Sesi hari kedua bersama bot Baby Tuna mensasarkan buruan spesies kerapu boron spesimen saiz tong gas.
Ia dilangsung dengan menggunakan jig jigging perlahan produk terbaharu jenama Weebass dan Wenz di perairan Pulau Jarak bermula dengan cuaca mendung dan suram.
Berbanding hari pertama, suasana di laut laut pada hari kedua ini sebenarnya agak berpotensi juga.
Lautan lebih berarus manakala tiupan angin tidaklah terlalu deras sehingga menyulitkan dan mengganggu rentak jig yang dipertaruhkan untuk mempedaya kerapu boron.
Hanya kelibat matahari yang terlindung disebalik awan tebal seperti mempengaruhi hidupan marin bertindak aktif memburu makanan.
Ads
Biarpun cuaca agak kurang memberangsangkan, aktiviti pancingan ternyata lebih baik berbanding hari sebelumnya. Hanya ia bermula dengan begitu perlahan.
Menjelang tengah hari baru strike demi strike berlangsung sama ada di bahagian belakang, tengah dan hadapan bot Baby Tuna.
Spesies kerapu boron yang menjadi spesies sasaran utama turut sama berjaya didaratkan.
Biarpun skala saiznya tidak menepati saiz sasaran sebesar tong gas, sedikit sebanyak ia sudah membuktikan jig baharu keluaran Weebass dan Wenz berupaya untuk menjerat spesies sasaran dalam aksi pancingan perlahan.
Ads
Dalam trip hari kedua pancingan di perairan Pulau Jarak bersama Baby Tuna ini juga menyaksikan pendatang baru dalam teknik pancingan jigging perlahan, Adam Lee yang bergurukan Shem Ng, muncul sebagai pemancing yang paling hanyir.
Hasil ketekunan dan kerajinan, beliau dianugerahkan beberapa ekor kerapu berlainan spesies saiz hidangan, sekali gus menjadi pencetus semangat beliau untuk terus melibatkan diri dengan teknik pancingan jigging perlahan.
Sementara Felman Leong yang bertaraf sifu dalam dalam teknik jigging perlahan ini tidak ketinggalan mempamerkan aura tersendiri apabila mendaratkan seekor kerapu hybrid yang merupakan tangkapan bonus pada penghujung trip.
Tidak lama selepas kerapu hybrid anggaran skala berat lima kilogram itu berjaya didaratkan, berikutan ada petanda hujan dengan lebat, tekong Baby Tuna segera beredar dari perairan Pulau Jarak.
Dalam kesejukan akibat kehujanan dalam perjalanan pulang ke jeti yang menelan masa lebih dua jam, sebahagian besar ahli tidak berasa serik untuk kembali ke perairan Pulau Jarak memburu kerapu boron bersama Baby Tuna lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Walaupun kerap dan biasa memancing di perairan Selat Melaka di sebelah Utara tanah air, tetapi perasaan untuk mencuba di padang pancing berlainan tetap bergelora.
Ekoran daripada itulah satu trip telah diatur oleh kelab SFC untuk menguji kehebatan makhluk air masin di Kemasin, Bachok, Kelantan. Sasaran kami sudah semestinya ikan-ikan terbaik seperti ebek, tenggiri, jenahak, kerapu dan sebagainya.
Tekong pilihan kami ialah Asri atau lebih dikenali sebagai Mat Yie. Seorang tekong yang berpengalaman dan mahir dengan perairan berkenaan. Dua orang awak-awaknya iaitu Pak Chop dan Farid turut serta dalam trip kami.
Sebenarnya hamir setahun jugalah kami menempah bot Mat Yie, takut kalau-kalau ditempah dahulu oleh kaki pancing lain.
Kami seramai 9 orang tiba di Jeti Kemasin lebih kurang 3.00 petang selepas mengharungi perjalanan 5 setengah jam dari Pulau Pinang melalui Lebuhraya Timur Barat.
Apabila bot sudah diisi bekalan air tawar dan stok air, kini tiba masanya untuk memulakan misi kami. Kira-kira 5.00 petang bot mula bergerak. Sejam perjalanan tekong memberhentikan bot dan menyuruh kami memulakan aktiviti menyandat.
Kami mula menurunkan candat payung dan ada yang menurunkan candat mayat. Teknik mencandat adalah sama seperti bermain apollo. Cuma henjutan perlulah perlahan sedikit.
Lepaskan candat sampai ke dasar dan karau 2-4 pusingan dan mulakan mengunjun. Jika terasa berat atau ragutan jangan membuat sentapan. Cukuplah dengan terus mengarau kekili tanpa henti sehingga sotong dinaikkan.
Sotong candat yang bersaiz sejengkal disimpan di dalam bekas umpan hidup yang disediakan.
Tukar Plan
Memandangkan umpan sotong hidup tidak mencukupi, tekong mula mengubah tempat ke tengah laut untuk mencari stok umpan sotong bersaiz besar.
Perjalanan untuk ke lubuk sotong ini mengambil masa sejam. Di sini kami tidak lagi menggunakan candat payung. Sebaliknya menggunakan candat mayat merah putih dan di bawahnya diletakkan candat twist atau ladung.
Sotong bersaiz besar ini akan dipotong dan dibuat jurauan untuk pancingan bottom. Telong melihat stok umpan tidak terlalu banyak tetapi cukup untuk dibuat pancingan.
Satu perbincangan kecil antara saya dan tekong berlangsung sama ada hendak ke Redang atau Kapal Salleh. Memandangkan Redang masih jauh dan stok umpan sotong yang terhad, tekong mengesyorkan pergi ke kapal karam Kapal Salleh.
Memang perancangan awal kami untuk ke Redang tapi apakan daya stok umpan hidup menjadi penghalang.
“Karau!” teriak saya kepada rakan-rakan untuk menuju ke lokasi kapal karam Salleh yang memakan masa satu jam setengah lagi.
Kapal Salleh
Menurut cerita orang lama di kawasan ini terdapat sebuat bot nelayan milik Salleh yang telah karam. Sebab itu tukun ini ditandai dalam GPS bot pemancing sempena nama pemilik bot yang karam.
Tiba di lokasi, senjata mula dihulurkan mengikut citarasa sendiri. Ada yang membottom, casting dan mengunjun jig. Serangan mengejut pada subuh hari membuatkan semua orang kelam kabut dibuatnya. 5 set joran melentuk-lentuk menyembah lautan sekaligus.
Empunya joran menahan asakan padua entah apa jenis ikan dari melepaskan diri. 3 jentera bangla dan 2 jentera manual menjadi pilihan pertama serangan mengejut ini.
Banax Kaigen 1000 milik Azhar diasak teruk dan akhirnya putus mainline kerana musuh menyelinap masuk kawasan buluh yang penuh dengan berangas (sejenis siput cengkerang tajam yang melekat pada buluh).
Begitu juga dengan Pak Chop turut tewas. Meletup tali kekili Ryobi Kaiver 8000 beliau disebabkan mainline mono terputus.
Ketika Faizal tengah menahan asakan tiba-tiba kekili bangla Daiwa Tanacom GS80 slop sebentar membuatkan beliau terpaksa membuat henjutan kasar bagi mengelakkan mangsa menyelinap masuk ke kawasan buluh.
Ternyata teknik itu berjaya melemahkannya sehinggalah kelibatnya nampak di permukaan.
Habuan untuk Faizal, aruan tasik seberat 16.8kg berjaya didaratkan. Kekili bangla Miya Command x4 milik Roslee juga turut bekerja keras mengarau. Gaya permainan dan sentapan sudah dapat diteka dan akhirnya spesies sama seberat 8.5kg berjaya dinaikkan.
Kini giliran saya yang masih terkial-kial menahan asakan aruan tasik yang tak henti-henti memuntahkan tali 60lb. Almaklumlah guna kekili manual Ryobi AP Power II 8000. Joran dipam sambil mengarau sedikit demi sedikit sehingga menampakkan kelibat aruan tasik yang kepenatan.
Akhirnya ikan selamat didaratkan. Selepas ditimbang ia seberat 13.6kg, cukup puas bagi saya apabila beraksi hampir 20 minit.
Hari semakin cerah, kerancakan aksi memancing masih berjalan lancar. Kali ini umpan sotong hidup menjadi taruhan. Tekong turut serta menaruh nasih dengan hanya menggunakan koyan. Baru 5 minit beliau melabuhkan umpan sudah mendapat ragutan. Berlaku satu pergelutan dan awak-awak sudah standby dengan gancu.
Kiri kanan joran harus dikarau naik supaya tidak bersimpul tali. “Ebek keno doh,” seloroh Mat Yie. 10 minit keudian muncul jua ebek di permukaan air. Setelah ditimbang beratnya boleh dibanggakan iaitu sekitar 10kg.
Ebek mengena lagi, kali ini ia memilih joran milik Yazid pula. Joran dipam dan dikarau berulang kali sehingga ebek berjaya didaratkan. Beratnya 9.4kg hampir sama dengan berat ebek Mat Yie.
Selang beberapa minit kemudian umpan saya dan Suaznor dibaham rakus. Rod melentuk membuatkan saya terpaksa bekerja keras lagi. Perambut dawai lembut 40lb, shockleader 90lb dan mainline 60lb memang tiada harapan cobia ini melepaskan diri.
Karauan dibuat dengan berhati-hati sambil mengepam, sekali sekala ia meluru ke bawah kembali dan terpaksa bertahan sehingga ia letih. Akhirnya spesimen seberat 9kg berjaya didaratkan. Suaznor pula berjaya menaikkan spesimen 11.4kg.
Malam itu kami cuba mencandat di satu kawasan sambil ditemani beberapa buah bot lain. Malangnya belum puas mencandat, kami dikejutkan dengan kehadiran beberapa buah bot pukat tunda dengan selamba membolot hasil disekeliling kami dan akhirnya tekong mengambil keputusan meninggalkan kawasan tersebut sambil ke lubuk Kapal Salleh.
Kena Serang Lagi
Sebaik saja sarapan pagi, senjata masing-masing dihulurkan. Umpan sotong yang dibuat juraian dicangkuk dengan mata kail saiz 5. Desingan bunyi drag membuatkan semua orang berpaling ke arah bunyi tersebut.
Rupanya joran milik Hj Man yang mengena. Tuah kekili dan rod baru memang tidak menghampakan. Aruan tasik seberat 9.7kg menjadi mangsa beliau. Tangkapan lain pada pagi hari itu seperti jemuduk, yu dan kaci bersaiz remaja. 20 minit kemudian, Hj Man sekali lagi mendapat strike kasar sekaligus membuatkan rakan lain cemburu.
Jam 2.00 petang misi ditamatkan dan bot mula meninggalkan kawasan pancingan. Kesempatan ini kami manfaatkan untuk berkemas dan membersihkan badan.
Dalam perjalanan mencari lubuk seterusnya, tekong sempat bertegur sapa dengan seorang nelayan tempatan yang memancing di unjam dengan sampan kecil.
Dari jarak jauh nelayan tersebut mempamerkan hasil yang diperoleh. Dari jauh pun kami sudah mengenali ikan tersebut. Namun tekong terus bergerak merapati tekong tersebut.
Ternyata ia seekor ikan tenggiri anggaran 4 hingga 5 kg. Menurut nelayan tersebut, tenggiri tersebut merupakan hasil beliau jigging.
Walaupun turut menurunkan koyan menggunakan umpan hidup namun jig besi pula yang dipilih tenggiri.
Sejurus kemudian nelayan tersebut menawarkan `tapak’ beliau di unjam tersebut kerana ingin segera pulang dan menjual tenggiri itu.
Memandangkan sudah hampir tengah hari dan belum memperoleh hasil yang memuaskan hati, kami segera bersetuju untuk mengikat bot pada unjam dan jigging di situ.
Terbukti ia berbaloi. Tidak lama jigging di situ, Pjoy berjaya mendaratkan seekor tenggiri kecil berskala berat hampir 2 kg.
Selain tenggiri, cencaru turut sama dinaikkan. Setelah beberapa ekor cencaru dinaikkan menggunakan jig, saya mula yakin unjam tersebut banyak dihuni cencaru.
Daripada membuang masa jigging dan yang naik cuma cencaru, saya merasakan lebih baik guna apollo saja.
Malah, 6 bungkus apollo saiz 12 yang dibeli ketika dalam perjalanan ke Mersing ini pun masih belum digunakan.
Dengan menggunakan set mengilat, segera saya sangkutkan apollo saiz 12 dan jig 80 gm sebagai ganti batu ladung.
Hanya pada percubaan pertama sahaja, hampir kesemua mata apollo mengena. Selain cencaru, ikan selar turut mengena.
Setelah kali ketiga saya menaikkan hasil yang hampir sama, ia membuatkan rakan lain yang masih berjigging bertukar fikiran.
Hampir tiga jam juga kami menghabiskan masa di unjam tersebut sehinggalah kesemua 6 paket apollo yang digunakan sudah tidak boleh digunakan lagi.
Satu persatu apollo putus ikatan mata kailnya atau terputus terus perambut utamanya gara-gara dikerjakan cencaru yang agak kasar juga saiznya.
Selain kami, unjam tersebut turut didatangi oleh dua bot nelayan yang sama-sama memunggah cencaru di situ.
Melihat para nelayan menarik keluar cencaru dengan menggunakan apollo berantai (40-50 mata kail) buatan sendiri itu saja sudah cukup mempersonakan kami.
Kami meneruskan aktiviti sekitar Pulau Tioman namun tidak banyak ikan sasaran yang berjaya didaratkan.
Hanya lewat petang dan hampir senja barulah banyak aktiviti pembantaian ikan-ikan pemangsa terhadap kumpulan ikan kecil berlaku.
Namun hanya beberapa ekor saja ikan pemangsa itu berjaya kami.
Pulang dari trip jigging yang hampir bertukar menjadi trip apollo cencaru itu kami berasa kesal pula tak beli apollo lebih banyak.
Sebenarnya bukan mudah juga nak bertemu dengan kumpulan cencaru sebegitu banyak.
Dan ia satu kerugian yang besar apabila peluang yang terhidang sebegitu dilepaskan begitu saja.
Perjalanan bermula menaiki boathouse ke Sungai Terenggan mengambil masa kira-kira 5 jam dan kami gunakan sepenuhnya untuk merehatkan badan. Walaupun malam itu kami memancing, tetapi tidak lama. Awal-awal pagi lagi kami sudah bangun. Selepas persiapan dilakukan dan bersarapan, kami bergerak menaiki speedboat menuju Lubuk Asli secara bergilir.
Dari situ kami memulakan perjalanan dan sasaran kami adalah berkhemah di Ulu Pering yang akan mengambil masa kira kira-kira 8 jam untuk sampai. Sekitar jam 6 petang, kami akhirnya berjaya sampai ke Lubuk Panjang (Lubuk Berdengung).
Setelah khemah siap dipasang dan makan malam, Karim dan Pak Mat membina para untuk menyalai ikan yang ditangkap nanti, manakala Pak Chom, Zack, Aiman dan Milo menuju ke bawah untuk mencuba nasib sebelum malam berlabuh.
Pada pengamatan saya yang sudah beberapa kali trekking bersama Karim, lazimnya jika dia membuat awal para untuk menyalai ikan, akan ada rezeki kelah buat kami.
Lewat malam, Mus dan Karim beralih mencuba di lubuk dalam di bahagian atas. Sekitar jam 12.30 malam satu sentapan kuat berlaku yang menyebabkan joran Mus hampir terjun ke lubuk. Mujur batang joran sudah berikat.
Pertarungan hampir 10 minit tetapi kelibat mangsa belum kelihatan, Karim sudah bersedia di tepi tebing untuk menarik mangsa ke darat, malangnya dengan kudrat yang masih ada mangsa membuat henjutan terakhir memutuskan tali utama (tali sulam 20lb). Hampa sungguh wajah Mus ketika itu.
Mangsa dikhuatiri meloloskan diri mungkin terkejut dek cahaya lampu yang disuluh ke dalam air sewaktu pertarungan tadi malah struktur batu-batu besar yang terdapat di dasar membantu mangsa memutuskan tali pancing.
Melihat aksi Mus yang digasak begitu hebat, ada di antara rakan-rakan yang tidur-tidur ayam, terus sahaja cerah biji mata. Iyelah memang satu kerugian, trekking jauh-jauh tetapi tidur di dalam khemah. Apa salahnya berjaga sedikit. Bukan selalu dapat sampai ke sini.
Malam itu, rata-rata di antara kami galak menerima sambaran. Paling memeranjatkan kami bila joran milik Karim patah dikerjakan mangsa selepas diasak kuat sebelum mangsa berjaya meloloskan diri. Kecewa lagi bila gagal menaikkan kelah bersaiz besar.
Pada malam itu, seekor kelah dan dua ekor kejor yang dianggarkan sekitar 1 kg setiap seekor berjaya juga dinaikkan di samping baung akar yang tak terkira banyaknya memenuhi jut.
Hari kedua, kami mengambil keputusan berpecah kepada dua kumpulan. Pak Chom, Fuad, Zack, Milo, Nasir dan Aiman menghala ke bawah lubuk khemah. Manakala saya, Mus, Karim dan Pak Mat naik ke atas hingga sampai ke Ulu Pering.
Saya yang membaling umpan di hujung ekor lubuk akhirnya mendapat sentapan kuat. Dek kerana air yang jernih memang jelas kelah bara memecut untuk melepaskan diri.
Dengan berhati-hati saya melayan mangsa agar tidak terlepas dan akhirnya puas, bila kelah dalam skala 1.5kg berjaya saya pangku.
Akhirnya dapat juga lesen, setelah tiga trip sebelum ini gagal membuahkan hasil. Sejam kemudian, giliran Mus pula menerima sentapan kuat, larian padu mangsa di kepala lubuk membuatkan Mus tak senang duduk kerana terdapat batuan besar yang mungkin dapat memutuskan perambut 20lb yang dipakai.
Benar kata pepatah, kalau dah rezeki memang tak ke mana. Kelah hampir sama saiz berjaya didaratkan. Sekitar pukul 4.00 petang kami menamatkan pancingan dan pulang semula ke khemah.
Dua ekor kelah bara dan 5 ekor kejor berjaya didaratkan (yang kecil dilepaskan semula ke habitat asal). Perkhabaran daripada rakan di bawah pula, gagal menaikkan kelah bara. Hanya kejor yang berjaya dinaikkan.
Hari terakhir di lubuk ini, kami memutuskan untuk membuat sebuah rakit buluh untuk membawa barang-barang. Lega rasanya bila bahu tiada lagi beban memikul beg. Kami tidak begitu terlalu memancing pada hari ini dan hanya casting pada lubuk-lubuk tertentu di sepanjang kembali turun ke bahagian hilir.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...