Pelabuhan Klang, Sabtu, 26 Januari 2019, Bank Rakyat hari ini meraikan 200 peserta pertandingan Cabaran Joran Bank Rakyat 2019 anjuran Kelab Sukan Bank Rakyat (KEBARA).
Program tahunan yang diadakan untuk kali ke-13 ini diadakan di Kolam Memancing Sea Lion (Kolam 3A), Port Klang, Selangor yang menyaksikan penyertaan seramai 150 peserta
bagi merebut juara kategori keseluruhan, tangkapan high-grade, tangkapan terbanyak serta tangkapan terpantas.
Ads
Penganjuran pertandingan memancing ini bertujuan untuk memberi peluang untuk warga kerja bersantai dan beriadah di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.
Selain itu, buat pertama kali program ini dimeriahkan lagi dengan 25 penyertaan media Kuala Lumpur dan Selangor bagi kategori media.
Ads
Antara organisasi media yang menyertai program ini ialah Berita Harian, RTM, BERNAMA, TV Alhijrah, New Straits Times, Kosmo, Malaysia Gazette, Utusan Malaysia dan Sinar Harian (Majalah Umpan).
Ads
Menurut Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, pertandingan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk menghargai warga media yang sentiasa memberi sokongan kepada Bank Rakyat.
(Galeri)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Pada satu petang kami berehat di sebuah jeti nelayan selepas menikmati juadah tengahari. Pada masa yang sama terdapat tiga orang pelancong sedang leka memancing kawanan anak ikan yang bermain di bawah jeti berkenaan. Lama juga saya perhati gelagat mereka itu.
Di tengah keriuhan mereka, dua orang daripadanya kelihatan sering menggeleng kepala dan merungut akibat sering putus mata apollo dan terlucut apabila disentap ikan yang lebih besar. Apollo yang digunakan tidak dapat bertahan disentak ikan biasanya melulu ke bawah jeti sebaik sahaja menyambar umpan.
Pada mulanya mereka memancing ikan gombeng dan anak ikan bayan iaitu sejenis ikan karang berwarna warni dan mudah di jumpai bermain di jeti-jeti dan dermaga. Pada masa yang sama pancing mereka sering digasak oleh kumpulan ikan leper yang berada di bawah kawanan ikan gombeng terbabit.
Saya yang sekian lama memerhati tingkah laku mereka lalu mendatangi dan menawarkan diri untuk menjinakkan ikan terbabit. Saya guna apollo buatan sendiri saja. Apollo buatan sendiri itu dipasang umpan hirisan ikan kecil tanpa pemberat.
Memandangkan kumpulan ikan gombeng dan kumpulan anak ikan bayan terlalu banyak, maka dengan mudah umpan dikikis sebelum sempat dijamah spesies yang dihajati. Menyedari teknik demikian tidak akan berhasil, saya pun menukar saiz umpan lebih besar lagi dan apollo dipasang batu ladung nombor 3.
Ternyata teknik ini berjaya melabuhkan umpan tepat ke wilayah ikan kitang lada menurut panggilan tempatan dan membuahkan hasil. Ia cukup menggembirakan pelancong tersebut. Apollo itu saya hadiahkan kepada mereka dan sebelum beredar sempat juga saya pesan cara pengendalian ikan yang memiliki duri berbisa pada sirip tajamnya itu.
Sebaik saya mendapat khabar daripada rakan mengenai toman frenzy di daerah Kuala Pilah, saya bersama geng komplot terus mengatur trip boating di Empangan Kuala Pilah. Boleh dikatakan empangan di sini memang terkenal dengan lubuk toman dan seawal pagi lagi kami sudah bersiap sedia untuk merasai ‘karen’ spesies snakehead di sini.
Untuk trip kali ini, sebanyak 3 buah bot fiber disediakan untuk 9 orang yang menyertai komplot kali ini. Setelah semua peralatan dimasukkan ke dalam bot, kami meneruskan perjalanan ke lubuk yang mempunyai banyak boiling.
Untuk sesi awal pagi ini, rata-rata kami menggunakan gewang top water dan ternyata ia memang benar-benar menjadi. Hanya 3 kali lontaran sahaja, Buzzbait Eupro VMC saya telah berjaya memujuk “sang negro” keluar dari sarang.
Letupan ketika ia menyambar gewang sememangnya paling didambakan. Larian yang bertenaga memang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Ketika matahari terpacak di kepala, kami mengambil keputusan untuk berehat seketika di pondok sekitar empangan tersebut memandangkan toman tidak aktif ketika ini. Hasil separuh masa pertama ini boleh dikatakan agak mengecewakan kerana hanya seekor mama dan seekor toman rempit tewas di tangan kami.
Setelah tenaga diperolehi, kami meneruskan sesi second half kami. kali ini, saya lagi menjadi pemecah suasana apabila gewang Buzzbait saya sekali lagi berjaya menawan seekor negro bersaiz kurang 4kg.
Tak lama lepas tu, giliran Mohd Hazwan pula berjaya memujuk seekor lagi mama toman. Gewang jenis Risto Rap pula yang disambar sang mama, sekali gus memperbaharui lesen beliau.
Setelah sambaran berkurangan di lubuk tadi kami mengambil keputusan untuk berpindah lubuk. Suak demi suak kami redah, akhirnya kami berjaya menemui satu lubuk yang sangat frenzy. Di sini saja tidak menang tangan kami melayan toman bujang. Ada masanya sampai mendapat “double strike”!
Melayan si bujang di sini membuatkan kami tidak sedar hari sudah lewat petang. Sebelum gelap, kami mengambil keputusan untuk bergerak pulang. Walaupun hanya trip singkat, tapi banyak suka duka kami di sini.
Insya Allah bila tiba masanya kami akan kembali lagi dan bermalam di sini untuk memperbaharui rekod dan merasai pengalaman yang lebih ekstrem memujuk sang toman pada malam hari.
Negara kita bolehlah dikira bagus dalam industri ini. Majoriti pemandu pancing yang memiliki bot sendiri boleh kita temui di mana-mana jeti tidak kira di lautan, muara, tasik mahupun sungai (mereka dikenali sebagai tekong atau boatman). Namun kekurangan masih wujud bagi pemandu pancing yang arif tentang sungai belantara berbanding di laut.
Walaupun kedua-dua kategori tersebut begitu penting, namun kita harus akui bahawa servis sedemikian di Malaysia masih berada di tahap yang rendah dan seseorang pemandu pancing harus dititikberatkan.
Ini kerana mereka adalah sebahagian elemen penting yang mampu membentuk serta mempengaruhi ke manakah hala tuju industri memancing kita dari segi perkhidmatan atau panduan yang positif pada masa akan datang.
Pada era moden yang mementingkan kepakaran begini, saya rasa pemandu pancing tanah air kita masih jauh dari tahap yang dilabel – profesional.
Profesional dalam erti kata sebenar bukanlah dengan sekadar memiliki bot, peralatan memancing, servis atau khidmat teknikal sahaja, tetapi perlu mempunyai kesungguhan, iltizam dan dapat menjadi contoh dalam semua kegiatan memancing.
Telah ramai pemandu pancing profesional dan juga yang hampas yang pernah saya temui. Bagi yang profesional, mereka sentiasa peka dan mementingkan kualiti perkhidmatannya.
Pelanggan dilayan seperti raja, misalnya sanggup memenuhi sebarang kehendak pelanggan serta ringan tulang membantu untuk memasang peralatan, menaikkan ikan dan sebagainya. Lazimnya mereka tidak akan turut serta memancing. Jikalau berkesempatan pun, ikan akan dihadiahkan kepada pelanggannya.
Selain itu, pemandu pancing profesional memiliki sifat cintakan alam semulajadi. Mereka tidak suka membuang sampah merata-rata, amat menggalakkan catch and release ikan yang kecil atau spesies yang tidak berharga dan sentiasa meminimumkan kecederaan tangkapan supaya pelanggan dapat bergambar sebelum ikan dilepaskan.
Malangnya, tidak ramai pemandu pancing kita yang layak digelar profesional. Ini boleh jadi juga disebabkan oleh sikap pelanggan sendiri yang kurang kerjasama sehingga pemandu pancing terpaksa mengikut kerenahnya.
Tetapi masih terdapat sebilangan pemandu pancing yang memegang prinsipnya. Mereka tegas berkata tidak kepada pelanggan yang degil. Ini secara tidak langsung akan membuatkan pelanggannya bertambah respect lalu kerap mengambilnya sebagai guide atau memperkenalkannya kepada orang lain.
Pemandu pancing adalah insan yang paling banyak berurusan dengan kaki pancing. Mereka juga sering bertemu dengan orang yang baru berkecimpung dengan dunia hanyir ini. Oleh itu, segala tingkah laku dan sikapnya akan dinilai dan mungkin diikuti oleh pelanggannya.
Jika tidak profesional, itulah antara sebab wujud dan tersemainya norma-norma negatif dalam diri sebilangan pemancing yang tidak menghormati alam.
Stok ikan di bumi adalah faktor utama yang mempengaruhi industri memancing dan aktiviti-aktiviti berkaitan. Sebagai seorang pemandu pancing, mereka juga harus bertanggungjawab menguruskan bekalan semulajadi ini dengan sebaik-baiknya.
Stok ikan adalah punca rezeki mereka, maka mereka hendaklah mendokong pemuliharaan dan tidak hanya menuding kepada golongan nelayan sahaja.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...