Pahang bagi menjayakan misi kami iaitu memancing udang galah atau jenggo di Sungai Pahang.
Bertarikh 6 Oktober bersamaan hari pertama misi, kami tiba di destinasi yang kami iaitu Kg. Pangsenam, Temerloh kira-kira jam 3.00 pagi. Perjalanan yang jauh bagaikan tidak terasa kerana rasa teruja yang meluap-luap. Seawal jam 7.00 pagi setelah menyelesaikan urusan dengan Abang Salleh iaitu pemilik rumah rakit dan sewaan sampan, kami segera menyusut Sungai Pahang mencari lubuk jenggo.
Kami menyewa 4 buah sampan atau bot fiber. Umpan umpun-umpun nipah memang terbaik untuk menjerat spesies jenggo, siap dibawa bekal dari Sungai Petani lagi. Tanpa mengira rasa lesu akibat perjalanan panjang dan kurang tidur, kami gigih keluar memancing.
Hasil yang diperoleh untuk hari pertama memang terbaik walaupun ini adalah buat pertama kalinya kami memancing jenggo di Temerloh. Kira-kira jam 7.00 malam kami kembali ke jeti dan bermalam di rumah rakit Abang Salleh. Soal makan minum tidak menjadi masalah kerana rumah rakit Abang Salleh lengkap dengan peralatan memasak. Hanya bahan mentah sahaja yang perlu dibawa untuk memasak. Malah bilik pun lengkap dengan pendingin hawa.
Setelah makan malam dan berehat seketika, entah bagaimana secara tiba-tiba kami berbincang untuk cuba memancing pula. Dengan mudah kami sepakat kata untuk mencubanya. Kira-kira jam 9.00 malam kami menyambung operasi mencari jenggo.
Berikutan kegelapan malam yang membatasi penglihatan, sedikit sebanyak ia menjejaskan pergerakan kami. Namun hasil diperoleh jauh lebih baik berbanding waktu siang. Disebabkan mengantuk dan letih, jam 5.00 pagi terpaksa kami pulang ke jeti untuk tidur.
Tidak sampai pun dua jam kami berehat dan tidur, sebelum jam 7.00 pagi kami sudah pun keluar memburu jenggo lagi untuk sesi hari kedua pula. Berikutan Sungai Pahang yang terlalu luas menyebabkan kami kurang arif untuk menjejak lubuk yang berpotensi. Tambahan pula ia merupakan pengalaman kami yang pertama kali. Namun kami tidak mematahkan semangat kami. Kami mencari informasi lokasi daripada pemancing dan penduduk tempatan.
Berkat ringan mulut bertanya, hasil yang diperoleh ternyata terbaik. Keseronokan membuatkan masa berlalu bagaikan tidak terasa. Bagai tidak sedar hari sudah lewat petang dan perlu pulang ke jeti untuk berehat seketika sebelum menyambung pancingan malam pula. Namun hasrat kami untuk memancing malam terpaksa dibatalkan berikutan cuaca kurang baik dan hujan turun dengan agak lebat.
Jam 6.30 pagi pada hari ketiga kami keluar memancing udang galah untuk beberapa jam lagi sebelum bertolak pulang ke Sungai Petani kira-kira jam 11.30 pagi. Tiada apa yang dapat kami simpulkan dari trip ini selain amat berpuas hati. Layanan Abang Salleh juga terbaik. Kami mengakhiri trip jenggo Sungai Pahang di Temerloh ini hasil kira-kira 100 ekor lebih udang galah dengan anggaran lapan kilogram. Yang pasti kami amat bersyukur kerana selamat pergi dan selamat juga kembali.
Untuk kali ini saya cuba menguji campuran beberapa jenis umpan pemberian rakan pemancing seperti umpan Patin Jitra, perisa pandan kelapa Original dan beberapa bahan lain untuk digunakan bersama pelet atau dedak biji.
Setelah mencampurkan kesemua bahan dengan sukatan tertentu, bagi mengepal pelet yang sudah sebati dengan umpan pada mata kail, saya gunakan pam silikon yang diubai untuk kegunaan memancing yang lebih dikenali sebagai ‘dedak pam’.
Selain nak menguji tahap keberkesan umpan, saya juga nak uji kesesuaian pallet dengan penggunaan dedak pam.
Dan untuk menguji kesemuanya ini saya ke Rantau Eco Park yang terdapat kolam pancing dan lombong panjang yang digunakan untuk pertandingan memancing.
Fasa pertama yang diuji adalah tahap keliatan pelet yang telah dipam. Pelet tidak boleh terlalu liat dan tidak boleh juga terlalu berderai.
Oleh itu kandungan air yang digunakan perlu disukat dengan tepat. Setelah beberapa kepalan dan balingan barulah dapat sukatan yang tepat.
Barulah ada pelet yang terlekat pada mata kail disambar ikan. Bila ada ikan yang makan bermakna umpan yang diuji sudah lulus.
Mungkin disebabkan lokasi ujian umpan ini didominasi oleh tilapia dan beberapa jenis ikan lain yang terlebih dahulu mengambil umpan, maka ikan sasaran iaitu patin gagal diperoleh.
Walau pun gagal memperoleh patin, sesi ujian umpan yang saya namakan pelet pam ini bolehlah dianggap sebagai sukses.
Ia akan saya gunakan di lain lokasi untuk mencari sasaran sebenar iaitu patin. Apabila ia berjaya mendaratkan patin maka barulah umpan ini boleh diguna pakai untuk menyertai pertandingan memancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...