Bertempat di kolam memancing air tawar yang popular di Negeri Sembilan, Jerlang Pantai Sport Fishing (JPSF) satu komplot memancing berkonsepkan silaturahim anjuran Fishing Fighter telah diadakan.
Komplot ini hasil dari gabungan beberapa kumpulan pemancing sekitar Lembah Kelang dan Negeri Sembilan bagi merapatkan ukhwah antara pemancing yang kebanyakan berhubung di laman sosial sahaja.
Ads
Walaupun tidak menjanjikan hadiah yang lumayan, ternyata ia mampu juga menarik minat hampir 50 peserta. Alhamdulillah, komplot yang berlangsung pada Sabtu lalu (8 Disember) pada jam 3.00 berlangsung dalam suasana meriah dan ceria.
Apatah lagi penghuni kolam menyambut baik umpan yang ditabur oleh pemancing. Hasil tangkapan ternyata cukup memberansangkan. Bukan sahaja dari segi kuantiti, tetapi juga kualiti. Spesies patin cukup yang mendominasi kolam ternyata menjadi spesies yang paling banyak didaratkan.
Ads
Disebalik patin, pacu dan patin mekong yang banyak ditempatkan di dalam kolam, penulis berasa cukup bertuah kerana berjaya mendaratkan ikan karak atau katla bersaiz 12.6 kg. Ia menjadi kenangan yang amat manis bagi penulis dalam komplot bersaudara ini.
Ads
Selain acara memancing, tutorial penyediaan umpan turut dipersembahkan oleh pihak penganjur. Malah pihak penganjur turut menyediakan hadiah kepada para pemancing yang berjaya mendaratkan ikan terberat.
Saudara Acit muncul sebagai juara komplot apabila berjaya mendaratkan ikan patin seberat 13.870 kg. Sejurus majlis penyampaian hadiah yang berlangsung pada jam 4.00 pagi, barulah para peserta komplot bersurai dengan wajah yang kekal ceria.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Tugas sebagai suri rumah memang tidak pernah habis. Mengurus makan pakai anak-anak dan suami, membasuh, memasak, menyapu, mop sana…mop sini, jadi sekali-skala turun memancing dapatlah release tension kata orang.
Bila pelampung bergedik-gedik, tenggelam timbul, tenggelam timbul dan tenggelam terus maka tunggu apa lagi, teruslah sentap. Nak kau…bapak puyu menggelupur di hujung kail.
Bila ia mengembangkan sirip dan insangnya yang tajam, tak kuasa nak memegangnya. Tak fasal-fasal luka pula kang. Suami yang jadi mangsa. Dialah yang melepaskan mata kial dan memasukkan ikan ke dalam karung.
Seekor lagi cengkerik dicangkuk pada mata kail. Yang ini hitam pekat warnanya. Bila umpan sudah tenggelam, mata tertumpu ke arah pelampung selipar jepun yang dipotong dadu.
Tiba-tiba pelampung hilang daripada pandangan. Tali tangsi tegang habis. Terus joran teleskopik 8 kaki dirembat ke atas. Melengkung habis kali ni. Mama keli pula yang mengambil giliran untuk berhimpit dengan beberapa ekor puyu di dalam karung plastik beras.
Umpan dah habis. Tang tinggal Cuma seekor sahaja. Itu pun cengkerik yang sudah penyek.
“Boleh… boleh guna lagi tu,” kata suami. Beberapa saat sahaja cengkerik itu berada di dalam air, seekor ikan selat atau potok (kaum kerabat belida agaknya) berjaya didaratkan dan menggelepar di atas tanah.
Memancing memang seronok. Boleh jadi ketagih dibuatnya. Sebab itu, ada suami yang ‘tak makan dek saman’. Hujan ke, panas ke, ribut pasir mereka semua tak peduli. Janji dapat tengok air paya, kolam, sungai pun sudah memadai.
“Dapat ikan ke tidak, itu nombor dua,” kata suami saya.
Bila terjebak di dalam dunia memancing ini, rupa-rupanya betullah. Bila ikan dah di hujung jari, terlupa dapur sekejap. Tarik jangan tak tarik!
Ikan begahak atau spesies Belodontichthys dinema adalah ikan pemangsa yang sinonim dengan perairan air tawar Sungai Pahang. Waktu terbaik untuk memburu spesies ini adalah pada musim kemarau, lazimnya pada bulan Mac, Jun dan Ogos.
Ikan begahak biasanya mendiami kawasan sungai yang lebih dalam dan berarus. Ia boleh ditemui secara berkumpulan ketika musim anak-anak ikan mungkus (ikan-ikan kecil) bergerak melawan arus mudik ke hulu.
Untuk mengesan kehadiran begahak adalah tidak sama dengan kehadiran sebarau yang frenzy meligan anak-anak ikan. Kehadiran begahak dikesan apabila ada kelibat anak-anak ikan yang melompat di permukaan air. Ia berbeza dengan kesan sambaran dari sebarau yang kedengaran meletup-letup.
Teknik casting biasanya diaplikasi bagi memburu spesies ini. Ia sebenarnya boleh dipancing dengan kaedah lama iaitu menggunakan umpan ikan hidup namun keseronokan memancing lebih jika dilakukan dengan teknik casting.
Walaupun dengan kehadiran ikan mungkus, ada ketikanya ikan begahak ini tidak aktif mengejar anak-anak ikan ini. Pada waktu ini boleh cuba teknik menunda gewang atau throlling bagi menarik keluar begahak keluar dari lubuknya di dasar sungai.
Untuk tujuan menunda gewang bolehlah gunakan gewang selaman dalam yang mampu menyelam sehingga 3 meter. Pada asasnya tidak banyak terdapat kawasan melebihi 5 meter di Sungai Pahang. Sementara drag kekili perlu dilaraskan sehingga 50% sahaja bagi mengelak kes rabut atau lucut.
Sama ada menunda atau casting, gunalah treble hook atau mata tiga yang halus dan tajam. Ini kerana begahak diketahui jarang menelan gewang. Sebaliknya lebih kepada melanggar atau menampar mangsa dengan pipi kepalanya. Sekiranya menggunakan mata kail yang tebal dan kasar maka peratus untuk hook up adalah rendah.
Begitu juga sekiranya menggunakan mata tunggal gewang atau single hook. Dalam erti kata lain, guna treble hook standard saja.
Kebiasaannya kita mengimpikan perjalanan dan hasil trip yang memuaskan walhal kita tahu memancing adalah satu percaturan yang kesudahannya tidak diketahui.
Rezeki itu semuanya datang dari Yang Maha Esa dan kita hanya jadi perancang sesuatu trip.
Telah berpuluh trip saya terlibat dengan hobi ini dan hanya sebahagian dianggap berjaya dan sebahagian lagi kecundang dengan hasil yang tidak memuaskan atau perjalanan trip yang menyeksakan.
Lokasi Kumpau 1 – Sungai Selangor
Trip 2 hari 1 malam sememangnya terlalu singkat untuk mencari spesies sebarau yang di idam-idamkan. Namun jika faktor cuaca dan air menyebelahi tidak mustahil trip berhasil.
Melalui perjalanan 90 kilometer dari rumah dengan membawa segala kelengkapan berkhemah kami memulakan aktiviti memancing setelah segalanya disiapkan, namun teknik casting di kawasan sungai menghampakan.
Air yang keruh dan cetek mengurangkan potensi mencari spesies pemangsa kerana gewang sukar dikesan oleh spesies sebarau selain air yang cetek membuatkan ikan lebih peka dengan kehadiran manusia.
Alternatif kami untuk bergerak ke hulu lagi juga hanya mendatangkan hasil yang menghampakan.
Pelbagai gewang digunakan namun sedikit cuitan pun tidak dibalas. Hanya teknik pancingan dasar sedikit sebanyak pengubat duka apabila 4 kilogram ikan keli pelbagai saiz berjaya dibawa pulang.
Lokasi Kumpau 2 – Sungai Bentong, Pahang
Dengan menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama, sedikit sebanyak membataskan peralatan yang boleh dibawa namun memberi kelebihan untuk kami melalui denai-denai kecil yang tidak boleh diharungi oleh kenderaan beroda empat.
Apabila matahari memuncak, kami tiba di lokasi perkhemahan setelah melalui perjalanan lebih kurang 120 kilometer dari Kuala Lumpur.
Khemah terus dibina dan sesi memancing terus dimulakan di sekitar tapak perkhemahan.
Teknik casting tidak membuahkan hasil namun ahli lain yang menggunakan teknik dasar berjaya mendaratkan beberapa ekor lampam sungai.
Pada sebelah petang saya berjalan menuju ke hulu dan cuba melontar gewang di kawasan jeram berbatu namun tiada yang sudi menyambar gewang.
Cuaca kelihatan agak suram menandakan hujan mungkin turun bila-bila masa.
Tidak lama kemudian, hujan mulai turun. Paras air sungai perlahan-lahan merapati kaki khemah kami.
Apabila air semakin meninggi, barulah kami sedar kesilapan kami kerana mendirikan khemah terlalu hampir dengan air.
Pantas, kata sepakat diambil dan kami terus mengemas khemah dalam kegelapan malam menandakan kami terpaksa menamatkan trip ini lebih awal.
Lokasi Kumpau 3 – Sungai Tekai, Pahang
Mendengar cerita-cerita daripada mulut Zahar, anak peneroka Felda Kota Gelanggi telah membuatkan kami teruja untuk meneroka spot ini.
Menurut Zahar, ikan kelah, sebarau, tengas dan lain-lain banyak mendominasi sungai pergunungan ini.
Cuma cabaran untuk meneroka tempat ini adalah dengan hanya menggunakan motosikal kerana ia perlu melalui denai yang mungkin telah lama tidak dilalui.
Satu perbincangan rapi antara ahli telah menetapkan satu tarikh cuti umum untuk membuat trip 3 hari 2 malam ke sini.
Sebuah lori disewa dari Kuala Lumpur untuk membawa motosikal dengan bayaran RM100 bagi sebuah motosikal untuk perjalanan balik.
Setelah lori tiba di rumah Zahar, kami terus menurunkan motosikal satu persatu dan memulakan perjalanan yang dianggarkan 30 kilometer ke dalam hutan.
Setelah melalui perjalanan lebih kurang 2 jam merentas 2 batang sungai kami terpaksa melalui satu denai yang agak tinggi.
Ketika itu barulah kami sedar yang kapcai bandar sebenarnya tidak sesuai dibawa ke sini!
Sepatutnya ia perlu diubahsuai, terutama menukar tayar kepada tayar scrambler. Tetapi majoriti di antara kami menggunakan tayar highway.
Hanya seorang sahaja di antara kami yang menggunakan motor scrambler, itu pun bukan betul-betul tayar berbunga scrambler.
Zahar menyedapkan hati kami semua, sekarang musim panas dan jarang berlakunya hujan.
Setelah hampir 4 jam perjalanan, tekaan kami meleset dan apa yang dirisaukan adalah berlakunya hujan renyai-renyai.
Sebuah motosikal telah ditinggalkan di tengah perjalanan akibat kehabisan klac. Tanpa membuang masa, kami mendirikan khemah agak jauh dari sungai semua ahli trip terus berehat di kawasan khemah kerana kepenatan.
Pada sebelah malam, sesi pancingan dasar menemui kegagalan hujan turun dengan lebat, sekali gus kerana air sungai menjadi keruh dan deras akibat hujan.
Waktu ini juga, kami diuji apabila nasi yang dimasak mentah. Bukan sekali tetapi sepanjang berada di lubuk ini kami memakan nasi mentah.
Kami keluar pada jam 5 petang hari keesokan harinya setelah mendapati tiada potensi langsung mendaratkan sebarang spesies di sini.
Perjalanan keluar dari lubuk begitu menyesakkan kerana jalan balak telah berselut.
Alur air yang turun di sepanjang jalan membuatkan trek licin dan telah mengundang padah buat kami.
Tayar motosikal kami sering kali tersasar dari laluannya yang telah menyebabkan kami jatuh tergolek. Cuaca yang semakin gelap menambahkan lagi seksa perjalanan kami.
Sebuah demi sebuah motosikal ditolak ke atas bukit bagi meloloskan halangan. Dengan pelbagai halangan dan cabaran sehingga terpaksa mencari anak sungai untuk
membasahkan tekak, sekitar jam 9 malam barulah kami dapat keluar ke laluan utama menjadikan perjalanan keluar dari lubuk memakan masa 4 Jam!
Kerana kepenatan kami mengambil keputusan untuk bermalam di salah satu sungai utama dan akan menyambung perjalanan pulang pada keesokan harinya.
Dalam kepenatan, kami sempat juga memancing dasar. Hasilnya barulah kami dapat merasai tarikan anak-anak tengas menggunakan umpan sawit.
Trip memancing tidaklah lama, kerana kami semua tertidur awal gara-gara kepenatan menolak motosikal siang tadi.
Keesokan harinya, kami keluar dari kawasan ini dengan 1001 kenangan yang tidak akan dilupakan.
Apabila sampai di rumah Zahar, pelbagai cerita sepanjang perjalanan trip dikongsi. Ada ahli yang diganggu dan melihat benda ghaib di khemah kami bermalam.
Rupanya ada makhluk ghaib menemani kami tidur di sepanjang trip. Mujurlah rakan tersebut tidak berbuat bising menceritakan kepada rakan yang lain ketika di dalam hutan, kalau tidak, sudah tentu lain macam jadinya.
Namun bagi kaki pancing, pelbagai cabaran malah walau kumpau berdarah pun, tak sesekali melemahkan semangat untuk meneruskan aktiviti hanyir ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...