Setelah seharian meredah hutan dan sungai, akhirnya kumpulan kami tiba di pertembungan sungai di Sangka 3, itu pun hari sudah mendekati senja dengan renyai hujan masih tidak jemu mencurah hutan Jerantut.
Perjalanan kira-kira 80km melalui jalan balak bukanlah menjadi masalah kepada sembilan jentera ‘kereta perang’ grup Memerang Tracker, cuma cuaca hujan renyai berterusan membuatkan jalan menjadi becak dan beberapa kali juga pacuan empat roda tumpas di lereng bukit.
Setelah mendirikan kem utama dan mengisi perut lebih kurang, kami memilih untuk berehat dahulu memandangkan kesemua penat bermain kereta sepanjang hari. Lagi pun trip empat hari, tiga hari lagi sebelum keluar dari hutan.
Ads
Esoknya seawal tujuh pagi, masih dalam renyai hujan, kami berpecah kepada beberapa kumpulan dan penulis memilih untuk meranduk ke hulu berbekalkan beberapa keping sesudu untuk mengilat. Setelah hampir dua jam mengilat, masih belum ada yang sudi menyambar. Lebih membimbangkan, tidak ada kelibat ikan mahu pun anak-anak ikan melintas berkejar-kejaran. Ini sesuatu yang pelik memandangkan kawasan seperti ini pasti ada anak-anak ikan melintas.
Entah ada pihak bermain tuba atau tidak, kami memilih untuk berkemas dan bertukar lubuk bagi mengelak pulang dengan gelaran kumpau. Kami terpaksa korbankan hari kedua untuk turun sedikit ke bawah dan tiba di Lubuk Sg. Pertam ketika matahari hampir terbenam.
Pagi hari ketiga, penulis cuba mengilat, namun tidak lama memandangkan hujan berterusan menyebabkan air semakin keruh dan paras air semakin tinggi. Gagal cubaan teknik mengilat tidak harus dikenang, cubalah teknik bottom asalkan tak kumpau.
Ads
Teknik bottom berumpankan cengkerik dan sawit nampaknya tidaklah begitu memberikan hasil lumayan. Dalam keadaan renyai hujan, hanya baung bersaiz kecil hingga sederhana yang menjamah umpan, yang gadang nampaknya tak berselera.
Ads
Pada malam akhir, penulis bersama Mizun dan Wan sekali lagi, kali ini dengan sedikit umpan cacing yang dikorek di kawasan lubuk. Selepas beberapa ekor baung dan dua ekor keli tumpas, joran Wan ditarik kasar. Entah spesies apa yang menarik kerana tali dibawa ke reba sebelum terlucut.
Kemudian, joran Mizun yang melentur laju sempat disambar dan karauan laju dibuat. Setelah beberapa ketika, dalam kepekatan malam dan renyai hujan, seekor kelah merah hampir 1kg tewas di gigi air. Nah, hanya berumpan cacing.
Dalam bergembira dengan kelah tersebut, sekali lagi rod Mizun ditarik sebelum seekor lagi kelah, kali saiz lebih kecil, berjaya didaratkan juga berumpankan cacing. Betullah perkiraan kami sebelum itu, kalau mengilat tak dapat, main bottom pun jadilah. Setidak-tidaknya, dua ekor kelah tersebut sedikit sebanyak menjadi pengubat dalam trip ini. Tidaklah kami berangkat pulang dengan membawa gelaran kumpau.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sepanjang jajaran sungai menghala ke laut Pelabuhan Klang ini, sebenarnya bukan sedikit rumah rakit yang dapat dilihat di kawasan Teluk Gong ini. Terdapat kira-kira 30 buah rumah rakit yang tersergam bertebaran dan setia menerima kunjungan kaki pancing saban hari.
Rumah rakit di sini biasanya dimiliki oleh orang perseorangan dan seorang pemilik biasanya memiliki lebih daripada satu rumah rakit. Keadaan di rumah rakit juga rata-rata cukup selesa kerana prasarana atau kemudahan yang disediakan seakan sebuah chalet terapung.
Setiap rumah rakit di Teluk Gong rata-rata dilengkapi dengan tilam, ruang dapur untuk memasak, bilik air dan juga televisyen. Jadi anda yang mahukan suasana pancingan santai bersama keluarga atau rakan-rakan, mungkin boleh berkunjung ke sini nanti.
Saya berkesempatan berkunjung ke salah satu rumah rakit di Teluk Gong yang dimiliki oleh Zainudin. Hanya memakan masa kira-kira setengah jam perjalanan dari Shah Alam, saya dan rakan tiba di Jeti Telok Gong. Tidak menunggu lama, kami dijemput oleh boatman iaitu Abang Jais dan terus dibawa ke rumah rakit yang mengambil masa lima minit dari jeti.
Seperti dijelaskan pada awal tadi, rumah rakit Zainudin ini turut lengkap dengan kemudahan dan sangat selesa. Keadaan kebersihan di bilik air dan ruang dapur juga agak memuaskan. Menurut Abang Jais, memang menjadi rutin baginya bagi mengekalkan kebersihan rumah rakit untuk keselesaan pengunjung.
Sewaktu kunjungan kami, keadaan arus agak laju kerana air pasang besar. Berbekalkan umpan udang dan perumpun, beberapa spesies agak galak menjamah umpan ialah ikan duri, gelama dan gelama pisang. Spesies lain tidak ada yang sudi mungkin kerana keadaan air yang besar. Walaupun begitu, kami tidak menang tangan melayan spesies tersebut terutama sekitar jam 8-10 malam.
Menurut Abang Jais, rumah rakit Zainudin yang beroperasi sejak tahun 1997 ini telah menyaksikan banyak spesies ikan pernah dinaikkan. Antaranya spesies pari, senangin, gemang dan siakap. Namun menurut pemerhatian peribadi Abang Jais, waktu yang sesuai ialah ketika air kecil dengan arus sedikit perlahan. Apa pun, kami tetap menikmati keseronokan melayan gelama pisang ketika ke sini.
Petikan video dan gambar ditunjukkan teman seperjuangan yang pernah ke sana mempengaruhi minat saya namun hanya tinggal hasrat sahaja kerana perancangan ke lokasi ini paling tidak mengambil masa 6 bulan.
Memandangkan ia memerlukan belanja yang tinggi untuk seorang pemancing, maka teman saya dari awal-awal lagi merancang tabung agar tidak begitu terasa bebanan kos pada saat akhir. Malah anggota ekspedisi sudah mencukupi ketika tempahan bot dilakukan sudah mula mengatur persiapan secukupnya kerana trip begini tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
Dari semasa ke semasa saya hanya mengikuti perancangan mereka dari kejauhan. Sehari sebelum trip bermula saya menerima mesej `esok malam jom ke Sungai Sepia’. Biar betul notis hanya 24 jam untuk membuat persiapan. Ajakan diterima berikutan seorang dari anggota asal tidak dapat sertai kerana masalah keluarga yang perlu diselesaikan segera.
Untuk menggenapkan 3 orang pemancing bagi setiap bot, pemancing gantian diperlukan bagi mengurangkan sedikit bebanan kos. Maknanya esok banyak benda yang harus diselesaikan pada sebelah siang sebelum malam berangkat ke Kuala Tahan.
TEROKAI PERJALANAN JERAM
Awal pagi ekspedisi ke Sungai Sepia yang diketuai oleh Yusri Boatman memberi sedikit penerangan ringkas mengenai program memancing kelah selama 3 malam tersebut. Setelah urusan permit dan mendapat pelepasan daripada renjer bertugas seramai 9 orang pemancing bersama 3 orang jurumudi dan 3 pemandu bot meninggalkan jeti Kuala Tahan menuju ke Kampung Bantal.
Kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk tiba di Kampung Bantal pada tengah hari walaupun dalam keadaan air semakin surut. Penat dan kepanasan di sepanjang jalan mengharungi laluan sungai hilang sebaik sahaja kami berhenti menikmati makan tengah hari di tengah beting pasir di kuala pintu masuk Sungai Sepia.
Sementara itu kipas bot ditukar sesuai untuk kegunaan kawasan cetek dan berbatu di dasar. Di sinilah baru bermula perjalanan sebenar mengharungi cabaran untuk ke hulu sungai. Antara cabaran yang paling membebankan ialah Jeram Perahu dan Jeram Ular. Banyak masa dihabiskan untuk mengangkat 3 buah perahu merentasi jeram.
Pengalaman dan kudrat yang dimiliki jurupandu dan jurumudi bot boleh dipuji. Kerja berpasukan begitu utuh di kalangan mereka. Selepas dua jeram ini kami lebih banyak menghabiskan masa menolak perahu jalur di kawasan jeram cetek. Air gunung semakin terasa sejuk menjelang petang.
Setelah berbincang dengan jurumudi dan jurupandu, kami bersetuju dengan saranan untuk terus bergerak sehingga ke kem utama untuk bermalam tanpa mengira jam berapa akan sampai. Hampir 10 jam mengharungi perjalanan perahu masih lagi belum tiba ke destinasi.
Badan semakin menggigil, bukan kerana tak sabar untuk memancing kelah tapi menggigil kesejukan disamar malam. Akhirnya kami tiba di kem utama selepas jam 8.30 malam iaitu kira-kira 11 jam lebih perjalanan sungai berbatu diharungi. Tiada aktiviti memancing pada malam tersebut kerana masing-masing sudah berdengkur di lantai berpasir dalam keletihan.
CELIK MATA PANDANG LUBUK
Seawal pagi tekong aka jurumudi menyediakan sarapan berat kerana masing-masing akan memilih lubuk tersendiri seharian nanti. Ada juga yang memilih untuk memancing berhampiran kawasan kem sahaja. Dekat dengan tapak khemah dan mudah untuk melakukan pengawasan.
Banyak lubuk cantik di hilir dan hulu tapak khemah yang kami dirikan. Masing-masing mula berpecah untuk menduga nasib bagi memperbaharui lesen untuk sang raja sungai ini. Kawasan dan lubuk yang banyak pun susah hendak diputuskan mana satu yang hendak dituju.
Lubuk banyak, pilih je mana yang berkenan sebab waktu itu hanya grup kami sahaja yang berada di situ. Tempat tidak perlu berebut. Boatman yang dipilih kali ini adalah di antara yang terbaik dan tersohor di kalangan peminat kelah di Kuala Tahan. Yusri, Ajak dan Jefry bukan nama asing lagi bagi kaki pancing yang sering ke Keniam.
Mereka menjadi pilihan kerana pengetahuan dan kebolehan dalam aspek pemburuan kelah. Rajin dan peramah menjadi satu lagi faktor yang disukai pemancing. Awal pagi masing-masing sibuk memilih boatman untuk bergerak ke hulu sungai.
Perancangan kami memancing di bahagian hulu terlebih dahulu sebelum turun ke bawah pada hari berikutnya. Dengan persiapan yang secukupnya masing-masing bergerak ke hulu dengan bot untuk satu tujuan, lesen kelah terlebih dahulu.
POTONG TRIP
Walaupun perancangan asal mengikut tarikh yang diputuskan, kumpulan kami sepatutnya adalah yang paling awal masuk ke sini sebaik bermulanya musim memancing. Namun tahun ini awan membawa hujan berhenti lebih awal daripada jangkaan.
Cuaca kering bermula sebaik sahaja habis angin dingin yang melanda negara tempo hari. Bila cuaca kering maka sungai dan lubuk cepat surut, kaki pancing yang arif mengenai kelah pasti membuat perancangan jangka pendek. Trip mengejut. Sebab itu seminggu sebelum kami bertandang sudah ada satu lagi grup memotong tarikh seminggu lebih awal daripada kami.
Malah terdapat juga kesan-kesan orang kampung turut menjejaki kawasan ini sebelum berpusu-pusu kaki pancing bertandang. Kelah-kelah yang kami nampak sepanjang perjalanan di lubuk-lubuk popular menjadi takut, hanya kelibat beberapa detik ditunjukkan sebelum lesap berenang dalam kejernihan air gunung.
Bila ditanya pada boatman yang membawa kumpulan tersebut berapa banyak kelah mereka tawan?. Jawapannya pasti tidak mengejutkan kerana kumpulan ini kena pada waktu air sedikit keruh dan membuka selera kelah dengan sawit peram. Sungai ini tidak menjanjikan kelah yang besar dan gadang sebagaimana Sungai Keniam tetapi ia memiliki jumlah dan lubuk yang lebih dari Keniam.
Peluang memperolehi kelah di sini adalah lebih tinggi dan jumlah kaki pancing yang sanggup bertandang ke mari adalah sedikit kerana kos 3 kali lebih daripada kos memancing kelah di Sungai Keniam.
APA LAGI
Sekiranya anda seorang kaki pancing yang tidak begitu pentingkan saiz dan hasil, Sungai Sepia mampu menyediakan satu pengalaman seumur hidup menjejaki kelah dengan kudrat dan semangat tinggi menggunung. Ia turut menawarkan panorama, suasana nyaman, udara bebas dari pencemaran, tiada gangguan deringan telefon bimbit, bunyi ekzos kenderaan mahupun rempitan motor kapcai dan paling utama ketenangan ketika memancing.
Tidur bertilamkan jutaan pepasir sungai, beratapkan ribuan bintang di langit sambil diulit unggas dan desiran air nyaman sepanjang waktu. Malah penulis turut terkejut apabila disapa teman “nyenyaknya tidur sambil memancing sampai ular yang melintas di hadapan pun tidak perasan”.
Kalau perasan tentu penulis terlebih dahulu terjun sungai dari sang ular tersebut. Di sini kami bebas memilih untuk memancing di mana sahaja lubuk cetek mahu pun dalam. Petang bila masing-masing balik ke khemah sesi bergambar dengan hasil tangkapan seharian. Malam menikmati lauk kelah masak tempoyak dengan sepuasnya.
Penulis tak perlu huraikan secara menyeluruh aktiviti memancing di sini kerana gambar yang dipaparkan telah menceritakan segalanya.
Umpan tidak perlu dirisaukan kerana satu guni setiap bot disediakan untuk pemancing. Sediakan keperluan peribadi, bekalan ubat sekiranya perlu, dan peralatan memancing kelah dengan secukupnya.
Joran dengan kekuatan 8-17lb, tali tangsi maksima 20lb, ladung saiz 5 dan 6 serta mata kail tajam serta tidak terkangkang apabila disentap kelah. Raja sungai ikan sembat umpan tanpa ada signal.
Makan dan tempat tidur diuruskan oleh boatman dan jurupandu, anda hanya perlu memancing dan nikmati keindahan alam suasana sekeliling yang nyaman.
Teknik memancing, lubuk terbaik dan pemasangan umpan boleh dirujuk kepada boatman mahupun jurumudi kerana mereka ini adalah segelintir kelompok manusia yang sentiasa bergelumang dengan ikan pergunungan.
Banyak pengalaman yang mereka boleh kongsi dengan pemancing yang menggunakan khidmat mereka ini. Nikmati sepenuhnya pengembaraan selama 3 malam kerana selepas keluar dari hutan Taman Negara ini, masing-masing pasti sibuk melayan mesej, Facebook ataupun e-mel daripada majikan apabila keluar ke peradaban moden.
Sekiranya anda berhasrat untuk memancing di perairan Merchong atau Rompin, dan tidak mengetahui tekong yang harus anda pilih, maka anda perlu mencuba pakej memancing Adventura Outdoor yang menggunakan khidmat tekong Krel Nazri. Boleh dikatakan, tiada pemancing yang merungut setelah menggunakan khidmat servis beliau yang merupakan antara tekong terbaik di Merchong.
Nama bot: Adventura Outdoor
Nama tekong: Krel Nazri
Enjin: 300 hp (Yamaha 150 hp berkembar)
Saiz bot: 35 kaki x 10 kaki
Muatan: 6 pemancing
Lokasi jeti: Chalet Kg. Merchong
Harga sewa: RM1400 (Sabtu&Ahad), RM1300 (Isnin-Jumaat)
Pakej: 50 ekor udang hidup, air minuman dan ais disediakan.
Lokasi pancingan: Karang Luas hingga Pulau Berhala
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...